Yang Disayangi Selalu !!!

Wednesday, June 15, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 18

Syafiqah menggosok baju kebaya biru untuk dipakai esok hari. Selesai menggosok, baju tersebut disangkut. Dia kemudian terus menuju ke meja solek. Rambutnya yang panjang paras pinggang disisir rapi. Jam loceng di atas meja solek dipandang sekilas. Baru menunjukkan pukul 10 malam. Masih awal lagi untuk dia melelapkan mata.

Tiba-tiba dirinya terasa teramat rindukan Ikram. Rindukan senyumannya, rindukan suaranya dan rindukan dirinya. Saat ini wajah Ikram yang sedang tersenyum manis seolah-olah sedang berlegar-legar di ruangan matanya. Telefon bimbit di atas meja solek dicapai. Menyesal pula kerana dia tidak meminta nombor telefon Ikram siang tadi. Ikram juga tidak meminta nombor telefonnya. Kalau tidak, mesti dia tidak rindukan Ikram seperti sekarang.

Tiba-tiba telefon bimbit yang dipegang berbunyi. Syafiqah mengeluh apabila pemanggil tersebut adalah Khairil. Panggilan tersebut dibiarkan tidak berjawab. Hampir tiga kali Khairil menelefon, namun satupun tidak dijawab oleh Syafiqah.

“Tak reti-reti bahasa ke mamat ni. Dah aku tak angkat tu, maknanya aku tak sukalah dia telefon. Kalau sekali lagi kau telefon memang aku jerkah kau hidup-hidup,” bebel Syafiqah.

Telefon bimbit dicampakkan ke atas katil. Dia kemudian terus membaringkan badannya. Niat di hatinya ingin melelapkan mata, namun begitu sukar sekali dirasakan. Wajah Ikram terbayang di mana-mana sahaja.

“Eiii kenapalah aku rindu sangat dengan dia ni. Rasa macam tak sabar-sabar saja nak tunggu hari esok. Agak-agak Ikram rindu tak dengan aku. Mesti dia pun tak boleh tidur juga agaknya. Hmmm...” keluh Syafiqah. Tidak tahan sangat rasanya dia menanggung rindu.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi lagi.

“Eiii mamat ni memang betul-betul nak kena dengan akulah,” marah Syafiqah. Fikirnya Khairil yang tidak berputus asa itu masih menelefonnya. Tanpa melihat nama pemanggil Syafiqah terus menjawab panggilan.

“Awak ni kenapa. Saya nak tidur pun tak senanglah. Asyik mengacau orang je kerjanya. Memang hari-hari inilah kerja yang awak buat ye?” bebel Syafiqah.

“Kenapa ni sayang. Tiba-tiba je naik angin ni?”

Syafiqah hairan. Suara macam Ikram. Dia lantas melihat nama pemanggil di skrin Blueberrynya. Tertera nama 'Encik Salah Nombor', lelaki yang pernah menelefonnya suatu masa dahulu. Takkan kali ini pun tersalah nombor lagi. Siap panggil sayang pula tu.

“Err encik... Maafkan saya ye. Saya ingatkan kawan saya tadi. Encik nak bercakap dengan siapa ye?” soal Syafiqah.

“Nak cakap dengan sayanglah. Dengan siapa pula lagi...”

Ishh biar betul mamat ni. Memang sudah tersalah nombor ni.
“Minta maaflah encik. Encik dah tersilap orang ni. Saya Syafiqah, bukannya sayang enciklah,” jelas Syafiqah.

“Haa betullah tu. Nama sayang saya Syafiqahlah. Ni kenapa pula ni, mengigau ye?”

Tidur pun belum, macam mana pula hendak mengigau. Syafiqah buat muka konfius. Dia ataupun lelaki di hujung talian ini yang tersilap.
“Mungkin nama sama kot, tapi saya bukan Syafiqah yang encik maksudkan...”

“Eh sayang, kenapa ni? Lain macam betul Ik dengar. Ini Ik lah,” terang Ikram bagi menjelaskan keadaan yang sebenar.

“Ik? Ikram? Betul ke ni. Kenapa dekat telefon Fiqa naik nama 'Encik Salah Nombor'?” Syafiqah benar-benar keliru.

“Entah, manalah Ik tahu. Sayang yang save nama tu kan. Kenapa sayang save nama Ik macam tu?” soal Ikram pula. Dia pun sudah pening kepala. Langsung tidak teringat yang dia pernah menelefon Syafiqah dan menyamar sebagai orang lain dahulu.

“Fiqa save dengan nama tu sebab dulu ada seorang lelaki ni memang tersalah nombor,” jelas Syafiqah. Kemudian dia tersenyum, dapat mencari punca sebenar masalah.
“Yang dulu tu Ik yang call ye?” soal Syafiqah.

“Yang dulu. Yang mana pula tu?” soal Ikram semula. Memang dia tidak ingat langsung.

“Yang telefon nak cakap dengan encik Adam Ahmad tulah. Ik kan?”

Ikram tergelak kuat. Tiba-tiba peristiwa itu menerjah kotak fikirannya.

“Haaa... Kalau dah gelak macam tu tandanya betullah tu. Kenapa Ik buat macam tu dulu? Patutlah suara orang tu dulu betul-betul macam Ik, rupa-rupanya orang yang sama.”

“Sorilah sayang. Dulu tu, sebab Ik rindukan sayanglah. Nak berterus-terang tapi tak terdaya, so terpaksalah menyamar disebabkan hendak mendengar suara orang tersayang,” jelas Ikram panjang lebar. Dia terus terseyum bila mengingatkan peristiwa tersebut.

“Tak sangka pula. Hihihi,” Syafiqah tergelak kecil.

Tetapi dia berasa teramat gembira kerana Ikram menelefonnya sekarang. Sekurang-kurangnya hilanglah juga rindu yang ditanggung. Mereka terus berbual dan bertukar-tukar cerita. Sehingga Syafiqah sendiri tidak sedar pukul berapa baru dia melelapkan mata. Memang lama dia bergayut dengan Ikram sampai panaslah juga telefon bimbitnya.

********

Syafiqah memandang Ikram yang sedang duduk di hadapannya. Nampak begitu serius sekali dia meneliti quotation yang akan diberikan kepada klient. Hampir lima minit dia membelek, setelah berpuas-hati kemudian dia menurunkan tandatangan.

“Okey, siap. Nanti tolong faks pada Mr Chan ye. Dah faks macam biasalah, lepas tu call tanya dia dah dapat ke belum,” terang Ikram sambil memandang wajah ayu Syafiqah.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Kemudian dia bangun dan ingin menjalankan tugas yang diarahkan oleh Ikram.

“Eh nak ke mana pula tu?” soal Ikram apabila melihat Syafiqah sudah bangun. Belum puas rasanya dia melihat wajah Syafiqah.

“Nak ke mana lagi, nak pergi fakslah,” balas Syafiqah.

“Duduklah dulu. Kita sembang-sembang sekejap,” ujar Ikram sambil tersengih-sengih penuh makna.

“Tak puas-puas lagi nak bersembang ke cik abang oii. Dekat dalam kereta tadi kan dah banyak yang kita sembangkan.” Memang sewaktu pergi bekerja tadi tidak henti-henti mereka berbual di dalam kereta. Ada-ada sahaja cerita yang dibualkan.

“Itu lain, yang ini lain. Duduklah sekejap. Ik ada benda nak story ni,” rayu Ikram lagi sambil buat muka comel.

Syafiqah tidak membantah. Lagipun kerja dia hari ini tidak banyak, apa salahnya dia melayan Ikram berbual.

“Apa dia storynya?” soal Syafiqah sambil melabuhkan punggung ke kerusi semula.

“Macam ni, lusa sampai hari Jumaat Ik ada seminar di Bangkok. Sayang pergi sekali boleh tak?” soal Ikram. Matanya berkaca mengharapkan persetujuan Syafiqah.

“Eh mana boleh Fiqa pergi sekali. Ik pergilah seorang.”

“Kenapa pula tak boleh. Tiga hari tu. Nanti Ik rindulah dengan orang dekat sini. Jomlah sayang,” pujuk Ikram lagi.

“Nanti orang lain cakap apa pula. Lagipun cuma tiga hari sahaja. Bukannya lama sangatpun. Takkan matinya disebabkan rindu tu,” balas Syafiqah. Benarkah begitu? Entah-entah Syafiqah yang mati dahulu disebabkan tidak tahan menanggung rindu.

“Memanglah tak kan mati disebabkan rindu, tapi kalau tak mati pun, separuh matilah Ik rasakan nanti. Bolehlah sayang. Kalau setuju nanti Ik book tiket flight dan hotel.”

“Jangan mengarutlah Ik. Kita ni belum kahwin lagi. Kalau kita dah kahwin lainlah cerita. Ke mana sahaja Ik pergi, Fiqa akan ikut,” jelas Syafiqah. Berharap Ikram mengerti dengan keputusannya.

“Serius ni... Kalau macam tu hari ini Ik hantar rombongan masuk meminang. Boleh?” Ikram buat wajah serius. Bersungguh-sungguh betul dia hendak pergi meminang Syafiqah.

“Ik ni dah gila ke?” ayat spontan yang keluar dari mulut Syafiqah. Saat ini Ikram seperti kebudak-budakan pula lagaknya.

“Yes I'am crazy. And I'am crazy because of you. You make me crazy. Setiap hari Ik rasa nak gila tahu tak. Ik memang tak boleh tahanlah, betul ni. Ik nak hantar rombongan masuk meminang ni. Setuju tak?”

“Jangan main-main boleh tak. Soal nikah dan kahwin ni bukan boleh dibuat main-main,” bebel Syafiqah pula. Geram pula dia melihatkan tingkah-laku Ikram saat ini. Memang sudah seperti orang terlebih angau sahaja. Syafiqah pun angau juga, tetapi tidaklah berlebih-lebihan seperti Ikram.

“Ik tak pernah main-mainlah. Ik betul-betul serius ni. Kalau boleh Ik nak cepat-cepat kahwin dengan sayang. Senang... Lepas ni tak payahlah susah-susah nak kena tanggung sakit rindu. Kalau rindu pun orang tu dah ada di depan mata. Nak buat apa pun boleh,” terang Ikram panjang lebar.

Nak buat apa pun boleh. Lain macam benar ayatnya. Syafiqah mencebik.
“Fiqa belum bersedia lagilah Ik. Biarlah kita berkawan lama sikit, lepas tu barulah nak fikirkan soal kahwin ni. Fiqa muda lagi tau. Belum puas enjoy lagi ni.”

Ikram berpeluk tubuh. Wajah Syafiqah direnungnya dalam-dalam. Wajah yang penuh dengan kelembutan tetapi dalam diam-diam mempunyai sikap yang keras hati.

“Macam nilah. Kita bertunang dulu. Lebih kurang 6 bulan lepas tu kita nikahlah. Setuju?” cadang Ikram.

Syafiqah terdiam. Perlukah dia bersetuju dengan cadangan Ikram. Bertunang, kemudian berkahwin, lepas itu mempunyai anak. Syafiqah mengeluh perlahan. Memang dia tidak bersedia lagi untuk bergelar isteri dan memikul tanggungjawab tersebut. Kenapa pula Ikram beria-ia sangat hendak berkahwin cepat-cepat ni, padahal mereka baru sahaja berkawan.

“Yang Ik nak kahwin cepat-cepat ni kenapa? Dah desperate ye?” teka Syafiqah sambil tergelak kecil.

“Desperate... apa yang sayang maksudkan dengan desperate tu. Cuba terangkan sikit pada Ik,” pinta Ikram. Matanya membulat merenung Syafiqah. Teringin sangat dia mendengar jawapan dari bibir comel itu.

“Yelah... Selalunya kalau orang yang nak kahwin cepat-cepat ni sebab dah tak tahan...”

“Tak tahan apa?”

“Tak tahanlah,” balas Syafiqah ringkas. Hilang kata-kata untuk menerangkannya. Sendiri faham sudahlah. Takkanlah Ikram tak faham-faham pula.

“Hahaha,” Ikram tergelak kuat.
“Tak sangka sayang ni otak kuning juga ye.” Muka Syafiqah merona merah mendengarkan kata-kata Ikram. Malu pula dia rasa.

“Itu salah satu sebab Ik nak kahwin cepat-cepat dengan sayang. Satu lagi sebab Ik tak nak kehilangan sayang. Sebab tulah Ik nak kita cepat-cepat kahwin. Faham...”

“Fiqa nak hilang ke mana pula. Fiqa kan selalu ada di hati Ik. Lagipun takkan lari bunga dikejar,” Syafiqah mula berperibahasa. Entah apa yang dia melalutkan, dia sendiri pun tidak faham.

“Memanglah takkan lari bunga dikejar, tapi kalau ada kumbang lain yang cuba menghisap madunya macam mana? Tak ke naya nanti. Sebelum perkara tu terjadi, lebih baiklah bunga ni disunting dahulu. Betul tak...” terang Ikram. Dia teringat kata-kata Khairil yang ingin cuba merampas Syafiqah tempohari. Sebab itulah dia membuat keputusan drastik untuk menjadikan Syafiqah miliknya yang sah.

“Eee apalah pula ni. Bunga, kumbang, madu semuanya keluar. Macam nilah, biar Fiqa fikir dulu ye. Nanti Fiqa bagi jawapan.”

“Okey, tapi Ik tak nak tunggu lama-lama ye. Ik bagi tempoh sampai hujung minggu ni sahaja. Lepas tu Ik nak dengar jawapan yang menggembirakan daripada sayang.”

“Sampai hujung minggu ni saja. Cepatnya,” keluh Syafiqah. Terlalu singkat masa untuk berfikir yang diberikan oleh Ikram.

“Penantian itu satu penyiksaan kan. So buat keputusan secepat yang mungkin. Okey sayang,” Ikram tersenyum. Suka dia melihat wajah Syafiqah yang kelat. Seolah-olah tidak berpuas-hati dengan keputusannya.

“Yelah tu. Okeylah, Fiqa keluar dulu ye. Nanti karang lambat pula nak faks dekat Mr Chan ni. Penantian itu kan satu penyiksaan,” Syafiqah mula bangun. Tugasan yang menanti perlu diselesaikan segera.

Namun fikirannya masih lagi ligat memikirkan tentang cadangan Ikram. Tidak tahu apakah jawapan yang akan diberikannya kepada Ikram. Bimbang pula seandainya dia tersalah membuat keputusan. Nampak gayanya dia hanya mampu meminta petunjuk dari Yang Maha Esa.

********

Khairil sudahpun berada di depan pejabat Global Engineering Holding. Seakan tidak percaya pula yang dirinya sedang menjejakkan kaki memasuki ruang pejabat tersebut. Keputusan tersebut dibuat disebabkan dia sudah tidak tahan dengan sikap Syafiqah. Panggilan telefonnya satu pun tidak berjawab. Ternyata Syafiqah benar-benar berubah. Sudah tidak tertahan rasanya Khairil menanggung rindu terhadap Syafiqah. Prestasi kerjanya juga sedikit menurun gara-gara sering memikirkan Syafiqah. Sebaik memasuki ruang pejabat Global Engineering Holding kelihatan Syafiqah yang sedang bersiap-siap untuk keluar makan tengahari bersama-sama dengan Nina.

Syafiqah berasa sedikit terkejut apabila terpandangkan Khairil. Sudah pasti lelaki itu ingin menemui dirinya. Nasib baiklah pada saat ini Ikram berada di Bangkok, kalau tidak sudah pasti akan timbul perang besar.

“Haiii dear,” sapa Khairil sebaik sampai ke arah Syafiqah. Senyuman manis turut dilemparkan walaupun wajahnya kelihatan keruh semacam.

“Haii,” balas Syafiqah sepatah. Wajah Khairil yang sedikit kusut dipandang sekilas.

“Ril nak ajak dear pergi lunch ni,” ajak Khairil. Berharap Syafiqah setuju dengan pelawaannya.

“Tapi Fiqa nak keluar lunch dengan Nina ni,” tolak Syafiqah. Malas dia hendak melayan Khairil saat ini. Sudah pasti bermacam-macam soalan yang akan diajukan oleh Khairil nanti.

“Eh tak apalah. Nina bolah lunch seorang. Nina pergi dulu ye. Baii,” Nina terus melangkah kaki meninggalkan mereka berdua. Walaupun dia tidak tahu apa hubungan mereka berdua tetapi dia malas hendak kacau daun. Tetapi apa yang pasti dia akan cuba mengorek rahsia itu daripada Syafiqah nanti.

“Nina!!!,” jeritan Syafiqah tidak dihiraukan oleh Nina. Dia terus berjalan laju menuju ke pintu utama.

“So... boleh kita keluar sekarang,” cadang Khairil.

Syafiqah mengeluh di dalam hati. Malas betul dia hendak keluar makan bersama-sama dengan Khairil. Kalau boleh dia ingin membuang Khairil jauh-jauh dari hidupnya.

“Fiqa tak laparlah. Malas nak pergi makan,” Syafiqah menyimpan semula beg tangannya di dalam laci. Membiarkan Khairil terpinga-pinga keseorangan. Staf-staf Global Engineering yang lain semuanya telah keluar makan tengahari.

“Kenapa ni dear. Sejak peristiwa hari itu dear dah lain sangatlah. Ril call banyak kali tapi dear tak pernah angkat pun. Apa masalah yang sebenarnya ni?” Khairil meminta penjelasan Syafiqah.

“Boleh tak Ril tolong jangan ganggu Fiqa lagi,” punggungnya dilabuhkan di kerusi. Nafasnya yang terasa sesak dilepas perlahan.

“Tapi kenapa? Apa salah Ril pada dear. Dulu kan dear pernah berjanji nak bagi Ril peluang.”

'Apa salah dia pada aku. Tak ingat ke peristiwa semasa di bangku sekolah dulu. Sekarang kau pula yang terhegeh-hegeh dekat aku. Biar padan dengan muka,' Syafiqah mencebik.

“Boleh tak kalau Ril lupakan sahaja peluang tu. Anggap yang Fiqa tak pernah berjanji apa-apa pun pada Ril. Okey,” cadang Syafiqah. Khairil yang berdiri di sebelahnya dipandang sekilas. Muka lelaki itu memang teramat keruh dan penuh dengan pengharapan.

“Please dear... Dear tak boleh buat Ril macam ni. Hati Ril ni dah terusik. Ril terlalu cinta dan sayangkan dear tahu tak. And Ril tak boleh hidup tanpa dear. Ril tak pernah rasa macam ni sehinggalah Ril berjumpa dengan dear. Dear yang telah membuka pintu hati ini,” rayu Khairil lagi. Dia sudah hilang rasa malu terhadap Syafiqah. Apa yang pasti hati gadis itu akan dimilikinya.

“Huh...”Syafiqah mengeluh perlahan. Dia tidak cintakan Khairil dan sudah pasti dia tidak akan menyerahkan hatinya kepada Khairil. Tetapi kenapalah susah sangat untuk Khairil faham.
“Ril pergilah cari orang yang lebih sesuai untuk Ril. Ramai lagi perempuan yang baik-baik yang layak bersama-sama dengan Ril,” nasihat Syafiqah.

“No!!!” Khairil menjawab sepatah. Tangan Syafiqah yang berada di atas meja diraih dan digenggam kemas. Syafiqah cuba menarik tangannya namun ternyata genggaman Khairil begitu kuat.

“Tengok mata Ril. Hanya dear yang bertakhta di hati ini. Dan dearlah gadis yang terbaik untuk Ril. Tak ada orang lain lagi yang dapat menggantikan tempat dear. Ril betul-betul sayangkan dear. Would you marry me?” persoalan yang tidak dijangkakan yang akan keluar dari mulut Khairil. Syafiqah terpana seketika.

“Heiii buaya!!! Apa kau buat dekat sini ha!!!,” sergahan itu betul-betul mengejutkan Khairil dan Syafiqah.

Kedua-dua mereka serentak menoleh ke arah suara berkenaan. Wajah Syafiqah berubah pucat. Kelihatan Ikram yang berdiri tidak jauh dari mereka dengan perasaan marah. Dengan pantas Syafiqah merentap kuat tangannya yang dipegang oleh Khairil tadi. Dia sudah kehilangan kata-kata. Turut berasa hairan dengan kedatangan Ikram. Sepatutnya Ikram masih lagi berada di Bangkok. Nafas Ikram yang turun naik itu benar-benar menggambarkan perasaan marahnya saat ini. Syafiqah mengeluh di dalam hati. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku nanti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...