Yang Disayangi Selalu !!!

Tuesday, March 22, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Bab 1 (Bahagian 2)









            Makcik Joyah sedang mengangkat jemuran biji-biji koko yang dijemurnya pagi tadi. Banyak juga yang sudah kering. Lagipun cuaca hari ini memang panas terik, jadi cepatlah biji-biji koko itu kering. Kalau tidak, makan 3 hingga 4 hari juga untuk tunggu biji-biji koko itu kering betul. Banyak juga pokok koko yang ditanam oleh arwah suaminya di sekeliling rumah. Jangan tak tahu, koko merupakan tanaman komoditi ketiga terbesar di Malaysia selepas kelapa sawit dan getah.

            Selain biji koko, Makcik Joyah juga turut menjemur buah pinang. Kedua-duanya akan dijual pada peraih yang datang ke rumah setiap hujung minggu. Itulah tugas rutinnya selain mengerjakan sawah padi dan juga membela ayam dan itik. Biasalah, kehidupan orang kampung. Dia bukannya orang senang. Nasib baiklah cuma Rina yang masih bersekolah di Tingkatan Enam. Hujung tahun ini habislah persekolahannya. Selepas ini bolehlah Rina menolongnya di bendang, tetapi anak daranya yang seorang itu bukannya boleh diharap sangat.

            Sementara Fazli, anak sulung Makcik Joyah sudah bekerja di Kuala Lumpur. Nasib baiklah Fazli seorang anak yang boleh diharap. Setiap bulan memang dia tidak lupa menghulurkan wang perbelanjaan. Selain itu Fazli juga kerap pulang ke kampung melawatnya.

            Makcik Joyah terdengar suara orang memberi salam. Salam tersebut dijawab sambil dia mengangkat guni yang berisi biji-biji koko kering. Rina sudah pulang dari sekolah rupanya. Basikalnya tidak pula ditunggang sebaliknya hanya disorong pula. Makcik Joyah hairan, apa lagi bila melihat Rina sudah buat muka toya. Diamatinya betul-betul Rina dan basikal kesayangannya itu. Apa lagi, melopong Makcik Joyah dibuatnya.

            “Apa kena dengan kamu ni Rina!? Pergi lumba kat mana ni!?” tempik Makcik Joyah. Marahnya tidak terkira bila melihat rim basikal Rina bengkok di bahagian hadapan. Raga basikal pula sudah senget sebelah jadinya. Sudahlah tu, bajunya compang camping dan penuh dengan kotoran. Apa pulalah yang dibuat oleh anak daranya yang seorang ini?

            Syh... Mak ni, janganlah jerit kuat-kuat. Malulah orang.” Bisik Rina sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Maklumlah rumah jiran sebelah tidak sampai 3 meter pun dari rumahnya. Kalau kecoh-kecoh memang boleh dengar. Tambah pula dengan Amir, anak jirannya yang baru berumur 5 tahun itu. Hesy, mulutnya mengalahkan murai lagi. Kalah Makcik Joyah.

            Makcik Joyah menggeleng kepala. Guni yang diangkat tadi diletak semula ke tanah. Basikal Rina diamati dan dibelek dengan penuh tekun. “Anak siapa yang kamu langgar ni? Bengkok semacam dah rim basikal ni?”

            “Hesy... mak ni. Agak-agaklah. Takkan orang nak langgar orang pulak. Ni ha, brek basikal ni tak makan. Masa turun bukit tadi, orang terbabas sampai terlanggar pokok pisang kat tepi jalan tu. Tu yang sampai rim ni jadi bengkok. Kalau brek ni makan, gerenti tak jadi macam ni,” bersungguh Rina menerangkan. Takut kena marah dengan Makcik Joyahlah tu.

            “Dah kamu tahu brek ni tak makan, kenapa kamu tak bagi dia makan. Dia laparlah tu. Sebab tu dia makan kamu pulak. Lagipun mesti kamu bawa laju sangat ni. Nak jadi Michael Schumacher apa?”

            Rina memandang Makcik Joyah dengan sengihan lebar. Boleh tahan juga mak aku ni berloyar buruk ye. Kalau macam ini cara, bolehlah masuk audition Maharaja Lawak. Paling tak menahan bila Makcik Joyah sebut Michael Schumacher tu. Memang mak Rina layan habis kalau ada Formula One di televisyen. Tetapi nama Michael Schumacherlah yang paling diingatnya. Nasib baiklah dia tak kena marah dengan teruk. Kalau tidak, malu sekampung.

            “Habis tu!!!” Makcik Joyah menepuk kuat bahu Rina.

            “Opocot mak kau habis!!! Apa yang habis?” Rina mengurut dada perlahan. Nasib baiklah dia tidak ada sakit jantung. Agaknya kalau kena sergah hari-hari, memang tidak lamalah dia di muka bumi Allah yang maha indah ini. Memang tak patut betullah Makcik Joyah ni.

            “Mak ni... janganlah terkejutkan orang. Macamlah tak tau yang orang ni tak boleh terkejut.”

            Yelah. Kamu tu Minah Latah. Muda-muda lagi dah melatah. Mak yang tua dari kamu ni pun tak melatah tau tak.” Makcik Joyah menggeleng panjang. Entah sikap siapalah yang diikut Si Rina ni. Dia pun pelik. Arwah suaminya dulu pun tidak melatah dan setahunya, keturunannya juga tidak ada yang melatah. Cuma Rina seorang sahaja yang lain sikit.

            “Habis tu, esok kamu nak ke sekolah macam mana? Jalan kaki?” soal Makcik Joyah lagi.

            Jalan kaki. Oh please... Kalau naik basikal pun lebih kurang 15 minit, berjalan kaki mahu dekat setengah jam baru Rina sampai ke sekolah. Lagipun apa kelas awek cun kampung ini hendak berjalan kaki ke sekolah. Rina sudah buat muka sekupang. “Mak bagilah duit. Kejap lagi orang bawa basikal ni ke Kedai Tok Abu.”

            “Banyak cantik muka kamu. Tak adanya senang-senang mak nak bagi kamu duit. Dahlah tolong mak pun malas. Kalau kamu tu ringan tulang, ringan juga mak nak memberi,” perli Makcik Joyah. Biar anak daranya ini sedar diri sikit. Berat tulangnya mengalahkan tulang gajah lagi.

            “Okey... kalau mak tak nak bagi duit tak apa. Nanti orang bawa motor kapcai arwah abah ke sekolah,” sempat lagi Rina mengugut. Dia tahu Makcik Joyah mesti beralah punya. Lagipun pihak sekolah telah memberi amaran kepada pelajar yang tidak mempunyai lesen motorsikal supaya tidak menunggang motorsikal ke sekolah. Rina tersenyum bila melihat Makcik Joyah masuk ke dalam rumah tanpa sepatah kata. Hendak ambil duitlah tu. Yes... Akhirnya dia menang juga.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...