Yang Disayangi Selalu !!!

Saturday, June 18, 2011

Kesilapanku Keegoanmu

Farisha seorang gadis yang berumur 24 tahun. Berdarah campuran kerana arwah ibunya merupakan warga Indonesia. Sekali tengok memang cun gila. Dua kali tengok pun masih cun lagi. Berlesung pipit di pipi, ketinggian 160cm, berkulit cerah, berambut ikal mayang, berwajah bujur sirih dan mempunyai susuk tubuh yang amat menarik. Cuma perangainya sahaja yang tidak berapa cun. Seorang yang begitu serius dengan kerja dan bercita-cita tinggi. Amat digeruni oleh staf-staf AH Holding kerana sikap panas barannya. Setiap hari kalau tidak mendengar jeritannya memang tidak sah.

“Hazry!!! tolong masuk bilik saya sekejap,” arah Farisha kepada Hazry yang sedang tekun menyiapkan drawingnya.

Hazry cuma mengangguk perlahan tanpa menjawab.
“Hmmm, nak kena tibai lagi ke ni. Hari-hari macam ni, boleh kurus badan aku,” rungutnya.

“Weiii Ry, nak dating lagi ke. Tak habis-habis kau dating dengan cik annoying tu, tak acilah. Bagilah peluang dekat aku pula. Ni yang jeles ni. Kih kih kih,” Adam tergelak kuat. Sengaja dia menaikkan kemarahan Hazry. Cik Annoying merupakan gelaran yang diberikan oleh mereka kepada Farisha.

“Kau ni, tak habis-habis nak kenakan aku. Kalau kau suka sangat, kau gantilah tempat aku. Ni telinga aku ni, tinggal tak bernanah je lagi mendengar bebelan dia. Ini tak kena, itu tak kena. Haii, sakit jiwa aku ni. Kalau jadi bini aku memang aku dah picit-picit je dia tu,” Hazry membuat gaya dengan tangannya.

“Uiitt, ada hati pula tu nak buat bini. Kalau akulah, minta simpang malaikat 44. Minta dijauhkanlah.”

“Pulak.. tadi bukan main beria-ia nak pergi dating dengan dia. Bila kahwin dengan dia tak nak pula.”

“Tak apalah Ry, kau ambil jelah. Aku takut, kalau aku kahwin dengan dia nanti, umur aku tak panjang.”

“Ha ha ha, aku memanglah nak. Orang kaya tu, cantik pula tu. Senang hidup aku. Tapi dia pula tak nak dekat aku.”

“Ha ha ha, nasib baik kau sedar diri. Dahlah, pergi masuk cepat. Nanti berangin pula dia kat dalam tu.”

“Alaa.. apa nak takut. Kalau dia keluarkan angin, aku kasi kipas sama dia. Kalau tak cukup dengan kipas, aircond pun aku boleh bagi. Okeylah, aku masuk dulu,” Hazry mengatur langkah kaki perlahan menuju ke bilik Farisha.

Hazry mengetuk pintu bilik Farisha bertalu-talu, namun tiada jawapan yang didengarnya dari dalam. Tertera di pintu bilik Farisha jawatannya sebagai Timbalan Pengarah.

'Hmmm, bertuahlah kau. Baru habis study terus dapat jawatan Timbalan Pengarah dekat syarikat engineering ni. Jawatan aku jugalah yang masih sama walaupun dah bertahun-tahun kerja dekat sini. Nak buat macam mana, dah kau tu anak bos. Kalau aku anak bos, aku pun boleh dapat jawatan tulah. So jangan nak berlagak dengan aku ye. Ni aku ketuk pintu beratus kali, tak reti-reti nak suruh aku masuk ke. Sakit dah tangan aku yang lembut ni. Ni ada juga yang nak kena sumbat dengan kasut karang ni,' rungut Hazry lagi sambil mengetuk pintu bilik sekuat hati.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Terpampang wajah Farisha yang menyinga ke arahnya.

'Oooppssss, terkejut aku. Nasib baik aku tak terketuk muka dia tadi. Kot ye pun kalau nak buka pintu tu, bagilah salam dulu. Ini tidak, main buka saja. Mak aiii, ni muka dah macam harimau betina nak beranak je ni. Aduhh, kecut perut aku tengok,' omel Hazry sendiri.

“Awak ni pekak ke. Saya cakap tunggu dulu tadi, awak tak dengar ke,” marah Farisha sambil menjegilkan anak matanya. Kalau boleh terkeluar memang dah tercampak ke bawah dah biji mata dia itu.

Hazry dipandang tajam. Nampak kecil sahaja di matanya. Kalau boleh ditelan, memang sudah ditelannya Hazry ni hidup-hidup. Tengah sibuk berbual di telefon Hazry juga turut sama menyibuk dengan mengetuk pintu bertalu-talu. Hilang tumpuannya semasa berbual tadi.

'Isshhh, aku ke atau dia yang pekak ni. Konfius, konfius,' fikir Hazry.

“Maafkan saya Cik Farisha. Saya tak dengar tadi,” terpaksalah Hazry mengalah. Kalau tidak memikirkan yang Farisha itu anak majikannya, memang sudah lama kena bambu si Farisha ni.

“Dah memang awak tu pekak. Lain kali tolong korek sikit telinga tu, kasi klear. Buang apa yang patut kat dalam tu. Dah, masuk!!!”

Suka hati mak bapak dia je, tiap-tiap hari aku servis tau. Sekalipun tak pernah miss. Hazry buat muka sekupang. Sudah lali dengan makian Farisha. Setiap hari kalau tidak mendengar ceramah Farisha ini memang tidak sah. Umpama makan nasi tidak berlauk. Sudah macam terkena badi sahaja dia rasa.

“Ni, awak buat kerja macam mana. Ada cek dulu ke tak. Ni, drawing ni banyak sangat silap. Ukurannya tak sama dengan yang asal. Bukan macam nilah yang saya nak,” Farisha bising-bising lagi sambil menunjuk-nunjuk ke arah drawing bersaiz A3 di atas mejanya.

“Ehh, ada silap ke Cik Farisha. Biar saya tengok dulu,” Hazry turut memerhatikan drawing tersebut. Setahu aku tak ada salah pun, semuanya betul. Tang mana pulalah yang dikatakannya salah tu. Dah juling biji mata ke apa dia ni. Hazry membelek buat kali kedua.

“Tak ada salah apa pun Cik Farisha. Semuanya ok je.”

“Awak ni suka menjawab ye, kalau saya cakap ada mistake tu, adalah. Awak tengok ni, ukurannya tak sama,” Farisha membandingkan drawing tersebut dengan lakaran yang dibuat sebelumnya.

“Haa, tengok. Kan tak sama. Banyak beza sangat saiznya ni.”

“Tapi saya ikut sketching yang Cik Farisha bagi. Yang ini sketching siapa pula,” Hazry buat muka pelik. Hairan pula dia. Kalau ikut lakaran yang ada sekarang ni memanglah tidak sama.

“Inilah sketching yang saya buat,” tegas Farisha lagi.

“Cik Farisha ni. Kalau tak silap ini lakaran asal yang dibuat oleh Encik Hamid. Yang ni dah tak pakai dah ni. Saiznya tak menepati citarasa klient,” dah sah dia ni tersilap.

“Habis tu, sketching yang saya buat mana?”

“Ada dekat tempat saya.”

“Yang awak simpan dekat tempat awak kenapa. Kan saya dah tersilap. Buang masa saja. Lain kali tolong attach sekali drawing tu dengan sketching yang saya buat. Ini tidak, disimpannya dekat sana pula. Awak nak buat apa simpan kat situ. Nak buat kertas bungkus belacan,” bebel Farisha lagi. Kalau bercakap bagi sahaja dekat dia, dari pagi sampai ke petang pun dia sanggup. Maklumlah suka sangat makan bontot ayam.

Ni apa kes pula nak buat balut-balut belacan ni. Dia ingat aku ni tokeh belacan ke apa. Hazry naik rimas, cakap ikut sedap mulut dia sahaja.

“Tapi hari itu Cik Farisha yang suruh saya simpan kan,” haaa sudah lupalah tu. Memang nak kena cepuk juga kepala dia ni.

“Mana ada. Memandai saja awak ni. Dah pergi ambil sketching tu. Nanti letak atas meja saya,” arah Farisha lagi. Dia terus duduk sambil mencapai gelas minuman. Milo ais diteguk perlahan. Dahaga, maklumlah sudah habis tenaganya digunakan untuk membebel tadi.

“Apa lagi yang awak tercegat kat depan tu, tak reti-reti nak keluar ke. Pergilah cepat,” marahnya lagi.

Hazry mengatur langkah keluar. Dalam hati bukan main berapi-api lagi marahkan Farisha.

“Haii, sabar, sabar. Nak buat macam mana. Dah nama pun makan gaji. Sudah buat salah tetapi tak nak mengaku pula tu. Apa jenis oranglah macam ni,” bebelnya lagi.

****

“Cik Farisha, ni airnya” bibik Midah meletakkan jus oren yang diminta Farisha di atas meja. Farisha dilihatnya sedang membelek-belek majalah Wanita dengan begitu khusyuk sekali. Dia lalu terus membawa diri ke dapur. Baru tiga empat langkah dia terdengar tempikan dari Farisha.

“Bibik!!!”

“Iya bu, ada apa,” bibik Midah tergesa-gesa mendapatkan Farisha. Mukanya kelihatan pucat macam tidak berdarah.

“Apa bu, bu. Bila masa pula aku jadi ibu kau. Cik lah,” marah Farisha. Bibik Midah dijelingnya tajam.

“Maaf cik. Iya, ada apa?” soal bibik Midah lagi yang kelihatan agak takut. Kecut perutnya melihat wajah Farisha yang menyinga.

“Ni air apa yang kau buat ni. Cuba kau minum,” bibik Midah cuma menurut. Jus oren diteguknya perlahan.

“Sedap bu jus orennya. Masam manis semuanya cukup. Ada apa yang tak kenanya dengan tekak ibu. Ibu demam ya.”

“Bu, bu. Berapa kali aku nak cakaplah. Lagi sekali kau panggil aku bu, aku hantar kau balik Indonesia,” ugut Farisha.

“Demam apanya pula. Aku minta jus orenlah, yang kau bagi ni apa,” marahnya lagi. Meluat sungguh dia melihat bibik tua di depannya sekarang ini.

“Ini memang jus orenlah Cik Risha. Seperti yang Cik Risha minta tadilah bibik buatkan.”

“Aku cakap bukan, bukanlah. Aku nak jus oren yang sebenar-benarnya. Aku nak yang fresh. Bukannya yang macam ni. Ni macam mana kau buat?” soalnya lagi dengan nada kasar.

“Lorr, dituang sedikit dari botolnya, kemudian dicampurkan dengan gula, dimasukkan air dan dikacau-kacau. Maka jadilah jus orennya,” bibik Midah menerangkan satu-persatu proses bagaimana dia membuat jus oren tersebut.

“Itu bukan jus orenlah. Itu air oren. Yang aku nak ni, kau ambil buah 'orange' yang dekat dalam peti ais tu, lepas tu blend. Yang itulah yang aku nak. Yang fresh-fresh tu.”

“Lorr, yang begitukah. Tapi di botol itu tadi ternyata memang tulisnya jus oren.”

“Dah dah dah, kau pergi buat apa yang aku suruh. Aku dahaga ni, cepat. Ni, bawa ke dapur sekali,” Farisha menunjukkan air oren di gelas yang tidak luak diminumnya tadi. Bibik Midah cuma menurut perintah.

****

“Apa benda yang kecoh-kecoh tu?” tanya Encik Hisyam kepada Encik Hamid.
Kebetulan mereka berdua berada di ruang tamu sedang berehat-rehat.

“Siapa lagi kalau bukan si Risha tu,” jawab Encik Hamid.
“Entahlah, angah pun tak taulah dengan perangai dia tu long. Tak bersopan-santun. Suka-suka saja nak marah orang. Dah banyak kali angah dapat komplen dari staf di pejabat tu. Yang nak resign pun ada sebab tak tahan asyik kena marah dengan Risha.”

“Sampai macam tu sekali. Hmmm, biasalah tu. Budak-budak zaman sekarang. Tambah pula Risha tu kematian ibu dari kecil. Tak dapat kasih sayang dan didikan dari seorang ibu. Sebab tulah perangai dia lain macam saja,” ujar Encik Hisyam lagi yang merupakan bapa saudara Farisha.

Di waktu hujung minggu Encik Hisyam gemar bertandang ke rumah adiknya. Berbual-bual kosong.

“Entahlah, bila dia nak berubah pun tak tahu. Tapi yang angah suka tu dia serius pasal kerja. Memang boleh diharapkan. Dia pernah cakap yang dia akan mengambil tempat angah sebagai Pengarah di AH Holding.”

“Serius pasal kerja tu bagus dah. Tapi dia kena ubah sikap juga. Mana boleh berkasar dengan orang macam tu. Along ada satu cadangan. Apa kata kita kahwinkan saja dia tu. Habis cerita, selalunya kalau orang yang dah berkahwin ni akan berfikiran matang,” usul Encik Hisyam.

“Kahwinkan dia. Ishh, boleh ke long. Dia tu dahlah jenis yang suka memberontak. Belum tentu dia setuju dengan cadangan kita,” Encik Hamid faham dengan perangai Farisha. Tambahan pula Farisha sampai sekarang masih belum mempunyai teman lelaki.

“Apa susah. Kita ugut dia. Dia kan nak jadi Pengarah AH Holding. Kalau dia tak nak kahwin, kita lucutkan jawatannya dalam syarikat. Sekaligus dia takkan dapat berangan-angan nak jadi Pengarah AH Holding.”

“Betul juga tu long, tapi boleh jalan ke idea ni. Kalau dia tak nak macam mana,” Encik Hamid masih kelihatan was-was.

“Dia mesti terpaksa terima juga. Orang yang mementingkan kerjaya macam dia tu, mesti akan ikut cadangan kita. Angah jangan bimbanglah.”

“Okey, yang tu dah selesai. Tapi kat mana pula nak dicari pengantin lelakinya. Kalau Risha setuju, tapi ada ke lelaki yang nak kahwin dengan dia. Ramai orang yang tak suka dengan perangai dia tu.”

“Betul juga ye,” Encik Hisyam menggaru-garu kepalanya. Siapalah pula yang hendak disuruhnya berkahwin dengan Farisha ni. Lelaki zaman sekarang ini pun pandai memilih calon isteri. Kalau hendak fikir fasal cantik, Farisha tu memang sudah cantik, cuma sikapnya saja yang tidak cantik. Tetapi ada juga lelaki yang sanggup berkahwin kerana harta. Jangan ingat perempuan sahaja yang materialistik, lelaki pun ada.
“Haaa!!! angah,” sergah Encik Hisyam dengan kuat.

Encik Hamid cuma mengurut dada perlahan, terkejut dengan sergahan Encik Hisyam tadi.
“Kau ni long, janganlah macam ni, terkejut angah tau. Kenapa? Dah dapat calon ke.”

“Tu siapa nama budak lelaki yang kerja di AH Holding tu. Feri, Ry, apa entah nama dia,” Encik Hisyam meneka-neka. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki tersebut yang pernah dijumpainya semasa dia datang ke AH Holding dahulu. Tengok pada gaya lelaki tersebut, dia merupakan seorang yang mementingkan jenama. Berprofile tinggi, sesuai jika digandingkan dengan Farisha.

“Ohh, Hazry. Ha'aa. Angah tak terfikir pun tadi. Dia tu memang seorang yang bercita-cita besar. Kalau boleh semua yang besar-besar dia nak. Kereta besar, rumah besar. Hutang keliling pinggang tu. Bak kata orang biar papa asal bergaya.”

“Kalau macam tu memang sesuai sangatlah dengan Risha. Along rasa lebih baik angah slow talk dengan dia. Cuba pujuk dia supaya berkahwin dengan Risya. Kita umpanlah dia juga. Tu jawatan pengurus dekat AH Holding tu kan masih kosong lagi. Bagi je dekat dia kalau dia setuju berkahwin dengan Risha.”

“Betul juga tu. Tak terfikir pula angah tadi. Lagipun Hazry tu dah lama bekerja di AH Holding. Memang layak pun dia memegang jawatan tersebut. Nantilah esok angah akan berbincang dengan Risha dan juga Hazry,” jelas Encik Hamid.

Berharap sangat agar Farisha akan mengikut cadangannya.

********

Farisha menghenyakkan badannya sekuat hati di kerusi. Dadanya berombak kencang, nafasnya turun naik dengan laju sekali. Geram betul dia dengan arahan papanya. Ada ke patut dia disuruh berkahwin dengan Hazry. Papa dia ingat ini macam zaman dulu-dulu ke, nak kena kahwin paksa. Sudahlah dengan Hazry pula tu. Apa kelas mamat itu hendak dijadikan suami. Tidak termasuk dalam senarai citarasanya langsung. Siap ugut pula tu dengan jawatan Pengarah di AH Holding. Ini yang membuatkan Farisha bertambah-tambah geram. Jawatan Pengarah itu memang diidam-idamkannya, tidak sangka papanya memasang umpan sedemikian rupa.

Yang menyakitkan hatinya lagi, Hazry boleh bersetuju pula tu dengan permintaan papanya. Hujung minggu ini juga dia hendak hantar orang masuk meminang.

“Okey... Nak sangat aku kahwin dengan si Hazry tu ye. Aku akan kahwin, tapi lepas dah dapat jawatan tu nanti aku akan suruh Hazry ceraikan aku,” bebel Farisha.

Gagang telefon diangkat. Extension Hazry didail. Perhitungan terakhir perlu dibuat bersama-sama dengan Hazry.

“Hello Hazry!!! Masuk bilik saya sekejap.”

Gagang telefon dihempas kuat. Matanya terarah ke pintu, menunggu kedatangan Hazry. Tidak lama kemudian kedengaran ketukan di pintu. Mesti Hazry sudah sampai.

“Masuk!!!” jerit Farisha kuat.

Hazry yang muncul di muka pintu berjalan perlahan menuju ke arah Farisha. Wajah Farisha yang mencuka itu dipandang dalam-dalam. Seakan-akan dapat mengagak perkara yang ingin dibincangkan oleh gadis manis tersebut. Hazry tidak menyangka bagaimana Encik Hamid boleh menawarkan dirinya untuk berkahwin dengan Farisha. Sudahlah begitu, jawatan Pengurus di AH Holding juga turut ditawarkan. Memang sudah lama Hazry menginginkan jawatan tersebut. Umpama pucuk dicita ulam mendatang. Syaratnya mudah sahaja, dia perlu membentuk dan mengubah Farisha menjadi seorang perempuan yang bersopan-santun dan menghormati orang lain. Bagi Hazry syarat tersebut amat mudah, apabila sudah bergelar suami Farisha nanti, dia akan menggunakan kuasa vetonya. Tengok sahajalah nanti.

“Ada apa Cik Farisha?” soal Hazry sambil merenung wajah Farisha yang kelat.

“Apa yang papa saya bagi dekat awak sampai awak sanggup berkahwin dengan saya?” soalnya kasar.

Hazry cuma tersenyum sinis. Ini membuatkan Farisha semakin naik angin.

“Dah, awak tak payah nak senyum-senyum. Saya tanya awak jawablah,” bentak Farisha lagi sambil berpeluk tubuh.

“Betul Cik Farisha nak tahu?” soal Hazry lagi.

“Awak jangan nak main-mainkan saya. Mesti papa saya ada offer something dekat awak kan. Kalau tidak masakan awak hendak berkahwin dengan orang seperti saya.”

Hazry tersenyum sinis lagi. Suka dia mendengar ayat yang diluahkan Farisha. Sedar juga dirinya tidak ada sesiapa pun yang ingin berkahwin dengannya.

“Jawatan sebagai Pengurus di AH Holding,” Hazry menjawab dengan selamba.

“What!!!,” Farisha terkejut sambil membulatkan biji matanya. Kemudian dia turut tersenyum sinis.

“So sekarang fairlah. Awak kahwin dengan saya sebab jawatan sebagai Pengurus dan saya juga akan berkahwin dengan awak disebabkan jawatan sebagai Pengarah di AH Holding. Cuma satu sahaja saya nak minta dari awak, selepas setahun kita berkahwin saya nak awak ceraikan saya. Dan perkahwinan yang akan berlangsung ini hanya atas nama sahaja. Hakikatnya kita bukan suami isteri. And one more thing, no touching. Setuju?” cadang Farisha.

Hazry mengerutkan dahinya sedikit. Lain macam betul permintaan Farisha. Tetapi rasanya dalam tempoh setahun itu dia pasti akan berjaya mengubah Farisha. Kalau hendak bercerai pun dia tidak kisah. Lagipun Hazry berkahwin denga Farisha disebabkan jawatan sebagai Pengurus. Bukannya disebabkan perasaan cinta atau sebagainya.

“Setuju,” balas Hazry dengan laju.

Farisha tersenyum mendengarkan jawapan Hazry. Tempoh masa setahun bukanlah lama untuk dia hidup bersama-sama dengan Hazry.

********

Hari ini berlangsungnya majlis perkahwinan di antara Farisha dan Hazry di Hotel Herritage. Perkahwinan yang cukup meriah sekali dengan kehadiran ramai tetamu. Farisha dan Hazry mengenakan baju pengantin berwarna ungu lembut. Kedua-duanya sama cantik dan sama padan. Bagaikan pinang dibelah dua. Sepanjang majlis tersebut, Farisha dan Hazry sentiasa mengukir senyuman. Senyuman yang dibuat-buat.

Setelah berlangsungnya majlis perkahwinan tersebut Farisha dan Hazry dibawa pulang ke rumah Encik Hamid di Damansara. Cuma ada beberapa orang saudara terdekat dan juga ahli keluarga Hazry sahaja di sini. Setelah sampai di rumah Farisha terus berlalu menuju ke biliknya. Badannya terasa melekit-lekit akibat peluh. Keadaan yang tidak selesa itu menyebabkan dia ingin cepat-cepat membersihkan dirinya. Hazry ditinggalkan bersama saudara-mara yang lain di ruang tamu.

“Pergilah berehat-rehat di bilik dulu Ry. Salin pakaian tu dulu. Mesti penatkan,” usul Encik Hamid apabila melihat Hazry duduk di sofa di sebelahnya.

Di ruang tamu sekarang ini cuma ada Encik Hamid, Encik Hisyam serta emak dan ayah Hazry sahaja.

“Sekejap lagilah pa. Lagipun Ry nak tunggu mak dan ayah Ry balik ke kampung dulu,” terang Hazry.

Mak dan ayahnya serta adik-beradiknya yang lain akan pulang ke kampung hari ini juga. Mereka tidak bermalam di rumah Encik Hamid kerana sudah 2 hari mereka berada di situ.

“Oh ye ke. Kenapa tak tidur sahaja di sini malam ni,” usul Encik Hisyam.

“Tak apalah Encik Hisyam, nak kena balik hari ini. Ayam itik dekat kampung tu tak ada siapa nak tengok. Lagipun dah beberapa hari kami di sini,” terang Pak Jalil, ayah Hazry.

“Kalau macam tu tak apalah. Tak boleh nak kata apa dah tu,” sampuk Encik Hamid.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian ayah dan emak Hazry meminta izin untuk pulang. Setelah menghantar mereka di luar rumah Hazry terus berjalan perlahan menuju ke bilik Farisha. Badannya terasa panas dan rimas dengan baju pengantin yang dipakainya. Memang tidak tahan sangat-sangat.

Sebaik memasuki bilik Farisha suasana begitu sunyi sekali. Tidak kelihatan pula kelibat Farisha di dalam bilik. Hazry terus menuju ke arah beg pakaiannya. T-shirt putih dan jeans biru dikeluarkan. Tanpa membuang masa dia terus membuka baju pengantin yang dipakainya.

Hazry terpana seketika apabila terpandangkan Farisha yang tiba-tiba keluar dari bilik air. Hanya memakai tuala sahaja dengan keadaan yang sedang berkemban. Rambutnya yang panjang dan basah itu membuatkan dirinya kelihatan cukup seksi di mata Hazry. Tambahan pula dengan bentuk tubuhnya yang menarik, memang betul-betul menggugat keimanan Hazry.

Farisha yang terkejut dengan kehadiran Hazry terus laju menutupi dadanya dengan kedua-dua tangannya. Malu pula dengan keadaan dirinya yang sedemikian menjadi tontonan Hazry. Walaupun mereka telah bergelar suami isteri.

“Apa awak buat dekat sini!!!” jerit Farisha marah.

“Kita kan baru kahwin sayang. Sudah pastilah bilik sayang ni menjadi bilik abang juga,” terang Hazry. T-shirt putih di tangan terus disarungkan ke badan.

Farisha sedikit tergoda melihat tubuh Hazry yang berotot. Memang dia mengimpikan susuk tubuh seperti itu yang akan membelainya setiap hari. Wajah Hazry direnung tajam. Penggunaan kata nama yang digunakan Hazry tadi tiba-tiba menaikkan kemarahannya.

“Tak payah nak berabang-abang dan tak payah nak bersayang-sayang dengan saya. Saya tak suka ok. Lagipun awak ingat sikit apa tujuan kita mengikat tali perkahwinan. Bukannya serius sampai nak menjalin hubungan cinta pula,” getus Farisha dan terus laju menuju ke arah almari pakaiannya.

Blaus dan skirt labuh diambil. Dia pantas menuju ke bilik air semula. Tidak selesa menyarung pakaian di hadapan Hazry.

Hazry buat tidak kisah dengan celoteh Farisha. Sengaja dia menggunakan kata nama tersebut. Ingin melihat reaksi Farisha. Ternyata Farisha tidak suka. Hazry lantas menyalin seluar dan berjalan keluar menuju ke ruang tamu.

********

Malam sudah semakin larut. Hazry yang dari tadi menonton televisyen menguap perlahan. Untuk kali yang keberapa pun dia tidak tahu. Matanya juga sudah semakin berat, menandakan badannya perlu direhatkan. Rasa serba-salah pula dia hendak masuk ke bilik Farisha. Tetapi sampai bila pula dia hendak melepak di ruang tamu. Hazry terus mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke bilik.

Pintu bilik Farisha dibuka perlahan. Kelihatan Farisha sedang nyenyak tidur di atas katil. Mungkin terlalu kepenatan. Hazry terus melabuhkan punggungnya di atas katil di sebelah Farisha. Tindakan Hazry tadi membuatkan Farisha terjaga dari tidurnya.

“Kenapa awak tidur dekat sini?” soal Farisha kasar. Marah betul dengan Hazry yang menggangu tidurnya tadi.

“Habis tu abang nak tidur dekat mana pula. Malam ni kan malam pertama kita. Apa salahnya abang tidur dekat atas katil. Teringin juga nak merasa seperti pengantin baru yang lain,” Hazry tersengih nakal. Wajah Farisha direnung dalam-dalam dengan makna yang tersirat.

“Banyaklah awak punya malam pertama. Dah jangan banyak cakap, lebih baik awak pergi tidur dekat atas sofa tu,” arah Farisha sambil menuding jari ke arah sofa yang terdapat di tepi dinding.

Hazry buat tidak tahu sahaja. Malas dia hendak mengikut telunjuk Farisha. Kalau sebelum ini Farisha boleh mengarah itu dan ini, tetapi sekarang dia sudah menjadi suami Farisha yang sah. Samada Farisha suka atau tidak dia tidak peduli.

Hazry terus membaringkan badannya di atas katil. Farisha yang sedang menyinga itu dibiarkan sahaja. Matanya ditutup perlahan, menandakan dia hendak tidur.

“Eiii bangunlah. Kan saya dah cakap awak tak boleh tidur dekat atas katil ni. Pergi tidur dekat sofa tu. Kalau awak tak nak tidur dekat sofa nanti...”

“Nanti apa,” sampuk Hazry sambil membuka mata. Wajah Farisha ditenungnya.

“Nanti saya pula yang akan tidur dekat atas sofa,” ugut Farisha. Fikirnya Hazry mesti akan berubah fikiran setelah mendengar kata-katanya.

“Kalau macam tu lagi bagus. Pergilah tidur dekat atas sofa. Selesa sikit abang tidur dekat atas katil ni sorang-sorang,” ujar Hazry. Bantal peluk disisi diambil dan dipeluk rapat. Matanya terus terpejam.

“Eiii!!!” rungut Farisha geram.
Meluat pula dia dengan tingkah laku Hazry. Ini baru sehari hidup bersama, tetapi dia sudah rasa sakit hati yang amat sangat. Bagaimana pula hendak menunggu setahun. Dengan perasaan yang marah Farisha terus berlalu menuju ke arah sofa. Tidak pasal-pasal dia pula yang kena tidur di atas sofa.

********

“Bik!!! kenapa pedas sangat gulai ni. Bik tak tahu ke yang aku tak suka makan pedas-pedas,” marah Farisha. Gulai ayam tersebut dimain-mainkan dengan sudu.

Bibik Midah yang sedang mengemaskan dapur tergesa-gesa mendapatkan Farisha. Wajahnya jelas menggambarkan kebimbangan yang ketara.

Saat ini Farisha bersama-sama dengan Hazry sedang makan tengahari di rumah. Hazry yang duduk di hadapannya cuma memandang tajam.

“Berapa kali aku dah cakap, jangan masak pedas-pedas. Sakit tekak aku makan yang pedas-pedas ni tahu tak!!! Dah... pergi tolong gorengkan ayam untuk aku. Tak lalulah aku nak makan semua ni!!!” jerit Farisha. Matanya dibulatkan tak kala memandang ke arah Bibik Midah.

“Tak baik tengking-tengking bibik tu. Kalau nak tegur pun cubalah cakap elok-elok sikit,” nasihat Hazry sambil menyudu gulai ayam ke dalam pinggannya.

“Awak jangan masuk campur urusan saya boleh tak?”

“Urusan sayang pun urusan abang juga kan. Kita kan dah jadi suami isteri. Abang berhak menegur sayang kalau sayang ada buat silap,” jawab Hazry selamba. Nasi dipinggan disuap sambil matanya terarah ke wajah Farisha yang mencuka.

“Sudahlah... Berapa kali saya cakap jangan nak bersayang-sayang dengan saya. Gelilah telinga saya mendengarnya. Kita ni nama sahaja suami isteri tapi pada hakikatnya kita cuma berlakon sahaja. Takkan itu pun awak tak faham,” getus Farisha. Marah betul dia bila Hazry cuba menasihatinya.

Hazry buat tidak tahu dengan renungan tajam Farisha. Nasi disenduk dan ditambah lagi ke pinggan. Berselera sungguh dia makan masakan bibik Midah.

“Sedaplah bik masak ni!!! Saya suka sangat!!! Cuma orang yang sakit tekak saja yang akan cakap masakan bibik ni tak sedap!!!” jerit Hazry ke arah bibik Midah di dapur.

Farisha yang mendengarnya cuma mencebik geram. Sengajalah tu hendak menyakitkan hatinya. Nak perlilah tu.

********

Masa begitu pantas berlalu. Perkahwinan Farisha dan Hazry telah menjangkau usia 6 bulan. Namun Farisha masih lagi seperti dahulu. Nasihat yang sering diberikan oleh Hazry umpama mencurahkan air ke daun keladi. Memang Farisha merupakan seorang perempuan yang keras hati. Ada kalanya Hazry seakan-akan mahu menyerah kalah, namun disebabkan janjinya kepada Encik Hamid dia terus bangun semula.

Hazry memerhatikan Farisha yang sedang nyenyak tidur di atas sofa. Wajah isterinya yang mulus itu dipandang tekun. Terbit rasa cinta dan sayang dalam hatinya. Perasaan yang hadir tanpa dipinta. Dan perasaan itu sering membuatkan dirinya resah sendiri. Dia sendiri tidak sedar bila perasaan itu hadir, apa yang pasti dia mula menyayangi Farisha. Perasaan itu membuatkan dirinya sentiasa ingin membelai Farisha, ingin bermesra dengannya.

“Huh” Hazry melepaskan keluhan.

Farisha yang sedang nyenyak tidur itu diangkat ke atas katil. Sepanjang perkahwinan mereka, sofa itulah yang menjadi katil Farisha. Dia sanggup tidur di atas sofa daripada tidur bersama-sama dengan Hazry di atas katil. Hatinya memang keras mengalahkan batu. Egonya memang tinggi melangit. Hazry sedikit buntu memikirkan cara untuk untuk melembutkan hati Farisha, namun dia tidak akan berputus asa.

********

Farisha terjaga dari tidur apabila terdengarkan bunyi telefon bimbitnya di meja kecil di sisi katil. Jari-jarinya yang runcing pantas memisat-misat matanya. Tangannya turut menutup mulutnya yang menguap kecil. Matanya dibuka seluas-luasnya. Berasa hairan dengan dirinya yang sudah berada di atas katil. Kalau tidak silap malam tadi dia tidur di atas sofa. Hampir setiap malam dia akan tidur di atas sofa. Tidak kuasa dia hendak tidur di atas katil bersama-sama dengan Hazry walaupun seringkali lelaki itu mempelawa. Tetapi macam mana pula dia sekarang sudah berada di atas katil.

Farisha menjadi cemas. Selimut yang menutupi badannya dibuka. Dia menarik nafas lega. Dirinya masih lengkap berpakaian. Bimbang pula dia kalau-kalau Hazry melakukan sesuatu yang tidak senonoh ke atasnya. Telefon bimbit yang berada di atas meja di ambil. Nama pemanggil yang menelefonnya tadi dilihat.

“Good morning sayang,” sapa Hazry yang tiba-tiba datang ke arah Farisha. Satu ciuman hangat melekat di dahi Farisha. Hazry baru lepas mandi dan cuma bertuala sahaja. Bau krim mandian yang melekat di badannya cukup membuatkan jiwa Farisha terusik.

Farisha tersentak. Tindakan spontan Hazry menciumnya menimbulkan kemarahannya. Tubuh Hazry yang berada berhampirannya ditolak kuat. Dahinya yang dicium oleh Hazry tadi dikesat dengan tapak tangannya.

“Awak tolong jangan cuba-cuba nak sentuh saya,” tegas Farisha.

Hazry cuma ketawa.
“Kenapa pula. Sayang tu isteri abang. So abang berhak lakukan apa sahaja ke atas sayang. Termasuklah...” ujar Hazry sambil mendekati Farisha yang masih duduk di atas katil.

“Awak jangan nak mengada-ngada ye. Jangan nak buat perkara yang tak senonoh pula.”

“Abang tak peduli itu semua. Apa yang penting kita ni suami isteri. Dan abang sayang sangat pada sayang,” balas Hazry yang telahpun berada di depan Farisha. Nafsunya tiba-tiba melonjak. Keinginannya untuk bermesra dengan Farisha begitu mendalam.

Tubuh Farisha yang kecil molek itu dibaringkan perlahan-lahan di atas katil. Hazry tidak tunggu lama, tubuh itu ditindihnya perlahan. Rontaan Farisha menyebabkan Hazry semakin mengganas.

“Awak tolong jangan buat macam ni pada saya. Lepaslah,” rayu Farisha sambil menolak tubuh Hazry. Namun tenaga perempuannya tidak sekuat tenaga lelaki Hazry.

Rontaannya yang kuat tiba-tiba menjadi lemah. Akhirnya dia cuma merelakan segala perilaku Hazry terhadap dirinya. Rela dalam paksa. Walaupun Hazry adalah suaminya namun Farisha tidak pernah bermimpi untuk melakukan hubungan intim bersamanya. Air mata jernih mengalir di pipinya. Semakin lama semakin laju.

“Terima kasih sayang,” ujar Hazry sambil menciumi pipi Farisha. Namun air mata Farisha yang mengalir laju itu membuatkan hatinya tiba-tiba menjadi sayu.

“Abang minta maaf,” Hazry sedikit kesal dengan perbuatannya tadi. Namun sukar untuknya mengawal kehendaknya.

“Awak memang jahat. Awak jahat. Kan dulu kita pernah janji, no touching-touching. Awak dah lupa ke,” luah Farisha dengan tangisan yang teresak-esak.

“Abang minta maaf. Abang betul-betul minta maaf. Tapi abang sayangkan Risha, abang cintakan Risha. Abang akan bertanggungjawab dengan apa yang abang dah lakukan tadi. Please forgive me sayang,” Hazry menyeka air mata Farisha, namun ditepis kasar oleh Farisha.

Tidak menyangka hari ini merupakan mimpi ngeri yang berlaku dalam hidupnya.

“Awak keluar!!! keluar!!!” jeritan Farisha memaksa Hazry cepat-cepat menyarung pakaian dan meninggalkan bilik. Namun di hatinya terdetik perasaan bersalah yang amat sangat. Tetapi kalau diikutkan, apa yang dilakukan terhadap Farisha tadi tidak berdosa. Farisha adalah isterinya yang sah. Dan dia sememangnya layak mendapat layanan yang sedemikian.

*********

Hampir sebulan kejadian itu berlaku. Farisha menjadi seorang yang murung dan sering menyendiri. Kejadian tersebut benar-benar membuatkan dirinya tertekan. Setiap kali terpandangkan Hazry hatinya menjadi sakit. Fikirannya benar-benar menjadi buntu. Memikirkan kemungkinan yang akan berlaku. Akibat terlalu memikirkan masalah, kepalanya sering menjadi pening. Dahinya dipicit perlahan-lahan.

Hazry yang ternampak Farisha sedang duduk santai di bangku di luar rumah terus mendapatkannya. Hazry sedikit risau bila melihat keadaan Farisha yang kelihatan tidak berapa sihat.

“Kenapa ni sayang. Sakit kepala ke,” sapa Hazry lantas tangannya laju memicit-micit kepala Farisha.

“Awak jangan sibuk boleh tak. Saya sakit ke, saya nak mati ke, apa awak peduli,” bentak Farisha.
Tangan kasar Hazry yang memicit kepalanya tadi ditepis kuat.

“Mestilah abang peduli, sebab sayangkan isteri abang. Lagipun abang sayang sangat-sangat dekat sayang,” Hazry meluahkan perasaannya. Yang pasti telah berpuluh kali perasaan sayang itu dinyatakan pada Farisha namun isterinya berlagak seolah-olah seorang yang tidak mempunyai perasaan.

“Sudahlah. Pergi matilah dengan perasaan sayang awak tu. Saya sikit pun tak sayangkan awak. Tapi saya bencikan awak. Benci!!!” jerit Farisha lalu bangun meninggalkan Hazry

Entah kenapa Farisha menjadi terlalu pening. Keadaan di sekeliling yang cerah tiba-tiba menjadi gelap. Farisha tiba-tiba pitam. Dia sudah tidak ingat apa yang berlaku. Cuma kedengaran jeritan Hazry memanggilnya sayang sebelum dia rebah dalam dakapan Hazry.

********

Farisha semakin buntu. Berita yang didengarinya benar-benar membuatkan dirinya tidak tentu arah. Senyuman Hazry yang penuh makna itu lagi menambahkan sesak di dadanya. Saat ini Farisha sedang berbaring-baring di atas katil. Suara doktor muda semasa di klinik tadi masih terngiang-ngiang di kepala otaknya.

“Tahniah Encik Hazry, Puan Farisha mengandung.”

Farisha melopong mendengarkan berita tersebut, tetapi Hazry melonjak kegembiraan.
“Betul ke doktor. Alhamdulillah, tak sangka lepas ni saya akan jadi ayah. Terima kasih sayang. I love you so much,” luah Hazry sambil mencium pipi Farisha.

“Aarrrgghhh,” jerit Farisha tiba-tiba. Kejadian di klinik tadi benar-benar membuatkan dirinya menjadi resah.

Perutnya diraba perlahan dengan tangan. Seperti tidak percaya yang dia sedang mengandungkan anak Hazry. Dia tidak pernah bermimpi akan memiliki anak bersama-sama dengan Hazry. Matanya dipejam perlahan, berharap semua yang berlaku ini adalah mimpi semata-mata. Matanya terbuka semula apabila kedengaran pintu bilik dibuka seseorang. Kelihatan kelibat lelaki yang teramat-amat dibenci sedang menghampirinya sambil membawa sedulang hidangan.

Hazry berjalan perlahan menuju ke arah Farisha. Senyuman manis dihulurkan kepada isteri tersayang walaupun wajah Farisha masam mencuka. Dulang tersebut diletakkan di meja kecil di sebelah katil. Punggungnya dilabuhkan di atas katil di sebelah Farisha.

“Sayang, makan sikit. Mesti sayang lapar kan. Tadi abang suruh bibik Midah buatkan sup ayam,” ujar Hazry sambil cuba menyuap sup ayam ke mulut Farisha.

“Awak boleh tolong jangan ganggu saya tak. Rasa nak muntahlah saya tengok muka awak ni.”

“Jangan macam tu sayang. Sayang kena makan sikit. Tak baik biarkan perut tu kosong. Nanti baby dekat dalam perut ni lapar,” nasihat Hazry sambil tangan kirinya menepuk perlahan perut Farisha.

“Tepilah!!!” bentak Farisha marah sambil menepis tangan Hazry. Apabila teringatkan tentang anak yang dikandungkannya, hatinya tiba-tiba menjadi berapi.

“Sayang... orang mengandung ni tak baik marah-marah tau. Tak elok. Nanti anak dekat dalam perut tu ikut perangai sayang pula, suka marah-marah. Cuba senyum sikit,” Hazry memicit perlahan hidung Farisha namun ditepis kasar oleh Farisha.

“Saya peduli apa tentang anak ni. Lagi satu, awak jangan mimpilah saya akan mengandungkan anak awak ni.”

“Apa yang sayang merepekkan ni?” soal Hazry sedikit cemas. Bimbang pula kalau Farisha sanggup melakukan perkara yang tidak elok kerana tidak menginginkan kehadiran anak di dalam kandungannya.

“Saya akan gugurkan anak ni,” ugut Farisha. Matanya dibulatkan sambil memandang ke arah Hazry.

“Please sayang. Tolong jangan buat macam tu. Anak tu anak kita... tanda kasih sayang abang pada sayang. Please sayang, jangan buat macam tu. Anak tu tak berdosa.”

“Memang anak ni tak berdosa, tapi yang berdosanya awak kan. Tapi disebabkan dosa awak, anak ini yang akan menanggung akibatnya,” bentak Farisha lagi. Nafasnya turun naik menandakan perasaan marahnya yang teramat sangat kepada Hazry.

“Memang abang berdosa pada sayang. And I'am really sorry atas apa yang telah terjadi. Tapi abang merayu pada sayang, atas nama kasih sayang abang, tolong jangan gugurkan anak tersebut,” ujar Hazry sambil memegang lembut tangan Farisha. Tangan Farisha dibawa ke bibir dan diciumnya dengan penuh kasih sayang. Mungkin Farisha berada dalam keadaan yang tertekan sekarang sehingga sanggup mengambil tindakan yang membuta-tuli.

Farisha dengan pantas menarik tangannya yang dicium oleh Hazry. Tekaknya tiba-tiba terasa loya, seolah-olah ingin mengeluarkan segala isi yang berada di perutnya. Farisha tidak tunggu lama, dia terus berlari laju menuju ke bilik air. Segala isi yang berada di dalam perutnya dimuntahkan ke dalam sinki. Tekaknya terasa perit, kepalanya terasa pening.

Hazry yang risau dengan keadaan isterinya cuma mengekori dari belakang. Bahagian belakang Farisha ditepuk perlahan. Kasihan pula dia melihatkan keadaan isterinya yang lemah.

“Sabar sayang... Sakit ye?” ujar Hazry sambil mengusap perlahan belakang Farisha.

“Awak boleh tolong keluar tak. Ini semua awak yang punya pasal. Disebabkan awak saya jadi macam ini. Lebih baik awak keluar cepat. Keluar!!!” jerit Farisha sambil menolak tubuh Hazry.

“Okey sayang abang keluar. Tapi... sayang tolong jangan buat benda-benda yang tak elok ye. Abang sayangkan sayang, dan abang risaukan diri sayang. Kalau boleh abang...”

“Keluar!!!” jerit Farisha lagi. Kepalanya semakin berserabut mendengarkan kata-kata Hazry.

Hazry terpaksa mengalah. Dia terus keluar dari bilik dengan keadaan yang berat hati. Tidak tahu bagaimana caranya untuk melembutkan hati Farisha.

*******

Hazry bergegas memandu menuju ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Mesyuarat yang sedang dipengerusikannya tadi terpaksa ditangguhkan ke hari yang lain. Berita yang didengarinya dari Encik Hisyam tadi benar-benar mengejutkannya.

“Ry, cepat datang sini. Risha keguguran. Sekarang ni dekat wad di PPUM,” itulah kata-kata terakhir yang didengarinya melalui panggilan telefon yang dibuat oleh bapa mertuanya tadi.

Sebaik memarkirkan kereta Hazry berlari-lari anak menuju ke kaunter pertanyaan di lobi hospital. Dia terus bergegas menuju ke bilik Farisha setelah mendapatkan nombor bilik tersebut. Sebaik sampai di bilik Farisha kelihatan Encik Hisyam dan Encik Hamid berada di dalam.

“A'aaa eloklah kau dah sampai Ry. Kebetulan pula papa dengan ayah Long kau ni pun dah nak balik. Tolong tengok-tengokkan Risha ni ye,” ujar Encik Hamid sambil menepuk-nepuk bahu Hazry.

“Jangan risau pa. Ry akan jaga Risha sepenuh hati,” balas Hazry sambil merenung Farisha yang sedang berbaring. Jelas tergambar riak kebimbangan di wajahnya.

Encik Hamid dan Encik Hisyam berlalu pergi meninggalkan Farisha dan Hazry.

Hazry menatap wajah isteri kesayangannya. Wajah itu kelihatan cukup pucat. Dia lantas melabuhkan punggung di kerusi di sisi katil. Terlalu banyak persoalan yang ingin diajukan kepada Farisha.

“Cuba cakap dengan abang. Macam mana sayang boleh gugur?” soal Hazry dengan agak tegas. Fikirnya mesti Farisha melakukan sesuatu untuk menggugurkan kandungan tersebut kerana perkara itu yang pernah dinyatakannya dahulu.

Farisha cuma membisu. Tidak kuasa dia hendak menjawab pertanyaan Hazry. Wajahnya dipalingkan ke arah tingkap. Kalau boleh dia ingin merehatkan badan dan mindanya.

“Abang tanya ni. Cakap dengan abang macam mana sayang boleh gugur?” soal Hazry untuk kali kedua. Tidak ada senyuman yang tergaris di bibirnya saat ini.

“Saya terjatuh tangga,” Farisha berterus-terang.

“Jangan nak tipu dengan abang. Cuba cakap perkara yang sebenarnya,” Hazry tidak berpuas hati dengan penjelasan Farisha. Wajah Farisha ditenung tajam.

“Betullah saya jatuh tangga. Habis tu awak ingat saya sengaja nak gugurkan kandungan ni,” bentak Farisha pula. Memang sewaktu dia menuruni tangga tengahari tadi kepalanya tiba-tiba pening. Tidak semena-mena langkah kakinya turut tersasar dan menyebabkan dia jatuh tergolek. Nasib baiklah Encik Hamid ada di rumah. Encik Hamidlah yang membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Manalah tahu. Dulu kan sayang pernah cakap nak gugurkan baby ni,” tergambar kerutan di dahi Hazry.

“Awak ingat saya dah hilang akal ke? Memang saya pernah cakap macam tu, tapi saya tak tergamak nak melakukannya. Kalau awak tak percaya sudahlah,” bebel Farisha lagi. Malas dia hendak melayan kerenah Hazry. Lebih baik dia berehat, kesihatannya perlu didahulukan.

“Kalau macam tu okeylah. Lega sikit abang mendengarnya. Sayang macam mana? Sakit sangat ke?”

“Sakit sikit je,” Farisha menjawab dengan ringkas.

“Macam mana ye?”

“Macam mana apanya?” soal Farisha hairan.

“Abang kena pergi seminar dekat Cameron Highland. Sayang pula dah macam ni. Siapa pula yang nak jaga sayang nanti ni. Biar abang bawa mak dari kampung ye. Boleh tengok-tengokkan sayang,” usul Hazry. Untuk dia membatalkan seminar tersebut adalah mustahil.

“Tak payahlah. Buat apa nak susahkan mak awak tu. Lagipun saya boleh jaga diri saya sendiri. Bibik Midah pun ada. Saya bukannya sakit sangat,” Farisha menolak. Dia masih boleh berdikari walaupun dengan keadaannya sekarang. Tambahan pula dia tidak mahu termakan budi dengan keluarga Hazry.

“Cuba jangan degil boleh tak. Orang yang keguguran ni sama juga macam orang yang baru lepas bersalin tau tak? Kena jaga elok-elok. Abang tak nak sepanjang abang di Cameron nanti abang asyik risaukan sayang saja,” Hazry mendesak.

“Kalau macam tu yelah,” kali ini Farisha tidak menolak. Lagipun inilah peluang dia untuk berjauhan dengan Hazry. Mungkin bila Hazry tiada dia dapat menenangkan fikirannya dan dapat merasa bebas untuk sementara waktu.

********

Farisha berbaring-baring di atas katil. Entah kenapa begitu sukar untuknya melelapkan mata. Sudah hampir seminggu Hazry berada di Cameron Highland, namun sekalipun dia tidak menelefon Farisha. Sepatutnya Hazry sudah pulang kerana seminar tersebut hanya berlangsung selama tiga hari. Tetapi sampai sekarang batang hidung Hazry masih belum kelihatan. Timbul juga perasaan bimbang dalam diri Farisha. Namun untuk Farisha menghubungi Hazry adalah mustahil.

Farisha meraup mukanya perlahan. Kemudian dia bangun dan menuju ke tepi tingkap. Bintang-bintang yang bertaburan di langit malam dilihatnya dengan begitu khusyuk sekali. Tiba-tiba dirinya menjadi teramat-amat rindukan Hazry. Rindu dengan ungkapan sayang yang tidak jemu-jemu diungkapkan. Ternyata Farisha memang turut menyimpan perasaan yang sama, namun egonya yang menggunung memaksa dia menidakkan perasaan tersebut. Apabila Hazry berada jauh dari pandangan matanya barulah dia tahu yang dia memang sayangkan Hazry. Saat ini dia benar-benar rindukan Hazry. Rindukan seorang lelaki yang bergelar suaminya.

Kakinya dibawa perlahan menuju ke katil. Telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kecil di tepi katil itu dipandang kosong.

“Kenapa dia tak telefon?” soal Farisha sendiri.
“Entah-entah dia dah tak sayangkan aku. Mungkin dia dah tak tahan dengan perangai dan layanan aku padanya. Ataupun dia dah berkenan dengan perempuan Cameron. Patutlah sampai sekarang tak balik-balik. Telefon aku pun tidak... Eee geramnya,” timbul perasaan cemburu dalam dirinya. Andainya Hazry ada perempuan lain mungkin sukar untuknya menerima kenyataan.

Ketukan kuat di pintu mematikan lamunan Farisha. Dia lantas bergegas menuju ke arah pintu dan membukanya. Kelihatan Encik Hamid yang agak bimbang dengan nafas yang termengah-mengah.

“Kenapa ni pa?”

“Hazry... Hazry...”

“Kenapa dengan dia?” soal Farisha cemas.

“Hazry kemalangan. Sekarang dia ada dekat Hospital Kuala Lumpur,” terang Encik Hamid. Dia turut berasa terkejut dengan berita yang didengarinya tadi. Apa yang lebih mengejutkannya ialah sudah empat hari Hazry kemalangan dan baru hari ini keluarganya diberitahu tentang berita tersebut. Sengaja Hazry berbuat sedemikian supaya mereka tidak bimbang.

“Kalau macam tu jom kita pergi sekarang pa. Harap-harap abang tak apa-apa,” Farisha bergegas turun ke tangga.

Kalau boleh dia ingin cepat sampai ke hospital dan berada bersama-sama dengan Hazry sekarang juga. Terlalu banyak dosanya kepada lelaki tersebut. Dia perlu segera menemuinya. Tidak ada perkara lain di fikirannya saat ini melainkan Hazry sahaja. Encik Hamid turut bergegas mengekori Farisha.

********

Menitis air mata Farisha sebaik terpandangkan Hazry yang sedang nyenyak tidur di atas katil. Hatinya semakin pilu melihatkan kaki kiri Hazry yang bersimen. Muka Hazry yang kacak masih lagi ada kesan lebam. Di sebelah tangan kirinya tersambung wayar untuk memasukkan air. Disebabkan terlalu mengantuk Hazry terbabas dan melanggar penghadang jalan. Ikutkan hati hendak sahaja dia memeluk erat dan mencium Hazry, namun kehadiran papanya membantutkan rancangannya.

“Papa baliklah dulu. Biar Risha yang jaga abang. Lagipun Risha dah bagitahu dekat nurse tadi yang Risha nak bermalam di sini. Abang pun masih tidur lagi ni,” cadang Farisha. Kasihan pula dia melihat Encik Hamid yang agak keletihan.

“Tak apa ke Risha seorang dekat sini. Risha pun belum sihat sepenuhnya lagi kan?” Encik Hamid bimbang untuk membiarkan Farisha bermalam di hospital. Tambahan pula Farisha adalah perempuan, kalau lelaki itu lainlah cerita.

“Janganlah risau pa. InsyaAllah Risha tak ada apa-apa. Yang penting Risha kena jaga abang. Papa baliklah dulu, pagi esok papa datanglah.”

Encik Hamid mengangguk perlahan, bersetuju dengan cadangan Farisha. Dia turut berasa gembira dengan perubahan Farisha. Sudah mula memanggil Hazry abang. Mungkin ada sinar baru untuk rumahtangga mereka. Encik Hamid terus melangkah perlahan dan keluar.

Farisha mengambil tempat di kerusi yang terdapat di tepi katil. Wajah Hazry dipandangnya dengan perasaan sayu. Adakah dia akan kehilangan lelaki yang telah mula mendapat tempat di hatinya? Tangan Hazry digenggam kemas, dibawa ke bibir dan diciumnya dengan perasaan yang cukup aneh. Air matanya mengalir lagi. Terlalu sayu sungguh perasaannya di kala ini.

“Abang, maafkan Risha. Risha dah banyak buat salah dekat abang. Risha dah banyak sakitkan hati abang. Jangan tinggalkan Risha lagi. Risha tak sanggup hidup tanpa abang,” esak Farisha.

Dia lantas bangun dan mendekatkan mukanya ke arah Hazry. Pipi dan dahi Hazry diciumnya bertalu-talu. Seolah-olah tidak ada lagi hari esok untuknya bersama-sama dengan Hazry. Dia lantas duduk di atas katil. Mukanya terus disembamkan ke dada bidang Hazry. Dia menangis semahunya.

Hazry yang terkejut tiba-tiba membuka mata. Tidak menyangka bahawa Farisha berada bersama-samanya sekarang. Dan apa yang paling mengejutkannya ialah Farisha menangis kerananya. Hazry tersenyum bahagia. Akhirnya kesabarannya selama ini nyata tidak sia-sia. Farisha telah mula menerima dirinya. Kemalangan yang terjadi nyata memberikan satu hikmah yang tidak dapat dijangkakan. Hazry lantas mengelus lembut rambut isteri kesayangannya. Memang kasih dan sayangnya telah tumpah kepada gadis bernama Farisha.

Farisha tersentak. Mukanya didongakkan menghadap Hazry. Hazry sedang tersenyum manis ke arahnya. Farisha terasa malu dengan perbuatannya tadi, dia ingin bangun dan duduk di atas kerusi namun ditahan oleh Hazry. Pinggang Farisha didakapnya perlahan.

“Kenapa menangis ni sayang. Abang belum mati lagilah,” ujar Hazry sambil menyeka air mata Farisha.

“Tolong jangan sebut pasal mati depan Risha. Risha tak sanggup kehilangan abang,” balas Farisha sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir Hazry. Kalau boleh dia tidak ingin berjauhan lagi dengan suami tercinta.

Hazry lantas mencium jari Farisha yang melekat dibibirnya. Inilah kebahagiaan yang diharap-harapkan. Panggilan abang yang didengarinya ternyata membuatkan dirinya teramat-amat bahagia. Terasa hilang sakit yang ditanggungnya sekarang ini.

“Kenapa pula tak sanggup. Kan sayang bencikan abang. Jadi lebih baiklah abang mati sahaja,” Hazry ingin menduga hati Farisha.

“Risha tahu, Risha dah buat silap. Abang janganlah cakap macam tu. Risha minta maaf banyak-banyak. Selama ini Risha dah banyak sakitkan hati abang. Maafkan Risha bang... Maafkan Risha,” tangis Risha kedengaran lagi.

Tangan Hazry digenggam dan diciumnya. Dia sudah tidak peduli, biarlah apa yang Hazry ingin katakan tentang dirinya.

“Shhhh... jangan menangis lagi sayang. Dah lama abang maafkan sayang. Dan saat inilah sekian lama abang nantikan. Sayang dah mula terima abang kan?” soal Hazry. Wajah Farisha ditatapnya dengan penuh debaran.

Farisha mengangguk perlahan membuatkan Hazry tersenyum bangga. Nampaknya kejayaan telah berpihak kepadanya.
“Risha sayangkan abang. Sayang sangat-sangat.”

“Abang pun sayangkan sayang. Sepenuh jiwa raga abang. Hari ini abang rasa teramat bahagia.”

“Risha pun bahagia sangat hari ini abang,” jawab Farisha sambil tersenyum. Memang teramat bahagia dirasakan bila diri disayangi.

“Alah... nampaknya abang terpaksa berpuasalah. Hubungan kita dah baik macam ni, abang kena puasa pula. Rugilah abang,” rungut Hazry tiba-tiba.

Farisha yang tidak faham dengan kata-kata Hazry mengerutkan kening.
“Kenapa pula kena puasa. Orang sakit tak payah puasalah. Nanti tak ada tenaga, macam mana nak cepat sembuh.”

“Bukan puasa makanlah sayang...” ujar Hazry sambil tersegih penuh makna.

“Habis tu puasa apa pula?” soal Farisha dengan nada yang hairan. Memang dia tidak faham. Selalunya kalau bab puasa ni, mestilah berkaitan dengan makan.

“Maksud abang puasa dari buat anaklah. Yelah, dah sakit-sakit ni. Macam mana nak buat anak kan...” Hazry buat muka selamba.

“Abang!!!” jerit Farisha sambil mencubit perlahan lengan Hazry. Tidak sangka persoalan itu pula yang ditimbulkan. Tidak padan dengan sakit. Tiba-tiba wajahnya merona merah menahan malu.

“Yelah, betullah apa yang abang cakapkan tu kan... Dah sakit, mana nak larat. Kalau tak sakit, sekarang juga abang nak...” ujar Hazry lagi sambil tersengih-sengih. Suka dia melihat wajah isterinya yang kemerah-merahan.

“Abang!!! Dahlah. Janganlah cakap macam tu lagi. Nanti Risha balik baru tahu,” ugut Farisha. Tidak tahan dia menahan malu saat ni.

“Kenapa sayang... Malu ye. Tak payahlah nak malu-malu dengan abang. Kita kan suami isteri. Bukannya orang lain pun. Dahlah tu. Temankan abang tidur ye. Badan abang letih sangat, mengantuk...” Hazry menguap perlahan sambil menutup mulut.

Farisha cuma mengangguk dan tersenyum. Selimut ditarik untuk menutupi tubuh Hazry. Farisha lantas duduk di kerusi. Tangan Hazry digenggam erat. Dia juga ingin melelapkan mata dan merehatkan badannya.

Hazry tersenyum memerhatikan tingkah-laku Farisha. Terasa bahagia bila tangannya bersatu dengan tangan Farisha.

“Sayang... abang nak kiss goodnite dulu. Kalau tidak abang tak lena tidur,” ujar Hazry tiba-tiba.

Farisha tersenyum mendengarkan kata-kata Hazry. Manja betul suaminya ini. Lantas dia menghalakan pipinya ke arah Hazry, tetapi tidak pula dicium oleh Hazry. Dia lantas menoleh ke arah Hazry.

“Abang punya kiss goodnite yang lain,” ujar Hazry sambil memainkan jari telunjuknya di bibir Farisha.

Dada Farisha berdebar-debar. Namun kali ini dia tidak membantah. Farisha memejamkan mata dan merelakan segala perbuatan Hazry kerana dia teramat-amat menyayangi dan mencintai lelaki itu. Semoga perhubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat dan disulami dengan kasih sayang yang berpanjangan.

3 comments:

blinkalltheday said...

bestttttt

TinTa Biru said...

tenkiu so much.. :D

Syahira Zainodin said...

best sangat.... Deabakkk!!!

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...