Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, March 28, 2013

Pesta Belon Udara Datang Lagi!!!



Wah!!! Hari ini pergi kerja meriah sungguh..
Sebabnya di perkarangan udara Putrajaya penuh dengan belon-belon udara..
Terlupa pula yang pesta belon tu bermula hari ini.
Wah, cantik-cantik belonnya. Yang paling menarik belon bentuk kartun yang warna hijau tu.
Tak tau lak kartun apa. Dan lagi satu belon yang berbentuk orang utan. Memang meriah.
So, siapa yang berminat nak naik belon tu bolehlah datang..

Program bermula dari 28 hingga 31 Mac dari pukul 7.00 pagi hingga 9.00 malam.
Kalau anda nak naik belon ni pastikan anda orang yang terawal beratur sebab tiket adalah terhad. Kalau tak silap harga tiket RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak.

Tinta yang dekat sini pun tak pernah lagi naik belon. Nantilah, ada kesempatan nak try naik juga.
Tapi tadi kan, ada 1 belon tu turun sekejap. Belon warna kuning. Dia turun dekat juga dengan bangunan bomba ni. Tu yang nampak besar je tadi. Tak tau sebab apa dia turun, tapi lepas tu dia naik pelan-pelan ke udara.

Selain pesta belon ni, bermacam-macam program lain turut diadakan.


So... jangan lepaskan peluang. Time cuti sekolah ni, bolehlah bawa anak-anak datang ke Putrajaya naik belon... :)

Thursday, March 14, 2013

Aku Suka Kau Benci Bab 5 - Part 2

Mia Sarah, Liza, Linda dan Hani sedang duduk santai di pondok rehat di Fakulti Sastera. Sementara menunggu kelas yang akan bermula sepuluh minit lagi mereka berbual-bual kosong. Kadang-kadang mereka tergelak bila ada cerita yang mencuit hati diutarakan. Kelihatan seronok benar empat sekawan itu berbual-bual, seolah-olah tidak ada masalah yang membelenggu diri.

Dari kejauhan ada sepasang mata yang sedang memerhatikan Mia Sarah. Melihat Mia Sarah tersenyum, dia turut tersenyum sama. Melihat Mia Sarah ketawa, dia pun terasa ingin ketawa sama. Apa saja yang dirasai oleh Mia Sarah, turut ingin dirasai olehnya. Saban malam dia merindui gadis itu, perasaan yang hadir tanpa dipinta. Perasaan inilah yang membuatkan dirinya terasa seperti orang sasau sahaja. Langkah kaki dihayun perlahan menuju ke arah kumpulan tersebut. Walaupun debaran begitu kuat memuncak di dada namun dia gagahkan jua demi mencari jawapan.

“Eh... itu bukan lelaki yang usha group kita masa makan hari tu ke? Aku tengok dia macam nak menghala ke sinilah. Nak buat apa ye?” soal Hani apabila melihat seorang lelaki semakin hampir ke pondok tempat mereka duduk. Kawan-kawannya yang lain turut menoleh ke arah yang diperkatakan. Memang betullah, nampak gayanya lelaki itu sedang menghala ke arah mereka. Mia Sarah mula tarik muka kelat. Entah apalah yang orang gila ni nak lagi? Ingin sahaja dia mengangkat punggung dan berlalu pergi, tapi apa pula kata kawan-kawannya nanti.

“Oh... si buaya tu ke? Nak buat apa lagi... nak menggatal agaknya...” Linda serkap jarang. Faham sangat dengan perangai Ikmal yang suka bertukar pasangan. Tetapi di pondok tersebut hanya ada mereka berempat sahaja, dengan siapa pula Ikmal ni hendak mengayat?

Ikmal tersenyum ke arah mereka semua. Salam diberi sebagai pembuka bicara. Dia senyum manis apabila salamnya dijawab. Namun apa yang membuatkan dia terasa hati apabila salamnya tidak disambut oleh Mia Sarah. Ikmal senyum lagi dan mula melabuhkan punggung di sebelah Mia Sarah yang sudah tarik muncung panjang. Agak-agaknya, kalau diikat dengan reben pun boleh tu.

“Assalamualaikum sweetie...” salam yang diberi khusus untuk Mia Sarah. Tetapi masih lagi tidak ada jawapan yang kedengaran dari bibir comel itu.

“Kalau tak jawab berdosa tau,” jelas Ikmal sambil memandang Mia Sarah.

Mia Sarah mencebik geram, bukannya dia tidak tahu menjawab salam tu berdosa. Maka sebab itulah salam Ikmal itu dijawabnya dalam hati. Telinganya naik bernanah pula mendengar gelaran sweetie itu lagi. Tak habis-habis panggilan tersebut digunakan. Ikmal ni pun mengada-ngada sangat kenapa? Mia Sarah mula cuak apabila Linda dan Hani memandangnya semacam. Apalah yang sedang mereka fikirkan tentang dirinya. Kalau Liza tu memang dia tak hairan sangat sebab Liza sudah tahu tentang Ikmal yang ingin memikatnya.

“Assalamualaikum... Ha... ni dah kali yang ketiga ni,” usik Ikmal lagi. Wajah Mia Sarah yang bertukar merah begitu menarik perhatiannya. Bukan merah disebabkan malu, tetapi merah dengan perasaan marah. Cuma Ikmal sahaja yang tidak tahu, ataupun buat-buat tak tahu.

“Eeee... Waalaikumussalam. Ha... puas hati!!!”

“Alhamdulilah. Puas hati sangat-sangat sweetie. Bila awak jawab salam saya maknanya awak sayangkan saya. Tapi kalau salam tu dijawab dengan lemah lembut kan nampak manis lagi. Barulah sepadan dengan Cik Mia yang ayu berbaju kurung ni,” Ikmal senyum menggoda.

Sudah... ke situ pula Ikmal ni melalut. Bila masa Mia Sarah sayangkan dia. Mia Sarah tarik muka masam semasamnya. Rasa-rasanya mempelam muda pun tidak dapat melawan tahap kemasaman Mia Sarah sekarang ini. Dia diam sambil menghayunkan kedua-dua kaki yang tergantung ke hadapan dan belakang. Pandangannya dihala melihat kelibat manusia yang lalu lalang di medan Fakulti Sastera. Melihat gelagat manusia yang pelbagai ragam itu adalah lebih menarik daripada melihat wajah Ikmal yang menyakitkan hati di sebelahnya. Menyampah.

“Sebenarnya saya nak tanya awak something ni. Apa jawapan awak pada soalan saya semalam?” soal Ikmal menjurus pada persoalan yang bermain-main di mindanya. Berharap sangat agar jawapan positif yang akan diterima olehnya.

“Jawapan? Jawapan apa pula?” Mia Sarah berpura-pura tidak tahu. Malas hendak melayan kerenah Ikmal. Dia berpura-pura pula membelek kuku yang tidak panjang.

Berkerut dahi Ikmal bila Mia Sarah menyoalnya semula. Biar betul Mia Sarah ni, takkanlah tak tahu apa yang dia maksudkan? Ataupun Mia Sarah tidak dapat jambangan bunga yang diberikannya semalam. Sekilas dia mengalihkan pandangan pada Liza. Gadis itu cuma tersenyum membalas.

“Jawapan pada kad dekat bunga yang saya beri pada awaklah. Takkan awak tak baca pula?”

“Oh... ada kad ye. Tak perasan pula saya,” Mia Sarah menjawab acuh tak acuh.

“Kalau tak perasan tak apalah, balik nanti awak baca kad tu ye. Ada soalan dekat situ. Esok saya nak tau jawapannya,” Ikmal berharap. Terpaksa bersabar dengan sikap Mia Sarah demi mengambil hatinya, walaupun dia ni bukan spesis penyabar.

“Rasanya, balik nanti pun saya tak dapat baca.”

“Kenapa pula?” soal Ikmal dengan penuh tanda tanya. Dahinya berkerut-kerut menandakan dia berada dalam keadaan yang hairan.

“Sebabnya... kad dan juga bunga awak tu dah selamat dibakulsampahkan. Inalillah.”

Terkejut Ikmal mendengar jawapan selamba dari Mia Sarah. Seakan tidak percaya pula pemberiannya dengan penuh kasih sayang diperlakukan sedemikian rupa. “Sampainya hati awak, takkan awak buang dekat dalam bakul sampah kot? Awak bergurau je kan?” soalnya yang masih lagi tidak mahu percaya.

“Tak ada masa saya nak bergurau dengan awaklah Encik Ikmal. Kalau awak tak nak percaya sudah, suka hatilah. Saya tak kisah,” kali ini Mia Sarah benar-benar angkat punggung. Malas dia nak tunggu lebih lama di situ. Dia mula bergerak menuju ke kelas. Kawan-kawan Mia Sarah turut bangun apabila Mia Sarah berlalu pergi.

“Awak!!!” panggil Ikmal tetapi panggilannya tidak bersahut. Tinggallah dia di situ keseorangan dengan perasaan kecewa yang mula menyapa. Apalah nasib badannya? Teruk sangatkah dirinya sehingga Mia Sarah tidak langsung mahu menerimanya. Sekurang-kurangnya berikanlah dia peluang untuk membuktikan rasa cinta dan sayangnya pada Mia Sarah. Ikmal bangun dan melangkah malas menuju ke kereta. 

***
“Wah Mia... aku tak sangka pula kau ada affair dengan mamat playboy tu? Bukan main ye, senyap-senyap je kau bercinta ye?” soal Linda tiba-tiba. Semasa di pondok tadi dia merasa curiga menyaksikan drama swasta yang sedang berlangsung antara Ikmal dan Mia Sarah. Bercerita pasal bungalah, pasal kadlah, yang dia sendiri tidak faham maksudnya. Sebelum pensyarah mereka datang lebih baik dia bersoal jawab dengan Mia Sarah.

“Kau ni merepek apa pula Lin? Macam mana pula kau kata aku ada affair dengan dia? Kau tengok aku layan dia macam mana? Macam pasangan kekasih ke?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh Mia Sarah. Sakit pula hatinya bila Linda menuduhnya begitu. Bila masa pula dia ada affair dengan Ikmal? Memandai je Linda ni.

“Habis tu yang dia cari kau tadi kenapa? Bukan ada apa-apa ke?” sampuk Hani pula.

Nak tak nak terpaksalah Mia Sarah menerangkan perkara yang sebenarnya. Dia tidak mahu sahabatnya terus-terusan bersalah sangka padanya. Kalau dia betul-betul ada hubungan dengan Ikmal, itu lain cerita. Dalam masa yang ringkas Mia Sarah menceritakan pada Linda dan Hani kedudukannya dan Ikmal. Mereka berdua mengangguk faham. Lelaki seperti Ikmal tu, biasalah... Kerjanya memang memancing gadis-gadis sebagai hiburan.

“Nasib baiklah kau tak layan dia kan Mia. Lelaki macam tu, aku pun tak ingin,” ujar Linda yang faham dengan keadaan Mia Sarah.

“Kalau kau tak ingin, aku ni lagilah tak ingin.” Tergelak mereka mendengar hujah dari Mia Sarah. Namun ketawa terpaksa dihentikan apabila Puan Murni telah memasuki dewan kuliah.

P/S : Tinta mengharapkan ada yang sudi komen ye. Sebabnya semangat menulis tinta ni dah merudum gara2 mss ASKB yg corrupted aritu.. Kalau tak ada komen, mmg lambatlah nk menaip. Sebab tak ada semangat. Huhu... Mengada-ngada pula tinta ni ye.. 
 

Safi Rania Gold



Apa produk penjagaan muka yang anda pakai sekarang? Sekarang ni ada macam-macam jenis produk di pasaran. Nak bagi kulit cerah, gebu, halus dan mulus semua ada. Tinggal kita sebagai pengguna yang kena bijak memilih. Sebabnya kebanyakan produk yang ada di pasaran mengandungi bahan kimia yang merbahaya pada kulit. Contoh bahan kimia yang merbahaya ialah propylene glycol, hydrokuinon serta bahan kimia yang ada perkataan paraben di belakangnya dan banyak lagi sebenarnya. Kebanyakannya bertindak menghakis dan ada yang menyebabkan kanser kulit. So hati-hatilah. 

Sebelum ni tinta tak adalah kisah sangat dengan penjagaan kulit muka ni. Tinta cuma guna gel pembersih safi rania gold dan krim kecantikannya sebagai foundation. Tapi sejak kebelakangan ni, kulit muka berminyak giler. Dah basuh muka pun, tak lama lepas tu mesti ada minyak. Berkilat-kilat hidung. Kalau guna oil control film tu, satu piece mesti penuh dengan minyak. Dahsyat giler. So, cari punya cari rupanya ia berpunca dari pemakaian krim kecantikan tu. Muka tak tahan kot. 

So aritu pergilah Watson. Konon nak pergi cari scrub safi rania gold, alih-alih beli dengan pembersih wajah, serum, pelembap malam dan juga krim bb spf30pa. Krim bb ni produk baru, sebagai foundation sebab ramai yang cakap krim kecantikan tu berminyak. Jadi maknanya betullah kulit tinta ni berminyak sebab pakai krim kecantikan tu. 

Tinta paling suka pakai pelembap malam. Tak berminyak, muka pun nampak segar je. Bila seminggu dah pakai, nampak macam serasi je so tinta beli pula pelembap siang, toner dan krim kontur mata. Lengkap semua satu set. Tapi barang-barang ni tak ada dekat gambar di atas tu. Tapi bila apply semua dekat muka, tiba-tiba je naik jerawat halus. Masa tu tak hairan sangat, terus juga pakai. Tapi bila encik hubby tegur, so tinta pun mulalah naik risau. Pelik, sebab sebelum ni okey je. Jadi tinta punya kajian sendiri, ada produk safi rania gold ni yang tak serasi dengan kulit tinta. Jadi tinta buat keputusan stop pemakaian pelembap siang dan toner. Lepas tu okey, jerawat tak naik dah. Sekarang ni tak pakai dah pelembap siang tu. Toner pun pakai dekat buah pipi je, yang ada liang roma terbuka tu. 

Krim kontur mata pun best pakainya. Sebab lebam-lebam di bawah mata tu berkurangan sedikit. 

Sebenarnya produk skincare ni bergantung pada keserasian kulit seseorang. Ada sesetengah orang kulit dia boleh tahan, ada sesetengah orang pula kulitnya tak tahan. Bila pakai je naik jerawat berkepuk-kepuk. Mahal atau murah produk kecantikan tu pun kadang-kadang bukan menjadi ukuran. Kadang-kadang produk yang mahal-mahal ni, lagilah penggunaan bahan kimianya tinggi. Bila kesan perubahannya begitu cepat, maknanya memang menggunakan bahan kimia dalam proses pembuatannya. Produk murah-murah pun ada juga yang menggunakan bahan kimia terlarang ni. 

Apa yang penting, sebelum beli produk skincare tu belek-beleklah dekat isi kandungannya. Make sure kita ingat satu dua jenis bahan kimia yang merbahaya. Untuk kesenangan kita juga. Takkan kita hendak menjadikan wajah kita sebagai mangsa kecantikan. Adoilah, apa bendalah yang tinta merepek ni.

P/s : sejak akhir-akhir ni rajin pula update blog, tapi bukannya pasal penulisan. Merapu je yg banyak. So minta maaflah pada mereka yang mengharapkan entri penulisan tinta. Blog tinta ni bukan sekadar blog penulisan sahaja ye.. Please inform.


Tuesday, March 12, 2013

Keseronokan Tinggal Di Rumah Sendiri


Pejam celik, pejam celik, rupa-rupanya dah hampir 5 bulan tinta tinggal di Bandar Baru Salak Tinggi ni. Rumah semi-d corner lot yang dibeli bersama dengan hubby. Pindah masuk rumah dalam awal bulan 10 tahun lepas. Time tinta tengah cuti sakit sebab accident aritu. Memang bebeza antara tinggal di rumah sendiri dan juga menyewa ni. Suasananya rasa lain sangat. Masa baru-baru pindah dulu, wah... asyik belek Majalah Impiana je..


Tinta suka tinggal dekat sini sebab suasana kampungnya memang terasa. Nak masuk kawasan perumahan ni memang akan melalui kawasan kampung iaitu Kampung Labu Lanjut. Bangun pagi-pagi tu rasa sejuk je. Nak pula kalau ronda-ronda naik motor sekeliling kampung, best betul.  Dah tu tiap-tiap pagi mesti nampak monyet bergayut-gayut dekat atas pokok dekat belakang rumah. Tapi sekarang monyet tu dah kurang sebab perhilitan dah tangkap. Kapal terbang boleh tengok dengan jelas dari rumah tinta ni sebab dekat dengan KLIA dan merupakan laluan kapal terbang berlepas. Nampak besar-besar je. Kalau nak pergi Nilai 3 tu dalam 20 minit dah sampai.

Anak-anak baru balik dari taman

Ramai member ofis tanya kenapa tak duduk kuarters je ataupun beli rumah dekat-dekat Putrajaya je. Oh, tak naklah. Dulu masa menyewa, memang duduk dekat dengan Putrajaya. Nak duduk kuarters, lagilah tak nak. Dah lah kerja dekat Putrajaya, nak tinggal dekat sana pula..  Tapi tinta puas hati dengan rumah yang dibeli ni. Designnya pun menarik dengan keluasannya agak selesa. Susah juga nak jumpa rumah semi d dekat sini. Kebanyakannya teres setingkat atau dua tingkat. Lagi satu, rumah di sini adalah rezab Melayu. So... semua jiran-jiran adalah bangsa Melayu.

Rumah hampir siap sepenuhnya.
Pada sesiapa yang ada niat nak beli rumah tu, belilah dari sekarang. Jangan teragak-agak nak beli. Bukannya apa, harga rumah semakin hari semakin meningkat. Nanti kita yang rugi. Rumah tinta ni pun, kalau beli sekarang, memang tinta tak mampu nak beli. Lagipun rumah adalah aset. Kalau kita tak nak duduk pun boleh sewa dekat orang lain. 

Proses memasang rumput.


Aku Suka Kau Benci Bab 5 - Part 1

Liza mengetuk pintu bilik Mia Sarah bertalu-talu. Ke mana pulalah Mia Sarah ni pergi? Dah naik kematu tangannya mengetuk pintu sedari tadi namun masih tidak ada jawapan. Dia membelek jambangan mawar merah yang berada di tangan. Cantik sekali. Bunga hidup pula tu, mesti mahal ni. Hadiah yang pasti akan menggembirakan Mia Sarah, fikirnya.

“Mia... oh Mia,” sambil itu mulutnya tidak henti-henti memanggil nama Mia Sarah. Tidak sabar
dia hendak menyampaikan hadiah tersebut pada sahabatnya.

“Hah!!!” sergah Mia Sarah dari belakang. Dari tadi dia terhendap-hendap melihat gelagat Liza. Dia baru sahaja balik dari menyidai pakaian di tingkat bawah. Biasanya hari minggu macam nilah dia mula melakukan operasi mencuci. Memang banyak. Satu trip sahaja sudah penuh penyidai. Kalau hari-hari biasa Mia Sarah malas sedikit hendak mendobi. Kebanyakan kawan-kawannya menghantar ke dobi segera yang mudah dan tidak memenatkan. Cuma masuk duit dan serbuk pencuci sahaja, semuanya ditanggung beres.

“Opocot mak kau!!!” latah Liza membuatkan Mia Sarah tidak dapat menahan gelak. Muka Liza yang melatah itu dah sebiji macam Nenek Timah, cumanya Nenek Timah tidak melatah saja walaupun dah tua.

“Kau ni Mia, buat terkejutkan aku je lah. Nasib baik aku tak ada sakit jantung, kalau tidak sekarang juga aku kojol. Terpaksalah kau kehilangan sahabat yang baik hati macam aku ni,” ujar Liza sambil mengurut perlahan dadanya. Getaran yang kuat akibat kejutan tadi baru sahaja hendak beransur pulih. Memang tak patut betullah Mia ni.

“Tapi kau tak ada sakit jantung kan... Sebab tu lah aku kejutkan kau. Kalau tak, aku pun tak berani,” jelas Mia Sarah sambil tergelak lagi. Alah, nak bergurau sikit, tak kan marah kot. Sportinglah sikit Cik Liza oii.
“Ha... ada apa kau datang cari aku pagi-pagi buta ni?” sambung Mia Sarah lagi. Setahunya, kalau waktu cuti macam ni, jangan haraplah dia nak lihat Liza tercongok di muka pintu. Biasanya waktu petang baru mereka akan bersua muka.

“Ala kau ni, tak boleh ke aku datang nak melawat sahabat baik aku ni? Aku nak tengok juga, dia ni sihat ke tak? Lagi satu, kot ye pun... kau ajaklah aku masuk dalam dulu. Hidang secawan dua kopi ke, jamu nasi goreng kampung ke. Perut aku lapar dan dahaga ni.”

“Banyaklah kau punya kopi dengan nasi goreng kampung tu. Kau ingat bilik aku ni kedai mamak yang buka 24 jam ke? Air mineral adalah. Kalau nak jom masuk,” balas Mia Sarah sambil memasukkan anak kunci ke tombol pintu. Kemudian tombol tersebut dipulas. Dia melangkah masuk sambil diekori oleh Liza.

“Air mineral pun air minerallah,” ujar Liza dengan sengihan lebar. Sempat dia menjeling melihat katil kosong di sebelah katil Mia Sarah. Laju sahaja mulutnya melontar soalan. “Roomate kau mana Mia?”

“Dia... biasalah kalau hujung minggu macam ni. Keluar datinglah, mana lagi dia nak pergi,” balas Mia Sarah acuh tak acuh. Malas dia nak menjawab lebih-lebih. Lokernya dibuka, botol air mineral yang disimpan di dalamnya diambil dan dihulurkan pada Liza. Pelik pula dia melihat Liza datang dengan jambangan bunga di tangan. Pakwe mana pulalah yang menghadiahkannya?

“Terima kasih Mia. Aku memang dahaga betul ni. Tekak aku ni kering sangat dah aku rasa. Kalau tak dapat setitis air, memang aku boleh mati...” ujar Liza bersungguh. Penutup botol mineral dibuka. Air di dalamnya diteguk dengan penuh bersemangat sekali. Cepat sahaja air yang terdapat dalam botol mineral 500ml itu tinggal sedikit. Memang dahaga sangat-sangatlah tu.

“Melampaulah tu,” ejek Mia Sarah. “Ha... kau ni sebenarnya dari mana? Tu... kau tak cakap dekat aku pun yang kau ada pakwe. Siap bagi bunga lagi tu.”

“Bunga ni?” soal Liza sambil menghulurkan jambangan mawar merah tersebut pada Mia Sarah yang dah salah faham. “Bunga ni untuk kaulah. Bukannya untuk aku. Manalah ada orang nak bagi bunga pada aku yang buruk ni,” Liza melawak.

“Untuk aku? Siapa yang bagi?” soalnya ingin tahu. Seumur hidupnya belum pernah ada orang menghadiahkan dia bunga. Lagipun dia memang tidak berminat dengan bunga ni.

“Siapa lagi... orang yang minat dekat kaulah. Apa nama dia... Ikmal kalau tak silap aku. Pagi tadi aku tengah joging dekat tasik varsiti, tiba-tiba je dia datang minta tolong aku sampaikan bunga tu pada kau. Pelik juga aku, macam mana dia tau aku ada dekat situ? Siap datang dengan sejambak bunga pula tu. Agaknya dia memang dah standby beli bunga awal-awal kot. Tapi bunga ni masih segar aku tengok. Hmmm...” keluh Liza yang tidak menemui jawapan pada persoalannya tadi.

“Dah lah, tak payah nak pening-pening kepala. Dia standby ke, tak standby ke... alamatnya bunga ni dekat tong sampahlah nanti.”

“Eh... tak kan nak buang pula. Tu kan ada kad kecil dekat bunga tu. Bacalah, aku nak dengar,” suruh Liza yang kelihatan tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan kad kecil yang turut terselit di jambangan tersebut. Dia pula yang teruja lebih sedangkan Mia Sarah biasa-biasa sahaja.

“Kau nak tau sangat isinya kan. Okey, aku baca.” Mia Sarah mula membelek kad berwarna ungu lembut itu. Ayat-ayat yang tertera dibaca satu persatu dengan gaya romantis.

My lovely sweetie..
Percaya atau tidak, aku telah jatuh hati padamu.
Siang malam diri ini berada dalam kerinduan.
Tidak sanggup rasanya berada jauh dari dirimu.
Sudikah kau menjadi kekasih hatiku?

“Wah... romantik gila. Sukanya aku dengar. Mesti kau suka kan, ada orang minat dekat kaulah Mia. Bestlah kau. So apa jawapan kau? Sudi ke tak sudi? Kalau akulah Mia, aku sudi je,” ujar Liza sambil menyeringai. Sempat dia membayangkan dirinya berada di tempat Mia Sarah. Pasti seronok.

“Kau ni... Suka sangatlah tu ye. Tapi aku sikitpun tak suka. Buaya darat ni Liza. Nanti kalau aku beri hati aku pada dia, tak pasal-pasal dia ngap aku. Lagipun kau tau kan... aku malas nak fikir pasal cinta ni,” sambil menoleh ke arah Liza, Mia Sarah membaling jambangan mawar tersebut ke bakul sampah yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya. Mia Sarah memang pembaling terbaik apabila bunga tersebut selamat masuk ke dalam bakul sampah.

“Mia... Jangan buang....” tak sempat Liza menghalang tindakan Mia Sarah yang drastik. Kepalanya digeleng perlahan. Sampainya hati Mia Sarah memperlakukan hadiah yang diberi oleh Ikmal. Mia Sarah memang tak pandai nak menghargai pemberian orang. Kalaulah dirinya yang menerima hadiah tersebut, akan dijaganya dengan sepenuh hati. Walaupun bunga itu sudah kering layu, akan disimpannya sebagai kenangan yang terindah. 



P/S :- Kembali mencari semangat menulis yang hilang.... 

Sunday, March 10, 2013

Jom Cuba Kolagen Rumpai Laut..

Rumpai laut warna ungu


As salam... dan selamat pagi...

Pernah tak anda semua mendengar tentang kolagen rumpai laut. Tinta tak pasti samada fenomena kolagen rumpai laut ni dah lama ataupun baru tapi yang pasti tinta baru je tahu pasal itu. 

Rasa-rasanya semua tahu yang kolagen ni amat penting untuk tubuh kita. Sebab itulah banyak produk sekarang yang mengandungi kolagen. Kolagen merupakan sejenis protein yang sangat diperlukan oleh tubuh badan untuk memelihara keremajaan dan keanjalan kulit. Secara semulajadi, terdapat lebih kurang 30% kolagen di dalam tubuh badan kita dan ia terdapat dalam kulit, tulang dan juga gigi. Semakin usia meningkat, kolagen di dalam badan kita pun semakin berkurangan. Sebab itulah, perlu untuk kita mengambil produk yang berasaskan kolagen ini. 

Sekarang ni banyak pilihan samada kita nak ambil kolagen yang telah diekstrak ataupun yang asli. Kalau yang dah diekstrak tu harganya lebih mahal sikit berbanding yang asli ni. 

Disebabkan untuk menjaga kesihatan so, tinta try lah kolagen rumpai laut ni. Ia turut dipanggil PMC (Pure Marine Colagen). Baru semalam tinta cuba. Baru sangat-sangat, so tak boleh nak buat testimoni lagi. Tengoklah kalau rajin nanti, sebulan lepas guna tinta akan buat testimoni. 

Tinta guna rumpai laut yang warna ungu macam gambar di atas. Rumpai laut warna kuning pun ada juga. Masa mula-mula dapat tu, tinta rasa macam sikit sangat 100 gm tu. Cukup ke sampai 3-4 minggu ni? Sebab kalau nak diikutkan 100 gm tu penggunaannya dalam 3-4 minggu tapi lepas dah rebus tu, memang banyak. 

Penyediaannya agak rumit sikit. Mula2 kita kena basuh rumpai laut tu 5 hingga 6 kali. Macam kita basuh beras tu. Tujuannya adalah untuk membuang kemasinan garam laut  yang terdapat pada rumpai laut berkenaan. Maklumlah, rumpai laut ni hidupnya di dalam laut. 

Lepas dah basuh bersih-bersih tu kita rendam semalaman, dalam tempoh lebih kurang 8 jam. Nanti dia akan kembang sikitlah. Lepas dah direndam semalaman, kita basuh semula 5 hingga 6 kali. Kemudian rebus dalam air 2.5liter dalam tempoh lebih kurang  20 ke 25 minit. Masa rumpai laut ni tengah mendidihlah akan terserlah bau yang kurang enak. Hihi..  Macam mana nak cakap bau dia ek, macam bau dekat tali air pun ada. Huhu.. Setengah orang tak boleh nak telan rumpai laut ni disebabkan bau dialah. Tapi pada tinta, bau dia tak adalah kuat sangat berbanding dengan pati ikan haruan yang hubby tinta beli time tinta accident aritu. Sampai sekarang tak makan-makan. Huhu. 

Semasa mendidih boleh juga kalau kita nak campurkan dengan gula batu. Tinta tak campur dengan apa-apa pun sebab tinta nak gunakan sebagai masker juga. Ni kes malas nak mengasingkan yang bergula dengan yang tak bergula lah ni. Hihi. Lepas dah siap rebus, biarkan sejuk dan simpan dalam peti sejuk, bukan di bahagian beku dingin tu ye. 

Kolagen yang dah siap direbus. 






Okey, PMC ni diambil selepas bangun tidur dan sebelum tidur. Pastikan perut kita kosong masa tu. Ia boleh dimakan begitu saja. Tapi tinta tak makan macam tulah. Tinta campurkan dengan air kordial ataupun apa-apa air kegemaran. Ada juga yang bancuh bersama dengan air suam dan madu. 

Rasanya... pada tinta dia tak ada rasa sangat. Macam kita makan jeli dan lengkong. Pada tinta, rasanya ... tahap boleh telan.. So pada sesiapa yang nak mencuba PMC ni, cubalah sebab ia baik untuk kesihatan. Nantilah, next entri tinta akan cerita pasal khasiat dia.. Selamat mencuba..

Thursday, March 7, 2013

Jodoh Di Astro Ria



Entah kenapa, tinta suka  tengok drama Jodoh ni.. Bukan tinta je, anak-anak pun suka tengok.. So, setiap malam hari Isnin pukul 9 malam pasti standby dekat depan tv.. Nak tengok Jodoh punya pasal. Paling suka tengok gelagat Scha kat dalam drama tu. 

Cerita jodoh ni lebih kurang macam program realitilah. Azlan ni nak cari jodoh melalui program tersebut. Dalam ramai-ramai peserta tu cuma seorang saja yang tak suka atau tak teruja sangat dengan Si Azlan ni iaitu Olly. Peserta yang lain, Ya Allah memang taksub gila. Macam nak gilalah tengok Si Azlan tu. Macam biasalah dalam program tu akan ada aktiviti yang diorang kena buat. Macam yang lepas-lepas, kena menyanyilah, memasaklah. Lepas tu akan ada penyingkiran. Kalau nak tau lebih lanjut, baca sinopsis kat bawah ni.. Lagi satu jangan lupa tengok cerita ni okey..

SINOPSIS

Jodoh megisahkan seorang jejaka bujang bernama Azlan yang kacak tekad ingin mencari cinta melalui sebuah program mencari cinta dan jodoh yang diberi nama ‘Jodoh’. Azlan telah memberanikan diri dengan menyertai program tersebut demi mencapai hasrat beliau mencari jodoh yang bersesuaian dengan dirinya.
Di dalam program tersebut, Azlan dikehendaki untuk memilih seorang teman wanita daripada 10 orang peserta wanita sebagai calon jodohnya di mana mereka harus melalui proses penyingkiran setiap minggu.
Ketika berada di program tersebut, Azlan sangat terpikat dengan seorang wanita bernama Katya, akan tetapi disebabkan undian oleh para penonton dan peminat, Olly menjadi pilihan yang sesuai buat Azlan berbanding dengan Katya.
Oleh yang demikian, Azlan dipaksa oleh pihak produksi program untuk tidak menyingkirkan Olly dari program Jodoh dan ini menyebabkan kedua-dua mereka terjebak dalam situasi yang sangat lucu kerana mereka berdua tidak menyukai antara satu sama lain.
Apakah yang akan berlaku kepada mereka berdua ketika sesi program Jodoh dijalankan? Bagaimana Olly boleh menyertai program Jodoh dan apakah tujuan Olly menyertai program Jodoh?


Wednesday, March 6, 2013

Bukan Lupa Tetapi Tak Ingat


As salam.... Hai....
Lamanya tak update blog ni... Bersawang teruk dah ni.. Ada sesiapa nak tolong buangkan sawangnya.. Hihi

Hari ni tergerak hati pula rasa nak update blog.. TAPI... bukan nak cerita pasal novel or cerpen atau apa saja yang berkaitan dengan penulisan..

Serius... sejak manuskrip ASKB aritu corrupted, mood nak menulis memang jatuh merudum.. Teruk giler...  Memang kena kuat semangat betul2 untuk kembali menulis..

So tiada paksaan untuk anda membaca entri ni.. Hihi...

Saje je nak mencari tempat untuk berceloteh..

Arini nak update pasal apa yang selalu terjadi pada diri tinta...


Apa beza antara lupa dan tak ingat ye? Rasa macam 2 benda yang hampir sama.. Ataupun pelupa ni sering dikaitkan dengan golongan tua yang mengidap penyakit alzhemir tu..

Tapi apa pun kisahnya, sejak akhir-akhir ni tinta memang selalu sangat lupa.. Kadang-kadang terlupa letak kunci rumah dekat mana, padahal baru 5 minit kita pegang kunci... Aritu nak pergi kerja, selamba badak jer naik motor dengan hubby. Sampai separuh jalan, baru teringat.. Ya Allah... aku tak pakai helmet rupanya.. So terpaksalah berpatah balik ke rumah...

Serius atau tidak, tetapi penyakit lupa ni hari-hari menyerang diri tinta dan ianya amat-amat mengganggu tugas-tugas seharian. Kadang-kadang terfikir juga apa puncanya... Tinta banyak makan semut ke? Huhu...

Tapi yang pasti semuanya jadi lepas tinta accident aritu... Maybe ada gegar dekat kepala otak kot... Tapi dah scan kat kepala, tak ada apa masalah..

So sajalah menggatal tangan search kat internet pasal pelupa ni... Jumpalah 7 penyebab anda menjadi lupa... Antaranya :-

1) Rehat yang kurang   
Otak akan sihat jika kita dapat tidur yang mencukupi. Hasil kajian mengatakan seseorang yang tidur 6 jam sehari mungkin merasa cukup tidur tetapi bila dijalankan ujian memori mereka sukar untuk mengingat.
 Komen :- Maybe betul, sebab tinta memang tak dapat rehat yang cukup... Nak rehat macam mana, kalau anak malam-malam asyik meragam..
 
2) Berdengkur

Berdengkur adalah disebabkan pernafasan terganggu ketika tidur. Disebabkan itu, oksigen sukar untuk sampai ke otak selama beberapa saat. Ini dapat menyebabkan sel-sel otak ‘kelaparan’ sekaligus akan melemahkan daya ingatan.
Kajian mengatakan majoriti yang berdengkur adalah lelaki. Faktor lain penyebab berdengkur adalah kenaikan berat badan dan berusia lebih dari 40 tahun.
 Komen :- Tak pasti pula, sebab tengah tidur. Mana nak sedar. Tapi rasa-rasanya macam tak berdengkur je time tidur tu... hihi
 
 3) Umur lebih dari 65 tahun
  Pada usia ini, badan akan mengalami kesukaran untuk menyerap vitamin B12 dari makanan. Kekurangan vitamin ini dapat melumpuhkan daya ingatan seseorang (alzheimer). Oleh itu, bagi yang usianya telah mencapai 65 tahun, cari cara untuk meningkatkan kadar vitamin B12 ini seperti mengambil suplement
Komen :- Okey, ini dah terang-terang tidak.. Umur tinta baru awal 30an je ni... 
 
4) Depression (Kemurungan)
 
Sel-sel otak seseorang yang mengalami depression ini mungkin akan terganggu. Malah jika depression yang di alami serius ia akan membunuh sel-sel otak sehingga melumpuhkan daya ingatan.
 Komen :- Oh my god... Teruknya.. Tapi tak pasti pula tinta ni pernah murung ke... Maybe sekali sekala je kot.. Huhu..
 
5) Mangambil pil tidur dan pil alergi
 
Ubat ini adalah untuk mengatasi masalah alergi dan tidur terganggu. Ubat ini juga boleh menyebabkan fungsi otak terganggu. Jadi, sebelum mengambil ubat ini anda haruslah mendapat nasihat dari doktor supaya daya ingatan tidak turut terganggu.
 Komen :- Tak pernah langsung ambil pil tidur dan pil alergi ni.
 
6) Kadar gula dalam darah tinggi
 
Kadar gula yang tinggi dalam darah menyebabkan penyimpanan memori terganggu. Anda dapat mengawal penyakit ini dengan selalu melakukan ujian darah untuk mengetahui kandungan gula dalam darah. Selain itu rajinlah anda bersenaman. Cegah lebih bagus dari berubat.
 Komen :- Rasanya kadar gula dalam darah tinta di paras yang rendah.. Kalau ikut test masa pregnant dululah.. Sekarang tak tahulah pula.. 
 
7) Penurunan metabolisme
 
Anda mungkin mengalami masalah tiroid jika metabolisme badan anda menurun. Hormon tiroid ini mengawal metabolisme tubuh. Produksinya yang terlampau lebih ataupun kurang menyebabkan sel-sel otak terganggu sekaligus memperlahankan informasi yang hendak disampaikan kepada otak.
Komen : Yang ini tak pasti... Rasa-rasanya tak kot..
 
Hmmm... Apa pun, tinta harap sangat-sangat agar pelupa tinta ni dapat hilang dengan kadar yang segera. Susah weh, jadi orang pelupa ni.. Penat kepala otak nak mengingat semula.. Agak-agak ada tak sesiapa yang tahu cara-cara nak hilangkan atau kurangkan pelupa ni? Kalau ada bolehlah share2 ye.. Okey tada...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...