Yang Disayangi Selalu !!!

Sunday, January 25, 2015

E Book Kompilasi Karya Cinta

As salam dan selamat pagi..
Alhamdulilah, akhirnya e book Kompilasi Karya Cinta yang memuatkan cerpen dari 8 orang penulis Karya Seni dan Penulisan2u akhirnya siap juga..

So.. Pada sesiapa yang nak baca cerpen Jangan Panggil Aku Bedah! boleh beli ebook ini ye..
Membeli sambil beramal.. Kami tak kisah berapa jumlah sumbangan anda. Asalkan anda menyumbang, anda layak menerima e book ini.. 






Kompilasi ini memuatkan 8 buah cerpen daripada 8 orang penulis..
1. Jangan Panggil Aku Bedah! - Tinta Biru
2. Isteri Aku Weng! - Liz Haliza
3. Biarkan Aku Hidup (BAH) - Aliesha Kirana
4. Gadis Pasar Malam - Syima Syawal
5. Dia Pilihan Hati - S.N Hidayah Haron
6. Fatin Fareesa - Illa Shanahila
7. Zahir Tak Terungkap - Siti Khadijah
8. Stesen Bandar Tasik Selatan - Adah Hamidah.

- Anda boleh mendapatkan e book ini dengan menyumbang kepada projek amal kami.
- Tiada bayaran tertentu ditetapkan. Berapapun nilai sumbangan anda, anda layak menerima e book ini. 
- 100% daripada hasil jualan e book akan disumbangkan kepada mangsa banjir bagi memulakan kehidupan baru selepas fasa banjir.

Kaedah menyumbang.

1. Sila menyumbang melalui akaun  162852055782 - Maybank Hamidah Binti Amir.
2. Maklumkan pada mana-mana penulis yang terlibat dalam projek amal ini tentang sumbangan yang telah dibuat. (sila sertakan slip)
3. E book akan dihantar melalui private mesej FB/ email, mengikut kemudahan..

Jadi apa tunggu lagi... Jom menyumbang sambil beramal... 




Wednesday, January 21, 2015

Jangan Panggil Aku Bedah!

As salam, selamat pagi..
Nak buat ayat klise sikit... wah... lama gila tak update blog... hahaha

Hmmm... nak cakap pasal apa ye...projek terbaru..masih lagi cuba menyiapkan manuskrip, tak tahulah bila siapnya sebab banyak main-main je...

Tapi ada satu projek dah buat iaitu  menulis cerpen untuk projek amal mangsa banjir. Projek amal ini disertai oleh beberapa orang penulis Karya Seni dan Penulisan2u. Dibuat dalam bentuk e book dan 100% hasil jualan akan disumbangkan pada mangsa banjir. Kami memang tak ambil satu sen pun.. 

So... untuk projek ini saya buat cerpen bertajuk Jangan Panggil Aku Bedah!.
Lama gila weh tak tulis cerpen, sejak keluar novel memang tak tulis cerpen langsung. Tapi alhamdulilah, berkat niat yang baik, Allah permudahkan. So, kat bawah saya masukkan bab awal cerpen itu. Apa-apa news pasal e book tersebut nanti saya update...


“Dah nak pergi kerja ke Bed?” soal Ina. Matanya masih terarah ke kaca televisyen. Mentang-mentanglah hari ini dia off. Ina ni minah kilang. Kerja di kilang Finisar. Sudah hampir 4 tahun dia bekerja di sana. Boleh pula minah ni tahan kerja di tempat yang sama selama bertahun-tahun. Kerja kilang pula tu. Mesti penat gila. Keluar pukul 5.30 pagi, balik pukul 7 malam. Matahari pun tak nampak. Kalau Bedah, setakat setahun cukuplah. Lepas itu dia akan cari kerja lain. Maklumlah, Bedah ni cepat jemu. Sepanjang dia hidup di muka bumi ini, sudah hampir sepuluh kerja yang dibuatnya. Rugi sungguh siapa yang menggajikan Si Bedah ni. Baru hendak mahir, sudah berhenti kerja. Yang peliknya, senang pula Bedah dapat kerja sedangkan berpuluh-puluh ribu graduan masih lagi tanam buah anggur.

“Kau ni suka sangat tanya soalan sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula kan. Dah nampak aku bersiap ni, mestilah nak pergi kerja. Fiza mana? Dia off jugak ke?”

“Alah kau ni. Biasalah tu, orang Melayu memang suka tanya benda yang dia dah tahu. Kau ni pun, sikit-sikit nak marah. Tak sporting langsung. Asyik serius memanjang. Sekali-sekala chilllah sikit. Sebab tu sampai sekarang kau tak ada pakwe. Orang lelaki nak dekat pun takut. Baru nak dekat, kau dah sergah.” Ina bagi sedas. Muka sardin ditayangkan pada Bedah. “Fiza pergi kerja dah. Kau ingat dia kerja kilang macam aku ke, nak ada off jugak,” sambungnya lagi.

“Oh ye tak ye jugak. Lupa pulak aku.”

Fiza bekerja sebagai kerani di Chemor. Mereka tiga sekawan, menyewa di salah sebuah rumah teres di Klebang Restu.

“Okeylah, aku chaw dulu.”

Bedah mula angkat kaki. Daun pintu dikuak. Kasut sukan berjenama Adidas disarungkan ke kaki comelnya. Dia terus menuju ke arah skuter pinknya. Helmet yang sama warna dengan skuternya disarung ke kepala. Merah jambu tu. Keperempuanan sungguh, walaupun hakikatnya Bedah lasak ala-ala lelaki. Peduli apa, itu memang warna kegemarannya. Enjin skuter dihidupkan. Baru Bedah hendak menghala ke arah pintu pagar, dia sudah berangin satu badan. Proton Iswara siapa pula yang bertenggek di hadapan pintu pagar rumahnya. Bukan main cantik landingnya sampai dia hendak keluar pun tak boleh. Pelik, macam mana Fiza keluar tadi? Ah, dia bukannya bawa motor, boleh saja selitkan badan tu untuk keluar. Lagipun Fiza pergi kerja, ada orang jemput.

Tergesa-gesa Bedah masuk ke rumah semula. “Ina... siapa punya kereta buruk yang park kat depan rumah kita tu?” soalnya pantas.

“Kereta buruk mana pulak?” soal Ina semula. Terkejut dia melihat Bedah yang masih lagi belum pergi kerja. Terkocoh-kocoh Ina mendapatkan Bedah di muka pintu. Proton Iswara yang berwarna season itu menjadi tatapan matanya.

“Entah. Aku pun tak tahu. Rasanya time aku balik kerja semalam, tak ada kereta tu kat situ.”

Bedah mula terintai-intai sekeliling kawasan perumahan tersebut. Laman rumah tidak sebesar mana. Boleh muat setakat sebuah kereta sahaja. Namun kebanyakan jiran-jirannya yang sudah berkeluarga memang suka park kereta di luar rumah. Ini menyebabkan laluan jalan menjadi agak sempit. Tetapi, kes parking kereta di hadapan pagar rumah orang lain ini baru pertama kali terjadi.

“Kereta siapa ni ye. Dahlah parking kat depan rumah orang. Kereta buruk pulak tu. Kereta tahap macam ni, dah boleh angkut kat tempat jual besi buruk je,” bebel Bedah. Matanya tidak lepas memandang kereta Iswara tersebut. Sakit mata dibuatnya.

“Aku rasalah kan. Maybe kereta jiran sebelah kiri kita ni kot. Kau tengok sebelah pun mesti dah boleh agak.”

Bedah angguk kepala. Setuju dengan pandangan Ina. Rumah teres di sebelah kiri ini dihuni oleh 3 orang lelaki bujang trang tang tang. Macam sesuai pula, di sebelah sana, 3 lelaki bujang, di sebelah sini 3 dara pingitan. Namun seorang pun dari mereka Bedah tidak berkenan. Perangai jahat mengalahkan jin bertendang. Mulut laser tahap hendak kena sumbat dengan cabai burung berkilo-kilo. Dua orang daripada jiran sebelah ini membawa kereta dan seorang menaiki motorsikal. Kalau hendak diikutkan memang tidak menjadi masalah sebab sebuah kereta dan motorsikal itu diletakkan di bahagian dalam. Sebuah kereta lagi di bahagian luar. Memang tak ada hal punya. Tetapi kereta buruk ni siapa pula yang punya? Bertambah pelik Bedah melihat kenderaan jiran sebelah semuanya masih ada. Mereka semua ni tak pergi kerja ke? Selalunya kalau time macam ini, semuanya sudah tidak ada di rumah.

Pantas Bedah mendapatkan skuter kesayangannya. Hon ditekan lama, berkali-kali. Bingit telinga yang mendengarnya. Dia berharap agar pemilik kereta Iswara itu keluar segera. “Perhatian!!! WAU 1133, sila keluar!!!” sempat lagi Bedah belek nombor plat kereta tersebut.

“Hesy Bed. Malulah, terpekik terlolong macam tu.” Ina protes tindakan Bedah. Muka dia pula terasa merah dengan tindakan teman serumah. Minah tu memang selamba kodok sungguh.

Argh, peduli apa aku. Aku dah lambat nak pergi kerja ni. Dah dekat pukul 9.30 pagi ni,” bebel Bedah. Dia masuk kerja pukul 10 pagi. Sepatutnya sebelum pukul 10 dia sudah berada di tempat kerja. Dalam hati menahan marah terhadap pemilik kenderaan tersebut. Hampir sepuluh minit dia terpekik terlolong sampai hendak tercabut anak tekak, barulah jiran di sebelah rumah membuka pintu.

Tiga orang jejaka yang bukan idaman Malaya itu keluar dengan pelbagai reaksi. Eh, bukan tiga tetapi empat. Siapa pula yang seorang lagi ni? Entah-entah pemilik kereta buruk ni kot? Bedah berkira-kira dalam hati.

“Ada apa hal ni Kak Bedah oi. Pagi-pagi lagi dah memekak. Tak tahu ke orang tengah sedap-sedap tidur ni. Tak malu ke orang perempuan terjerit-jerit macam tu? Suara tu kan aurat. Hesy, tak boleh dibuat calon isteri sungguh.” Firman memulakan bicara. Sambil itu tangannya menutup mulut yang ternganga. Eh, takkan mengantuk lagi kot.

Hampir keluar asap dari telinga Bedah mendengar kutukan Firman. Sedap mulut bercakap nampak. Tak boleh dibuat calon isteri konon, macamlah dia tu boleh dibuat calon suami sangat. Minta simpanglah.

“Berapa kali nak cakap ha! Jangan panggil aku Bedah. Panggil aku Bed.” Panas hati Bedah bila melihat lelaki-lelaki itu ketawa. Ketawa pasal namanyalah tu. Berangin sungguh. Makcik Kiah pun pandai-pandai sahaja letak nama Bedah pada anak gadisnya yang cun melecun ini. Letaklah nama yang sedap-sedap sikit. Kristina ke, Dayana ke, Syasya ke... nampaklah moden sikit. Ini letak nama Bedah. Bukan Nor Zubaidah atau Zubaidah, tetapi Bedah... Oh, nampak kekampungan sungguh.

“Alahai Bedah. Dah nama hang tu Bedah, biaq pi lah panggil Bedah pun. Awat nak jadi orang putih celup pulak, nak kena paggil Bed konon. Hang ingat hang tu bat woman ke apa? Aku ni nama Leman, tak kisah pun orang nak panggil aku lagu tu. Bangga lagi apa. Mana ada zaman la ni orang nama Leman lagi. Kira rare lah tu. Hang tau dak?” Leman orang utara mula menyampuk.

Lagi sekali kelompok lelaki itu ketawa. Panas hati betul Bedah dibuatnya. “What everlah. Ni kereta buruk siapa yang tersadai kat depan rumah aku ni. Tak reti-reti nak parking kat tempat lain. Aku nak pergi kerjalah. Kalau rasa ada tuan punya kereta buruk tu kat sini, tolong alihkan kenderaan tu cepat. Mata aku ni dah berpinar-pinar tengok kereta buruk tu.”

“Buruk sangat ke kereta saya tu Cik Bedah. Seburuk-buruk kereta tu masih lagi boleh digunakan di atas jalan raya. Tak ada pulak JPJ atau polis nak tahan sebab kereta ni buruk. Walaupun buruk tapi enjinnya tip top. Enjin GSR 1.8. Ada turbo lagi tu.” Amsyar yang dari tadi diam menjawab soalan Bedah. Betullah kata sepupunya yang jiran sebelah rumahnya ini seorang perempuan yang garang. Bila diamati betul-betul, Amsyar macam kenal dengan gadis bernama Bedah ini.

“Oh... jadi kereta ni kereta awaklah. Habis tu, tak reti-reti nak alihkan ke? Cepatlah... saya dah lambat sangat nak pergi kerja ni.” Malas Bedah hendak mendengar penerangan lelaki itu berkenaan kereta tersebut. Ada turbolah, apalah... Tak berminat dia hendak ambil tahu. Bedah terus menuju ke arah skuter pinknya dan terus duduk. Minyak dipulas beberapa kali dengan kuat. Tanda hatinya panas mendidih.

“Cepatlah Am, pergi kalih kereta tu. Nanti karang tak pasal-pasal pulak Perang Dunia Ke Tiga akan meletus,” nasihat Firman.

Amsyar angguk. Laju dia masuk ke dalam rumah dan mengambil kunci kereta di atas meja. Berlari-lari anak dia keluar semula dan menghidupkan enjin kereta. Bergegar bunyi enjin kereta tersebut sebaik enjin dihidupkan. Bunyinya lebih bingit dan kuat daripada bunyi skuter pink milik Bedah. Ina yang dari tadi sunyi sepi terus membukakan pintu pagar sebaik sahaja kereta telah beralih kedudukan. Sebaik sahaja pintu pagar dibuka, Bedah terus memecut skuternya laju.

Amsyar yang memandang hanya mampu menggeleng kepala. Laju gila minah ni bawa motor. Tapi memang betullah, dia memang kenal dengan Bedah. Kenal sangat-sangat. Amsyar senyum senget. Tidak sangka dia akan berjumpa semula dengan Bedah di sini. 

 P/S... Nak tahu kesudahan cerita Si Bedah ni, jangan lupa dapatkan e book, Kompilasi Karya Cinta . Tunggu kemunculannya tidak lama lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...