Syazwan mencampakkan
briefcasenya ke sofa. Cukup untuk mengejutkan Farah yang sedang
terlena akibat lama menantikan kepulangannya. Tali leher yang terasa
merimaskan dilonggarkan. Dia seterusnya menghenyakkan punggungnya ke
sofa sambil kedua-dua belah kakinya dilunjurkan ke meja.
“Abang dah
balik?” soal Farah yang masih lagi mamai. Matanya ditenyeh
berkali-kali. Wajah Syazwan yang kelihatan serius menambahkan getar
di dadanya. Jam di dinding ditoleh sekilas. Sudah menunjukkan pukul
12 tengah malam. Lewat benar suaminya pulang ke rumah. Farah terus
mendapatkan Syazwan yang duduk di sofa. Kedua-dua sarung kaki
suaminya dibuka. Begitulah tugas rutinnya sejak 8 tahun yang lepas.
Menjadi suri rumah dan menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri
kepada suami yang dicintainya dengan sepenuh hati.
“Kenapa tak tidur
dekat dalam bilik?” soal Syazwan dengan nada kasar.
“Farah tunggu
abang balik tadi sampai tertidur pula. Abang dah makan?”
Syazwan cuma
memandang isterinya tanpa sebarang reaksi. Entah kenapa sejak
akhir-akhir ini perasaan sayangnya terhadap Farah kian luntur.
Mungkinkah disebabkan sehingga kini, setelah 8 tahun melayari hidup
berumahtangga mereka masih lagi belum dikurniakan zuriat. Ditambah
pula dengan tekanan daripada ibunya yang mahukan cucu. Apa yang
paling merunsingkannya adalah permintaan Puan Hikmah yang
menginginkannya mengahwini Zalia iaitu sepupunya.
“Sampai bila Wan
nak tunggu lagi. Dah 8 tahun tapi seorang anak pun tak ada lagi. Ibu
malu dengan saudara mara kita. Orang sekarang ni bukannya bertanyakan
pasal berapa banyak harta yang kita ada, tapi berapa ramai anak cucu
yang kita ada. Senang-senang Wan kahwin je la dengan Zalia, anak Mak
Su tu. Lagipun dulu kan Wan dengan Zalia tu rapat masa zaman sekolah.
Bini kau tu mandul. Tak boleh beranak. Lebih baik kau ceraikan saja
dia tu. Buat menanggung biawak hidup saja,” masih terngiang-ngiang
suara Puan Hikmah di telefon siang tadi.
“Abang dah makan?
Kalau belum nanti Farah panaskan lauk-pauk,” sekali lagi Farah
bertanya apabila tidak mendapat respon dari suaminya. Bahu Syazwan
dipicit perlahan. Dia tahu suaminya mesti kepenatan. Namun tangan
lembut yang memicit bahu tersebut ditepis kasar oleh Syazwan.
“Jangan
picit-picitlah. Rimaslah.” Syazwan bingkas bangun meninggalkan
Farah terkebil-kebil keseorangan. Sedikitpun dia tidak ada rasa belas
dan kasih pada isterinya. Apa yang ada hanyalah perasaan benci dan
marah kerana mendapat seorang isteri yang tidak mampu memberikannya
zuriat.
Farah cuma mampu
melihat dengan hati yang pedih. Bukan sekali dua dia diperlakukan
sedemikian. Sudah banyak kali hatinya disakiti oleh suami tersayang.
Dia tahu semuanya berpunca daripada kesunyian hidup mereka. Sudah 8
tahun berkahwin tetapi masih gagal memiliki walau seorang pun cahaya
mata. Dia tidak tahu siapa yang bersalah, adakah dia ataupun
suaminya. Ataupun semuanya sudah ketentuan Yang Maha Esa.
***
“Farah!!!
Farah!!! Mana sarapan pagi ni? Aku dah nak pergi kerja dah ni. Kau
tak masak ke pagi ni?” Syazwan bungkam sebaik membuka tudung saji
di dapur. Tidak ada satu pun hidangan yang tersedia. Sebelum ini
tidak pula begitu.
Farah tergesa-gesa
menghampiri Syazwan di dapur. Memang pagi tadi dia hendak memasak
tetapi tiba-tiba sahaja dia sakit kepala. Sebelum ini pun dia kerap
mengalami sakit kepala namun setelah menelan beberapa biji panadol
sakit itu beransur hilang. Tetapi pagi ini walau sebanyak mana
panadol yang ditelannya sakitnya semakin menjadi-jadi. Dia sendiri
tidak tahu apa puncanya.
“Maafkan Farah
bang. Farah tak larat nak masak pagi ni,” luah Farah meminta
simpati. Kepalanya dipicit-picit dengan tangan kanannya.
“Kenapa pula tak
larat? Penat ke? Bukannya kau ada buat kerja pun. Sekadar buat kerja
rumah tu setakat manalah penatnya. Ada banyak masa untuk berehat.
Kalau ada anak tu lainlah cerita, mestilah penat sebab menjaga anak
kan. Ini anak pun tak ada.”
Farah cuma tunduk
merenung lantai. Begitu sayu sekali hatinya mendengar kata-kata
Syazwan. Tidakkah Syazwan rasa apa yang dia rasa? Dia juga turut
merasa kesunyian. Tambahan pula sentiasa duduk seorang di rumah tanpa
ditemani sesiapa. Hatinya sakit, jiwanya terhiris.
Disebabkan sakit
kepala yang melampau Farah malas hendak berdebat panjang. Dia cuma
mendiamkan diri sahaja. Sakit kepala yang kuat itu menyebabkan dia
turut berasa loya seperti hendak muntah. Cepat-cepat Farah melarikan
dirinya ke tandas.
Syazwan yang bukan
main marahnya tadi turut berubah panik. Risau pula dia melihat
keadaan Farah. Diekori isterinya ke tandas. Belakang isterinya diusap
beberapa kali. Farah muntah dengan banyaknya. Segala isi perut yang
terisi habis dikeluarkan. Syazwan memandang dengan belas kasihan.
Dalam hati meneka-neka kenapa keadaan isterinya sedemikian rupa.
“Kenapa muntah
ni? Sayang pregnant kot?” ada riak gembira di wajahnya. Mungkinkah
benar isterinya sedang hamil. Setahunya kalau sakit kepala dan
muntah-muntah seperti ini adalah disebabkan seseorang itu mengandung.
“Jom sayang...
Abang bawa ke klinik.”
“Tak payahlah
bang. Sakit kepala biasa je ni.”
“Biasa apanya.
Kalau dah sakit kepala dan muntah-muntah macam tu mesti sebab
pregnant. Abang tahu mesti sayang pregnant ni,” Syazwan kelihatan
teruja. Membayangkan dirinya akan bergelar ayah tidak lama lagi.
Dipimpin perlahan isterinya ke sofa. Dia kemudian mengambil cuti
kecemasan. Farah akan dibawa ke klinik..
***
“Okey
dah sampai pun. Tunggu sekejap ye, nanti abang bukakan pintu,”
Syazwan bergegas menuju ke tempat duduk di sebelah pemandu. Wajah
Farah yang kelihatan pucat dipandang sayu.
“Teruk
juga orang pregnant ni ye?” soalnya sambil memapah Farah menuju ke
Klinik Aisyah.
Farah
hanya mampu tersenyum. Dia sendiri tidak pasti adakah dirinya
mengandung? Apa yang dia tahu sakit kepala yang dialaminya bukan hari
ini terjadi, telah kerap kali. Cuma baru hari ini dia merasa loya dan
muntah. Tetapi mungkin juga dia mengandung kerana periodnya telah
lewat hampir 2 minggu.
“Okey...
sayang duduk dulu, biar abang pergi buat pendaftaran.”
Farah
hanya mengangguk. Sesekali dia memejamkan mata. Walaupun kepalanya
yang berdenyut tadi semakin berkurangan sakitnya namun matanya
kelihatan berpinar-pinar. Tulisan poster tentang penyakit kanser
yang terdapat beberapa meter di hadapannya juga tidak dapat dibaca
dengan jelas. Tulisannya seakan-akan kabur dan berlapis-lapis.
'Kenapa
dengan aku ni? Aku dah nak buta ke? Tulisan sedekat itu pun aku tak
nampak.' Farah semakin gelisah.
“Okey
dah selesai. Sekejap lagi kita tunggu doktor. Sayang sakit lagi ke?”
soal Syazwan yang telah selesai membuat pendaftaran. Dia melabuhkan
punggung di sebelah Farah. Dahi isterinya dipicit perlahan.
“Tak
payahlah bang, Farah rasa dah okey sikit ni.”
“Kalau
macam tu baguslah. Lega sikit abang mendengarnya,” Syazwan
tersenyum bahagia. Pintu bilik doktor dipandang. Tidak sabar-sabar
dia hendak membawa Farah masuk ke dalam dan seterusnya mendengarkan
berita gembira tersebut dari doktor sendiri.
“Sayang...
Abang dah ada nama untuk anak kita nanti. Kalau perempuan abang nak
letak Nur Fatin Umairah, kalau lelaki pula Nur Iqbal Hakimi. Macam
mana, Farah suka tak?” Syazwan berwajah ceria. Jari jemari Farah
diramas mesra.
Farah
cuma tersenyum riang. “Cepat betul abang pilih nama tu. Macam dah
sedia ada saja.”
“Memang
pun. Nama-nama tu abang pilih sejak kita di awal perkahwinan lagi.
Manalah tau kot-kot time tu sayang bunting pelamin ke. Rupa-rupanya
sekarang baru merasa nak gunakan nama-nama tu,” Syazwan tersengih.
Dia kelihatan cukup gembira dan riang sekali.
Farah
hanya memandang dengan senyuman hambar. Sebenarnya dia bimbang jika
sebentar nanti jawapan yang diterimanya negatif. Sudah pasti reaksi
Syazwan berbeza seperti sekarang. Namun dalam hatinya dia memanjatkan
doa agar dirinya benar-benar hamil.
“Puan
Farah,” kedengaran nama Farah dipanggil.
Syazwan
bingkas memapah isterinya memasuki bilik doktor. Kelihatan seorang
doktor muda tersenyum manis ke arah mereka.
“Ye...
kenapa ye?” soal Doktor Aisyah kepada mereka berdua.
“Saya
syak isteri saya ni pregnant doktor. Tadi dia pening kepala dan
muntah dengan teruk. Selalunya itu tanda-tanda orang mengandung kan?”
Syazwan pula menyoal Doktor Aisyah. Farah di sebelah dipandang dengan
senyuman manis.
“Ye...
memang betul. Antara tanda-tanda orang mengandung adalah seperti
pening-pening, loya dan muntah-muntah. Kita panggil morning sickness.
Sebelum tu saya nak tanya Puan Farah, bila kali terakhir puan datang
bulan ye?” Doktor Aisyah memandang Farah.
“Saya
last period bulan lepas doktor. Tarikh tu tak berapa nak ingat. Tapi
kalau ikut perkiraan saya, bulan ni dah lewat 2 minggu saya tak
datang period.”
“Dah
sah lah tu, mesti pregnant kan doktor,” wajah Syazwan bercahaya.
Tangan Farah diramas mesra. Dia amat yakin yang Farah sedang
mengandungkan benihnya.
“Macam
nilah. Apa kata Puan Farah pergi buat ujian air kencing dulu. Lepas
tu kita akan sahkan sama ada pregnant atau tak.”
Farah
cuma mengangguk. Dia kemudiannya bergerak menuju ke tandas setelah
diberikan bekas kecil. Setelah selesai semuanya dia menuju ke bilik
doktor dan memberikan sampel air kencingnya kepada doktor.
“Okey,
tunggu sekejap ye.” Doktor Aisyah terus menguji sampel air kencing
Farah.
Farah
dan Syazwan menanti dengan penuh debaran. Syazwan yang kelihatan
begitu teruja kelihatan tidak sabar-sabar menanti jawapan dari Doktor
Aisyah. Setelah selesai menjalankan ujian Doktor Aisyah duduk semula
di tempatnya.
“Macam
mana doktor? Isteri saya mengandung kan?” soal Syazwan tanpa sempat
Doktor Aisyah memberitahu perkara yang sebenarnya. Farah di sebelah
pula kelihatan semakin gelisah.
Doktor
Aisyah hanya mampu tersenyum. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba
memberitahu perkara yang sebenarnya. “Minta maaf ya encik, ujian
yang kita jalankan tadi menunjukkan yang Puan Farah tak mengandung.
Mungkin simpton lain yang menyebabkan dia sakit kepala dan
muntah-muntah.”
Serta
merta wajah Syazwan dan Farah berubah.
“Betul
ke ni doktor? Cuba check sekali lagi. Mustahil isteri saya tak
mengandung. Tadi dia muntah teruk tu.” Syazwan seakan-akan tidak
dapat menerima hakikat.
“Betul
encik. Ujian yang kami jalankan tu memang tepat. Puan Farah memang
belum mengandung lagi,” Doktor Aisyah cuba meyakinkan.
“Tipulah...
ini semua tipu,” Syazwan meraup mukanya dengan kedua-dua tapak
tangan. Baru sahaja dia hendak bergembira dengan berita yang telah
lama ditunggunya namun hampa. Perasaan kecewa sangat-sangat dirasai.
“Abang...
janganlah macam ni. Mungkin belum ada rezeki kita lagi. Sabarlah,”
pujuk Farah. Tangan Syazwan cuba digenggam namun Syazwan menepis
kasar.
“Sabar!!!
Sabar!!! Sampai bila aku nak sabar hah. Dah 8 tahun aku tunggu tapi
kau tak mengandung juga. Memang betullah ibu aku cakap yang kau ni
mandul. Memang keturunan mandul agaknya,” Syazwan sudah tidak dapat
membendung perasaan marahnya. Tanpa rasa malu dia menengking dan
memaki hamun isterinya di hadapan Doktor Aisyah.
Doktor
Aisyah yang terkejut dengan tindakan Syazwan hanya mampu
menenangkannya. “Sabar encik. Bawa bertenang. Masalah ni boleh
dibawa berunding. Tak patut encik salahkan isteri encik. Kita
sama-sama cari jalan penyelesaian,” pujuk Doktor Aisyah. Kasihan
dia melihatkan Farah yang cuba menahan air mata daripada keluar.
“Nak
bincang apa lagi doktor. Isteri saya ni memang mandul.”
“Abang!!!”
jerit Farah. Dia sudah tidak tahan dicaci sebegitu oleh suaminya. Di
hadapan seorang doktor muda pula tu. Tidakkah suaminya tahu malu,
merendah dan memperlekehkan dirinya di hadapan orang lain. Hatinya
semakin diruntun sayu. Air mata yang ditahan sedari tadi semakin laju
mengalir. “Sampai hati abang cakap Farah macam tu.”
“Kita
cuba cari punca masalahnya dulu encik. Sebelum ni encik dan puan
pernah tak buat ujian kesuburan? “ soal Doktor Aisyah. Dia cuba
mencari punca dan jalan penyelesaian bagi masalah suami isteri di
hadapannya ini.
“Nak
buat ujian apa nya doktor. Setahu saya kalau tak boleh mengandung ni,
orang perempuan tulah yang mandul. Orang lelaki mana ada mandul.
Mengarutlah dengan ujian-ujian tu semua. Memang saya ni bernasib
malang sebab dapat isteri yang mandul.” Syazwan bingkas bangun dan
berlalu meninggalkan Farah dan Doktor Aisyah.
Doktor
Aisyah mendapatkan Farah yang sedang menangis teresak-esak. Tubuh
kecil yang terhenjut-henjut itu dibawa ke dakapannya. “Sabar
banyak-banyak puan. Saya doakan yang terbaik untuk rumah tangga
puan.” Belakang Farah ditepuk perlahan.
Farah
pula sudah hilang rasa malu. Dia menangis semahunya dalam dakapan
Doktor Aisyah. Biarlah apa doktor itu hendak kata. Hatinya sayu
sangat-sangat. Sedih bila mengenangkan nasib dirinya. Hanya kerana
tidak mempunyai zuriat Syazwan melayannya sedemikian rupa. Padahal
mereka berkahwin atas dasar suka sama suka, saling cinta mencintai.
'Sampai
hati abang buat Farah macam ni. Sampai hati abang.'
***
“Ke
mana abang pergi? Kenapa sampai sekarang abang masih belum balik
lagi. Farah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Abang tak rindukan
Farah ke?”
Farah
termenung di ruang tamu. Menunggu kepulangan suami yang entah bila
akan pulang. Sejak peristiwa dimalukan di hospital dahulu sudah
hampir 2 minggu Syazwan menghilangkan diri. Tinggallah Farah
keseorangan di rumah menantinya ibarat menunggu buah yang tidak
gugur. Sakit peningnya pun dia sendiri yang menanggung. Sejak
akhir-akhir ni sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Hampir setiap
pagi dia akan mengalami sakit kepala yang amat teruk, diiringi dengan
muntah-muntah. Badannya cukup lemah dan tidak bermaya. Tubuh yang
dulunya berisi sudah bertukar menjadi kurus. Mukanya yang dulu gebu
telah berubah menjadi cengkung.
“Assalamualaikum”
sapaan di muka pintu mengejutkan lamunan Farah. Dia lantas menuju ke
pintu untuk melihat tetamu yang hadir. Terkejut bukan kepalang
apabila dia melihat gerangan tetamu yang tidak diundang itu.
“Ibu.”
Farah menghulurkan tangan untuk bersalam namun tidak disambut oleh
Puan Hikmah. Hanya jelingan tajam yang dihadiahkan kepada menantunya
itu. Farah berasa serba salah. Apakah tujuan kedatangan ibu mertuanya
ke sini bersama-sama dengan seorang gadis yang cukup dikenalinya.
Zalia, sepupu Syazwan.
“Duduklah
dulu bu, nanti Farah buatkan air,” pelawa Farah. Dalam hatinya
penuh debaran dan tanda tanya. Dia dapat menangkap kedatangan ibu
mertuanya bukanlah berniat baik. Sebelum ini tidak pernah Puan Hikmah
menjejakkan kaki ke rumah yang didiaminya dengan Syazwan. Dia tahu,
dia bukanlah menantu pilihan keluarga Syazwan dan dia tahu dirinya
amat dibenci oleh ibu mertuanya.
“Tak
payah. Aku datang sini bukannya hendak duduk ataupun hendak minum air
yang kau buat. Aku datang sini sebab nak beritahu kau satu perkara
penting. Kau tahu ke mana Syazwan pergi?”
Farah
menggeleng. “Minta maaf bu, Farah tak tahu ke mana abang pergi. Dah
puas Farah telefon dia tapi dia tak jawab pun. Farah call ofis, dia
orang cakap abang bercuti. Farah bimbang kalau-kalau ada sesuatu yang
buruk berlaku pada abang.”
Zalia
tersenyum mengejek. Puan Hikmah tersengih panjang.
“Tak
payahlah kau nak susah-susah risaukan dia. Untuk pengetahuan kau,
suami kau dah selamat dinikahkan dengan Zalia di Thailand. Kalau kau nak tahu ini
madu kau. Tapi jangan bimbanglah, status kau sebagai madu tu akan
berakhir tak lama lagi. Aku akan suruh Syazwan ceraikan kau. Tak ada
gunanya dia hidup bersama dengan kau. Tak mendatangkan hasil pun.
Buat menghabiskan duit gaji dia saja menyara kau. Dah lah mandul, tak
boleh beranak.”
Kata-kata
Puan Hikmah cukup membuatkan Farah terkejut besar. Umpama jatuh
ditimpa tangga dirinya saat ini. Dia terduduk di lantai. Fikirannya
kosong, akalnya mati. Kepalanya berserabut dengan pelbagai masalah.
Air mata yang sentiasa menjadi peneman setianya laju saja mengalir.
Seolah-olah sama-sama menangisi nasib dirinya. Kelibat Puan Hikmah
dan Zalia yang tersenyum mengejeknya tidak dihiraukan. Pemergian
mereka juga tidak disedarinya.
“Abang...
sampainya hati abang buat Farah macam ni. Mana janji abang untuk
sehidup semati dengan Farah. Kenapa abang biarkan Farah
terkapai-kapai keseorangan. Sedangkan abang... abang sedang
berbahagia dengan orang lain. Sia-sia Farah risaukan abang selama
ini. Abang... baliklah bang. Farah rindukan abang. Rindu
sangat-sangat. Baliklah bang...” Farah menangis teresak-esak umpama
anak kecil yang kematian ibunya. Menangisi nasib dirinya. Dia
menangis sepuas-puasnya, semahu-mahunya.
***
“Farah...
Farah...” kedengaran sayup-sayup suara memanggilnya. Suara yang
amat dikenalinya. Suara milik insan yang terlalu dirinduinya.
Farah
membuka mata perlahan-lahan. Kelihatan kabur pandangannya.
Berkali-kali dia mengerdipkan matanya sehingga jelas gerangan insan
yang berada di hadapannya.
“Abang...”
Farah tidak mampu meneruskan kata-kata. Lelaki yang berada di
hadapannya dipeluk sekuat hati. Rindu pada suaminya tidak dapat
dibendung lagi. Bertubi-tubi pipi Syazwan diciuminya. Dia terlalu
merindui lelaki itu, terlalu merindui suaminya. Pelukannya
dikemaskan, seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Dan seboleh-bolehnya
dia tidak mahu lelaki itu pergi meninggalkannya lagi. Cukuplah
sekali, jangan berulang lagi.
“Farah
rindukan abang... rindu sangat-sangat.”
Syazwan
cuma membiarkan dirinya diperlakukan sebegitu oleh Farah. Dia tidak
menolak namun dia juga tidak membalas setiap perilaku tersebut.
Tubuhnya keras umpama kayu. Langsung tidak mempunyai reaksi.
“Abang...”
Farah menatap wajah Syazwan. Tidakkah suaminya ini merindui dirinya,
sebagaimana dirinya. Perlahan-lahan Farah melepaskan pelukannya yang
kemas tadi. Perasaan malu mula terbit dalam diri apabila Syazwan
tidak memberikan sebarang tindak balas. Wajah Syazwan dipandang sayu.
“Kenapa
tidur dekat sini?” soal Syazwan. Wajah Farah yang murung dipandang
sepi.
Farah
terdiam. Baru tersedar yang sepanjang malam dia tertidur di lantai di
tepi sofa rupanya. Semalaman dia menangis mendengar khabar buruk yang
disampaikan oleh ibu mertuanya. Tangisan yang panjang sehingga
akhirnya dia tertidur di situ.
“Farah
menangis ke?” Syazwan menyoal apabila melihat sepasang mata
isterinya yang sembab. Dia tahu Farah menangis, dan dia juga tahu
penyebabnya. Namun dia tidak berdaya. Dia berada dalam keterpaksaan.
Dia sayangkan Farah tetapi perasaannya sukar hendak diduga. Syazwan
dapat merasakan yang dirinya sudah tidak seperti dahulu. Seolah-olah
ada satu kuasa aneh yang membuat keputusan bagi pihaknya.
Farah
cuma diam membisu tanpa sebarang jawapan. “Abang nak makan, nanti
Farah boleh masakkan.” Farah sudah mahu bangun. Hari yang menginjak
ke tengah hari menyebabkan dia tersedar yang dia belum menjamah
apa-apa lagi. Patutlah perutnya terasa pedih semacam.
“Tak
apalah. Abang dah kenyang. Abang datang ni pun untuk ambil
barang-barang abang saja.”
“Ambil
barang-barang abang. Apa maksud abang?” laju Farah menyoal. Dadanya
yang sesak menjadi semakin berdebar-debar. Adakah Syazwan akan
menceraikannya. Maklumlah Syazwan sudah pun berkahwin lain. Debaran
di dadanya semakin memuncak. Perasaan bimbang dan risau semakin
mencengkam kalbu.
“Abang
rasa Farah dah tahu dengan keadaan kita sekarang kan. Mulai hari ini
abang akan tinggal bersama-sama dengan Zalia. Tapi Farah jangan
risau, Farah boleh tinggal di rumah ni. Abang hadiahkan rumah ni
untuk Farah. Tiap-tiap bulan abang akan bagi nafkah. Abang takkan
ceraikan Farah walaupun itu merupakan kehendak ibu.” Syazwan terus
bergegas menuju ke bilik. Dia tidak sanggup berhadapan dengan Farah.
Perasaan bersalah amat kuat dirasakan.
“Abang...
kenapa? Kenapa sampai jadi macam ni? Abang tak kesiankan Farah ke?”
jerit Farah yang sudah hilang pertimbangan. Tangisannya semakin
menjadi-jadi. Dia mengekori Syazwan menuju ke bilik. Syazwan dengan
pantas memasukkan kesemua pakaiannya ke dalam bagasi. Farah yang
sudahpun berada di birai katil tidak diendahkan.
“Abang...
jawablah bang. Kenapa buat Farah macam ni. Apa makna semua ni bang,”
semakin kuat Farah mengongoi, semakin laju pula Syazwan mengemaskan
barang-barangnya. Dia tidak sanggup melihat tangisan sayu isterinya.
“Maafkan
abang Farah,” hanya itu yang termampu diucapkan oleh Syazwan.
“Abang...
sampainya hati abang. Sanggup abang biarkan Farah keseorangan. Farah
tak ada siapa-siapa di dunia ni melainkan abang. Tolonglah abang,
jangan buang Farah dari hidup abang. Tolonglah...” Farah memeluk
kemas betis Syazwan. Tangisannya semakin berlagu, semakin rancak. Dia
tidak mahu ditinggalkan untuk kali kedua.
“Abang
terpaksa pergi dulu Farah. Jaga diri baik-baik.” Syazwan sedaya
upaya cuba memboloskan diri dari pelukan Farah. Dia keluar dengan
pantas sambil membawa bagasi. Panggilan dan tangisan Farah hanya
dibiarkan sepi.
“Abang...
abang... baliklah bang. Jangan buat Farah macam ni. Abang...
sampainya hati abang,” Farah menangis kuat di muka pintu bilik.
Pemergian
Syazwan hanya dipandang kosong. Dia sebak. Malam-malam sepinya
terpaksa dilalui sendiri. Dirinya yang sunyi tidak akan ditemani oleh
suaminya lagi. Lama Farah menangis, lama Farah termenung. Sehingga
air matanya dirasakan sudah kering. Dia sedar Syazwan sudah tidak
menyayanginya lagi. Hanya dirinya sahaja yang masih berperasaan
seperti itu. Dia perlu kuatkan semangat. Sudah tidak ada gunanya dia
merayu pada lelaki yang sudah tidak menginginkannya. Cukuplah...
cukuplah apa yang dia tanggung selama ini. Segala caci maki dan
penghinaan daripada insan yang terlalu disayanginya. Mungkin jodohnya
dengan Syazwan hanya setakat ini sahaja. Andai itu adalah benar dia
redha dalam pasrah.
“Terima
kasih abang... terima kasih atas segalanya. Terima kasih atas setiap
kasih sayang yang abang curahkan. Terima kasih juga atas setiap
penghinaan yang abang berikan. Dan... selamat pengantin baru
suamiku...”
***
Bila Hati Dah Sayang Cerpen