Yang Disayangi Selalu !!!

Tuesday, March 12, 2013

Aku Suka Kau Benci Bab 5 - Part 1

Liza mengetuk pintu bilik Mia Sarah bertalu-talu. Ke mana pulalah Mia Sarah ni pergi? Dah naik kematu tangannya mengetuk pintu sedari tadi namun masih tidak ada jawapan. Dia membelek jambangan mawar merah yang berada di tangan. Cantik sekali. Bunga hidup pula tu, mesti mahal ni. Hadiah yang pasti akan menggembirakan Mia Sarah, fikirnya.

“Mia... oh Mia,” sambil itu mulutnya tidak henti-henti memanggil nama Mia Sarah. Tidak sabar
dia hendak menyampaikan hadiah tersebut pada sahabatnya.

“Hah!!!” sergah Mia Sarah dari belakang. Dari tadi dia terhendap-hendap melihat gelagat Liza. Dia baru sahaja balik dari menyidai pakaian di tingkat bawah. Biasanya hari minggu macam nilah dia mula melakukan operasi mencuci. Memang banyak. Satu trip sahaja sudah penuh penyidai. Kalau hari-hari biasa Mia Sarah malas sedikit hendak mendobi. Kebanyakan kawan-kawannya menghantar ke dobi segera yang mudah dan tidak memenatkan. Cuma masuk duit dan serbuk pencuci sahaja, semuanya ditanggung beres.

“Opocot mak kau!!!” latah Liza membuatkan Mia Sarah tidak dapat menahan gelak. Muka Liza yang melatah itu dah sebiji macam Nenek Timah, cumanya Nenek Timah tidak melatah saja walaupun dah tua.

“Kau ni Mia, buat terkejutkan aku je lah. Nasib baik aku tak ada sakit jantung, kalau tidak sekarang juga aku kojol. Terpaksalah kau kehilangan sahabat yang baik hati macam aku ni,” ujar Liza sambil mengurut perlahan dadanya. Getaran yang kuat akibat kejutan tadi baru sahaja hendak beransur pulih. Memang tak patut betullah Mia ni.

“Tapi kau tak ada sakit jantung kan... Sebab tu lah aku kejutkan kau. Kalau tak, aku pun tak berani,” jelas Mia Sarah sambil tergelak lagi. Alah, nak bergurau sikit, tak kan marah kot. Sportinglah sikit Cik Liza oii.
“Ha... ada apa kau datang cari aku pagi-pagi buta ni?” sambung Mia Sarah lagi. Setahunya, kalau waktu cuti macam ni, jangan haraplah dia nak lihat Liza tercongok di muka pintu. Biasanya waktu petang baru mereka akan bersua muka.

“Ala kau ni, tak boleh ke aku datang nak melawat sahabat baik aku ni? Aku nak tengok juga, dia ni sihat ke tak? Lagi satu, kot ye pun... kau ajaklah aku masuk dalam dulu. Hidang secawan dua kopi ke, jamu nasi goreng kampung ke. Perut aku lapar dan dahaga ni.”

“Banyaklah kau punya kopi dengan nasi goreng kampung tu. Kau ingat bilik aku ni kedai mamak yang buka 24 jam ke? Air mineral adalah. Kalau nak jom masuk,” balas Mia Sarah sambil memasukkan anak kunci ke tombol pintu. Kemudian tombol tersebut dipulas. Dia melangkah masuk sambil diekori oleh Liza.

“Air mineral pun air minerallah,” ujar Liza dengan sengihan lebar. Sempat dia menjeling melihat katil kosong di sebelah katil Mia Sarah. Laju sahaja mulutnya melontar soalan. “Roomate kau mana Mia?”

“Dia... biasalah kalau hujung minggu macam ni. Keluar datinglah, mana lagi dia nak pergi,” balas Mia Sarah acuh tak acuh. Malas dia nak menjawab lebih-lebih. Lokernya dibuka, botol air mineral yang disimpan di dalamnya diambil dan dihulurkan pada Liza. Pelik pula dia melihat Liza datang dengan jambangan bunga di tangan. Pakwe mana pulalah yang menghadiahkannya?

“Terima kasih Mia. Aku memang dahaga betul ni. Tekak aku ni kering sangat dah aku rasa. Kalau tak dapat setitis air, memang aku boleh mati...” ujar Liza bersungguh. Penutup botol mineral dibuka. Air di dalamnya diteguk dengan penuh bersemangat sekali. Cepat sahaja air yang terdapat dalam botol mineral 500ml itu tinggal sedikit. Memang dahaga sangat-sangatlah tu.

“Melampaulah tu,” ejek Mia Sarah. “Ha... kau ni sebenarnya dari mana? Tu... kau tak cakap dekat aku pun yang kau ada pakwe. Siap bagi bunga lagi tu.”

“Bunga ni?” soal Liza sambil menghulurkan jambangan mawar merah tersebut pada Mia Sarah yang dah salah faham. “Bunga ni untuk kaulah. Bukannya untuk aku. Manalah ada orang nak bagi bunga pada aku yang buruk ni,” Liza melawak.

“Untuk aku? Siapa yang bagi?” soalnya ingin tahu. Seumur hidupnya belum pernah ada orang menghadiahkan dia bunga. Lagipun dia memang tidak berminat dengan bunga ni.

“Siapa lagi... orang yang minat dekat kaulah. Apa nama dia... Ikmal kalau tak silap aku. Pagi tadi aku tengah joging dekat tasik varsiti, tiba-tiba je dia datang minta tolong aku sampaikan bunga tu pada kau. Pelik juga aku, macam mana dia tau aku ada dekat situ? Siap datang dengan sejambak bunga pula tu. Agaknya dia memang dah standby beli bunga awal-awal kot. Tapi bunga ni masih segar aku tengok. Hmmm...” keluh Liza yang tidak menemui jawapan pada persoalannya tadi.

“Dah lah, tak payah nak pening-pening kepala. Dia standby ke, tak standby ke... alamatnya bunga ni dekat tong sampahlah nanti.”

“Eh... tak kan nak buang pula. Tu kan ada kad kecil dekat bunga tu. Bacalah, aku nak dengar,” suruh Liza yang kelihatan tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan kad kecil yang turut terselit di jambangan tersebut. Dia pula yang teruja lebih sedangkan Mia Sarah biasa-biasa sahaja.

“Kau nak tau sangat isinya kan. Okey, aku baca.” Mia Sarah mula membelek kad berwarna ungu lembut itu. Ayat-ayat yang tertera dibaca satu persatu dengan gaya romantis.

My lovely sweetie..
Percaya atau tidak, aku telah jatuh hati padamu.
Siang malam diri ini berada dalam kerinduan.
Tidak sanggup rasanya berada jauh dari dirimu.
Sudikah kau menjadi kekasih hatiku?

“Wah... romantik gila. Sukanya aku dengar. Mesti kau suka kan, ada orang minat dekat kaulah Mia. Bestlah kau. So apa jawapan kau? Sudi ke tak sudi? Kalau akulah Mia, aku sudi je,” ujar Liza sambil menyeringai. Sempat dia membayangkan dirinya berada di tempat Mia Sarah. Pasti seronok.

“Kau ni... Suka sangatlah tu ye. Tapi aku sikitpun tak suka. Buaya darat ni Liza. Nanti kalau aku beri hati aku pada dia, tak pasal-pasal dia ngap aku. Lagipun kau tau kan... aku malas nak fikir pasal cinta ni,” sambil menoleh ke arah Liza, Mia Sarah membaling jambangan mawar tersebut ke bakul sampah yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya. Mia Sarah memang pembaling terbaik apabila bunga tersebut selamat masuk ke dalam bakul sampah.

“Mia... Jangan buang....” tak sempat Liza menghalang tindakan Mia Sarah yang drastik. Kepalanya digeleng perlahan. Sampainya hati Mia Sarah memperlakukan hadiah yang diberi oleh Ikmal. Mia Sarah memang tak pandai nak menghargai pemberian orang. Kalaulah dirinya yang menerima hadiah tersebut, akan dijaganya dengan sepenuh hati. Walaupun bunga itu sudah kering layu, akan disimpannya sebagai kenangan yang terindah. 



P/S :- Kembali mencari semangat menulis yang hilang.... 

3 comments:

baby mio said...

NAK LG KALAU X SALAH DULU PUN SAYA DAH BACA BAB 24 TAPI DAH LUPA LA JALAN CERITA DIA

TinTa Biru said...

tenkiu baby mio... memang dulu tinta pernah pos sampai bab 25.. tapi lepas tu tinta delete semua bab sebab nak buat penambahan dan edition.. sayang sangat, sebab manuskrip tu hampir siap tapi corrupted pula.. so.. kena menulis semulalah.. huhu

shiema harun said...

assalamualikum kak tinta..nak tanye bila novel ni nak keluar..tak sabar nak tahu kesudahan cerita ni..dah lame sangat say tunggu lepas bace di penulisan2u..cerita ni memang terbaik la..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...