Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, November 29, 2012

Aku Suka Kau Benci - Bab 1 - Part 1



Liza merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke pukul 8.30 pagi. Dia semakin gelisah menanti. Hari ini masuk hari ke 3 pelajar tahun 1 Kolej Empat di Universiti Malaya menjalani haluansiswa. Semalam saja ramai yang telah dikenakan denda kerana datang lewat. Mungkinkah hari ini dia turut didenda sama? Oh... tidak. Tak sanggup rasanya dia dimalukan di hadapan khalayak ramai. Pintu bilik tandas diketuk beberapa kali. Mia Sarah perlu diminta supaya cepat menyelesaikan misinya.

“Mia!!! Cepatlah... Kau buat apa lama-lama dekat dalam tu? Dah pukul 8.30 lah. Nanti kita lambat.


“Alah... Perut aku tengah meragam ni. Dari tadi tak lepas-lepas. Tak apalah, kau pergilah dulu. Aku rasa aku lambat lagi ni.”

“Biar betul kau ni. Dah berapa hari kau tak melabur dekat amanah saham ni? Sekali melabur sampai berjam-jam. Eh... aku pergi dululah ye. Aku takut kena marahlah.”

“Okey tak pe. Kau pergilah dulu,” Mia Sarah terpaksa merelakan pemergian Liza. Dia pun tidak mahu disebabkan dirinya, Liza akan dimarahi. Tapi agak-agaklah Liza pun, tak adalah sampai berjam-jam dia bertapa di dalam ruang sempit ini. Ikutkan hati dia pun mahu cepat sampai ke dewan, tetapi entah kenapa perutnya asyik meragam sahaja. Mungkin dia ada tersilap makan rasanya.

***

Mia Sarah mula mengatur langkah menuju ke dewan. Termengah-mengah dia menuruni anak tangga memandangkan biliknya berada di tingkat 3. Sudahlah tangganya kelihatan berpusing seperti bulatan. Naik pening sudah kepalanya kerana menuruni tangga dengan laju. Sampai sahaja di dewan suasana seakan sunyi. Seorang pun tidak berada dalam dewan.

“Eh... Mana semua orang pergi ni?” timbul nada cemas di hatinya. Dia terus berjalan perlahan menuju ke ruang lobi. Masih juga tidak ada orang. Pelik dan hairan dia memikirkannya. Keadaan sunyi sepi seperti Melaka dilanggar todak. Tiba-tiba dia terdengar suara gelak tawa yang tidak berapa kuat. Serta-merta bulu romanya terpacak 90 darjah.

'Manusia ke orang tu?'

Mia Sarah memberanikan diri menuju ke arah suara tersebut. Perasaan ingin tahu menyebabkan kakinya dibawa menuju ke bilik tayangan yang terdapat berdekatan dengan lobi. Semakin dia sampai ke bilik tayangan semakin hilai tawa itu jelas kedengaran. Terlopong mulutnya menyaksikan apa yang terbentang di ruangan matanya. Sepasang kekasih yang sedang hangat memadu kasih. Lelaki itu sedang memeluk erat pasangannya dan begitu juga dengan pasangan tersebut.

Mia Sarah mengucap dalam hati. Biar betul apa yang disaksikannya sekarang ini. Seakan-akan tidak percaya pula. Sudahlah berani melakukan maksiat di tempat terbuka. Memanglah tidak ada orang tetapi ada yang maha melihat. Mia Sarah ingin berlalu. Dia tidak sanggup menonton wayang percuma tersebut. Sementelah pula pasangan yang sedang hangat bercinta itu tidak menyedari kehadirannya.

“Arghh!!!” terkejut Mia Sarah melihat seekor monyet yang tiba-tiba cuba menghampirinya. Memang di kampus Universiti Malaya ini terlalu banyak monyet. Nama sahaja di Kuala Lumpur tapi terasa seperti di zoo pun ada. Jeritannya tadi turut mengejutkan pasangan kekasih tersebut. Ikmal yang panik dan terkejut terus bertindak menghalau monyet yang kelihatan ingin mengganas. Hairan pula Mia Sarah dengan gelagat monyet tersebut. Jika berhadapan dengan kaum perempuan bukan main berani lagi, sampai tak cukup tanah kita dikejarnya, tetapi kalau dengan lelaki, sekali sergah terus cabut.

“Apa kau buat dekat sini?” soal Ikmal dengan nada kasar. Dia tidak menyangka masih ada lagi siswi yang tertinggal di kolej. Sepatutnya gadis ayu yang berada di hadapannya ini sudah bersama-sama dengan rakan-rakannya berjoging mengelilingi satu universiti. Wajah Mia Sarah yang kelihatan pucat dipandang geram. Malu pun ada dengan tingkah lakunya tadi. Harap-harap gadis itu tidak berfikir yang bukan-bukan. Tetapi bolehkah dia tidak berfikir yang bukan-bukan sedangkan keadaannya dan pasangannya tadi memang mencurigakan.

“Err... Saya terlambat turun tadi. Bila saya turun saya tengok semua orang dah tak ada,” Mia Sarah gugup. Seram melihat jelingan maut lelaki itu.

Ikmal masih merenung tajam ke arah gadis tersebut. Ina yang berada di sebelahnya tadi telah disuruh pergi. Ikmal mendekat ke arah Mia Sarah. Wajah Mia Sarah pucat. Semakin Ikmal cuba mendekat, semakin dia terdorong ke belakang sehinggalah lengannya direntap kasar oleh Ikmal.

“Kau nampak tak apa yang aku buat tadi?”

“Nampak.”

“Apa?!!!”

“Err... tak... tak nampak.”

“Bagus... bagus... Kau anggaplah apa yang berlaku tadi tak pernah berlaku. Kau juga tak nampak apa-apa. Faham!!!”

“Err... faham,” Mia Sarah sudah terketar. Terasa jantungnya berdegup bagai nak gila. Tidak pernah dia mengalami perasaan takut seperti ini. Diugut oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Lengannya yang digenggam kasar terasa semakin perit. Kalaulah dia ada kuasa mahu sahaja disumpahnya lelaki ini menjadi katak yang hodoh. Tetapi bolehkah?

“Err... tolong lepaskan tangan saya. Sakitlah."

“Kalau aku tak nak lepaskan, kau nak buat apa?” Ikmal tersenyum nakal. Kedua-dua keningnya diangkat tinggi sambil mata kiri dikenyitkan beberapa kali. Cantik juga budak junior depan aku ni. Bermata bundar, beralis lentik, berhidung mancung dan yang paling dia tidak tahan melihat seulas bibir yang kecil lagi comel.

Mia Sarah semakin cuak. Kenapa pula lelaki ini tidak mahu melepaskannya? Lepas tu asyik kenyit-kenyit mata saja. Sudah macam orang sakit mata pun ada. “Lebih baik awak lepaskan saya. Kalau tidak...”

“Kalau tidak apa?”

“Kalau tidak saya jerit.”

Ikmal tergelak kuat. Sakit hati Mia Sarah melihatnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Ikmal dipandangnya dengan perasaan geram.

“Kau nak jerit... jeritlah. Tapi ada siapa yang nak dengar ke? Sekarang di kolej ini semuanya kosong. Mereka semua pergi berjoging mengelilingi varsiti. Kalau kau nak jerit sampai keluar anak tekak pun tak akan ada siapa yang nak datang tolong. Kalau kau menjerit pun aku takkan lepaskan kau.”

“Kenapa?”

“Sebab... sebab aku nak kau jadi milik aku.”

“Gila...” desis Mia Sarah. Memang lelaki di hadapannya ini sudah gila agaknya. Dia malas tunggu lebih lama. Direntap kuat lengannya walaupun terasa perit. Kemudian dia terus berlari pecut meninggalkan lelaki itu keseorangan. Sempat dia menoleh ke belakang melihat lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Memang sah dah gila. Minta-minta selepas ini dia tidak akan berjumpa dengan lelaki gila itu lagi. 





Wednesday, November 28, 2012

Aku Suka Kau Benci - Prolog



Angin di luar rumah bertiup cukup kuat. Hujan yang tadinya hanya rintik-rintik bertukar menjadi titisan kasar. Dari luar rumah kampung yang kelihatan usang itu kedengaran tangisan seorang wanita yang sedang kecewa. Tangisan yang kuat sehingga dapat mengatasi bunyi guruh yang kedengaran.

“Abang!!! Tolonglah jangan buat Bedah macam ni. Sampai hati abang. Disebabkan perempuan yang tak tahu malu tu abang sanggup nak tinggalkan Bedah.” Mak Bedah masih tidak berputus asa. Dia tetap cuba sedaya upayanya untuk memujuk Pak Hassan supaya tidak menceraikannya. Mana mungkin dia sanggup bermadu dengan janda muda dari hujung kampung seberang yang menjadi kegilaan suaminya itu. Kedua-dua kaki Pak Hassan dipaut erat sambil menangisi nasib dirinya.


“Abang bukan nak tinggalkan Bedah, tapi Bedah faham kan masalah abang. Abang terpaksa berkahwin dengan Mona sebab abang dah kena tangkap basah. Jadi abang minta Bedah cuba terima kehadiran Mona seadanya. Dia perempuan yang baik.”


“Baik apanya perempuan macam tu. Kalau dia perempuan yang baik, dia takkan main cinta dengan suami orang. Kalau dia perempuan yang baik, dia takkan ajak abang datang ke rumah dia sampai kena tangkap basah. Entah-entah dia sendiri yang perangkap abang. Abang pun satu, tak cukup-cukup dengan bini dekat rumah. Menggatal pula dengan janda muda tu buat apa?” Mak Bedah menghamburkan segala kemarahannya. Kesedihan dan tangisannya tadi menghilang ditelan perasaan marah yang menggunung. Kaki Pak Hassan yang dipaut erat dilepaskan serta merta. Nafas kasar dihembus laju dari saluran pernafasannya.


“Jadi... Bedah memang tak dapat nak terima dia ke?” soal Pak Hassan dalam keadaan gusar. Dia sayangkan Mak Bedah tetapi dia juga sayangkan Mona. Janda muda yang masih bergetah. Dia tahu dia yang bersalah dalam hal ini namun dia tidak dapat membohongi perasaannya.


Mak Bedah tarik muka kelat. Memang dia tidak boleh terima situasi tersebut, takkanlah suaminya tak faham-faham lagi. Isteri mana yang rela jika suaminya berkahwin lain. Kalau ada yang rela pun belum tentu dengan seikhlas hati.


“Kalau abang dah tak sayangkan saya lagi, abang ceraikan saya. Saya sanggup jadi janda daripada hidup bermadu. Mungkin dah takdir hidup saya macam ni,” walaupun berat hati namun Mak Bedah terpaksa mengungkapkan kata-kata keramat tersebut. Biarlah dia hidup menjanda daripada hidup bersama madu yang mungkin akan menjadi racun dalam hidupnya nanti.


“Abang tak tahu nak cakap apa. Kalau itu keputusan Bedah, abang terpaksa terima dengan berat hati. Tapi cuma satu yang abang minta, Bedah tolong jaga anak kita sebaik mungkin. Anggaplah itu tanda peninggalan abang buat Bedah.”


“Kenapa abang tak bawa je anak abang tu. Suruhlah bini muda abang jaga dia. Dan tolong jangan cakap anak tu anak kita. Dia anak abang tau tak?” suara Mak Bedah semakin meninggi. Hatinya sudah tidak tahan menanggung marah dengan sikap tidak bertanggungjawab Pak Hassan.


“Terpulanglah apa yang Bedah nak cakapkan. Abang amanahkan dia pada Bedah. Tolong jaga dia baik-baik. Sayangi dia seadanya. Abang pergi dulu.”


Tanpa menoleh ke belakang Pak Hassan terus melangkah keluar dari rumah. Jerit pekik laungan Mak Bedah tidak dihiraukan. Tubuhnya yang kebasahan ditimpa dek hujan tidak dipedulikannya. Dia terus menghenyakkan tubuhnya ke atas kerusi Proton Saga buruk peninggalan arwah ayahnya. Dengan pantas dia menghidupkan enjin dan memecut laju. Itulah kali terakhir dia menjejakkan kaki ke Kampung Bahagia. Tidak mungkin dia akan menunjukkan muka di kampung tersebut lagi. 

 



***

p/s :- Pada yang pernah mengikuti cerita Aku Suka Kau Benci, Apa Kes? ..
       - Tajuk telah ditukar pada Aku Suka Kau Benci

       - Ada beberapa penambahan plot cerita dan sedikit rombakan.
        - Entri lama dalam ASKBAK akan didelete..
       - Untuk tidak memeningkan kepala, bacalah bab baru yang di post 
         semula.

Sunday, November 25, 2012

Perkembangan Aku Suka Kau Benci

As salam dan selamat pagi..

Apa khabar semua? Semoga semuanya sihat-sihat sahaja..

 Hari ni nak bercerita sikit tentang perkembangan novel Aku Suka Kau Benci.. Ada juga dapat mesej dalam blog yang tanya macam mana nak dapatkan novel ni. Actually ASKB belum lagi keluar versi cetak. Manuskrip pun baru je 60% siap. Wah... banyak lagi tu. Hari tu cuti sakit lama sangat, so memang tak menulis. Tinta cuba siapkan secepat yang mungkin sebab target nak terbitkan pada tahun depan. In sha Allah, kalau tiada aral melintang patah. Doa-doakanlah yea... Hihi..


Bagi yang pernah mengikuti ASKB samada di penulisan2u ataupun blog... dalam manuskrip ianya ada berbeza sedikit. Ada rombakan sedikit sebab bila tinta baca semula macam ada yang tak kena. Naratif tak banyak sangat. So... tinta edit semula untuk memantapkan lagi ASKB.. Nanti bila dah siap semua tinta akan hantar beberapa bab di p2u.. So kena baca dari awallah... Tak taulah ada lagi ke tidak pengikut ASKB ni.. Pada yang follow tenkiu banyak2... tapi minta maaf banyak2 sebab lambat keluar versi cetak.. 

Sunday, November 11, 2012

Pengalaman Berharga

Selamat Pagi.. Selamat Menyambut Hari Deepavali dan Awal Muharram yang akan datang. Di kesempatan ini ramai juga yang ambil cuti direct. Maklumlah, sehari kerja, lepas tu cuti, kerja semula lepas tu cuti balik. 

Minta maaf pada follower sebab dah berbulan-bulan tak update story kat sini. Keadaan tidak mengiizinkan. MC 3 bulan aritu. Accident motor. 

Kejadian berlaku hari Khamis, lagi 2 hari nak sambut Ramadhan. Masa bawa motor tu terbabas dan langgar divider. Saya melambung dan tertiarap atas tanah, motor pula entah ke mana. Lepas tu adalah akak2 tu tolong. Bawa pergi hospital. Time tu memang tak ingat apa. Blur... Otak jadi jem.. Pergi hospital Putrajaya, buat scan dan disahkan tulang bahu ada 3 keretakan. Tapi yang peliknya diorang suruh balik dan datang appointment lagi seminggu. Cuma bagi paint killer, ubat sapu dan tampal. Malam tu memang tak boleh tidur. Bahagian bahu dan belakang bengkak teruk. Hubby dah urut pun dia still bengkak lagi. Disebabkan tak tahan sakit sangat esoknya terus pergi ke hospital Serdang. Petang tu juga diorang simen, terus masuk wad. Duduklah beberapa hari dekat wad. 

Yang sedihnya, anak yang kecil dan nombor 3 terpaksa bawa balik ke kampung. Sebabnya dah tak boleh nak jaga.  Kesian dekat Izzul dan Rahman. Terima kasih banyak-banyak pada mak mertua dan ipar yang jaga anak2. Bukan senang nak jaga diorang, tambah2 yang kecil tu.

Stay dekat wad dalam 3 - 4 hari. Lepas tu datang balik ke hospital untuk buat operation masuk besi (Philos plate). Masa nak buat operation tu macam-macam perasaan ada. Rasa takut, berdebar-debar. Dah la sebelum tu tangan sebelah kanan untuk masuk air dicucuk beberapa kali oleh beberapa orang doktor. Alasannya, tak nampak urat. 8 cucuk semuanya, mahu tak pengsan. sakit yang amat. Doktor yang cucuk pun muda2, doktor pelatih ke? Huhu. Nak cucuk dekat tangan sebelah kiri memang tak bolehlah, sebab nak buat operation sebelah situ. So terpaksalah menanggung.. sampai dah seriau nak kena cucuk. Tangan sebelah kanan pun bengkak teruk. Dah lah sebelah kiri memang sakit dah, jadinya dua-dua tangan sakit.

Operation sepatutnya ambil masa 2 jam tapi Dr Nizlan terpaksa ambil masa hampir 4 jam. Dia cakap operation ni memang susah, sebabnya tulang dah bercantum sehingga peralatan yang dinamakan Mcdonald yang digunakan turut patah. Tengok,... besi pun boleh patah. Hampir 9 cm bahagian bahu ni ditoreh dan meninggalkan parut jahitan. Punyalah panjang. Besi yang dimasukkan tu pun panjang, hampir sejengkal ibu jari ke telunjuk. 

Lepas operation, susahnya nak gerak. Nak pakai baju pun susah. Semua hubby yang tolong. Terima kasih banyak-banyak. Sepanjang tempoh sakit tu memang susah nak tidur. Sebabnya bahagian bahu ni terasa sakit dan berat semacam. Masa dekat wad aritu time buat fisioterapi, otot dah mengecut. Tak boleh nak gerak.. Memang rasa macam orang cacat dah. Nak angkat tangan kiri ni memang tak boleh.

Sekarang ni alhamdulillah, keadaan dah stabil. Tapi otot kiri masih lagi kelihatan mengecut. Tangan kiri pun masih tak boleh angkat tegak ke atas. Kena buat fisioterapi banyak2. Bekas jahitan airitu pun masih terasa pedih lagi. 

Anak yang kecil masih lagi tinggal di kampung. Tak boleh nak dukung dia sangat, sebab tangan dah tak berapa nak kuat. Kesian kat Izzul. 

Sepanjang MC tu memang tak menulis langsung. Hanya baca novel orang lain je. Sekaranglah baru nak start semula. Itu pun rasa macam susah sangat, sebab dah lama tinggal menulis. Apa pun target nak siapkan manuskrip kedua Aku Suka Kau Benci. Target akan keluar versi cetak tahun depan. Insyaallah. Semoga dipermudahkan semuanya. Amin...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...