Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, May 26, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 15

“Mak!!! ok tak dengan baju Fiqa ni?” soal Syafiqah sambil membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Seakan-akan masih tidak berpuas-hati dengan penampilannya di saat ini.

Puan Mona yang sedang duduk di tepi katil cuma tersenyum memandang. Syafiqah memakai blouse ungu beserta skirt labuh yang bercorak bunga-bunga kecil. Tudung syria berwarna ungu lembut terletak kemas di kepalanya.

“Mak!!! cantik tak ni. Orang tanya dia tersengih-sengih pula,” bebel Syafiqah apabila melihat Puan Mona hanya tersenyum memandangnya.

“Cantik, jangan risaulah. Anak mak pakai apa pun cantik,” ujar Puan Mona sambil mendapatkan Syafiqah.

“Yelah... sebab Fiqa ni anak mak kan. Kalau Fiqa ni anak orang lain mesti mak cakap tak cantik kan.”

“Dah Fiqa memang cantik, jadi mak cakaplah cantik. Dahlah, cepat sikit bersiapnya. Sikit lagi mesti Ikram sampai tu,” Puan Mona mengingatkan.

Petang tadi Ikam menelefonnya, meminta kebenaran untuk membawa Syafiqah keluar. Puan Mona memang tidak menolak sekiranya Syafiqah keluar bersama-sama dengan Ikram. Maklumlah dia memang berharap sangat agar suatu hari nanti Ikram akan menjadi menantunya.

“Dah siap dah pun mak, cuma tinggal nak tunggu Ikram tu datang sahaja. Emm mak tak kisah ke kalau Fiqa keluar malam-malam ni?” soal Syafiqah kepada Puan Mona.

Mereka jalan beriringan menuruni anak tangga.

“Memang mak kisah. Yelah, Fiqa kan perempuan, keluar malam-malam pula tu. Sebelum ni Fiqa mana pernah keluar malam-malam dengan mana-mana lelaki kan,” getus Puan Mona.

“Habis tu, kalau mak risau kenapa mak izinkan Fiqa keluar dengan Ikram?” soal Syafiqah lagi.

“Dengan Ikram mak tak kisah. Mak percaya dengan dia, tengok muka dia pun mak dah tahu yang dia tu baik orangnya.”

“Amboi!!! bukan main mak ni. Percaya seratus peratus dekat Ikram tu. Nanti kalau dia jual Fiqa dekat sempadan Siam macam mana? Menangis tak berlagulah mak nanti.”

“Tak adanya dia nak buat perkara yang tak elok macam tu Fiqa. Percayalah cakap mak.”

Puan Mona dan Syafiqah telahpun sampai di ruang tamu. Mereka berdua mengambil tempat di sofa empuk yang terdapat di ruang tamu berkenaan. Syafiqah terus membuka televisyen sementara menunggu Ikram sampai. Rancangan berita di TV3 menjadi tontonan Syafiqah bersama-sama dengan Puan Mona. Lebih kurang 5 minit menunggu kedengaran Ikram memberi salam dari luar.

“Assalamualaikum,” ucap Ikram.

“Waalaikummussalam. Dah sampai pun Ikram. Masuklah dulu, boleh pekena secawan kopi,” pelawa Puan Mona yang menjenguk di muka pintu.

Syafiqah turut menjenguk sama. Syafiqah berdebar-debar sebaik terpandangkan Ikram. Ikram cuma memakai baju batik berwarna hitam dan seluar slack hitam. Cukup ringkas namun tetap kacak dan bergaya. Agaknya kalau perempuan lain yang melihatnya di kala ini mahu jatuh tangga tergolek-golek ni. Tetapi bagi Syafiqah dia masih lagi boleh mengawal debaran yang bergerak pantas di dadanya saat ini.

“Tak apalah makcik. Nanti terlambat pula. Saya nak minta izin nak bawa Syafiqah keluar ni,” ujar Ikram sambil merenung Syafiqah yang sedang berdiri di sebelah Puan Mona.

Jantung Ikram turut berdegup pantas apabila melihat Syafiqah. Memang cukup cantik sekali Syafiqah pada malam ini. Tergugat betul imannya melihat Syafiqah. Tidak sabar-sabar rasanya dia hendak menghabiskan malam yang istimewa ini bersama-sama dengan Syafiqah.

“Kalau macam tu tak apalah. Pergilah sekarang, takut terlambat pula nanti. Tapi Ikram kena jaga Syafiqah elok-elok ye. Jaga dia ibaratkan Ikram menjaga diri Ikram sendiri,” ujar Puan Mona lagi.

“Makcik jangan risaulah, saya akan jaga Syafiqah ni lebih daripada saya menjaga nyawa saya. Percayalah,” kata Ikram sambil tersengih.

Syafiqah cuma tersenyum-senyum mendengarkan kata-kata Ikram. Bertuah betul dirinya kalau Ikram benar-benar menjaga Syafiqah melebihi nyawanya sendiri.

“Baguslah kalau macam tu. Senang hati makcik mendengarnya.”

“Tak apalah makcik. Kami minta izin untuk pergi dululah. Kalau lambat nanti takut jalan jammed pula,” ujar Ikram sambil menyalami Puan Mona.

“Aaa iyelah,” Puan Mona tidak membantah. Huluran tangan Ikram disambut dengan seikhlasnya. Ikram memang menghormati orang tua, perkara inilah yang membuatkan Puan Mona bertambah-tambah suka dengan Ikram.

“Fiqa pergi dulu ye mak,” kata Syafiqah pula dan turut menyalami Puan Mona.

Puan Mona cuma tersenyum bahagia mengiringi pemergian mereka berdua. Suka hatinya melihat Ikram bersama-sama dengan Syafiqah. Memang seperti pinang dibelah dua, sama cantik dan sama padan. Semoga hajatnya untuk melihat mereka berdua bergelar suami isteri akan menjadi kenyataan.

********

Ikram memandu Honda Accordnya dengan begitu berhati-hati sekali. Sesekali dia melirik dan tersenyum manis ke arah Syafiqah di sebelahnya. Dia berasa lega setiap kali senyumannya dibalas juga oleh Syafiqah. Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaannya di kala ini. Berdebar-debar, bimbang dan resah. Ikram telah berfikir semasak-masaknya, dia telah membuat keputusan muktamad. Pada malam ini dia akan meluahkan segala perasaan cintanya yang terpendam kepada Syafiqah. Dia sudah tidak tertahan menanggung perasaan. Kalau semakin lama dipendam, tidak mustahil dia akan menghuni Hospital Bahagia pula nanti.

Suasana di dalam perut kereta sunyi sepi. Tiada alunan lagu dari corong radio, dan kedua-duanya cuma membisu seribu bahasa. Masing-masing begitu sibuk melayani perasaan sendiri.

“Functionnya dekat mana encik Ikram?”soal Syafiqah memecahkan kesunyian malam. Matanya terarah pada Ikram yang sedang khusyuk memandu.

“Dekat Restoran Mawar Berduri. Lagi 10 minit sampailah,” balas Ikram.

“Oooo,” balas Syafiqah sepatah. Macam tahu sahaja di mana letaknya restoran tersebut. Padahal dia tidak pernah mendengar dan tidak pernah tahu tentang kewujudan restoran tersebut.

Suasana menjadi sunyi semula. Syafiqah sedikit runsing dengan suasana sunyi sepi sekarang ini. Namun untuk berbicara lebih-lebih dia sudah kehilangan idea. Melihatkan Ikram yang kacak bergaya di sebelahnya membuatkan hati wanitanya seringkali terusik. Gurau-senda Ikram membuatkan Syafiqah seringkali bermain dengan perasaan. Jadi, lebih baiklah dia diam sahaja daripada berkata-kata. Andai kata dia bertemu jodoh dengan Ikram, dialah perempuan yang paling bahagia di dunia. Namun Syafiqah sedar, itu semua mustahil belaka.

“Aaa dah sampai pun,” Ikram memberhentikan kereta di tempat meletak kenderaan.

“So, are you ready?” soalnya kepada Syafiqah sebelum membuka pintu kereta.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Apabila dilihatnya Ikram sudah keluar, Syafiqah turut membuka pintu kereta dan jalan beriringan dengan Ikram menuju ke restoran. Restoran tersebut memang kelihatan agak unik dan menarik. Jika dilihat dari luar, seolah-olah seperti Istana Budaya. Syafiqah sendiri tidak menyangka adanya restoran seperti itu. Di pintu masuk restoran kelihatan dua orang penyambut tetamu yang sedang tersenyum manis ke arah mereka berdua.

“Selamat datang encik Ikram, selamat datang cik Syafiqah,” sapanya sambil melemparkan senyuman.

Syafiqah sedikit hairan. Macam mana pula penyambut tetamu ini boleh tahu nama dia, rasa-rasanya tidak ada tercatat di mana-mana pun.

“Persiapan semua dah ok?” tanya Ikram kepada penyambut tetamu tersebut.

“Semuanya sudah sedia encik Ikram. Selamat menjamu selera dan menikmati suasana yang indah malam ini. Silakan.”

Kata-kata penyambut tetamu itu membuatkan Syafiqah sedikit hairan. Namun kehairanannya itu dibiarkan berlalu kerana ada perkara yang lebih besar yang menghairankannya. Ikram yang tiba-tiba memegang tangan Syafiqah dan mula jalan beriringan dengannya betul-betul membuatkan fikiran Syafiqah keliru di saat ini. Keliru dengan tingkah laku Ikram, memang lain macam sangat dirasakannya.

Sebaik melangkah masuk ke restoran tersebut Syafiqah tiba-tiba terhenti. Dia benar-benar terpukau dengan keindahan di dalamnya. Restoran yang hanya dihiasi dengan nyalaan lilin itu betul-betul menimbulkan suasana romantik. Begitu banyak lilin-lilin yang digunakan bagi menerangi ruang di restoran tersebut. Tidak cukup dengan itu, susunan bunga-bunga mawar hidup di segenap restoran menambahkan lagi suasana segar di dalam restoran tersebut.

“Encik Ikram. Betul ke restoran ni yang kita nak pergi ni. Rasa-rasa macam dah salah tempat saja,” ujar Syafiqah yang sedikit gusar.

“Betullah restoran ni. Kenapa pula kau kata salah tempat?” soal Ikram yang telah dapat mengagak persoalan yang bermain di minda Syafiqah.

“Yelah, keadaan restoran ini pelik sangat. Dah tu tak ada orang pula. Sunyi saja.”

“Apa pula tak ada orangnya. Kita berdua ni bukan orang ke? Dahlah, jangan banyak fikir lagi. Jom...” balas Ikram sambil menarik tangan Syafiqah menuju ke sebuah meja yang terdapat di tengah-tengah restoran. Syafiqah tidak membantah walaupun pelbagai persoalan bermain di fikirannya sekarang ini.

“Silakan duduk sayang,” Ikram menarik kerusi untuk Syafiqah.

“Terima kasih,” balas Syafiqah perlahan. Memang tidak disangka dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, mungkin dia sedang bermimpi fikirnya. Syafiqah mencubit pahanya perlahan, sakit... Memang dia tidak bermimpi tetapi inilah kenyataan. Kenyataan yang tidak diduga oleh akal dan fikirannya.

“Sama-sama kasih sayang,” ujar Ikram sambil mengeyitkan mata kirinya. Kemudian dia mengambil tempat di hadapan Syafiqah.

Syafiqah cuma melihat gelagat Ikram. Dia sendiri tidak faham dengan apa yang berlaku sekarang ini.

“Encik Ikram, function apa ni? Kenapa tak ada orang lain pun dekat sini? Kenapa cuma kita berdua sahaja yang ada di restoran ini sekarang? Restoran punyalah besar, takkanlah tak ramai yang datang ke sini? Agaknya makanan dekat sini tak sedap ye?” pelbagai persoalan yang keluar dari bibir comel Syafiqah.

Ikram cuma tergelak kecil melihatkan kebimbangan Syafiqah. Mungkin dia berasa risau kerana sekarang mereka berdua sedang berdua-duaan di dalam restoran dengan hanya bertemankan nyalaan lilin sahaja. Susana memang agak suram dan kelam-kelam sahaja. 'Candle light dinner' lah katakan.

“Encik Ikram ni. Saya tanya, encik Ikram gelak pula. Cepuk kepala tu karang baru tahu,” rungut Syafiqah.

“Hahaha,” Ikram tergelak lagi. Suka dengan keadaan Syafiqah yang tidak senang duduk dihadapannya sekarang. Menggelabah semacam sahaja. Dah macam ayam berak kapur pun ada.
“Ada hati tu nak cepuk kepala aku. Berani ke?” soal Ikram menduga. Matanya memandang tepat ke arah Syafiqah.

“Eleh... dengan encik Ikram ni saya tak takutlah.”

“Betul ni tak takut? Kalau aku buat benda-benda yang tak elok pada kau macam mana. Dahlah cuma kita berdua sahaja dekat dalam restoran ni. Gelap pula tu... Kalau aku buat apa-apa dekat kau pun takkan ada orang yang mendengar. Teringin juga aku nak try ni,” Ikram tergelak kuat menyakat Syafiqah.

Syafiqah berubah wajah, kelat sekelatnya.
“Encik Ikram jangan nak takut-takutkan saya...” suara kebimbangan yang dilafazkan Syafiqah. Bimbang juga dia kalau Ikram benar-benar bertindak sedemikian. Orang lelaki, bukan boleh percaya sangat. Pak Haji pun kadang-kadang boleh tergugat imannya, inikan pula lelaki seperti Ikram.

“Hahaha,” Ikram tergelak nakal.
“Dah tadi kata tak takut dengan aku. Tulah... tunjuk berani lagi,” ugut Ikram.

Syafiqah cuma diam membisu. Matanya cuma terarah pada lilin-lilin yang berada di atas meja di hadapannya. Tidak berani pula dia hendak melihat wajah Ikram. Perasaan takut tiba-tiba menyelubungi diri.

“Jangan takutlah sayang, aku tak akan buat yang bukan-bukan pada orang yang aku sayang,” ujar Ikram sambil menepuk perlahan tangan Syafiqah di atas meja.

Syafiqah tersentak. Mukanya yang hanya menghadap lilin-lilin tadi diangkat perlahan dan merenung wajah kacak Ikram yang berada di hadapannya. Kelihatan Ikram tersenyum manis. Memang manis sangat-sangat. Syafiqah memikirkan kata-kata yang terlontar dari mulut Ikram tadi. Betulkah Ikram menyayangi dirinya sebagaimana dia juga menyayangi Ikram. Tetapi bila difikirkan balik, ianya adalah mustahil. Kalau Ikram menyayanginya, apa pula perasaan Ikram terhadap teman wanitanya. Kalau Ikram masih belum berpunya, ada juga logiknya dia berkata sedemikian.

Tidak berapa lama kemudian beberapa orang pelayan datang membawakan hidangan. Terdapat pelbagai hidangan yang sememangnya menjadi kegemaran Syafiqah.

“Silakan makan sayang,” ujar Ikram sambil menyendukkan tomyam campur ke pinggan Syafiqah.

Syafiqah cuma tersenyum perlahan, dia kemudian terus mengambil sudu dan mula menyuap nasi ke mulut. Hari ini Ikram memang lain macam. Begitu kerap dia memanggil Syafiqah dengan perkataan sayang. Bukannya Syafiqah marah dengan panggilan tersebut, namun hati wanitanya seringkali terusik dengan panggilan yang digunakan. Tambahan pula bila dituturkan oleh Ikram dengan nada suara yang cukup romantik. Memang boleh jatuh tangga Syafiqah ni dibuatnya.

Sedang mereka menjamu selera tiba-tiba datang beberapa orang yang membawa beberapa peralatan muzik seperti biola, seksafon, gitar dan sebagainya. Mereka terus memainkan lagu-lagu yang menarik untuk menjadi halwa telinga Ikram dan Syafiqah. Syafiqah memang tidak pernah membayangkan dia akan berada di dalam suasana yang romantik seperti sekarang bersama-sama dengan Ikram. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di depan matanya sekarang.

“Sedap tak makanan dekat sini?” tanya Ikram apabila dilihatnya Syafiqah makan dengan begitu berselera sekali.

“Sedap... sedap sangat,” balas Syafiqah sambil menghabiskan saki-baki makanan yang terdapat di pinggannya.

Alunan irama sentimental yang dimainkan oleh ahli muzik itu begitu menenangkan suasana. Selesai menjamu selera Ikram mempelawa Syafiqah untuk menari bersamanya.

“Sudi tak menari bersama-sama?” soal Ikram yang telahpun berdiri di sisi Syafiqah.Tangannya dihulur ke arah Syafiqah dengan harapan Syafiqah akan menyambutnya.

“Maaf encik Ikram. Saya tak pandai menarilah,” jelas Syafiqah yang semakin hairan dengan tingkah laku Ikram. Sudah buang tabiat ke apa dia ni.

“Tak pandai tak apa, aku boleh ajar. Please...” rayu Ikram lagi.

Syafiqah berada di dalam keadaan serba-salah. Tak pernah-pernah dia menari, tiba-tiba hendak disuruh menari pula. Dengan berlainan jenis pula tu. Biar betul ni.

“Please sayang...” rayu Ikram lagi dengan nada yang amat lembut.

Kasihan pula Syafiqah melihatnya. Alah, setakat menari sahaja. Bukannya ada apa-apa pun. Syafiqah lantas menyambut huluran tangan Ikram walaupun debaran di dadanya semakin memuncak, walaupun perasaan malunya semakin menebal. Nasib baik jugalah suasana agak kelam, kalau tidak sudah pasti jelas menampakkan rona wajah Syafiqah yang kemerah-merahan kerana menahan malu.

Ikram memimpin tangan Syafiqah menuju ke ruangan kosong di sebelah meja makan. Kemudian dia berdiri betul-betul menghadap Syafiqah. Tangan kiri Syafiqah diangkat perlahan dan diletakkan di bahu kanannya, manakala tangan kanan Syafiqah diletakkan di pinggangnya. Ikram juga turut melakukan perkara yang sama. Kemudian Ikram menggerakkan kaki perlahan-lahan mengikut alunan muzik tersebut. Syafiqah juga turut berbuat sedemikian. Sesekali Syafiqah terpijakkan kaki Ikram. Malu pula dia rasa, maklumlah dia ini mana pandai menari. Tetapi Ikram buat tidak tahu sahaja, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Hampir sepuluh minit jugalah mereka menari bersama-sama. Setelah penat kedua-duanya duduk semula. Ahli-ahli muzik tadi pun turut beredar sama.

Sekarang mereka dijamukan pula dengan set pencuci mulut. Aiskrim dan kek coklat memang menjadi kegemaran Syafiqah. Seronok sungguh dia rasa kerana dapat menjamah makanan kegemarannya hari ini. Ikram juga turut menyuapkan aiskrim ke mulutnya. Kemudian perlahan-lahan Ikram mengeluarkan kotak hadiah untuk Syafiqah dari dalam poket seluarnya.

“Happy birthday sayang. Semoga panjang umur dan sentiasa dimurahkan rezeki,” Ikram meletakkan kotak kecil tersebut di atas meja.

Syafiqah tersentak. Hari ini harijadi dia... Dia sendiri lupa dengan tarikh yang amat bermakna tersebut.

“Err, macam mana encik Ikram tahu?” soal Syafiqah hairan. Ikramlah orang pertama yang mengucapkan selamat hari jadi kepadanya. Terharu pula Syafiqah rasa.

“Dari mana aku tahu, itu kau tak perlu tahu. Cepatlah buka hadiah tu. Tak sudi ke terima hadiah dari aku ni,” ujar Ikram sambil merenung ke dalam anak mata Syafiqah.

Syafiqah merenung kotak kelabu di atas meja tersebut. Kotak itu diambil dan dibuka perlahan-lahan. Terdapat sebuah jam tangan Polo di dalamnya. Memang cantik dan harganya juga sudah pasti mahal.

“Biar aku pakaikan untuk kau,”Ikram terus mengambil jam tersebut dan ingin memakaikan di pergelangan tangan kanan Syafiqah.

“Tapi encik Ikram, saya tak boleh terima hadiah ni,” Syafiqah menolak dengan cara baik.

“Kenapa pula tak boleh. Aku tahulah hadiah yang aku bagi ni murah, sampai kau tak sudi nak terima.”

“Bukan macam tu encik Ikram...”

“Habis tu sebab apa pula. Aku tak kira, kau kena terima juga hadiah ni. Kalau tidak aku merajuk nanti,” ugut Ikram.

“Iyelah saya terima,” akhirnya Syafiqah mengalah. Nanti kalau Ikram betul-betul merajuk tak pasal-pasal pula dia kena pujuk. Tak pernah-pernah dia dengar orang lelaki merajuk ni, mengada-ngada betullah Ikram ni.

Syafiqah cuma diam memerhati. Tidak banyak cakap. Semasa Ikram sibuk memakaikan jam tangan tersebut baru Syafiqah perasan jam tangan tersebut serupa dengan jam tangan Ikram. Sepasang rupanya.

“Haa kan cantik tu. Sepadan dengan kau. Aku memang pandai pilih,” puji Ikram sambil tersenyum.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...