Yang Disayangi Selalu !!!

Wednesday, August 24, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri


As salam...
Sedar tak sedar kita dah nak sampai di penghujung Ramadan. Minggu depan dah nak raya..
Di kesempatan yang ada ini tinta nak ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Hari ini last kerja, InsyaAllah esok dah nak balik kampung...
Tak sabar rasanya...
Minta maaf ye, minggu ini tidak ada entri baru, mood nak sambut raya berkobar-kobar..
InsyaAllah lepas raya tinta akan usahakan... 
Jom... balik kampung... 













Tuesday, August 23, 2011

Bersatu Akhirnya


Sekarang ni tengah buat entri untuk majlis perkahwinan Syafiqah dan Ikram.. Akhirnya mereka disatukan juga sebagai suami isteri..


Di saat Ikram menyarungkan cincin perkahwinan mereka


Cincin perkahwinan Ikram dan Syafiqah


Kebahagiaan yang semakin nyata


Semoga kekal selamanya.



Hihihi... sebenarnya saje upload gambar2 nie... Nak cari feel untuk menulis.. <3

Sunday, August 14, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 25



“Nanti tolong betulkan quotation ni. Ada sikit type errorlah,” arah Ikram sambil memberikan kertas sebut harga tersebut kepada Syafiqah.

Syafiqah yang sedang khusyuk menyemak fail menoleh ke arah Ikram yang berdiri di hadapan meja kerjanya. Sebut harga yang dihulurkan oleh Ikram diambil dan dia melihat sekilas.

“Ye ke ada silap. Tapi tadi saya dah check betul-betullah. Mana ada tersilap,” terang Syafiqah hairan.

Lebih kurang tiga kali dia menyemak sebut harga tersebut sebelum diberikan kepada Ikram, memang tidak ada kesilapan. Ikram yang sedang tersengih memandangnya direnung dengan galak.
'Ni mesti nak kenakan aku ni,' fikir Syafiqah.

“Betul Cik Syafiqah. Ada mistake. Banyak pula tu. Cuba check betul-betul. Agaknya Cik Syafiqah mengelamun semasa buat kerja tak? Teringat dekat tunang ke, rindukan tunang ke. Maklumlah sikit lagi kan nak berkahwin,” gurau Ikram sambil menahan gelak.

Syafiqah cuma mencebik. Geramnya dengan Ikram. Kalau saat ini mereka berada di dalam bilik Ikram, sudah pasti cubitan halus melekat di lengan Ikram. Memandangkan mereka berada di pejabat Syafiqah cuma mampu merungut di dalam hati. Terpaksalah berlagak ala-ala formal sedikit. Kalau tidak, apa pula kata staf Global Engineering Holding yang lain.

“Tak apalah Encik Ikram. Saya cuba semak semula.”

“Yes... Itulah yang saya mahu. Saya nak pergi toilet dulu. Nanti dah balik dari toilet saya nak awak dah siap check. Okey Cik Syafiqah,” arah Ikmal sambil mengenyitkan mata kirinya dengan salamba. Dia kemudiannya terus berlalu menuju ke bilik air.

Eeee mengadanya dia ni. Nak pergi toilet pun nak bagitahu aku ke. Rungut Syafiqah. Sambil itu dia membelek-belek sebut harga tersebut. Setiap patah perkataan yang ada diperhatikan satu-persatu. Tidak pula ada kesilapan seperti yang diperkatakan oleh Ikram. Memang betul Ikram cuma mahu mengenakannya.

“Hai, sibuk ke. Maaflah kalau mengganggu,” kedengaran suara yang cukup dikenali menegurnya.

Syafiqah menoleh. Terlihat Amalina yang sedang tersenyum manis berhampirannya.
“Hai Alin. Tak sangka Alin datang sini. Tak adalah sibuk sangat, ada kerja sikit je,” balas Syafiqah.

Memang dia tidak menyangka kedatangan Amalina ke Global Engineering Holding. Tambahan pula pada waktu kerja sebegini. Tetapi dia tahu akan maksud kedatangan Amalina.

Amalina kelihatan mencari-cari sesuatu dari dalam beg tangannya.
“Sekejap ye Fiqa. Alin nak pulangkan telefon bimbit Fiqa. Semalam tercicir dekat dalam kereta,” terang Amalina.

“Yelah. Fiqa pun tak perasan semalam. Nasib baik tercicir dekat dalam kereta Alin. Kalau terjatuh dekat tempat lain, habislah Fiqa.”

“Haaa... jumpa pun. Nah, lain kali jangan cuai sangat tahu. Nanti silap-silap... tunang sendiri pula yang tercicir. Hihihi,” Amalina cuba bergurau. Bahu Syafiqah ditepuk perlahan.

“Eee... Kalau bab tunang ni sensitif sikit. Takkan Fiqa bagi dia tercicir ataupun dia mencicirkan diri sendiri. Belum sempat tercicir Fiqa dah tangkap. Hihihi.”

Kedua-duanya tergelak sambil menahan geli hati.

Ikram yang baru balik dari bilik air cuma memerhatikan Syafiqah dan seorang gadis sedang berbual rancak. Wajah gadis tersebut tidak dapat dilihatnya kerana membelakangi Ikram. Ikram berjalan perlahan menuju ke arah mereka. Teringin juga dia mencelah dan menyampuk seketika.

“Haiii... Rancak berbual. Cik Syafiqah dah check ke quotation tadi?” soal Ikram apabila tiba ke arah mereka.

Syafiqah dan Amalina yang sedang rancak berbual tiba-tiba terhenti. Syafiqah tersenyum memandang Ikram yang sudahpun berada di hadapannya.

“Dah siap Encik Ikram. Bukan setakat double check, tapi dah triple check saya buat. Tak adalah pula saya nampak kesilapan. Mungkin Encik Ikram tersilap tengok kot,” perli Syafiqah sambil memberikan quotation tersebut kepada Ikram.

Ikram mengambil quotation yang dihulurkan Syafiqah tanpa banyak bicara. Jantungnya berdegup kencang sebaik sahaja terpandangkan gadis yang menjadi kawan Syafiqah. Walaupun matanya jelas dapat menangkap wajah tersebut namun hatinya begitu keras menafikan. Menafikan sekeras-kerasnya bahawa gadis tersebut adalah Amalina. Cinta pertamanya. Gadis ini jugalah yang dilihatnya di lobi semalam.

“Ah... Lupa pula saya nak kenalkan. Encik Ikram, ni kawan saya Amalina. Alin, ini Pengurus Projek di sini Encik Ikram,” Syafiqah memperkenalkan mereka berdua.

Amalina seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang ini. Lelaki yang selama ini dirinduinya berada di depan mata. Masih kacak, malahan bertambah-tambah kacak dari dahulu. Perasaannya cukup berdebar-debar sebaik sahaja matanya bertentangan dengan anak mata Ikram. Terasa ingin sahaja dia melutut di hadapan Ikram. Menyatakan permohonan maaf yang menggunung kerana meninggalkan Ikram dahulu. Ingin dia memohon Ikram memberikannya peluang untuk bertakhta di hati lelaki itu semula. Sesungguhnya dia masih lagi punya rasa, rasa sayang dan cinta yang mendalam terhadap Ikram. Dan perasaan itu semakin nyata setelah dia berjumpa semula dengan Ikram.

“Hai, saya Amalina. Just call me Alin,” Amalina menghulurkan tangannya ke arah Ikram.

Ikram menjadi tidak keruan. Serba salah untuk menyambut huluran tangan Amalina atau tidak. Senyuman Amalina masih sama, cuma wajahnya sedikit berubah. Semakin cantik berbanding sewaktu mereka berkawan dahulu. Memang betullah gadis ini adalah Amalina, bekas kekasih Ikram. Ikram mengeluh di dalam hati. Kenapa dia dipertemukan semula dengan Amalina? Kenapa Amalina menjadi kawan baik Syafiqah? Kenapa? Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya sekarang ini.

“Ikram,” balas Ikram dengan menyambut juga huluran tangan Amalina. Terasa ada getar di dadanya saat jari-jemari mereka bersentuhan.

Amalina tersenyum manis. Hatinya cukup gembira kerana akhirnya dia dapat juga berjumpa dengan Ikram. Perasaan gembiranya tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

“Err, tak apalah. Saya masuk dulu. Teruskanlah perbualan ye,” Ikram meminta diri.

Tidak sanggup dia berlama-lama di situ. Berhadapan dengan dua orang gadis yang mempunyai kaitan dalam hidupnya. Seorang bekas kekasihnya dan seorang lagi kekasihnya yang akan menjadi isterinya tidak lama lagi. Ikram bungkam. Syafiqah perlu dihalang daripada terus berkawan dengan Amalina. Dia tidak mahu mereka berkawan rapat. Sedikit sebanyak ianya akan menggugat hubungannya dengan Syafiqah. Ikram sendiri tidak pasti bagaimanakah perasaannya terhadap Amalina. Begitu susah dan sukarnya dia melupakan gadis tersebut, alih-alih gadis itu muncul semula.

********

Amalina tersenyum riang memikirkan pertemuannya dengan Ikram tadi. Sungguh tidak sangka bahawa dia dan Ikram bekerja di bangunan yang sama. Tidak sia-sia Amalina memohon jawatan sebagai jurutera di JS Robot Malaysia ini. Walaupun jawatan itu memerlukan komitmen yang tinggi, terpaksa bertugas di site, terpaksa berjumpa dengan pembekal tetapi ia nyata amat berbaloi. Sememangnya ia membawa tuah di dalam hidupnya.

Dia ingin berkongsikan kegembiraanya dengan Syafiqah. Semasa berjumpa dengan Syafiqah tadi dia tidak sempat menyampaikan berita gembira tersebut, maklumlah terlalu teruja sangat. Mungkin disebabkan berkat dari doa Syafiqah menyebabkan Amalina akhirnya dipertemukan semula dengan Ikram. Lantas dia mendail nombor telefon bimbit Syafiqah.

“Hello, Fiqa!!!” jeritnya riang.

“Eh Alin. Kenapa ni. Sound happy je. Something interesting ke?” teka Syafiqah. Dia baru sahaja selesai membuat salinan beberapa helai drawing yang diminta oleh Ikram.

“Yes... I'am happy. Sangat-sangat happy. Alin rasa macam mimpi saja. Macam tak percaya saja,” luah Amalina dengan gembira.

“Wow ye ke. Fiqa nak juga tumpang kegembiraan itu. Apa yang membuatkan Alin happy semacam ni?” soal Syafiqah. Tidak sabar-sabar pula dia mendengarkan berita gembira yang ingin disampaikan oleh Amalina.

“Fiqa... Alin dah jumpa dia. Alin dah jumpa dia.”

“Maksud Alin. Ex boyfriend Alin dulu ke. Wow bestnya. Memang macam tak percaya je. Tengok, doa Fiqa jadi kenyataan kan,” Syafiqah turut gembira mendengarkan perkhabaran tersebut. Tidak sia-sia dia berdoa supaya Amalina dipertemukan dengan bekas teman lelakinya.

“Yes... Terima kasih Fiqa. Doa Fiqa memang dah jadi kenyataan. Alin happy sangat-sangat. Dan apa yang Alin tak sangka tu, dia juga bekerja di bangunan ini. Unbelieveable tapi inilah kenyataan.” Amalina tersenyum lagi.

“Bekerja satu bangunan dengan kita. Wow... Memang tak sangka. Alin tahu tak, jodoh Alin dengan dia cukup kuat. Sebab itulah boleh berjumpa semula, dan ditakdirkan berkerja satu bangunan pula tu. Memang dia dah ditakdirkan untuk Alin. Fiqa gembira sangat mendengarnya. So, bila nak kenalkan Fiqa dengan dia?”

“Emmm... Nantilah. Bila Alin dah berjaya merebut hatinya semula barulah Alin kenalkan dengan Fiqa. Buat masa sekarang ni, Alin pun segan nak introduce. Alin kena cuba untuk ambil hati dia dulu. Maklumlah Alin dah buat dia terluka kan,” sedikit nada kesal terlontar dari lubuk hatinya. Mengapalah dahulu dia tergamak meninggalkan Ikram.

“Yelah Alin. Tak apalah, benda yang lepas tu jangan dikenang. Buat masa sekarang Alin kena berusaha menawan hatinya semula. Buat sampai dia terpikat pada Alin. InsyaAllah kalau Alin bersungguh-sungguh pasti ia akan mendatangkan hasil,” nasihat Syafiqah.

“Hmmm betul tu. Alin ikut nasihat Fiqa. Eh, tadi masa Alin pergi ofis Fiqa, kenapa Fiqa tak kenalkan Alin dengan tunang Fiqa. Nak jugalah berkenalan dengan dia. Mesti hensem orangnya kan,” teka Amalina. Mungkin sebab terlalu gembira sangat tadi sampai dia pun terlupa bertanyakan tentang tunang Syafiqah.

“Emmm... Nantilah. Fiqa akan kenalkan pada Alin bila Fiqa dah sah menjadi isteri dia. Semasa majlis perkahwinan Fiqa nanti. Barulah 'surprise' sikit. Alin jangan lupa datang tahu. Tak lama lagi dah. Sebulan dari sekarang.”

“Kalau Fiqa dah kata macam tu okeylah. Jangan lupa kenalkan pada Alin nanti ye. Majlis perkahwinan Fiqa of courselah Alin akan datang. Alin akan bawa hadiah yang besar-besar untuk Fiqa. Eh okeylah Fiqa. Bos Alin dah masuklah,” ujar Amalina apabila terlihatkan kelibat Encik Halim yang sedang memasuki biliknya.

“Okey, baii.” Talian diputuskan.

Amalina meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Sekarang dia perlu memikirkan bagaimanakah caranya untuk dia memikat semula hati Ikram. Tertanya-tanya juga dia samada Ikram masih solo ataupun sudah berpunya. Tetapi andai kata Ikram sudah berpunya sekalipun Amalina tidak teragak-agak untuk memilikinya. Ikram adalah kebahagiaannya dan dia akan berusaha untuk memiliki kebahagiaan tersebut. Walaupun digelar perampas, dia tidak kisah.

********

“Kenapa ni senyum sorang-sorang? Ada good news ke?” tegur Encik Halim yang tiba-tiba datang ke arah Amalina.

“Arhh, Encik Halim. Terkejut saya. Tak ada apa-apalah,” jelas Amalina yang nyata terkejut dengan kehadiran lelaki tersebut di tempatnya. Tadi dilihatnya lelaki itu memasuki biliknya. Lelaki yang berumur dalam lingkungan separuh abad itu dipandang dengan rasa hormat.

“Macam mana tak terkejut. Asyik tersenyum saja, mesti tengah mengelamun ni,” teka Encik Halim lagi.

“Hihihi, tak adalah,” Amalina menafikan. Takkanlah dia hendak memberitahu Encik Halim yang dia sangat gembira kerana telah berjumpa dengan bekas kekasih lamanya pula. Dia tidak mahu urusan peribadinya menjadi bahan cerita orang lain.

“Tak apalah, kalau tak nak beritahu pun tak apa,” Encik Halim tidak memaksa. Fail nipis yang berwarna kuning yang dipegangnya dihulurkan kepada Amalina.

“Ni ada projek baru. Projek dari Federal Instrument Sdn Bhd. Untuk memasang robot tangan di kilang mereka. Saya harap awak boleh handle projek ini. Kalau ada yang tidak faham awak boleh bertanyakan kepada saya. Ataupun kepada engineer-engineer lain di sini,” arah Encik Halim.

Amalina membelek-belek isi kandungan fail tersebut. Inilah pertama kali dia diberikan tugas untuk menguruskan satu projek. Sebelum ini dia cuma membantu jurutera yang lain sahaja dalam menyiapkan projek mereka. Nampaknya Encik Halim telah memberikan kepercayaan kepadanya. Amalina berjanji akan menguruskan projek tersebut dengan jayanya.

Sebaik kesemua isi kandungan fail tersebut telah diteliti, Amalina mendapat satu idea. Dia tahu bagaimana caranya untuk merapatkan diri dengan Ikram. Dia akan meminta khidmat syarikat Ikram dalam melaksanakan projek tersebut. Dengan cara itu sudah pasti dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama-sama dengan Ikram. Peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mengambil hati Ikram. Supaya mereka dapat bersama semula. Amalina tersenyum riang, begitu yakin rancangannya akan berjaya.

********

“Macam mana dengan kawan Fiqa tadi. Okey tak?” soal Syafiqah sambil menyuap nasi berlauk ke mulut.

Saat ini mereka sedang menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran berdekatan dengan Global Engineering Holding. Wajah Ikram ditatap dengan tenang sambil menunggu jawapan yang keluar dari mulut Ikram.

“Bolehlah,” jawab Ikram ringkas.

Cukup malas membicarakan sesuatu yang berkaitan dengan Amalina. Kalau boleh dia tidak mahu mengingati gadis tersebut. Setiap kali nama Amalina disebut, setiap kali jugalah kenangan manis dan pahit bersamanya seperti berlegar di ingatan.

“Bolehlah je. Hmmm,” Syafiqah mencebik.
“Ik tahu tak, Alin tu kan dia dah jumpa dengan ex boyfriend dia,” ujar Syafiqah lagi. Teringin dia berkongsi kegembiraan Amalina bersama-sama dengan Ikram.

“Tahu,” balas Ikram sepatah. Masakan dia tidak tahu, padahal dialah bekas teman lelaki Amalina. Lelaki yang ditinggalkan oleh Amalina kerana terkejarkan lelaki lain yang lebih kaya darinya. Hatinya pedih bila mengingati itu semua.

Syafiqah hairan, macam mana pula Ikram boleh tahu, padahal dia baru sahaja ingin memberitahu Ikram. Sepatutnya Ikram akan menjawab “oh ye ke” ataupun “tak tahu”.

“Macam mana pula Ik tahu?”

“Dah sayang yang bagitahu kan,” Ikram cuba menutup kesilapannya tadi.

Bimbang pula kalau Syafiqah mengesyaki yang bukan-bukan. Kalau Syafiqah mengetahui bahawa dirinya adalah bekas teman lelaki Amalina, bagaimanakah reaksi Syafiqah? Sudahlah Syafiqah sekarang berkawan baik dengan Amalina. Hendak berterus-terang dengan Syafiqah, dia rasa serba salah pula. Ini adalah kerana Syafiqah telahpun mengenali Amalina. Kalau tidak kenal tu lainlah cerita. Hai, pening Ikram memikirkannya.

“Hmmm never mindlah. Ik tahu Alin tu kan seronok sangat sebab dapat jumpa semula dengan bekas teman lelaki dia. Yang paling tak sangka tu, lelaki tu pun kerja di sini. Macam tak percaya je kan,” ujar Syafiqah dengan riak wajah yang gembira.

Ikram pula cukup panas telinga mendengarkan cerita Syafiqah. Kenapalah Syafiqah ni suka sangat berkawan dengan Amalina. Entah apa kebaikan yang dilihat oleh Syafiqah pada Amalina pun dia tidak tahu. Nampaknya dia memang perlu menyekat Syafiqah daripada terus berkawan dengan Amalina.

“Kalau boleh Ik tak nak sayang berkawan dengan Alin tu,” kata-kata yang berbaur arahan dari Ikram.

“Kenapa pula Ik cakap macam tu?” soal Syafiqah hairan.

Selama ini Ikram cuma menyekat dia dari berkawan dengan Khairil, itu Syafiqah boleh terima. Disebabkan Khairil adalah seorang lelaki dan sering mengganggu hubungannya dengan Ikram. Tetapi kali ini, Ikram menyekat pergaulannya dengan Amalina pula. Mesti ada sebab kenapa Ikram menyuruhnya berbuat sedemikian. Syafiqah tidak berpuas hati, selagi alasan yang munasabah tidak diberikan oleh Ikram.

“Ik cakap jangan kawan tu, jangan kawanlah,” tegas Ikram lagi.

“Tapi kenapa pula? Sebab apa Fiqa tak boleh kawan dengan Alin. Dia tu kawan Fiqa, perempuan pula tu. Ik tak bolehlah nak sekat pergaulan Fiqa pula,” bidas Syafiqah. Wajahnya yang ceria tadi telah menjadi suram. Arahan Ikram memang tidak masuk akal. Belum berkahwin lagi tetapi telah cuba menyekat kebebasannya berkawan.

“Ramai lagi orang lain yang sayang boleh kawan. Dekat ofis tu Nina kan ada. Sherli dan Zaitun. Sayang kan boleh berkawan dengan dia orang.”

“Memanglah Fiqa kawan dengan dia orang. Tapi tak salahkan berkawan ramai-ramai ni. Fiqa nak Ik berikan alasan dan sebab yang munasabah, kenapa Ik tak bagi Fiqa berkawan dengan Alin,” pinta Syafiqah. Arahan Ikram tidak akan dipatuhinya.

“Apa yang baik sangat dengan Alin tu sampai sayang suka sangat berkawan dengan dia?” soal Ikram.

Terasa dadanya turun naik dengan laju saat ini. Marah kerana Syafiqah tidak mahu menurut katanya. Syafiqah meminta sebab dan alasan, mustahil dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya kepada Syafiqah.

“Habis tu... Apa pula yang buruknya pada Alin tu sampai Ik tak bagi Fiqa berkawan dengan dia?” perli Syafiqah.

Ikram buntu. Tidak mahu kerana Amalina, dia dan Syafiqah bergaduh pula.

“Okeylah, terpulanglah. Tak kisahlah kalau sayang nak kawan dengan dia juga. Ik takkan ambil tahu,” Ikram malas berbicara dengan lebih lanjut.

Saki baki makanan di pinggan dihabiskan. Kepalanya terasa cukup sesak dengan masalah. Dia tidak mahu kehadiran Amalina mengganggu hubungannya dengan Syafiqah. Dia tidak pasti tentang perasaannya pada Amalina, namun dia takut perasaan sayang yang terkubur selama ini akan bercambah semula. Sesungguhnya cinta pertama itu memang sukar untuk dilupakan.


P/s... Bab 25 merupakan entri terakhir tinta pos di blog... Syafiqah dan Ikram akan bertemu anda semua dalam versi cetak.. InsyaAllah.. Teruskan menyokong BHDS.... Tanpa sokongan anda semua, siapalah tinta... Love you guys... Muuaaahhh.. :)

Tuesday, August 9, 2011

Suka Atau Tidak?



As salam..

Selamat pagi dan selamat berpuasa...

Suka atau tidak? Persoalan yang ingin tinta tanyakan kepada pembaca Bila Hati Dah Sayang dan Aku Suka Kau Benci Apa Kes?

Apa pendapat anda kalau kedua-dua novel ini diterbitkan dan dibukukan?
Suka ke atau tak suka ke, atau cukup sekadar pos di blog sahaja..

Sebenarnya tinta dah lama dapat offer untuk kedua-dua novel tersebut diterbitkan daripada pihak penulisan2u. Alhamdulillah, berita gembira bagi tinta.

Sebelum ini tinta tak pernah terfikir pun untuk membukukan cerita yang tinta buat, tapi bila dapat offer tu ia merupakan satu peluang yang tak patut dilepaskan.

Dalam perancangan Bila Hati Dah Sayang akan diterbitkan hujung tahun ini, dan Aku Suka Kau Benci Apa Kes? awal tahun hadapan. Tapi itu hanya perancangan sahaja... Memandangkan sekarang ini manuskrip pun masih belum siap sepenuhnya..

Kalau anda suka e-novel ini dibukukan, doa-doakanlah semoga tinta dapat menyiapkan manuskrip penuh dengan jayanya.. Sebab, sebelum ini tinta hanya menulis bila datangnya idea sahaja.. Terasa macam susah pula nak siapkan manuskrip penuh.. Doa-doakanlah tinta ye..

Tapi apa-apa pun tinta nak dengar pendapat pembaca semua... Suka atau tidak

Sudi-sudikan jawab ye.. <3





Sunday, August 7, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 24

“Hai... Menungkan apa tu? Fiqa masuk pun tak sedar,” Syafiqah memetik jari di hadapan muka Ikram yang sedang mengelamun. Dari tadi dia mengetuk pintu bilik Ikram tetapi tidak ada jawapan, sudahnya dia masuk sendiri tanpa dipelawa.

Tersentak kecil Ikram dibuatnya lantas mengurut perlahan dadanya.

“Bila masa sayang masuk. Ik tak sedarpun. Sayang tak ketuk pintu dulu ke?” soal Ikram sambil menyandarkan badannya ke kerusi. Wajah insan kesayangan dipandang dalam-dalam. Senyuman halus terpamer di wajah kacaknya.

“Fiqa ketuk pintulah. Dah naik sakit tangan ni tahu tak? Orang kat dalam ni yang tak dengar, ataupun buat-buat tak dengar,” perli Syafiqah lantas mengambil tempat duduk di hadapan Ikram. Wajah kacak Ikram dipandang dalam-dalam.

Ikram tertawa halus. Wajah Syafiqah yang memuncung membuatkan hatinya terusik. Memang tadi dia tidak sedar langsung dengan ketukan di pintu. Fikirannya jauh melayang-layang. Memikirkan tentang kebenaran yang dilihatnya sebentar tadi. Kelibat seorang gadis yang kelihatan sedang menunggu seseorang di lobi tadi membuatkan jiwanya sedikit tidak keruan. Benarkah dengan apa yang dilihatnya ataupun sekadar ilusi semata. Tetapi terasa seperti mustahil pula, kerana gadis yang dilihatnya tadi jauh lebih cantik dari gadis yang dikenalinya sebelum ini. Mungkin pelanduk hampir serupa agaknya.

“Sorrylah sayang. Ik memang tak sedar tadi. I'am sorry okey,” pujuk Ikram.

“Hmmm sorry naik lorilah.”

“Hahaha... Boleh juga kalau nak naik, tapi kena naik sekali dengan sayanglah. Barulah fair.”

“Sudah... Macam tu pula. Mana acilah. Iklah kena naik seorang, mana boleh libatkan Fiqa pula,” usik Syafiqah lagi.

“Manachi ada dekat India ye. Dekat sini tak ada... Ni cari Ik ni mesti rindu kan?” soal Ikram sambil mengangkat kedua-dua keningnya. Sambil itu tangannya ligat mengemaskan mejanya yang sedikit berselerak.

“Kalau Fiqa cari Ik je, mesti sebab rindu ye. Macamlah tak ada sebab lain. Ni dah lunch hour dah ni. Perut Fiqa ni dari tadi dah menyanyi. Jomlah kita pergi makan. Laparlah,” ajak Syafiqah sambil membelek jam di pergelangan tangannya yang sudah menunjukkan pukul 1.10 petang.

“Oh lapar rupanya sayang Ik ni. Siap menyanyi-nyanyi lagi perut tu ye. Kalau Ik nak request lagu boleh tak? Dari Wali band, tajuknya Baik-baik Sayang. Dedicate khas untuk orang yang tersayang,” gurau Ikram sambil menanggalkan kotnya dan diletakkan di kerusi.

“Tengok tu. Main-main pula. Orang serius ni. Ni ada yang nak kena cubit karang ni,” Syafiqah buat muka geram.

“Alamak!!! Takutnya, ada mak ketam pula dekat sini. Hahaha. Tapi Ik dah kenyanglah.”

“Laa ye ke. Ik makan apa pagi tadi. Fiqa makan roti je, tu yang lapar sangat ni.”

“Ik lagilah. Tak makan apa pun.”

“Habis tu macam mana boleh kenyang pula. Kalau tak makan apa-apa mestilah lapar kan,” Syafiqah hairan.

“Sebab bila tengok muka sayang, Ik sentiasa jadi kenyang. Tak makan pun tak apa,” gurau Ikram lagi.

“Hmmm dah, dah. Jangan nak mengada-ngada. Macamlah boleh percaya. Jom kita pergi makan cepat. Kalau tidak Fiqa keluar makan dengan orang lain,” ugut Syafiqah sambil bangun dari kerusi.

“Okey, okey. Jom kita pergi makan. Jangan berani-berani nak keluar dengan orang lain selain dari Ik tahu.” Ikram berjalan perlahan ke arah Syafiqah.

Syafiqah cuma tersenyum mendengar kata-kata Ikram. Tahu pun takut. Mereka jalan beriringan menuju keluar. Selang beberapa minit kemudian telefon bimbit Syafiqah tiba-tiba berbunyi.

“Kejap ye, Fiqa nak jawab call dulu.”

Ikram cuma mengangguk perlahan. Di dalam hati tertanya-tanya siapakah yang sedang menelefon Syafiqah.

“Hello, Alin. Apa khabar,” sapa Syafiqah. Amalina yang menelefonnya. Semasa Amalina menghantarnya pulang tempohari mereka sempat bertukar-tukar nombor telefon supaya hubungan mereka tidak terputus begitu sahaja.

“Hello. Alhamdulillah. Alin nak ajak Fiqa pergi lunch lah. Fiqa free tak,” kedengaran suara Amalina di hujung talian.

“Alah, minta maaflah Alin. Fiqa dah nak keluar lunch dengan tunang Fiqa ni. Ataupun Alin nak join sama,” pelawa Syafiqah. Sekurang-kurangnya dapat juga dia memperkenalkan Ikram dengan Amalina, teman baru yang semakin rapat dengannya.

“Laa ye ke. Tak apalah. Malaslah nak mengganggu Fiqa tengah dating.”

“Tak menganggulah. Jomlah,” pelawa Syafiqah lagi.

“Tak apalah Fiqa. Alin akan keluar dengan staff di sini. Enjoy your lunch okey. Jangan lupa kirim salam dekat tunang tersayang ya. Daa.”

“Okey. Baiii,” talian diputuskan.

Ikram yang dari tadi memerhatikan Syafiqah menjawab telefon cuma memandangnya dengan reaksi yang pelik. Mana tidak peliknya, sepanjang bercakap di telefon bibir Syafiqah sentiasa menguntum senyum. Bimbang juga dia kalau-kalau Syafiqah berbual dengan lelaki lain.

“Siapa tadi?” soal Ikram sebaik sahaja Syafiqah menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg tangan.

“Kawan baru Fiqa. Alin. Dia kirim salam dekat Ik,” terang Syafiqah.

“Alin?” Ikram tersentak. Nama yang cukup dikenalinya sebelum ini. Mungkinkah bekas teman wanitanya dahulu. Arrgghh tidak mungkin. Bukan dia seorang sahaja yang bernama Alin.

“Hmmm,” Syafiqah mengangguk.
“Fiqa kasihan dekat dia tau. Muda-muda lagi sudah jadi janda,” Syafiqah mula rancak bercerita sambil dia dan Ikram berjalan menuju ke arah kereta.

“Jadi janda? Kenapa pula?” soal Ikram ingin tahu.

“Bekas suami dia tu rupa-rupanya kaki perempuan. Mungkin sebab tak tahan dengan sikap suaminya tu, jadi dia orang pun bercerailah,” reaksi muka Syafiqah kelihatan sedikit sedih semasa berceritakan tentang kehidupan Amalina. Hatinya cukup tersentuh dengan kisah hidup gadis itu.

“Kasihan, tapi nak buat macam mana. Dah jalan hidup dia macam itu. Dah ketentuan Ilahi,” balas Ikram ringkas.

“Memanglah, tapi yang Fiqa lebih kasihankan dia tu, sampai sekarang dia merana disebabkan bekas teman lelaki dia. Dia kesal sangat-sangat sebab meninggalkan teman lelakinya dulu. Padahal teman lelakinya tu cukup baik dengan dia. Sampai sekarang dia masih sayangkan teman lelakinya dan tak dapat melupakannya. Fiqa harap-harap sangat satu hari nanti dia orang akan kembali bersama,” Syafiqah meluahkan harapannya.

Ikram yang mendengar cerita Syafiqah termenung sejenak. Kisah hidup kawan Syafiqah lebih kurang sama dengan kisah cintanya yang tidak kesampaian. Teman wanitanya sanggup meninggalkan dirinya semata-mata kerana lelaki lain. Bezanya Ikram tidak tahu kehidupan gadis itu selepas berkahwin. Sudah pastilah mereka hidup bahagia dan mempunyai beberapa orang anak, fikirnya.

“Dahlah sayang. Itu salah kawan sayang tu sendiri. Siapa suruh dia tinggalkan teman lelakinya kerana lelaki lain. Ini namanya balasan untuk diri dia, atas segala perbuatan yang telah dilakukannya sebelum ini. Dahlah, tak payah difikirkan masalah orang. Lebih baik kita fikirkan masalah kita ni,” nasihat Ikram sambil membuka pintu kereta.

“Ik ni... Tak baik cakap dekat dia macam tu tau. Kita kena bersimpati dengan nasib hidup dia. Memanglah dia sudah buat kesilapan, tapi tak salah kalau dia diberi peluang kan,” Syafiqah tidak berpuas hati dengan kata-kata Ikram. Pada pendapatnya Ikram tidak begitu prihatin dengan masalah orang lain.

“Yelah sayang. Ik pun doakan juga semoga dia dapat berjumpa semula dengan teman lelaki dia dulu, lepas tu dia orang berkahwin dan hidup bahagia. Punya anak yang ramai sampai boleh buat satu team bola sepak. Haa... puas hati,” luah Ikram sambil menghidupkan enjin kereta.

“Haaa... Macam tulah. Kita kena doakan yang baik-baik untuk orang lain. Macam nilah baru betul bakal suami Fiqa. Hihihi,” Syafiqah tergelak halus sambil tersenyum memandang Ikram yang sedang memandu.

Ikram memandang sekilas pada insan kesayangannya dan mengeyitkan mata kirinya.
“Don't worry sayang. Kawan sayangpun kawan Ik juga kan. So Ik akan ambil berat juga pasal dia orang,” luah Ikram sambil memecut laju menuju ke restoran.

Syafiqah cuma tersenyum mendengarnya.

********

Hari minggu ini pertama kali Syafiqah tidak keluar bersama-sama dengan Ikram. Kalau tidak, setiap minggu sudah pasti mereka akan keluar bersama. Menghabiskan masa bersama-sama, di kompleks membeli-belah, menonton wayang dan berjalan-jalan di tepi tasik. Tetapi minggu ini Ikram terpaksa berjumpa dengan klient. Ada urusan segera yang perlu diselasaikan.

Remote televisyen ditekan berkali-kali. Tidak ada satupun rancangan yang menarik perhatiannya. Syafiqah mula rasa bosan, apa yang dibuat serba tidak kena. Emaknya pula tidak ada di rumah. Pergi menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah salah seorang jiran di kediaman mereka.

“Hmmm... Menyesal pula tak ikut mak tadi. Tadi beria-ia mak ajak aku pergi, tapi aku tak nak. Konon nak berehat puas-puas dekat rumah. Haa... sekarang rasakan Cik Fiqa. Duduklah kau tercongok seorang diri di rumah ni,” bebel Syafiqah kepada dirinya sendiri.

Bosan menonton televisyen dia kemudiannya mengambil beberapa buah majalah Mingguan Wanita. Satu persatu helaian majalah tersebut disingkap dan dibelek, namun masih tidak dapat menghilangkan rasa bosannya.

“Bosannya... Aku nak buat apa ni ye? Haa... apa kata aku call Alin, ajak dia keluar jalan-jalan ke. Mesti dia pun duduk seorang di rumah.”

Syafiqah lantas mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Nombor milik Amalina dicari dan kemudian dia menekan butang membuat panggilan di telefon bimbitnya.

“Hello, Assalamualaikum,” Syafiqah memulakan perbualan.

“Waalaikummussalam. Hai Fiqa. Alin baru je bercadang nak call Fiqa,” kedengaran suara ceria Amalina di hujung talian. Kebetulan pula dia sememangnya ingin menelefon Syafiqah dan mengajaknya pergi membeli-belah. Dia juga kebosanan kerana seorang diri di rumah.

“Laa ye ke. Ada apa Alin call Fiqa?”

“Alin ingat nak ajak Fiqa pergi Mid Valley. Kita pergi shopping ke, tengok wayang ke. Terasa bosan pula hari ini,” Amalina memberi cadangan.

“Bagus... bagus. Fiqa pun nak ajak Alin keluar juga sebenarnya. Seorang di rumah ni, tak tahu nak buat apa. Kalau macam tu Alin datanglah ambil Fiqa. Nanti Fiqa bersiap,” Syafiqah mengukir senyuman. Nampaknya petang ini dia tidak akan kebosanan lagi. Nasib baiklah ada Amalina menjadi peneman.

“Okey, set. Pukul 2.00 petang nanti Alin sampai rumah Fiqa ye.”

“Okey, roger.”

Syafiqah terus berlari-lari anak menuju ke biliknya. Ingin bersiap ala kadar dan menghiburkan diri bersama-sama dengan Amalina.

********

“Kenapa malam tadi Ik call, sayang tak angkat langsung. Marah ke sebab Ik tak temankan sayang semalam?” soal Ikram yang sedang memandu menuju ke pejabat.

Sudah puas dia mendail nombor telefon bimbit Syafiqah, namun langsung tidak berjawab. Fikirnya mungkin Syafiqah merajuk kerana semalam seharian dia terpaksa menghabiskan masa bersama-sama dengan klient.

“Eh mana adalah. Handset Fiqa tertinggal dekat dalam kereta Alin. Fiqa pun tak perasan mula-mula tu. Malam tadi masa nak guna handset baru perasan,” terang Syafiqah.

Mungkin dia terlupa memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangan selepas berbual dengan emaknya petang semalam.


“Tertinggal dalam kereta Alin? Sayang pergi mana dengan dia?” soal Ikram sambil melirik pada Syafiqah di sebelah.

“Semalam Fiqa boring sangat, so Fiqa keluarlah dengan dia. Tak pergi mana sangatpun, just pergi Mid Valley dan tengok wayang je,” jelas Syafiqah lancar.

“Tak bagitahu Ik pun.”

“Laaa... Kena bagitahu juga ke. Semalam kan Ik sibuk dengan klient, so Fiqa malaslah nak kacau Ik. Nanti mengganggu pula kan,” jelas Syafiqah lagi.

Pelik juga Syafiqah mendengarkan kata-kata Ikram tadi. Takkan cemburu pula kot.

“Kalau tak boleh nak call pun at least sayang smslah. Nanti kalau jadi apa-apa macam mana? Kawan sayang, Alin tu entah baik ke entah tidak. Lain kali kalau nak pergi mana-mana kena inform Ik dulu. Faham sayang,” tegas bunyi kata-kata Ikram sambil serius memandu.

Syafiqah cuma mencebik mendengarnya. Ternyata Ikram masih lagi kurang yakin dengan Amalina. Mungkin sebab mereka masih lagi belum berkenalan.

“Ik jangan risaulah. Alin tu baik orangnya. Lagipun takkanlah dia nak buat apa-apa pada Fiqa pula. Alin tu perempuan, bukannya lelaki. Faham sayang,” Syafiqah mengajuk kata-kata akhir Ikram tadi.

“Ajuk cakap Ik ye. Ni ada yang nak kena cium karang ni,” ugut Ikram sambil tersengih nakal ke arah Syafiqah.

“Eeee mulalah tu nak menggatal. Sikit-sikit nak cium. Teruklah kalau Fiqa dah jadi isteri Ik nanti ni,” luah Syafiqah sambil mencubit perlahan lengan Ikram.

“Adoii sayang, sakitlah. Tengok tu nak cubit-cubit orang pula. Kalau sayang teruk selepas kahwin Ik kerjakan, tapi Ik ni sebelum kahwin lagi dah lunyai sayang kerjakan. Macam mana ni, tak adil ni,” rungut Ikram sambil buat muka kasihan.

“Laa.. mana ada lunyai. Baru cubit sikit je dah nak menjerit. Tak kuat langsunglah Ik ni.”

“Sayang jangan. Mana tahu Ik ni tak kuat. Kalau nak tahu Ik ni kuat atau tak, kita tunggu our first night nanti ye,” Ikram sudah tergelak kuat sambil merenung muka Syafiqah yang merona merah.

“Ik!!!” jerit Syafiqah yang malu dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Ikram tadi. Dengan pantas tangannya mencubit lengan Ikram sekali lagi.

“Adoii... Kena lagi. Tak apalah, sabar... sabar...” Ikram mengurut dadanya perlahan namun di bibirnya menguntum senyum. Bahagia dapat bergurau senda dengan insan tersayang.

“Macam nilah, nanti Fiqa kenalkan Ik dengan Alin ye. Dari situ Ik boleh tengok dia tu baik atau tak,” cadang Syafiqah. Seelok-eloknya Ikram berkenalan dengan sahabatnya itu.

“Emmm... Alin tu cantik tak? Kalau cantik Ik nak berkenalan dengan dia. Kalau tak cantik, tak naklah Ik,” gurau Ikram.

“Ik!!! Mengada ye. Nak menggatal dengan orang lain pula,” Syafiqah buat muka masam, tetapi dia tahu Ikram sekadar bergurau.

“Hahaha... Saje je, nak test market. Ada tak orang lain yang sukakan Ik ni selain daripada sayang.”

“Alah, orang hensem. Mestilah ada. Tapi awas, kalau Ik curang dan menggatal dengan perempuan lain. Fiqa kerat-kerat 18 badan Ik tahu tak,” ugut Syafiqah. Jari telunjuknya diacu-acukan ke arah Ikram.

“Mak aiii. Terpacak bulu roma Ik mendengarnya. Tak apalah sayang, Ik setia pada sayang seorang saja. Cemburu juga sayang ni kan.” Ikram tersenyum, ada sinar bahagia di wajahnya.

“Mestilah cemburu. Cemburu tu kan tandanya sayang dan Fiqa sayang sangat dekat Ik. Faham...”

“Faham sayang...”

Ikram meneruskan pemanduannya menuju ke pejabat. Di dalam hatinya teringin juga hendak berkenalan dengan kawan rapat Syafiqah. Baik sangat ke orangnya sehingga sering menjadi sebutan dan bualan insan kesayangannya ini. Masanya akan tiba juga tidak lama nanti.







Thursday, August 4, 2011

Jalan Cerita Aku Suka Kau Benci. Apa Kes?


As salam...

Selamat petang Jumaat semua.

Tinta rasa terpanggil pula nak buat entri ini apabila terlihatkan komen dari seorang pembaca ini di web penulisan2u. Dia baru membaca cerita ini pada bab 16. Komennya ialah :-

saya baru jer baca bab ni... jalan citer lebih kurang sama macam citer nora elena ker???? x pun dari novel kasih yang suci. hurrmmmmm

Sebenarnya e-novel ini diadaptasikan daripada first cerpen tinta iaitu Karmila Emilia. Cuma berbeza dari segi nama heroin dan juga endingnya nanti. Sebab ending cerpen tu sedih, kalau boleh tinta nak buat happy ending.

Kalau baca bab 16 sahaja mungkinlah ada nampak sama sikit macam cerita Nora Elena tu. Tapi kalau baca dari bab awal ada perbezaannya. Apa yang menjadi persamaan ialah perempuan itu berkahwin dengan lelaki yang telah merosakkannya.

Dalam cerita Nora Elena, setelah Elena mengandung baru dia tahu yang suami dia adalah lelaki yang telah memperkosanya tetapi dalam cerita ini Mia telah mengetahuinya sebelum mereka berkahwin lagi. Dan Mia berkahwin dengan Ikmal disebabkan mereka telah ditangkap khalwat. Tetapi dalam Nora Elena mereka berkahwin kerana tunang Elena telah meninggalkannya.

Tapi tinta nak tahu juga pendapat pembaca cerita ini. Apa pendapat anda? Adakah jalan cerita ini sama dengan cerita Nora Elena ataupun Kasih Yang Suci? 

Sudi-sudikanlah menjawabnya dengan ikhlas ye.. tenkiu .. :)


Siapa ada idea?

Dalam hati nak buat sambungan Bila Hati Dah Sayang.. Tapi entah kenapalah otak ni asyik beku je. Idea asyik tak jalan je. Ingat naklah buat satu entri tuk minggu ni, tapi macam tak dapat je. Sedihnye. Sebab tulah dekat fb pun asyik merapu yang bukan-bukan je. Kotlah tiba-tiba idea datang.

Pada sesiapa yang mengikuti cerita Bila Hati Dah Sayang, agak-agak boleh tak suggest plot cerita untuk next entri... Kot-kot ada yang sudi membantulah... Terima kasih daun keladi tinta ucapkan..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...