Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, July 18, 2013

Encik Setiausaha - Akhir


Hani termenung panjang di dalam bilik. Dari tadi satu kerja pun belum dilakukannya lagi. Selalunya dia tidak pernah membuang masa seperti itu. Baginya setiap minit yang berlalu itu amat berharga. Pasti dia akan menggunakannya dengan begitu berhemat. Entah apa yang tak kena dengan dirinya ini? Mungkin disebabkan malam tadi dia bermimpi dipatuk ular. Orang tua-tua kata, kalau anak dara bermimpi dipatuk ular, maknanya ada orang nak datang meminang. Ah, sudah. Siapa pula yang hendak datang meminangnya. Teman lelaki pun dia tidak ada.

Sedang dia duduk termenung itu tiba-tiba handsetnya yang diletakkan di atas meja bergetar. Tertera nama “Rayyan” di situ. Baru Hani tersedar, sepanjang satu jam dia berada di pejabat hari ini, dia belum bersua muka dengan Rayyan. Lamunannya yang panjang menyebabkan dia terlupa seketika pada lelaki itu. Panggilan dijawab, kedengaran suara macho di hujung talian. Tidak semena-mena jantung Hani bergetar hebat mendengarkan suara lelaki yang telah 3 bulan menjadi setiausahanya.

“Emergency leave? Kenapa? Rayyan sakit ke?” soal Hani dengan penuh pertanyaan. Hairan, kenapa tiba-tiba pula Rayyan meminta cuti kecemasan? Apa yang sudah berlaku?

“Tak. Saya tak sakit. Tapi ada orang lain yang sakit. Nantilah saya cerita pada Cik Hani. Okeylah Cik Hani. Saya kena cepat ni. Baii.”

Belum sempat Hani bertanya lebih lanjut, talian telah dimatikan. Sakit pula hatinya mengenangkan sikap Rayyan tadi. Macam itu ke tata susila bercakap dengan bos? Memang nak kena ajar dia ni? Hani mengeluh geram. Fail-fail yang memerlukan semakannya langsung tidak disentuh. Dia kembali termenung seperti tadi. Tetapi kali ini fikirannya lebih terarah pada Rayyan. Lama dia berkeadaan sedemikian hinggalah dia tersedar sendiri. Ah... kenapa pula dia harus memikirkan Rayyan. Hani mula kembali ke alam realiti. Kerja-kerja yang tertangguh mula dibelek satu persatu. Kali ini dia tekun dalam menjalankan tugas.

***

Ketukan kuat di pintu mengejutkan Hani. Dadanya yang tiba-tiba bergerak pantas diurut perlahan. Nasib baiklah dia tidak ada sakit jantung, kalau tidak memang nayalah dia. Hani melihat wajah lelaki yang tersengih di muka pintu. Tersengih dah mengalahkan kerang busuk je.

“Nak apa? Lain kali nak ketuk pintu tu janganlah buat macam I ni orang pekak. Ketuk perlahan pun I dah dengarlah,” perli Hani sambil meneruskan kerjanya.

Rizal kembali menyambung sengihannya. Dia menuju ke arah Hani dan tanpa dipelawa dia duduk di kerusi berhadapan gadis itu.

“Takkan marah kot? Kenapa tiba-tiba naik angin pula? Kalau you tak keberatan, I boleh teka sebab apa you jadi macam ni?”

“Nak teka apa pula? Siapa-siapa pun akan marah kalau tengok cara you ketuk pintu tadi,” bebel Hani sambil mengangkat wajah menatap Rizal. Lelaki itu sengih lagi dan ini membuatkan Hani semakin geram.

“Memanglah semua orang akan marah, tapi tak adalah marah macam you ni. You marah sebab lain ni... Sebab Rayyan kan?”

Hani ketawa sinis. Apa kaitan pula tiba-tiba nama Rayyan disebut? Tak masuk dek akal. “Tak ada kena-mengena langsung,” balas Hani.

“Betul ke ni? Tapi pagi tadi I nampak you termenung dah macam isteri kematian suami je. Mengakulah yang you ada hati pada Rayyan tu. Tengok... bila dia tak datang satu hari je you dah jadi tak menentu. Menggelabah semacam. Seoalah-olah you tak boleh hidup tanpa encik setiausaha you tu. Mengakulah Hani,” tebak Rizal.

“Tak ada masa I nak fikirkan pasal dialah. Tolonglah jangan merepek yang bukan-bukan pula. Ni ada apa hal you cari I ni?” soal Hani lagi. Macam mana pula Rizal boleh terfikir sampai macam tu sekali. Padahal dia hanya menganggap Rayyan itu sebagai setiausahanya sahaja. Tidak lebih dari itu. Urusannya dengan Rayyan adalah berdasarkan urusan kerja semata-mata. Benarkah begitu?

“Tak kisahlah apa pun. I nak ajak you lunch dekat Restoran Nelayan ni. I dah tempah pun. Jomlah,” ajak Rizal. Dia faham sangat dengan minat Hani dengan makanan di restoran tersebut.

“Betul ke ni?” soal Hani sambil membulatkan mata. Rizal sekadar mengangguk.

“Terima kasih ye. Dah lama I tak lunch dekat sana. Kenapa you baik sangat dengan I ni?” soal Hani tiba-tiba.

“Sebab I sukakan you,” jawab Rizal dengan serius.

Wajah Hani tiba-tiba berubah pucat. Biar betul Rizal ni. Selama ini mereka hanya berkawan baik sahaja. Takkan dalam diam Rizal meminatinya pula. Agaknya mimpi dia dipatuk ular malam tadi, memberi petanda rombangan Rizal datang untuk meminangnya. Oh minta simpanglah. Tidak sanggup dia menjadi isteri Rizal yang sudah dianggapnya sebagai teman tapi mesra.

Tiba-tiba Rizal tergelak kuat. Geli hatinya melihat wajah pucat Hani. Baru bergurau sikit takkan dah nak melatah kot. “Kenapa? Takut?”

“You ni. Tolonglah jangan nak bergurau dengan I soal hati dan perasaan ni,” marah Hani sambil tarik muka empat belas.

“Hahaha, I bergurau je. Sejak bila you jadi serius pasal ni. Agak-agak kalau Rayyan yang cakap dia sukakan you macam mana? Mesti lagi teruk reaksi you kan?”

Hani diam. Kalau Rayyan yang cakap macam tu apa yang dia akan lakukan? Mungkin dia akan diam dan tunduk membisu. Mukanya terasa tebal dan merah menahan malu. Maklumlah mendengarkan luahan hati dan perasaan seorang lelaki. Mungkin juga dia akan terkejut besar tidak percaya. Tidak percaya dengan pengakuan ikhlas lelaki itu terhadap dirinya. Sebarang kemungkinan semuanya boleh terjadi. Kalau betullah dia dan Rayyan menjadi pasangan kekasih, macam mana pula gayanya nanti? Seumur hidup Hani dia tidak pernah bercinta.

Rizal memetik jari kuat di hadapan Hani. Lagi sekali Hani mengelamun tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya.

“Aii, takkan melayani perasaan kot,” perli Rizal.

“Mana adalah. Jomlah kita pergi makan. Perut I dah lapar ni,” Hani mula mengemaskan meja yang agak tidak teratur. Kemudian dia mengambil beg tangan dan berjalan beriringan dengan Rizal.

***

Hani makan dengan begitu berselera sekali. Riuh rendah suasana di sekeliling langsung tidak dihiraukan olehnya. Terasa nikmat sungguh dia dapat melegakan tekak dengan hidangan enak di Restoran Nelayan itu. Rizal sahaja yang kelihatan makan dengan begitu bersopan santun. Sesekali Rizal menggeleng melihat gelagat Hani. Macam kanak-kanak tadika pun ada. Pada mulanya dia malas mahu berbicara dengan Hani ketika makan sehinggalah dia terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya.

“Kenapa Rayyan tak datang hari ni?”

Hani yang begitu asyik menikmati hidangan serta-merta memandang Rizal. Kenapa pula Rizal bertanya tentang Rayyan ni? Hendak mengusiknya lagi ke?

“Dia kata cuti kecemasan.”

Rizal mengerutkan dahi. Cuti kecemasan apanya kalau dia lihat tidak ada apa-apa yang mencemaskan Rayyan pun saat ini. Hani memandang Rizal dengan reaksi pelik. Kenapa dahi Rizal berkerut semacam? Hani mula menoleh ke belakang, turut membuang pandang ke arah yang dilihat Rizal dari tadi. Terkejut dia melihat apa yang berada di ruangan matanya sekarang ini. Tiba-tiba mukanya bertukar merah. Matanya membulat besar. Dalam hati pula penuh dengan sumpah seranah. Perasaan cemburu juga turut mengambil tempat.

***

Rayyan menyandarkan badannya ke kerusi. Dia mahu merehatkan badannya seketika. Nafasnya dihembus perlahan. Di atas meja kerjanya kelihatan banyak fail yang berselerakan. Hani menyuruhnya format semula tajuk fail mengikut standart yang ditetapkannya. Daripada jenis tulisan, saiz tulisan hinggalah border yang terdapat di sekeliling tajuk, semuanya mahu mengikut kehendaknya.

Sejak akhir-akhir ini sikap Hani semakin menjadi-jadi. Ada saja yang tidak kena di mata perempuan yang bergelar bosnya itu. Kelihatan sentiasa saja mencari kesalahannya. Kadang-kadang kesalahan kecil pun diperbesarkan oleh Hani. Hari itu dia tersilap menaip satu patah perkataan. Bisingnya Hani memang tak tahu nak cakaplah. Seolah-olah kesilapan yang dilakukan itu terlalu besar salahnya. Padahal sebelum ini semua kerja yang dilakukan oleh Rayyan adalah bagus belaka. Kalau nak dikatakan sikap Hani itu disebabkan simptom datang bulan, takkanlah lama sangat. Rayyan menggaru kepala berkali-kali. Pening dia melihat sikap Hani yang berubah tiba-tiba. Tiba-tiba extensionnya berbunyi. Dengan pantas Rayyan menjawab.

“Baik Cik Hani,” balas Rayyan ringkas. Dia menarik nafas panjang dan menguatkan semangat. Langkah kaki diatur perlahan menuju ke bilik Hani.

Entah apalah yang ingin dibicarakan oleh gadis itu. Namun walau apa pun arahan, walau apa pun makian dari Hani terpaksa diterima dengan hati yang terbuka. Maklumlah dia hanya setiausaha sahaja. Bekerja di bawah seorang perempuan yang semakin ketara cerewetnya.

“Ada apa Cik Hani?” soal Rayyan dengan begitu berhati-hati sekali. Melihatkan keadaan meja kerja Hani yang berselerak menggambarkan kekusutan yang dialami oleh pemiliknya. Memandang muka Hani yang sudah mengalahkan ibu singa itu, sedikit sebanyak membuatkan Rayyan gerun.

“Ni... Apa yang you dah buat ni. Suruh buat kerja sikit pun tak boleh. Asyik silap sana sini. Kalau nak jadi I punya setiausaha, kena buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Time kerja kena buat kerja betul-betul. Bukannya nak berkhayal macam orang bercinta,” sergah Hani sambil melemparkan beberapa keping kertas ke muka Rayyan.

Rayyan terkejut besar dengan tindakan Hani. Dia terasa seolah-olah maruahnya dipijak-pijak oleh wanita di hadapannya kini. Mukanya memerah menahan marah. Kesalahan apakah yang terlalu besar yang telah dilakukannya kali ini? Dengan perlahan Rayyan mengutip kepingan kertas yang telah bertaburan di atas lantai. Dia meneliti satu persatu, mencari kesalahan yang telah membuatkan Hani naik angin bagaikan orang gila.

Hani memandang Rayyan tanpa melepaskan pandangan. Terdetik penyesalan yang besar di lubuk hatinya. Kenapa pula dia berperangai sedemikian? Hatinya tertanya-tanya. Kenapa sampai sanggup memperlakukan sebegitu pada Rayyan? Pada lelaki yang dia sudah mula menaruh perasaan. Menaruh perasaan? Ah, tidak mungkin itu semua berlaku. Namun dia sendiri tidak menduga akan perlakuannya sebentar tadi. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Baiklah Cik Hani. Saya dah nampak kesalahannya. Saya akan betulkan sebentar lagi. Saya minta maaf sebab dah lakukan kesalahan tersebut,” kata Rayyan dengan berhemah. Kesilapan kecil yang ditandakan bulat oleh Hani telah dapat dilihatnya. Hanya tersilap menulis huruf kecil pada permulaan ayat telah menjadi satu kesalahan besar pada Hani. Mana ada orang yang sempurna dalam dunia ini tanpa melakukan sebarang kesilapan.

“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu Cik Hani,” sapa Rayyan lagi apabila dia melihat Hani kelu tanpa sebarang jawapan. Masih belum puas untuk memarahi dirinya lagi atau apa? Entahlah, Rayyan tidak dapat menebak.

Namun hatinya amat sakit diperlakukan oleh Hani tadi. Salahkah kalau Hani menegur kesalahannya secara berhemah? Sia-sia dia terbayangkan wajah Hani setiap malam selama ini. Sia-sia dia berangankan yang indah-indah tentang Hani. Membayangkan kehidupan yang bahagia sebagai pasangan suami isteri. Ya, memang itulah yang Rayyan rasa sejak beberapa bulan ini. Dia tidak nafikan yang dia sudah jatuh sayang pada majikannya. Dia sudah jatuh cinta pada bosnya sendiri. Namun dia sedar, siapa dirinya. Dia sedar dia tidak setaraf dengan Hani. Lagipun Hani hanya memandangnya sebelah mata. Mustahil apa yang diangannya akan menjadi kenyataan. Biarlah cintanya hanya di dalam diam sahaja. Namun Rayyan nekad dengan keputusan yang satu ini. Keputusan yang bakal diambil yang akan menyebabkan dirinya turut terluka.

***

Dari cermin kaca bilik, Rizal dapat melihat kemurungan wajah Hani. Perempuan itu seolah-olah sedang menghadapi masalah yang amat besar. Dari tadi dia lihat Hani hanya termenung sambil membelek sekeping kertas. Kertas apa yang dibeleknya tidak pula Rizal tahu. Namun apa yang pasti, kertas tersebutlah yang menyebabkan keadaan Hani berubah seperti itu. Kelibat Rayyan pula langsung tidak kelihatan sejak pagi tadi. Risau melihatkan keadaan Hani sebegitu rupa, Rizal terus mengatur langkah menuju ke bilik Hani.

Tanpa mengetuk pintu Rizal terus meluru ke dalam. Dia lihat wajah Hani keruh semacam. Ada air mata yang bergenang di tubir matanya. Rizal memang terkejut melihat keadaan tersebut. Sebelum ini dia melihat Hani seorang yang cekal dan tabah. Hani seorang wanita besi, dia tidak pernah langsung melihat Hani menangis sehinggalah saat ini. Apa masalah besar yang telah menimpa Hani?

“Hani, you okey ke ni?” soal Rizal sambil merenung Hani.

Hani diam tanpa kata. Bukannya dia tidak sedar Rizal memasuki biliknya, tetapi dia malas untuk berbicara. Surat itu ditatapnya berkali-kali. Mungkin disebabkan tindakan kasarnya semalam memaksa Rayyan bertindak sedemikian. Bukan, bukan ini yang dia mahu.

“Hani, kenapa dengan you ni? Apa masalah you ni? Ceritalah. Lain macam dah I tengok ni,” pujuk Rizal.

Hani masih tidak menjawab dan ini menyebabkan Rizal sedikit berang. Dia tidak peduli, dia harus juga mencari punca kenapa Hani berkeadaan sedemikian. Dengan pantas dia merampas surat yang dipegang oleh Hani.

“You ni!!!”

Kemarahan Hani langsung tidak dipedulikannya. Surat rasmi tersebut dibaca dengan riak yang terkejut.

“So... ini rupanya yang menjadi masalah besar you. I dah cakap yang you ada hati dekat Rayyan tapi you tak percaya. Sekarang dia resign. Macam mana boleh jadi macam ni? You gaduh dengan dia ke?” soal Rizal ingin tahu. Surat perletakan jawatan Rayyan diletakkan kembali di atas meja. Wajah murung Hani ditatap untuk meminta penjelasan.

“Tak... I mana ada hati dengan dia. I cuma terkilan sebab dah kehilangan seorang setiausaha. So sekarang kita terpaksa buat interview lagi dan ini semua membuang masa,” Hani menidakkan perasaannya. Dia malu untuk mengaku. Tambah pula, dia ragu-ragu dengan perasaannya. Dia tidak pernah bercinta dan dia tidak tahu macam mana perasaan orang yang bercinta.

“Jangan jadi bodohlah Hani. Melihatkan keadaan you macam ni, I tahu sangat yang you sukakan dia. You jangan risau, I akan tolong you selesaikan masalah ni. Sekarang you jangan banyak fikir, tenangkan fikiran. Cerialah sikit. You percaya dekat I. I akan bawa you jumpa Rayyan. I promise,” janji Rizal.

Hani tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Namun jawapan Rizal mampu membuatkan dia tersenyum. Dia mahu meminta maaf pada Rayyan atas apa yang telah terjadi. Telefon bimbit Rayyan sedari tadi tidak berfungsi membuatkan Hani semakin tidak keruan. Nasib baiklah Rizal mahu menghulurkan pertolongan. Dia akan meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Perasaan cinta yang semakin diyakininya. Biarlah kalau dia dikatakan perigi mencari timba, dia tidak peduli. Biarlah kalau Rayyan tidak mencintainya, dia juga tidak peduli. Apa yang pasti, perasaan yang terpendam ini perlu diluahkan.

***
Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur tadi Hani hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu ke mana Rizal membawanya, mereka sudah berada jauh dari Kuala Lumpur menuju ke Perak. Namun Hani tidak kisah Rizal membawanya ke mana, kerana dia yakin Rizal akan menemukannya dengan Rayyan. Dalam kepala dia merangka ayat yang sesuai untuk diluahkan pada jejaka itu nanti.

“Okey, dah sampai,” balas Rizal sambil membuka pintu kereta untuk keluar.

Hani turut melakukan tindakan yang sama. Sebaik keluar dari perut kereta, Hani memandang sekeliling. Penuh dengan sawah padi yang sedang menghijau. Pemandangan yang cukup mendamaikan hati. Tenang sungguh bila berada di sini. Rumah kayu bertiang dan beratapkan zink itu dipandang tanpa jemu. Rumah tradisional yang cantik sekali. Di bawah rumah tersebut terparkir motor hijau kepunyaan Rayyan. Perasaan Hani berdegup kencang. Perasaan rindunya semakin memuncak.

“Assalamualaikum,” Rizal yang sudah terpacak di kaki tangga memberi salam.

“Waalaikummussalam,” balas satu suara yang halus. Tiba-tiba pintu papan itu dibuka. Terpacul seorang gadis manis berbaju kurung dan bertudung bawal. Dia tersenyum sambil menuruni anak tangga perlahan-lahan.

Melihatkan sahaja gadis tersebut, wajah Hani berubah seratus peratus. Hatinya tiba-tiba jadi panas. Perasaan cemburunya tiba-tiba hadir bertandang. Kenapa gadis ini ada di rumah kampung milik keluarga Rayyan? Apa hubungan dia dengan Rayyan? Gadis inilah yang menjadi punca dia berkelakuan tidak wajar pada Rayyan dahulu. Gadis ini jugalah yang dilihatnya sedang bergelak tawa bersama Rayyan ketika di Restoran Nelayan dahulu.

“Rayyan ada?” soal Rizal.

“Oh abang. Kawan abang ya? Abang ada dekat bendang tu. Masuklah dulu,” pelawa Aisyah kepada tetamu yang hadir.

'Abang?' Jantung Hani sudah berlari tanpa rentak. Isteri Rayyan kah ini? Rasa mahu sahaja dia pitam saat ini.

Rizal sudah membuka kasut untuk naik ke atas namun Hani dilihatnya keras seperti patung. Dia faham apa yang Hani rasa. Dia faham apa yang Hani fikir namun dia berharapkan semuanya itu tidak benar belaka.

“Jomlah naik,” sapa Rizal. Hani tersentak. Perlahan-lahan dia menanggalkan kasut dan menaiki tangga kayu tersebut.

***
Di sawah padi yang menghijau itu Rayyan kelihatan tekun melakukan tugasannya. Pokok-pokok padi sudah banyak menampakkan hasilnya. Buah-buah padi kelihatan menghijau, tidak lama lagi ianya akan menguning menandakan ia sudah masak. Masa ini memang banyak serangga yang akan merosakkan hasil tanaman tersebut. Oleh sebab itulah dia mengepam racun serangga ke semua pokok-pokok tersebut.

“Rayyan.”

Rayyan tersentak. Dia mengamati suara yang didengarinya tadi. Suara yang amat-amat dirinduinya. Dia memandang sekeliling. Tidak ada kelibat seorang manusia pun. Ah, mungkin aku bermimpi di siang hari. Terlalu sangat memikirkan Hani, fikirnya.

“Rayyan.”

Sekali lagi suara itu kedengaran. Kali ini Rayyan menolah ke arah datangnya suara tersebut. Dia yakin suara itu berdekatan dengan batas tersebut. Dia meneliti dengan penuh berhati-hati. Kelihatan pokok-pokok padi yang meninggi itu seakan-akan bergerak. Ada orangkah di situ? Rayyan menapak perlahan-lahan menuju ke arah tersebut. Tiba-tiba...

“Mak!!!” jerit Hani sekuat hati sambil berlari mendapatkan Rayyan. Dalam kepayahan dia menggagahkan diri berjalan dalam bendang yang sedikit berair itu. Rayyan yang terkejut dengan kehadiran Hani turut terkejut dengan jeritan gadis itu. Tanpa sedar Hani telah memaut lengannya sambil memejamkan mata.

“Kenapa Cik Hani? Macam mana Cik Hani boleh ada dekat sini?” soal Rayyan yang seakan-akan bingung.

“Ada benda dekat kaki ni, takutlah, geli,” ujar Hani dengan perasaan geli-geleman. Macam manalah dia boleh terfikir untuk menjejak Rayyan sampai ke sawah padi ini. Langsung dia tidak terfikirkan tentang pacat dan lintah yang bermaharajalela di kawasan bendang ini. Langsung dia tidak terperasankan dengan keadaannya yang anggun bergaya dengan kasut bertumit tinggi Vincci ini. Apa yang pasti dia berasa sangat gembira. Gembira kerana mendapat tahu yang gadis manis bernama Aisyah itu adalah adik Rayyan. Rupanya selama hari ini dia telah tersalah sangka. Aisyah menghidap sakit jantung. Semasa dia ternampak Rayyan dengan Aisyah di Restoran Nelayan dahulu, mereka berdua baru balik dari Institut Jantung Negara.

“Ada pacat kot. Tak pun lintah,” usik Rayyan sambil tersengih.

“Eee... cepatlah buang, gelilah,” rayu Hani.

Rayyan menarik nafas panjang. Bermacam-macam persoalan berlegar-legar di kepalanya namun dibiarkan tanpa jawapan dahulu. Dia melihat kaki Hani yang sedikit terbenam di dalam air sawah. Skirt labuh yang dipakai oleh Hani diangkat sedikit. Memang betullah, ada seekor pacat yang sudah kenyang bertenggek di betisnya.

“Nampaknya Cik Hani ni ada peminat. Tengok tu,” Rayyan menyuruh Hani melihat betisnya yang tergantung seekor pacat. Gemuk sungguh. Mungkin sudah terlalu kenyang menghisap darah Hani.

“Eee tak naklah. Cepatlah buang,” gesa Hani lagi.

“Okey, tapi sebelum tu jom kita naik ke batas dulu.” Hani hanya mengangguk. Namun baru dia hendak melangkah, kakinya seolah-olah kaku, tidak bergerak langsung. Rayyan dilihatnya sudah bergerak beberapa langkah.

“Rayyan... tak boleh gerak,” ujar Hani yang mengerutkan dahi. Apa pula yang menyekat kakinya kali ini.

Rayyan yang kehairanan kembali meraduk sawah yang berair. Kaki Hani cuba diangkat. Laa... patutlah. Rayyan tergelak. Ada ke orang datang ke bendang berkasut tumit tinggi. Memang terbenamlah dekat tanah sawah tersebut. Rayyan tergelak lagi, geli hati sungguh. Wajah Hani memerah melihat Rayyan menggelakkannya. Bahagia sungguh.

***
“Rayyan, saya nak minta maaf banyak-banyak pada awak pasal hari tu. Tak patut saya bercakap kasar dengan awak, tak patut saya bertindak kasar macam tu,” luah Hani dengan perasaan yang berdebar-debar. Berdebar-debar kerana dia sedang bercakap dengan lelaki pujaannya. Saat ini mereka berdua sedang menghirup udara segar di atas pangkin di bawah pokok mempelam di luar rumah.

“Tak apa Cik Hani. Saya dah lupakan pun. Lagipun saya sedar siapa diri saya. Hanya kuli saja di syarikat tersebut,” Rayyan merendah diri. Dia tidak mengerti maksud kedatangan Hani. Adakah untuk melamarnya bekerja semula? Ataupun melamarnya untuk dijadikan suami? Ah, mengarut jauh betul Rayyan ni. Namun dia semakin senang hati dengan sikap Hani sekarang. Hani yang lemah lembut, agak manja dan tidak bengis seperti seekor singa betina. Kalau macam ini, barulah boleh dijadikan isteri.

“Apa maksud kedatangan Cik Hani sebenarnya?” soal Rayyan. Dia mahukan jawapan yang pasti supaya dia tidak lagi tertanya-tanya.

“Tak payahlah panggil saya Cik Hani lagi. Lagipun Rayyan dah tak kerja dengan saya.”

“Oh okey. Hani,” ujar Rayyan dengan lembut. Dia senyum lagi. Sungguh, Hani dibuai keasyikan mendengar Rayyan memanggilnya sebegitu.

“Er... sebenarnya. Hmmm susah saya nak cakap. Ia melibatkan hati dan perasaan dan saya tak pernah rasa semua ni sehingga saya berjumpa awak Rayyan. Saya... dah jatuh hati dengan awak,” rasa tebal 3 inci muka Hani sebaik meluahkan perasaannya. Memang dia malu untuk menyatakannya namun dia telah berazam untuk meluahkan perasaannya. Sekarang dia berasa lega dan hanya menunggu jawapan daripada Rayyan.

Rayyan tersenyum riang. Apa yang disajikan di hadapannya kini seolah-olah sebuah mimpi. Dia seakan-akan tidak percaya dengan luahan hati Hani tadi. Betulkah apa yang didengarinya?

“Maksudnya... Hani sukakan saya?” soal Rayyan sambil memandang wajah Hani yang semakin memerah. Gadis itu hanya mengangguk perlahan. Wajah Rayyan turut dipandang. Senyuman Rayyan memang mahu menggugurkan jantungnya. Manis sungguh.

“Sudi tak awak menjadi suami saya?” tanpa sedar Hani melamar Rayyan.

Rayyan tersentak. Lagilah dia tidak percaya. Dunia sudah terbalik ke? Perempuan melamar lelaki. Namun senyuman Rayyan semakin melebar. Apa yang diangankannya, apa yang diimpikannya akan menjadi kenyataan. Nyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Rayyan mengangguk setuju. Hani tersenyum lega. Inilah kisah cinta mereka berdua yang pelik. Pelik tetapi tidak mustahil ianya berlaku. Semoga kedua-duanya berbahagia sehingga ke akhir hayat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...