Yang Disayangi Selalu !!!

Monday, March 14, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Bab 1 (Bahagian 1)




“Okeylah. Rasanya cukup setakat ni dulu. Esok kita sambung lagi,” ujar Zurith. Buku Sejarah  tingkatan 6 ditutup dan dimasukkan ke dalam beg sandang.

            Rakan-rakannya yang lain turut melakukan perkara yang sama. Kumpulan belajar seramai 4 orang terdiri daripada Rina, Hisyam dan Iela. Entah macam manalah boleh tersesat pula seorang lelaki dalam kumpulan mereka. Maklumlah Hisyam kan teman lelaki Rina. Bukan main lagi Rina merayu supaya memasukkan Hisyam sekali, sudahnya terpaksalah mereka menerima Hisyam yang berada di kelas 6 Atas 2 sedangkan mereka bertiga di kelas 6 Atas 1. Tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan STPM. Peperiksaan yang akan menentukan sama ada mereka layak menjejakkan kaki ke universiti atau tidak.

            “Hmm... Rina dah nak balik ke?” soal Hisyam sebaik sahaja mereka semua keluar dari kelas.

            Zurith yang mendengar soalan tersebut memandang sekilas. Hisyam ini sudah macam belangkas pula, asyik nak mengekor Rina saja. Kadang-kadang geram juga Zurith rasa.

            “Nak baliklah ni. Nanti karang balik lambat, mak Rina bising pulak. Kenapa?” soal Rina. Hisyam yang berjalan seiring di sebelah kirinya dipandang sekilas. Ketua pasukan bola tampar Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah (1) itu memang menjadi tumpuan ramai pelajar perempuan. Untung Rina rasa kerana Hisyam memilih dirinya sebagai teman wanita. Mesti ramai pelajar perempuan yang lain makan hati. Minta maaflah ye. Hisyam milik aku. Rina senyum seketika.

            “Tak adalah. Kalau nak balik boleh Syam jadi pengiring. Rina naik basikal kan?”

            Rina senyum lagi. Kembang semangkuk bila ada yang sudi mengiringi pulang ke rumah. Sudah macam puteri rajalah pula. Siapa yang tidak suka. Zurith yang berjalan di sebelah kanannya dipandang. Alamak hai, wajah Zurith sudah macam tertelan sekilo buah mempelam muda, kelat dan masam. Nampak gayanya terpaksalah Rina menolak. Hati sahabat baiknya perlu dijaga.  Kalau tidak, tak pasal-pasal merajuk pula. Maklumlah, Zurith bukan suka sangat Rina berkawan dengan Hisyam. Kalau boleh, dengan mana-mana lelaki pun Zurith tidak suka Rina berkawan. Pendek kata, dia tidak suka Rina bercinta semasa sekolah. Tetapi hendak buat macam mana kalau hatinya sudah tersangkut pada hero sekolah tersebut. Biarlah bercinta semasa sekolah pun, janji pelajarannya tidak terjejas.

            “Tak apalah Syam. Lain kalilah ye. Lagipun Rina balik sekali dengan Zurith ni.”

            “Okeylah. Kalau macam tu tak apalah. Syam balik dulu. Sabtu ni jangan lupa datang ye. Ada pertandingan bola tampar peringkat Daerah. Kalau Rina datang, Syam bersemangatlah sikit. Mesti sekolah kita menang banyak nanti,” pelawa Hisyam.

            “Okey... Kita mesti datang kan Zurith?”

            Zurith membalas dengan menjungkit bahu. Malas ikut campur perbualan merpati dua sejoli ini.  Rina sekadar senyum halus. Apalah Zurith ni? Tak sporting langsung. Sekurang-kurangnya, jagalah air muka aku ini.

            “Okeylah Rina. Syam balik dulu ye. Take care baby. Bawa basikal elok-elok tau. Kalau jatuh bangun sendiri ye. Kalau Syam ada dekat, boleh juga Syam tolong angkatkan. Okey bye. Assalamualaikum.” Hisyam menuju ke tempat letak motorsikal dengan lambaian tangan. Tidak lama kemudian kedengaran deruman enjin motor Yamaha LC. Rina membalas lama dengan senyuman sampai ke telinga. Bahagia rasa hati. Macam ini agaknya rasa orang bercinta ya?

            “Ha... Tak habis lagi ke? Orang tu dah hilang dari pandangan mata pun Cik Kak oi. Yang kau terlambai-lambai lagi tu kenapa?”

            “La...Dah hilang ye. Aku ingat ada lagi kat depan tu.” Rina tersengih menahan malu. Sebiji macam kerang tak cukup masak. Basikalnya disorong menuju ke luar pagar sekolah. Zurith turut menyorong basikalnya sama.

            “Kau ni dah mabuk angau betullah. Cair tau tahi telinga aku ni, dengar Si Syam tu bercakap dengan kau. Nak muntah hijau pun ada rasanya. Eee... geli-geleman. Siap panggil baby lagi. Baby apanya kalau dah boleh jadi mak orang ni.”

            “Amboi kau ni. Mulut jahat betul ye. Tahulah mulut kau tu ada insurans, boleh cakap lepas. Sepatutnya kau bersyukur sebab aku rasa bahagia sekarang tau. Aku ni kan sahabat kau. Sahabat baik dunia dan akhirat tu,” ujar Rina lagi. Kali ini kedua-dua mereka sudah mula menunggang basikal untuk pulang ke rumah.

            “Hmm... Yelah Cik Rina oi. Syukur sangat pada Mu Ya Allah kerana memberikan kebahagiaan yang tak terhingga pada sahabat baik aku dunia dan akhirat ni.”

            “Aminnnnnn.” Rina mengamin panjang doa yang dibacakan oleh Zurith tadi. Siap tadah tangan lagi tu. Nasib baiklah Rina  memang pro membawa basikal dengan melepaskan tangan. Kalau tidak, gerenti jatuh. Zurith tergelak melihat gelagat Rina.

            Hampir 5 minit mereka menunggang basikal. Lebih kurang 10 minit lagi baru mereka berdua akan sampai ke rumah. Kebetulan pula rumah Zurith dan Rina saling berhadapan, hanya dipisahkan oleh jalan tar di tengah-tengah. Sebab itulah, jika ke sekolah dan balik dari sekolah, mereka akan sentiasa bersama-sama.

            “Zurith... jom kita lumba nak?” soal Rina tiba-tiba. Sudah lama dia tidak buat perangai gilanya ini. Tahun lepas dia menang besar bila Zurith kalah di tangannya. Tidak pasal-pasal sahabat baiknya itu terpaksa belanja Rina makan di kantin sekolah. Alah, setakat kantin sekolah je pun, bukannya mahal sangat. Tetapi kali ini kalau Rina menang dia nak demand sikit. Dia nak suruh Zurith belanja KFC ke, Pizza Hut ke, barulah best. Barulah berbaloi-baloi namanya.

            “Okey, no hal,” balas Zurith. Cabaran Rina disambut dengan begitu bersemangat sekali. Dia sendiri pelik, macam mana Hisyam boleh terpikat pada Rina. Sudahlah perangainya kadang-kadang kasar macam lelaki, kadang-kadang perangai kebudak-budakan, dah tu kuat melatah pula. Mungkin Hisyam masih belum dengar Rina melatah lagi. Sebab itulah dia boleh bertahan, ataupun mungkin depan Hisyam, Rina pandai kontrol cun.

            Mereka berdua mula mengayuh basikal dengan laju. Seperti biasa Rina yang mendahului. Basikal meluncur semakin laju, tambahan pula sekarang ini mereka sedang menuruni bukit. Rina terjerit-jerit riang. Seronok, kerana dia berada di hadapan. Akibat terlampau laju, Rina jadi kaget pula. Cepat-cepat dia menarik brek tangan, tetapi...

            “Alamak, kenapa ni? Brek tak makan pulak...”

            “Kenapa tu Rina!?” jerit Zurith yang pelik melihat basikal Rina seolah-olah hilang kawalan.

            “Alamak!!! Matilah aku... Brek tak makan... Tolong!!!”

            Rina semakin cemas. Begitu juga dengan Zurith di belakang. Rina menunggang seperti dalam keadaan terhuyung-hayang sehinggalah dia melencongkan basikalnya ke arah pokok-pokok pisang yang terdapat di bahu jalan.

            “Dush!!!

            Rina bersama-sama basikalnya terjatuh. Sebatang pokok pisang yang dilanggar Rina tumbang. Kuat juga langgaran yang dibuat oleh Rina tadi, kalau tidak masakan pokok pisang itu boleh tumbang. Baju yang dipakainya habis kotor. Nasib baiklah dia tidak tercampak ke dalam tali air yang terdapat berhampiran jalan itu. Kalau tidak gerenti dia berkubang macam kerbau.

            Zurith yang pada awalnya berniat hendak menolong Rina ketawa berdekah-dekah bila melihat keadaan Rina yang macam baru balik dari bendang. Kotor habis.

            “Hmm... Macam mana Rina, kau okey tak?” soal Zurith dengan tawa yang masih berbaki.

            Dia mengangkat basikal Rina yang terbaring.  Sedangkan Rina hanya dipandang dengan lerek senyum. Kelakar habis bila melihatkan keadaan Rina sekarang.

            “Okey apa? KOlah. Kau ni Zurith, teruklah sebab gelakkan aku. Patutnya kau tolonglah sahabat baik kau ni, ataupun kau simpati kat aku ni. Ini kau boleh ketawa bagai nak rak pulak. Aku cepuk karang baru tahu.” Geram Rina melihat Zurith yang seakan ingin menyambung tawanya lagi. Memang ada yang nak kena makan kasut ni.

            “Tak adalah, tadi kan boyfriend kau dah pesan. Kalau jatuh bangun sendiri. Ha... sekarang kau bangunlah sendiri ye. Ini pun kira baik sebab aku dah angkatkan basikal kau ni. Sakit sangat ke Cik Rina? Alah pokok pisang je kot yang kau langgar.”

            “Pisang tak pisang. Sakit jugak badan aku ni tau tak.”

            “Kira terrorlah tu, sampai tumbang pokok pisang tu kau kerjakan.”

            “Nasib baiklah aku langgar pokok pisang. Kalau aku langgar pokok durian tadi. Hesy... patah riuk aku dibuatnya. Dahlah, tolong aku ni. Susah nak bangunlah.”

            Rina menghulurkan tangan. Zurith pula menarik tangan Rina, menolongnya untuk bangun. Kemudian pakaian Rina yang kotor dikibasnya dengan tangan. Kuat juga Rina jatuh tadi. Mana tidaknya, ada bahagian bajunya yang terkoyak. Basikal pun dah tak macam rupa basikal dah. Habislah Rina balik nanti, mesti Makcik Joyah membebel tak cukup tanah.

1 comments:

muhammad syahmi said...

Salam Cik,

Saya Syahmi dari http://hidup.my/ dan ingin menjemput untuk review
laman web kami. Kami sangat hargai jika Cik boleh review laman web kami.
Cik boleh hubungi saya dengan maklumat di bawah.

Terima Kasih.

Syahmi
syahmiruhaizat@gmail.com

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...