Yang Disayangi Selalu !!!

Friday, July 13, 2012

Takdir Penentu Segalanya - Part 2



Petang ini Anisa membawa Adam bermain-main di taman permainan kanak-kanak yang terletak berhampiran rumah mamanya. Kasihan pula melihatkan Adam yang merayu-rayu untuk ke sana.

“Jomlah ma... Dah lama adik tak pergi main-main dekat taman. Adik nak main dekat taman. Jomlah,” teringat rayuan Adam yang menggelarkan dirinya adik. Tidak mahu menghampakan anak kesayangannya dia hanya menurut kata Adam. Sementelah pula pagi esok baru dia pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan Adam.

Adam kelihatan begitu teruja dan seronok sekali. Bukan senang dia hendak mendapat peluang ke taman bersama-sama dengan mamanya. Bila pulang ke rumah neneknya di Rawang inilah dia dapat merasa. Selalunya kalau di Kuala Lumpur mamanya lebih suka membawanya keluar membeli-belah. Membeli apa saja alat-alat permainan yang diingininya. Di taman permainan itu Adam bermain sepuas hatinya. Semua permainan yang ada di situ dicubanya. Selesai bermain buaian dia memanjat tangga untuk bermain gelongsor. Kemudian bermain pula papan jongkang-jongkit dengan kanak-kanak di taman permainan tersebut. Walaupun riak wajahnya kelihatan penat namun itu tidak menjadi hal. Dia sangat gembira hari ini. Anisa cuma duduk di kerusi berhampiran taman sambil memerhatikan Adam bermain.

“Adam... Dah tu. Jom kita balik,” panggil Anisa sambil menggamit ke arah Adam. Adam yang terlihat mamanya melambai ke arahnya terus berlari laju ke arah Anisa.

“Jangan lari... Nanti terjatuh!!!” jerit Anisa. Kebimbangannya memang menjadi nyata apabila Adam tersadung dan jatuh tertiarap. Wajah dan badannya telah menyembah laluan simen yang terdapat di situ. Dia menangis kuat, keperitan jelas dirasai di kedua-dua belah lutut dan kedua-dua tapak tangannya. Anisa yang semakin risau cepat-cepat berlari ke arah Adam.

“Adik okey ke? Macam mana boleh jatuh ni?” soal Hisyam yang telah terlebih dahulu datang ke arah Adam. Adam dicempung dan dibawa ke kerusi berhampiran. Anisa yang baru sampai ke arah Adam dan lelaki tersebut hanya mengekori tanpa banyak soal.

Adam didudukkan di kerusi. Kedua-dua lutut dan tapak tangannya telah luka dan mengalirkan darah merah yang pekat. Tangisannya masih kedengaran.

“Itulah... kan mama dah selalu pesan, jangan berlari. Tapi itu yang adik suka buat. Tengok ni... kan dah jatuh. Kan dah berdarah. Siapa yang sakit? Adik juga yang sakit kan?” bebel Anisa. Perasaan marah mula menyinggah di hatinya.

“Sabar puan. Jangan marah-marah. Benda dah jadi. Lebih baik kita bawa dia ke klinik,” Hisyam bersuara. Sekilas dia menoleh lama ke arah gadis yang dianggap ibu kepada kanak-kanak lelaki tersebut. Jantungnya tiba-tiba berdegup pantas. Ingatannya pada zaman persekolahan mula mengimbau. 'Nur...' Hanya nama itu yang terlintas di fikirannya. Tidak sangka dia dipertemukan semula dengan gadis tersebut. Gadis yang selama ini menjadi igauannya. Gadis yang selama ini menjadi dambaannya sejak di sekolah menengah lagi. Ah... sudah berkahwin rupanya dia. Mesti dia tak kenal siapa aku? Masakan dia kenal, sedangkan dia tak pernah tahu pun yang aku sukakan dia. Hisyam mengeluh hampa. Ternyata jodohnya dengan gadis itu tiada.

Tangisan Adam semakin kuat. Sudahlah dia terpaksa menanggung kesakitan, kena marah pula dengan mama kesayangannya.
“Sakit ke sayang... Dah la, jangan menangis lagi. Nanti mama bawa ke klinik ye,” pujuk Anisa. Menyesal pula dia memarahi Adam tadi padahal Adam sedang kesakitan. Kasihan Adam.

“Kenapa dengan dia tu papa?” soal Maisya yang tiba-tiba meluru ke arah Hisyam yang sedang duduk bersebelahan dengan Adam. Kana-kanak perempuan comel yang sebaya dengan Adam itu kelihatan cukup manja dengan Hisyam.

“Dia terjatuhlah sayang,” balas Hisyam ringkas. Rambut Maisya yang diikat ekor kuda itu dibelai lembut.

“Mesti dia main lari-lari kan? Sebab tu lah jatuh. Papa kan pernah pesan pada Maisya jangan lari-lari... takut terjatuh macam ni lah kan...” petah Maisya berkata-kata.

Hisyam sekadar mengangguk. Bimbang jika kepetahan Maisya sedikit sebanyak mengguriskan hati anak beranak di hadapannya ini.

“Terima kasih banyak-banyaklah encik. Biar saya bawa anak saya ni ke klinik dulu,” Anisa ingin meminta diri. Tidak disangkanya yang menolong Adam tadi adalah suami orang. Comel anak perempuannya. Mesti isterinya pun cantik juga.

“Eh tak apalah, biar saya yang dukung Adam. Lagipun dia tak boleh berjalan tu. Lututnya luka,” Hisyam sudah mula bangun. Niatnya untuk membawa Adam ke klinik berhampiran. Namun Anisa menolak keras. Adam telah didukungnya terlebih dahulu dan dia berjalan menuju ke kereta meninggalkan Hisyam terkebil-kebil keseorangan. Masakan dia hendak membiarkan suami orang membantu anaknya. Takut pula akan menimbulkan cemburu di hati isteri lelaki tersebut walaupun niatnya ikhlas ingin membantu. Lagipun dia bukannya kenal lelaki itu.

Hisyam cuma merelakan pemergian Anisa dengan pandangan yang sayu. Anisa dipandang lama sehinggalah dia hilang dari pandangan. Perasaan rindu yang disimpan selama ini semakin menjadi-jadi apabila bertemu dengan Anisa semula. Gadis yang dalam diam telah membuatkan jiwa lelakinya tidak tentu arah. Anisa muda 4 tahun dari dirinya. Sewaktu Hisyam di tingkatan 5, Anisa baru saja tingkatan 1. Kelembutan wajahnya membuatkan Hisyam tertarik, tutur katanya yang lembut membuatkan Hisyam jatuh hati, kesopanan dan kesantunannya menyebabkan Hisyam sering mendambakan gadis itu menjadi suri hidupnya. Dalam diam dia merisik tentang gadis tersebut. Nur Anisa namanya. Hisyam lebih gemar menggelarkan gadis itu sebagai Nur. Cahaya yang sentiasa menerangi jiwanya.

“Siapa tu angah,” sapaan Ika mengejutkan Hisyam dari lamunan yang panjang. Sedikit tersentak namun dia masih menghadiahkan segaris senyuman manis buat kakak kesayangannya.

“Kawan lama,” ringkas Hisyam menjawab. Betulkah kawan lama? Sedangkan dia dan Anisa tidak pernah berkawan, tidak pernah bersua muka, tidak pernah saling berbicara. Hanya dirinya menjadi pencinta yang setia.

“Kawan lama? Tak pernah kenal pun,” Ika hairan. Apabila melihat raut wajah keruh Hisyam hatinya seakan-akan dapat meneka siapakah gadis yang mempunyai anak kecil itu di hati adiknya. Mungkin gadis itulah yang menyebabkan Hisyam masih lagi membujang sehingga sekarang, walaupun telah berbuih mulut ibu mereka menyuruhnya mendirikan rumah tangga.

“Mama beli ais krim untuk Maisya je ke? Untuk papa tak ada ke?” soal Maisya apabila terlihatkan kon Drumstick coklat di tangan mamanya. Lantas ais krim itu diambil dan dibuka pembalutnya.

“Papa dah besar, mana boleh nak makan ais krim ni. Nanti papa sakit gigi. Gigi papa banyak lubang tau,” Hisyam cuma tersenyum mendengar penerangan Ika. Giginya yang putih dan tersusun cantik itu dikatakan berlubang pula.

“Mari sini papa tolong bukakan.” Ais krim yang dipegang Maisha mula beralih arah. Kasihan pula Hisyam melihat anak saudaranya yang terkial-kial ingin membuka pembalut ais krim tersebut. Bertambah kasihan dengan nasib yang menimpa kedua beranak itu. Ika diceraikan oleh suaminya ketika 5 bulan mengandungkan Maisha. Oleh sebab itulah Maisha memanggilnya papa. Supaya Maisha tidak terasa akan ketiadaan papanya.

***

“Ish... lambat betullah bos baru ni. Kata nak datang sebelum tengah hari, ni dah pukul 1 dah tapi tak sampai-sampai lagi. Memang tak punctual betullah. Macam manalah boleh jadi bos kan?” Husna membebel. Perutnya dari tadi berdondang sayang menahan lapar. Maklumlah dari pagi tadi dia tidak makan. Kononnya hendak makan besar sempena jamuan untuk menyambut kedatangan bos baru mereka hari ini.

“Sabarlah, kejap lagi sampailah tu,” sampuk Anisa. Matanya dijamukan dengan memerhatikan staf-staf FM Holding yang lain yang turut berada di dalam dewan tersebut. Bermacam-macam gelagat yang dipertontonkan. Semua saling berbual dan bersembang sesama sendiri. Gamat sungguh. Suasana yang riuh tadi tiba-tiba bertukar sunyi bagi menyambut ketibaan bos baru FM Holding. Arisa menoleh ke arah pintu masuk dewan. Terpandangkan saja lelaki yang berkot hitam dan bertali leher berjalur hitam putih itu membuatkan hatinya tiba-tiba saja berkocak hebat. Debaran di dadanya semakin memuncak bila lelaki itu semakin menghampirinya. Benarkah apa yang aku nampak sekarang ini ataupun mata ini sekadar menipu? Ataupun aku sedang berhalunisasi? Husna di sebelah dipandang sekilas. Ternyata pandangan matanya tidak berbohong apabila melihat Husna terlopong sama.

Jantungnya seakan-akan mahu gugur apabila jejaka kacak itu menghulurkan senyuman manis kepadanya. Walaupun sekejap cuma namun terasa dirinya tidak berpijak di bumi nyata. Terasa mahu pitam saja lagaknya. Lelaki segak itu terus mengatur langkah dengan yakin menuju ke pentas. Sepatah dua kata diucapkan sebelum mereka semua menjamu selera dengan hidangan yang disediakan.

“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” soal Husna. Anisa di sebelah direnung tajam. Dari tadi rakannya itu tidak lepas-lepas membuang pandang ke arah bos baru mereka. Dia dapat menebak apa yang dirasai oleh Anisa. Memang seiras. Bentuk wajah, ketinggian dan juga ketegapan badan Arif Iskandar sama seperti arwah suami Anisa. Tidak ada apa yang berlainan. Seolah-olah di hadapan mereka sekarang ini adalah Danial yang dihidupkan semula. Pelanduk dua serupa gamaknya.

“Nisa... kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?”

“Aaa... Kau cakap dengan aku ke?” Anisa seolah-olah terkejut dari khayalan yang diciptanya sebentar tadi. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya dari terus-terusan terpaku pada Aris Iskandar.

“Apa yang kau fikirkan?” Husna ingin tahu.

Anisa diam. Sepatah pun tidak menjawab. Nasi berlauk yang terhidang di pinggan tidak mampu dihabiskan. Fikirannya terarah pada apa yang berlaku kini. Apakah makna semuanya ini? Adakah ini semua petunjuk dari Allah supaya dia mencari pengganti Danial? Adakah Aris Iskandar dicipta untuknya? Ah... mungkin ianya satu kebetulan, tetapi kenapa dadanya berdebar-debar bila terpandangkan Aris. Jantungnya seolah-olah ingin meloncat keluar dari dadanya. Semuanya gara-gara Aris Iskandar. Mungkinkah dia sudah jatuh cinta? Ah... tak mungkin. Takkan semudah itu dia boleh jatuh cinta, tetapi perasaan ini adalah perasaan sama seperti yang dirasai ketika bersama-sama arwah suaminya dahulu. Anisa buntu, jawapan yang dicari tidak ditemui.

***

Wednesday, July 11, 2012

Takdir Penentu Segalanya - Part 1




Anisa merenung lama wajah Adam yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya. Wajah anak lelaki tunggalnya yang baru menginjak 4 tahun. Wajah yang saling tumpah mengikut arwah papanya. Seiras sangat. Daripada keningnya yang terbentuk lebat, mata yang bundar, hidung mancung terpacak dan bibir yang tipis sering kali mengingatkan Anisa pada Danial. Perasaan sayang dan rindunya pada lelaki itu tidak pernah pudar, walaupun hampir 3 tahun pemergiannya menghadap Yang Maha Esa.

“Abang... rindunya Nisa pada abang. Kenapa abang pergi dulu dari Nisa? Kenapa abang tinggalkan Nisa dan Adam sendirian?” tanpa disedari tubir matanya telah bergenang dengan mutiara jernih. Dia menangis lagi. Setiap kali perasaan rindu pada arwah suaminya menerpa sudah pasti dia bertemankan air mata. Perasaan rindu yang mendalam dan membuak-buak. Disebabkan perasaan itu jugalah sehingga sekarang dia masih belum redha dengan pemergian Danial. Walaupun itu semua telah ketentuanNya. Jodoh, hidup dan mati telah ditetapkan oleh Allah. Anisa bukan tidak sedar tentang itu, tetapi hatinya begitu keras mendangkal. Sukar untuknya menerima pemergian insang tersayang. Dalam hatinya hanya terpahat nama Danial seorang saja.

***
“Adam tidur lagi ke Nisa?” soal Puan Dina yang sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Nasi goreng yang hampir masak di kuali dikacau-kacau.

Anisa yang baru turun ke dapur tidak lupa membantu dengan menyediakan air kopi. Teko kosong yang terletak di atas rak diambil. Tangannya ligat mencapai gula dan serbuk kopi.
“Adam tu penat sangat agaknya ma. Malam tadi dia tidur lewat. Sebab tu lah liat nak bangun pagi.”

“Jangan dibiarkan dia tidur lewat sangat. Budak-budak sebaya dengan dia tu kena tidur awal. Barulah pembesaran mereka tak terbantut,” bebel Puan Dina. Nasi goreng yang telah siap dimasak dikauk ke dalam mangkuk dan diletakkan di atas meja. Dia seterusnya mengambil tempat di kerusi berhadapan dengan Anisa yang sudah sedia duduk.

“Nisa dah suruh dia tidur awal semalam, tapi dia sibuk bermain dengan mainan robot yang baru Nisa beli hari tu. Dah puas pujuk, tapi tak reti-reti nak tidur juga. Last-last Nisa pun main sekali dengan dia,” Anisa tergelak kecil mengingatkan keletah Adam malam tadi. Dipaksa dirinya untuk bermain sama. Nak tak nak terpaksalah Anisa menurut. Kasihan melihatkan anak tunggalnya yang tidak berteman. Tidak ada adik beradik lain. Kalau arwah Danial masih ada, sekurang-kurangnya Adam dapat merasakan kasih sayang seorang ayah. Dalam diam dia mengeluh. Arwah Danial juga yang bermain di ingatannya.

“Nisa tak teringin nak cari pengganti ke? Kasihan mama tengok Adam tu. Tak merasa kasih sayang seorang ayah. Kalau Nisa berkahwin lain sekurang-lurangnya dia dapatlah ayah baru. Lagipun kamu tu muda lagi. Baru 27 tahun, boleh lagi tu kalau nak kahwin lain,” usul Puan Dina. Raut wajah Anisa yang tiba-tiba keruh dipandang dengan rasa serba-salah. Menyesal pula dia membicarakan hal tersebut. Tetapi dia merasa kasihan dengan cucunya yang seorang itu. Bukan tidak ada rakan-rakannya yang merisik bertanyakan Anisa untuk dibuat menantu, namun dia tidak ada jawapan yang sesuai untuk diberikan. Dia tahu sukar untuk Anisa melupakan arwah Danial.

“Apa tak cukup ke kasih sayang yang Nisa beri pada Adam ma? Walaupun Nisa hanya mamanya tapi kedua-dua kasih sayang seorang ibu dan ayah Nisa curahkan sepenuh hati pada Adam. Tak pernah kurang walau sedikitpun. Dan kasih sayang yang suci dan tulus yang Nisa curahkan ini akan membuatkan Adam tak terasa langsung yang dia tidak memiliki seorang ayah,” bidas Anisa. Naik cuak dengan kata-kata mamanya tadi.

“Itu kata kau Nisa, tapi hati Adam kita tak tahu. Kasih sayang seorang ayah tu tak sama dengan kasih sayang seorang ibu. Lagipun sampai bila Nisa nak pegang status janda muda ni? Kawan-kawan mama ramai yang bertanyakan Nisa, nak dibuatkan menantu.”

“Salah ke kalau memegang status sebagai janda ni ma? Janda pun manusia juga. Cakap terima kasih je lah dekat kawan-kawan mama tu. Tak ada orang lain yang boleh menggantikan tempat Danial. Diri Nisa hanya milik Danial seorang. Hanya Danial seorang ma...” Anisa merintih. Hatinya tiba-tiba dipagut sayu. Kenapa mamanya tidak faham dengan hati dan perasaannya yang masih lagi terlekat kuat pada arwah Danial. Ikatan yang diikat oleh Danial begitu utuh tersimpul rapi, tidak ada sesiapa yang mampu merungkainya.

“Tapi Danial dah tak ada Nisa... Dah 3 tahun arwah pergi meninggalkan kita. Sampai bila Nisa nak seksa diri sendiri? Cubalah buka pintu hati tu untuk mencintai orang lain. Berilah peluang yang terbaik untuk Adam.”

“Danial tetap ada ma... Tetap ada di hati Nisa dan hati Nisa ni dah tertutup untuk orang lain. Tertutup untuk selama-lamanya.”

Puan Dina hanya mampu menggeleng kepala. Anisa cukup keras hati, mungkinkah ada lelaki yang mampu meruntuhkan dan membuatkan hati anak perempuannya terusik lagi? Dia sendiri tidak tahu jawapannya namun dia hanya mampu berdoa agar Anisa terbuka hati untuk menerima orang lain.

***

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...