Yang Disayangi Selalu !!!

Friday, June 8, 2012

Encik Setiausaha - Part 1


Hani, seorang gadis berpakej lengkap. Pengurus Pemasaran di syarikat periklanan terkemuka di ibu kota. Mempunyai rupa paras yang menarik, ketinggian 5 kaki 6 inci, bentuk tubuh 34, 26, 36, berkulit cerah, bermata bundar, sangat cerewet dan selalu menganggap dirinya sahaja yang betul. Orang lain... jangan haraplah. Semuanya salah di matanya. Ada saja yang tidak kena. Pendek kata hanya dia seorang sajalah yang betul dan benar segalanya.

“Harap-harap pemilihan kali ini dapat bertahan lama,” perli Rizal yang menoleh sekilas pada Hani yang kelihatan sibuk meneliti resume calon terakhir yang akan ditemuduga nanti.

Hani yang duduk di sebelahnya hanya tersenyum hambar. Dia turut berharap setiausahanya kali ini dapat kekal lama. Mana tidaknya, kebanyakan setiausaha yang bekerja dengannya paling lama pun 2 bulan. Lepas itu semuanya cabut sebab tak tahan dengan sikap Hani ni. Dah lah cerewet mengalahkan mak datin, mulut laser pula tu. Cakap main tibai je. Hati orang sikitpun tak reti nak jaga. Nak orang jaga hati dia je.

“Masuk,” arahnya.

Seminit kemudian masuklah seorang gadis jelita, cantik berbaju kebaya. Hani melihat penampilannya atas dan bawah. Pandang tidak lepas, seperti memilih calon menantu pula lagaknya. Boleh tahan, rupa pun ada. Hidung mancung, macam anak mami je. Setelah menyerahkan folder, gadis tersebut terus melabuhkan punggung ke kerusi.

Hani dan Rizal mula bertanyakan beberapa soalan pada gadis itu. Kesemuanya dapat dijawab dengan baik. Gadis itu juga kelihatan begitu yakin sekali. Berkali-kali Rizal mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Rizal yakin sudah pasti gadis di hadapannya ini dapat memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Hani.

“Macam mana? Okey tak girl tadi tu?” soal Rizal setelah gadis tersebut hilang dari pandangan. Hani dipandang dengan senyuman di bibir. Hani gadis yang cantik dan ayu. Dulu teringin juga dia menjadikan Hani teman wanitanya namun sikap Hani yang terlalu cerewet dan panas baran amat menyesakkan hidupnya. Tak jadi dia mengambil Hani sebagai menantu emaknya.

“Hmmm... bolehlah. Tapi I rasa dia pun mesti takkan kekal lama tu. Nampak macam manja sangat. Kalau kena marah sikit tu sure menangis.”

“Habis tu you nak yang macam mana? Calon semua dah habis ditemuduga. Takkan tak ada seorang pun yang menarik hati kot.”

“Entahlah. Memang tak ada yang menarik hati I langsung. Every time yang datang interview semuanya girls. Tak ada ke yang lelaki. Teringin pula I nak merasa ada setiausaha lelaki ni.”

Rizal menggeleng perlahan. “Macam-macamlah you ni. Habis macam mana sekarang ni?”

Hani mengjungkit bahu tanda tidak tahu. Keluhan kecil dilepaskan. Dia seakan-akan sudah berputus ada. Senarai resume kesemua calon yang telah ditemuduga dibelek lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada calon yang melekat di hatinya. Tiba-tiba ketukan di pintu berbunyi. Wafa yang merupakan kerani di situ berlenggang sambil membawa sesuatu di tangan.

“Maaf Cik Hani, Encik Rizal. Ada seorang calon lagi yang ingin ditemuduga,” jelas Wafa sambil menghulurkan resume milik lelaki yang baru saja sampai tadi kepada Rizal. Rizal meneliti sambil tersenyum. Kali ini confirm jadi punya.

“Bukan dah habis ke semua calon?” Hani sedikit hairan. Wafa dipandang meminta penjelasan.

“Sepatutnya memang begitu Cik Hani, tapi calon ni baru saja sampai. Saya pun serba salah sebenarnya, tapi dia merayu-rayu minta ditemuduga.”

“Baru sampai? Hmmm tak punctual langsung. Macam mana nak jadi I punya secretary ni. Never mind lah, I pun dah penat dah. Tak larat dah. Suruh dia balik je lah.” Hani sudah mahu bangun namun ditahan oleh Rizal.

“Eh... nanti dulu. I think calon yang ni mesti you berkenan,” lantas Rizal menghulurkan resume tersebut kepada Hani.

Hani tidak jadi untuk bangun sebaliknya resume yang telah berada di tangan diteliti. Mohd Rayyan Haikal, 25 tahun, asal Perak, mempunyai Diploma dalam bidang Kesetiausahaan dari UITM. Hmmm... nampak menarik. Apa yang penting lelaki pula tu. Jarang lelaki berminat untuk jadi setiausaha ni. Muka memang boleh tahan, hensem bergaya. Dia mengangguk perlahan. Harapan cerah untuk lelaki tersebut menjadi setiausahanya.

***

“So macam mana? First time kerja ni. Ada rasa nervous tak? Rizal menepuk perlahan bahu Rayyan yang sedang mengemas meja. Dia baru saja sampai ke pejabat dan belum lagi sampai ke tempatnya. Sengaja dia melencong ke tempat Rayyan dahulu. Setiausaha baru Hani.

“Eh... Encik Rizal. Nervous juga ni, tapi saya akan lakukan yang terbaik.” Rayyan tersengih menampakkan barisan putih giginya. Kemeja putih dan seluar slack hitam yang dipakainya menonjolkan ketampanan lelaki tersebut. Ditambah pula dengan tali leher berjalur yang terselit kemas di tengkuk. Cukup yakin dia akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang setiausaha. Walaupun bosnya merupakan seorang perempuan. Orang kata dapat bos perempuan ni susah sikit. Kalau bab kerja memang teliti habis. Nak pula dapat jenis yang cerewet. Mahu makan hati saja kerjanya nanti. Ah... tapi dia tak kisah itu semua. Yang penting dia bekerja dengan niat yang ikhlas. Di samping ingin mencari wang untuk perbelanjaan adiknya yang sakit di kampung.

“Morning guys,” sapa Hani sambil tersenyum ke arah kedua-dua lelaki yang sedang berborak tadi.

“Morning Hani.” Rizal tersenyum.

“Selamat pagi Cik Hani,” balas Rayyan. Segaris senyuman terukir di bibir. Manis sangat. Cair sekejap Hani dibuatnya. Ada getaran di dadanya. Ah... dia tidak mahu merenung lama, terus dia berlalu masuk ke bilik.

“Tu ha... bos dah sampai. Hati-hati ye. Anyway good luck,” Rizal tersengih dan berlalu.

Rayyan hanya mengangguk. Hati-hati. Apa yang dimaksudkan oleh Encik Rizal tadi? Sedikit gusar dia rasa. Dia malas mahu memikirkan yang bukan-bukan. Bunyi extension di meja mengejutkannya. Pantas dia menjawab. “Baik Cik Hani.” Arahan pertama diterima. Bermulalah tugasnya sebagai encik setiausaha.

***

Cawan kopi yang dilapik piring itu diletakkan betul-betul di atas meja di hadapan Hani. Ingatkan Hani menyuruhnya menaip surat ke, mengatur temu janji ke, alih-alih dia disuruh membancuh kopi. Tak tahulah apa rasanya. Tawar, manis, payau atau pahit. Seumur hidup Rayyan belum pernah dia membancuh kopi. Biarlah... belasah je lah labu. “Kopinya Cik Hani.”

Hani mengangguk. Dia tidak tunggu lama. Tekaknya sedari tadi lagi kering minta dibasahkan. Kopi yang terhidang diambil dan dihirup. Mukanya tiba-tiba berubah kelat. Diiringi batuk-batuk kecil. Serta merta mukanya merah. Tekaknya terasa perit. Rayyan yang berdiri di hadapannya dipandang tajam. Memang ada juga yang nak kena makan dengan kasut tumit tinggi dia ni.

“Kopi apa ni?” soalnya sedikit kasar.

“Kopi kapal api Cik Hani,” selamba Rayyan menjawab.

Hani geram. Nak main loyar buruk pula budak mentah di hadapannya ini.

“Yes... I know kopi kapal api. Tapi you tak rasa dulu ke masa buat kopi ni tadi. Cuba you rasa...” arahnya lagi. Biar Rayyan tahu sedikit rasa kopi yang dibuatnya. Pahit dah mengalahkan hempedu. Entah berapa sudu kopilah yang diletakkannya tadi.

“Maaf Cik Hani, saya tak minum lebihan perempuan.”

Merah padam dah Hani rasa. Tiba-tiba dia rasa macam hendak marah. Pandai pula encik setiausahanya itu menjawab.

“You tak pandai buat kopi ke?”

“Maaf Cik Hani, memang saya tak pandai. Lagipun masa saya belajar dulu tak ada pula diajar cara-cara hendak membancuh kopi ni,” bidas Rayyan. Dia juga tidak mahu kalah.

“Okey fine... You keluar dulu. Ada apa-apa nanti I panggil. Kopi ni jangan lupa bawa sekali.” Malas Hani hendak berbicara lebih lanjut dengan Rayyan. Ada-ada saja jawapannya. Cukuplah kali ini kali yang terakhir, lepas ini dia tak ingin hendak menyuruh Rayyan membuat kopi lagi. Lebih baik dia yang bancuh sendiri.

***

Hani menendang-nendang perlahan bumper Gen 2 miliknya. Dalam keadaan cuaca yang semakin menggelap inilah dia buat perangai pula. Enjin kereta yang berselirat diperhatikan tanpa perasaan.

“Kenapa pulalah kau nak meragam time macam ni. Kalau aku hilang sabar, hujung bulan ni juga aku jual kau,” bebelnya lagi.

Peluh renik sudah mula tumbuh di dahi. Hati terasa panas walaupun cuaca semakin menggelap. Rambut lurus separas bahu yang terlepas dikuak ke telinga berkali-kali. Guruh yang berbunyi membuatkan hatinya semakin risau. Dia melangkah perlahan masuk ke kereta. Beg tangan yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu diambil. Dia ingin meminta tolong dari Rizal. Untung-untung Rizal masih lagi belum sampai ke rumah.

“Alamak!!! Mana pula ni,” Hani semakin cuak. Sudah puas dia mencari Blueberry yang tersimpan di dalam beg tangannya namun tidak dijumpai.

“Tertinggal ke... Alah... susahlah macam ni. Hari dah lah nak hujan.” Dia semakin cemas. Sudahlah kawasan jalan raya yang dilaluinya agak lengang. Bimbang pula kalau-kalau ada sesuatu yang buruk terjadi.

Sedang dia tidak berputus asa mencari-cari Blueberry nya itu kelihatan kelibat sebuah superbike berhenti betul-betul di hadapan keretanya. Hani menoleh, dalam hati tertanya-tanya siapakah pemilik Kawasaki Ninja ZX-10R hijau yang kelihatan gagah itu. Kagum sungguh dia melihatnya.

Lelaki yang kelihatan tegap berjaket kulit dan memakai full face helmet itu datang menghampiri Hani yang masih lagi duduk di tempat pemandu. Langkahnya cukup teratur dan tenang. Dia tersenyum memandang Hani yang kelihatan agak takut.

'Eh... siapa pula ni? Aku kenal ke? Nak tolong aku ke? Jangan orang jahat sudah.' Debaran di dada Hani semakin memuncak apabila lelaki tersebut semakin menghampirinya. Disebabkan perasaan takut yang melampau dia cepat-cepat menarik pintu kereta namun sempat dihalang oleh lelaki tersebut.

Hani semakin berdebar. Perasaan takutnya semakin menjadi-jadi. Lambakan kes perogol bersiri yang mengisi dada akhbar membuatnya terasa sakit jantung. Wajah lelaki yang terlindung di sebalik full face helmet itu tidak dapat dikenal pasti. Dalam keadaan takut-takut itu matanya masih lagi melekat ke arah lelaki itu. Sebaik saja lelaki itu membuka full face helmetnya Hani terlopong. Seakan-akan tidak percaya dengan gerangan jejaka tampan yang berada di hadapannya sekarang ini. Dia sudah mampu menarik nafas lega. Senyuman manis kian terukir di bibir comelnya.

“Maaf sebab takutkan Cik Hani tadi. Terlupa pula saya nak buka helmet ni,” Rayyan mengukir senyum. Helmet yang dibuka tadi dipegang kemas di tangan kanannya. Wajah Hani dipandang lama. Cantik juga bos aku ni. Pujinya dalam hati. Tambahan pula Hani kelihatan cukup anggun dengan berbaju kurung cotton warna pucuk pisang.

“Tak apalah Rayyan. Terkejut juga tadi. Ingatkan siapa?” Hani sudah bangun dan berdiri hampir dengan Rayyan. Lega hatinya kerana Rayyan datang di saat dia memerlukan pertolongan.

Rayyan berjalan perlahan menuju ke Kawasaki Ninja ZX-10R untuk meletakkan helmet. Sekali sekala guruh berbunyi menandakan hujan akan mencurahi bumi Allah yang indah ini. Rayyan kemudiannya menuju ke hadapan kereta Gen 2 milik Hani. Bahagian enjin diteliti rapi.
“Kenapa dengan kereta ni Cik Hani?” soalnya tanpa menoleh ke arah Hani yang berdiri hampir di sebelahnya.

“Entahlah, I pun tak tahu.” Hani mengeluh perlahan. Kalau dia tahu masalah apa yang menyebabkan keretanya terhenti senanglah, ini dia pun tak tahu. Setakat bawa saja bolehlah.

“Oh patutlah, timing belt dah putus ni. Memang kena bawa ke bengkel ni Cik Hani. Kena towing.”

“Aaa kena towing. Ish... You tak reti baik ke. Susahlah kalau nak kena towing. Nanti macam mana pula I nak balik. Hari dah lah nak runtuh ni,” Hani berwajah cemas. Perasaan cuak semakin dirasai.

“Mana boleh Cik Hani. Dah putus terus ni, memang tak boleh bawa,” terang Rayyan. Dia menoleh ke langit apabila dirasakan ada manik-manik kecil mengenai pipinya. Oh, hujan sudah turun rupanya. Hani dilihat semakin gelisah.

“Biar saya hantar Cik Hani pulang je lah,” pelawa Rayyan.

“What!!! You nak hantar I pulang. Nak naik apa?” Soal Hani sambil mengerling ke arah superbike milik Rayyan. “Takkan nak naik tu kot?” ujarnya lagi dengan menuding jari telunjuk ke arah kenderaan motor berwarna hijau itu.

“Yup... Of Courselah. Habis tu Cik Hani nak naik apa pula. Jomlah Cik Hani saya hantarkan, hujan dah semakin lebat ni.” Rayyan sudah mula menutup bonet kereta Hani. Seterusnya dia menuju ke Kawasaki Ninjanya dan mengenakan helmet.

Hani serba salah. Sudah hilang akal apa dia nak naik motor dengan encik setiausahanya ini. Sudahlah dia cukup ayu berbaju kurung hari ini. Wah... mahu jatuh sahamnya hari ini. Hani terkaku, tidak bergerak langsung. Dia cuma memandang Rayyan dengan debaran kuat yang tiba-tiba saja menjengah diri. Perasaan apakah ini? Sukar untuk digambarkannya.

“Tunggu apa lagi Cik Hani. Cepatlah...” Rayyan sudah menghidupkan enjin superbikenya. Jaket kulit yang dipakainya sudah dibuka.

Hujan yang semakin lebat itu membuatkan Hani tidak dapat berfikir panjang. Cepat-cepat dia mengambil beg tangan dan mengunci keretanya. Dia kemudiannya berlari-lari anak menuju ke arah Rayyan. Macam manalah dia nak naik motor besar tu dengan berbaju kurung ni. Mesti dia akan kelihatan seksi nanti. Aduhai.

“Pakailah.” Rayyan menghulurkan jaket hitam tersebut kepada Hani. Maklumlah hari kan hujan. Bimbang pula hatinya takut Hani terkena selsema nanti.

Dalam keadaan serba salah itu dia mengambil juga jaket kulit milik Rayyan dan disarungkan ke badan. Agak besar sedikit, tapi bolehlah untuk melindungi tubuhnya dari hujan yang semakin mengganas.

“Cepatlah naik Cik Hani,” arah Rayyan yang sedari tadi menunggu. Kemeja putihnya sudah basah menampakkan otot badannya yang sasa. Hani telah liur melihat. Jantungnya yang sedari tadi berdebar semakin bergerak pantas.

“Tak ada helmet ke?” jerit Hani dalam jatuhan hujan yang semakin ganas.

“Tak ada.”

“Nanti kalau kena saman macam mana?”

“Alah... tak adanya kena saman. Darurat ni. Lagipun hari hujan. Tak adanya polis nak buat road block. Cepatlah Cik Hani, nanti demam pula.”

Hani sudah berkira-kira untuk menaiki motor yang kelihatan cukup besar padanya. Macam mana nak naik ni. Tangan kirinya memegang tempat duduk belakang sementara kaki kanannya memijak pemijak kaki. Tinggi gila motor itu, terkial-kial dia melabuhkan bontot di tempat duduk.
“Okey... Dah!!!” jeritnya apabila dia rasa sudah selesa duduk di belakang. Duduk dah mengalahkan makcik-makcik naik motor. Rasa-rasanya makcik-makcik sekarang pun dah tak naik motor macam tu.

Rayyan nak tergelak melihat gelagat Hani namun ditahannya. Ada ke Hani duduk di motor macam duduk di basikal tua saja. Mau terpelanting dirinya nanti.

“Cik Hani, takkan duduk macam tu. Terbang melayang nanti. Duduklah betul-betul.”

“Eiii... I pakai baju kurung ni. Nanti terangkat pula. Duduk macam ni pun tak apa kan, mana ada salah,” bidas Hani. Memanglah nampak pelik tapi dia tak mahu beralah.

Rayyan terus menghamburkan gelak yang ditahan. Merah padam mukanya. Geli hatinya melihat gelagat bosnya yang cerewet ini. “Cik Hani, saya takut Cik Hani terbang melayang kalau duduk macam tu. Nanti terjatuh. Duduklah elok-elok.”

Hani akhirnya mengalah. Perlahan-lahan dia turun dari motor. Teragak-agak dia memegang bahu Rayyan. Maklumlah motor tersebut terlalu tinggi, jadi begitu sukar untuknya menaiki kalau tidak disokong dengan bahu Rayyan. Rayyan tersentak, serasa macam ada aliran elektrik mengalir dalam diri namun dia bersikap selamba.

“Peluk saya Cik Hani. Nanti terjatuh,” arah Rayyan. Kelihatan pelik pula bila Hani hanya duduk tegak dan kedua-dua tangannya diletakkan di sisi.

“Tak apalah... Tak ada jatuhnya,” jawab Hani malu. Takkan dia nak peluk Rayyan pula. Oh... minta simpang. Nanti sudah pasti Rayyan terdengar getaran jantungnya saat ini.

“Betul ni... Tak menyesal?”

“Never...”

“Okey, here we go,” Rayyan memecut laju.

“Oh mak kau!!!” Hani di belakang tersentak. Nasib baik dia tak terpelanting jatuh. Sekejap itu juga tangannya mula memeluk Rayyan. 'Kurang asam punya Rayyan. Siaplah kau dekat ofis nanti.'

Rayyan tergelak dalam hati. Itulah... degil lagi. Tak nak dengar cakap orang. Dalam gelakkan Hani, dadanya turut bergetar laju. Seolah-olah jantungnya hendak meloncat keluar dari dada. Kenapakah perasaan seperti itu yang hadir?

***
Rayyan kelihatan sibuk memfail beberapa dokumen penting. Hampir dua minggu dia bertugas sebagai setiausaha Hani. Kesemua tugas yang diarahkan dijalankan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Sukar untuk Hani mencari sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Rayyan. Semua hasil kerjanya kelihatan teratur dan tersusun sekali. Amat berbeza dengan setiausahanya sebelum ini.

“Sibuk nampak...” sapa Wafa yang telahpun berada di hadapan meja Rayyan. Wajah Rayyan yang bersih dipandang penuh minat. Ketampanannya cukup terserlah dengan bentuk fizikal yang menarik. Tidak hairanlah kalau Rayyan sering menjadi bualan rakan-rakan perempuannya yang lain. Semuanya seakan-akan terpukau dengan ketampanan Rayyan.

“Eh Wafa. Ingatkan siapa tadi...” Rayyan menghadiahkan senyuman manis. Wafa terpukau, mahu saja dia pengsan saat ini.

“Kenapa? Ingatkan makwe yang datang ye?”

“Eh tak adalah. Orang macam saya ni manalah ada makwe. Lainlah kalau orang cantik macam Wafa ni.”

Wafa tersengih menahan malu, kembang setaman dia rasa. Rayyan memujinya cantik. Wah... Suka hati benar dia rasa.

“Tengah hari ni kita lunch sama nak tak?” pancing Wafa. Dapat keluar berdua-duaan dengan Rayyan sudah pasti menimbulkan kebanggaan di hatinya. Bolehlah dia menunjuk kepada rakan sekerjanya yang lain. Tambahan pula mereka turut menyimpan hati terhadap Rayyan.

Rayyan menolak dengan lembut. Makan tengah hari berdua-duaan dengan Wafa. Wah... tak pasal-pasal dia menjadi bahan gosip di ofis nanti. Tak sanggup dia menempah populariti. Lagipun dia bukan tidak tahu kebanyakan gadis di ofis itu selalu melepas pandang ke arahnya. Semuanya dengan pelbagai ragam dan aksi yang tersendiri. Biarlah... lebih baik dia keluar makan tengah hari sendiri. Bukannya dia sombong tapi itu adalah lebih baik.

***

Hani panas hati. Wajah putihnya sudah kelihatan merah. Sakit mata pula dia melihat Rayyan dan Wafa di sebalik cermin kaca biliknya. Bukan main lagi bergelak sakan dari tadi. Entah apalah yang dibualkan di waktu kerja begini. Sudah tidak ada kerja gamaknya sampai hendak makan gaji buta. Hani melihat jam tangannya sekilas. Dia mendengus lagi. Sudah hampir 15 minit lamanya kedua-dua makhluk tersebut bergelak sakan. Hatinya menjadi bertambah-tambah sakit. Memang tak boleh jadi, tak boleh dibiarkan. Dia bergegas menuju ke arah mereka berdua.

“Ada mesyuarat tergempar ke dekat sini? Masing-masing dah tak ada kerja ke?”

Teguran kasar Hani mengejutkan Rayyan dan Wafa. Terhenti terus gelak tawa mereka berdua tadi. Wafa kecut perut. Renungan tajam Hani benar-benar menusuk matanya dan terus memanah ke hatinya. Seram sejuk dia melihat Hani yang seakan-akan menahan marah dengan muka yang merah. Kenapa pula Hani hendak marahnya sebegitu rupa? Sebelum ini bukannya dia tidak pernah bersembang sedemikian rupa.

“Err... Maaf Cik Hani. Kami sekadar berbual kosong saja tadi. Lagipun kerja semua sudah selesai,” Rayyan cuba menenangkan keadaan. Kemarahan Hani sukar untuk dimengertikan. Takkanlah setakat berbual-bual kosong macam tu pun nak kena jerkah bagai nak rak.

“Kalau dah tak ada kerja, pandai-pandailah cari kerja. Company ni bayar gaji untuk bekerja bukannya untuk berborak kosong. Wafa!!! kau pergi balik dekat tempat kau. Lain kali jangan nak menempel dekat sini,” arah Hani lagi. Sakit betul matanya apabila ada orang lain nak menggatal dengan encik setiausahanya ni.

Wafa terkulat-kulat menahan malu. Dia mengangguk perlahan dan terus berlalu. Malu memang tak ingatlah bila semua staff yang ada dari tadi memandang. Kenapa pula Hani nak marah-marah ni. Hish... sakit hatinya.

“Rayyan... nanti aturkan temujanji dengan Syarikat Harmoni, hari ini pukul 3 petang,” mendatar kata-kata Hani.

“Baik Cik Hani.”

Hani terus bergegas menuju ke biliknya. Perasaan marahkan kedua-dua insan tadi semakin mengendur. Apa pula yang tak kena dengan dirinya ini. Kenapa perlu marah sangat? Cemburukah dia... Oh tak mungkin.

6 comments:

Lieynaim mohd noor said...

menarik

Maya Dhira said...

singa betina dah jatuh cintan..kekkeke... kte pun PA gak tp xpernah jmpe lg PA lelaki yg hensem kekekke

eleen said...

hehe..ada ke pa lelaki yg ensem mcm rayyan ni..:)

TinTa Biru said...

nzlyna'im.. terima kasih :)

Sumayyah.. oh PA rupanya.. ada juga PA lelaki tapi tak ramai.. :)yg hensem tu.. tak tau nak kata.. hihi

Eleen.. hihihi... kalau tak ada pun, kita buat2 ada je la.. :)

cik ct payung said...

mana part seterusnya? xsabar nak tau apa jd dgn bos and her hensem PA ni.

Anonymous said...

Biasanya hero naik kete hebat, ni motor besar pulak, menarik ni. Cant wait next n3

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...