Yang Disayangi Selalu !!!

Monday, July 18, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 21

“Nina. Nanti aku nak jemput kau datang ke rumah aku. Ada kenduri sikit,” pelawa Syafiqah yang sedang menyuap nasi lemak.

Dia dan Nina sedang menikmati sarapan pagi di pantri pejabat Global Engineering Holding. Hujung minggu ini akan berlangsungnya majlis pertunangan antara Syafiqah dan Ikram. Segala persiapan semuanya sudah dibereskan minggu lepas. Warna tema untuk majlis pertunangan mereka adalah ungu, warna kegemaran Syafiqah. Sudah pasti selepas ini kecoh satu pejabat apabila mengetahui dia akan bertunang dengan Ikram.

“Kenduri apa pula tu. Selalunya kalau hujung minggu ni aku pergi shopping,” balas Nina sambil meratah wajah ayu Syafiqah.

“Alah... Shopping tu bila-bila masa pun kau boleh pergi. Tapi kenduri yang aku nak adakan ni sekali seumur hidup. Rugi kalau kau tak datang tau. Tapi aku tak paksalah. Terpulanglah pada kau.”

“Lain macam je bunyi cakap kau tu. Kau nak kahwin ke?” soal Nina sambil merenung tepat ke arah Syafiqah.

“Bukanlah. Aku nak bertunang.”

“Serius. Angin tak ada, ribut tak ada, tup tup nak bertunang. Siapa lelaki malang yang akan jadi tunang kau nanti tu?” soal Nina ingin tahu. Seakan tidak percaya pula mendengar berita yang disampaikan oleh Syafiqah. Sebelum ini tidak pernah pula Syafiqah bercerita tentang teman lelaki, tiba-tiba hendak buat majlis pula. Memang dia terkejut besar.

“Agak-agaklah wei. Lelaki malang pula. Beruntung tau siapa yang jadi teman hidup aku nanti. Aku nak bertunang dengan Encik Ikram,” jelas Syafiqah lagi. Wajah Nina yang melopong dipandang sekilas.

“Biar betul apa yang aku dengar ni. Kau nak bertunang dengan singa jantan tu. Jadi betullah selama ini yang kau dengan singa jantan tu bercinta. Tak salahlah tekaan aku selama ini,” Nina inginkan penjelasan lanjut.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Akhirnya telah terjawab juga teka-teki yang bermain di minda Nina selama ini.

“Eee... aku macam tak percaya pula. Macam mana ye kau orang boleh bercinta. Dah nak bertunang pula tu. Patutlah sekarang ni singa jantan tu macam dah hilang taring. Tak selalu marah-marah lagi. Rupa-rupanya tengah dilamun cinta,” perli Nina sambil tersengih.

“Biasalah tu. Eh kau boleh tak tolong jangan panggil dia singa jantan. Kalau kau panggil dia singa jantan lagi, aku terasa seperti jadi singa betina pula.”

“Hahaha. Ye lah, ye lah. Aku tak panggil lagi dah. Apa pun aku harap kau dan dia bergembiralah ye. Tak sangka aku.”

“Terima kasih banyak-banyak. Kau doakanlah kebahagiaan aku ye.

“Itu dah semestinya. Eh... Kalau kau nak bertunang dengan Encik Ikram, habis tu engineer Saturn Engineering tu macam mana pula?” Nina keliru.

“Macam mana apa pula?” soal Nina hairan. Sudah pasti Khairil yang dimaksudkan oleh Nina.

“Eh dulu bukan dia selalu bagi bunga dekat kau ke? Aku tengok dia tu macam syok dekat kau je. A'aa lagi satu, pasal kes Encik Ikram dengan Encik Khairil tu bergaduh, bukan dia orang bergaduh sebab kau ke?” soal Nina lagi. Telah lama jawapan tentang persoalan tersebut dicarinya. Memang kecoh satu pejabat dulu pasal pergaduhan yang berlaku.

“Tak adalah. Janganlah kau merepek yang bukan-bukan pula. Aku tak ada kena-mengena dalam kes itu ye,” Syafiqah berbohong. Biarlah segala yang terjadi itu menjadi rahsia.

Nina cuma mengjungkitkan bahu. Nasi lemak yang terhidang dijamah laju ke dalam mulut. Namun persoalan tersebut masih lagi bermain-main di fikirannya.

********

Majlis pertunangan yang telah dirancang akhirnya berlangsung juga di rumah Syafiqah. Memang cukup meriah dengan kehadiran ramai tetamu. Staf-staf Global Engineering Holding juga turut bersama memeriahkan majlis pertunangan tersebut. Pihak Ikram menghantar sebelas dulang hantaran dan dibalas sebanyak tiga belas dulang hantaran oleh pihak Syafiqah. Pelbagai-bagai jenis hantaran dapat dilihat dengan gubahan yang amat menarik sekali.

Ikram turut tidak melepaskan peluang menghadirkan diri. Kali ini saudara-maranya ramai yang hadir. Semuanya begitu teruja apabila mengetahui Ikram akan mengikat tali pertunangan. Seolah-olah tidak sabar menyambut ahli baru yang bakal hadir dalam keluarga mereka. Sepanjang majlis pertunangan tersebut Ikram sentiasa mempamerkan senyuman manis. Tidak lama lagi apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Syafiqah sedia menanti di dalam bilik dengan perasaan yang berdebar-debar. Bunyi riuh-rendah oarng ramai membuatkan jiwanya sering tidak tenteram. Tidak lama menanti akhirnya beberapa ahli keluarga Ikram memasuki bilik Syafiqah. Seperti biasa Puan Mastura yang merupakan ibu saudara Ikram bertindak menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Syafiqah. Memang cantik terletak. Kata persetujuan sememangnya telah dicapai. Dalam tempoh 6 bulan lagi mereka akan disatukan menjadi pasangan suami isteri.

********

Bunyi hon di depan pintu mengejutkan Syafiqah. Kelam-kabut dia mencalit gincu di bibir. Sekejap lagi dia dan Ikram akan menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Continental Sime Tyre yang merupakan klient utama di Global Engineering Holding. Staf-staf Global Engineering Holding yang lain juga turut hadir sama. Setiap kali adanya majlis jamuan makan malam tersebut sudah pasti staf Global Engineering Holding turut diundang.

“Fiqa... Cepatlah sikit. Ikram dah tunggu dekat bawah tu,” gesa PuanMona sambil mengetuk pintu bilik Syafiqah. Tidak suka dia membuatkan bakal menantunya itu menunggu lama-lama.

“Ye lah, Fiqa dah siap dah ni.” Terkocoh-kocoh Syafiqah mengambil beg tangan dan membuka pintu bilik.

Sebaik pintu bilik dibuka kelihatan Puan Mona yang telah sedia menanti. Syafiqah tersengih ke arah Puan Mona yang tercegat di depan pintu biliknya.

“Lambat betul bersiapnya. Dah lama Ikram tunggu tu,” bebel Puan Mona sambil menuruni anak tangga bersama-sama Syafiqah.

“Alah... Biarlah. Bila lagi nak buat dia menunggu,” jawab Syafiqah bersahaja.

“Tak baik tau buat bakal menantu mak macam tu. Kesian dia.”

“Mak ni... Lebih sayangkan Ikram dari Fiqa nampak. Itu baru bakal menantu, belum sah lagi jadi menantu tu. Tak acilah macam ni,” Syafiqah buat-buat merajuk.

“Tak adalah. Dua-dua mak sayang. Bakal menantu mak tu kan bakal suami Fiqa juga,” terang Puan Mona lagi.

Mereka berdua telahpun sampai di ruang tamu. Kelihatan Ikram yang sedang duduk di sofa sambil membaca akhbar. Dia melemparkan senyuman manis ke arah Puan Mona dan Syafiqah yang menuju ke arahnya.

“Jaga Fiqa elok-elok ye. Jangan balik lewat sangat tau,” pesan Puan Mona di muka pintu.

“Jangan risau makcik. Saya akan jaga Syafiqah ni elok-elok,” balas Ikram sambil menuju ke kereta.

“Assalamualaikum mak. Fiqa pergi dulu ye,” Syafiqah melambai tangan ke arah Puan Mona dan terus memasuki kereta. Tidak berapa lama kemuadian Honda Accord Ikram meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Syafiqah.

********

Di dalam kereta Ikram tidak habis-habis memandang Syafiqah. Keseluruhan wajah Syafiqah dipandang tajam. Seolah-olah ada yang tidak menyenangkan hatinya. Mukanya pula kelihatan sedikit serius. Ini menimbulkan rasa tidak selesa di hati Syafiqah.

“Ik!!! Kenapa pandang Fiqa macam tu?” soal Syafiqah hairan. Memang nampak lain macam sangat Ikram hari ini.

“Patutlah lama sangat bersiapnya tadi. Cantik bukan main. Kenapa pakai cantik-cantik macam ni. Pakai biasa-biasa sudahlah,” ujar Ikram sambil melajukan pemanduannya.

“Laa... Cantik apa nya. Fiqa pakai biasa je ni,” balas Syafiqah sambil membelek penampilannya. Dia cuma mengenakan skirt labuh dan blaus berwarna biru lembut. Penampilannya seperti hari-hari biasa. Tidak ada yang berubah.

“Pada pandangan Ik sayang cantik sangat hari ini. Nanti kalau ada orang yang mengacau sayang macam mana. Mestilah Ik cemburu kan,” Ikram menggambarkan kerisauannya.

Majlis jamuan makan yang akan dihadiri oleh mereka nanti turut dihadiri oleh wakil dari Saturn Engineering Berhad. Hati Ikram kuat menyatakan bahawa Khairil pasti akan turut sama dalam majlis tersebut. Ini yang membuatkan dirinya seperti tidak keruan saat ini.

Syafiqah tergelak kecil mendengarkan penjelasan Ikram. Patutlah nampak risau semacam.
“Siapa pula yang nak kacau Fiqa. Lagipun Fiqa ni kan tunang Ik. Apalah Ik ni. Fikir yang bukan-bukan je lah.”

“Alah... Kalau orang yang mengacau tu tak reti bahasa macam mana. Tak dikiranya tunang orang ke, isteri orang ke, main rembat je. Ik takut nanti Ik tak boleh nak kontrol diri, mahu bergaduh besar nanti.” Ikram menggambarkan kebimbangannya. Ada masanya sikap panas barannya memang sukar untuk dikawal.

“Dah lah. Jangan mengarut yang bukan-bukanlah. Kita ni nak pergi jamuan makan malam je. Bukannya nak pergi berperang. Don't worry. Takkan jadi apa-apalah,” Syafiqah cuba menenangkan Ikram. Dia turut akan memastikan perkara yang dibimbangi Ikram itu tidak akan berlaku.

Ikram cuma mengangguk perlahan sambil tersenyum. Tangan Syafiqah digenggam erat dan dibawa ke bibir. Dia terlalu sayangkan Syafiqah. Kalau boleh dia tidak mahu mana-mana lelakipun mendekati Syafiqah. Syafiqah cuma miliknya seorang.

“I love you so much tau. Kalau boleh jangan buat Ik cemburu ye,” pinta Ikram dengan nada yang cukup romantik.

“Don't worry sayang. I love you so much too. Takkan lah Fiqa nak buat Ik macam tu pula,” balas Syafiqah sambil tersenyum.

Jawapan Syafiqah sedikit sebanyak melegakan Ikram. Dia tersenyum manis menampakkan kedua-dua lesung pipitnya yang dalam.

********

Ikram dengan Syafiqah telahpun berada di Grand Millenium Kuala Lumpur. Kelihatan ramai tetamu yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis jamuan makan malam tersebut.

“Encik Ikram, selamat datang. Silakan,” Encik Yunus yang merupakan salah seorang pengurus di Continental Sime Tyre menyambut kedatangan mereka berdua.

“Terima kasih,” balas Ikram sambil berjabat tangan dengan Encik Yunus.

“Datang berdua saja ke? Yang lain-lain mana?” soal Encik Yunus lagi sambil matanya meninjau-ninjau keadaan sekeliling.

“Yang lain-lain tu belum datang lagi kot. Sekejap lagi mungkin sampailah tu,” terang Ikram.

“Kalau macam tu silakanlah. Jemputlah makan apa yang ada. Saya nak ke sana sekejap,” Encik Yunus meminta diri untuk menyapa tetamu yang lain.

Ikram mengangguk perlahan. Matanya sempat melihat-lihat kelibat tetamu yang hadir. Tidak nampak pula Khairil ataupun mana-mana staf Saturn Engineering Berhad. Dalam hati Ikram berdoa agar mereka tidak datang terutamanya Khairil. Lagipun takkan lah mereka hendak datang jauh-jauh semata-mata untuk menghadiri majlis makan malam tersebut.

“Jom sayang, kita ambil makanan. Perut Ik pun dah lapar ni,” Ikram memimpin tangan Syafiqah menuju ke arah hidangan yang tersedia.

Terdapat pelbagai jenis makanan yang terhidang secara buffet. Daripada nasi berlauk, set barbekue, pelbagai jenis mee, aneka kuih-muih, buah-buahan semuanya ada. Pendek kata memang boleh rambang mata jugalah dibuatnya. Nafsu makan juga tiba-tiba boleh melonjak apabila melihatkan hidangan tersebut.

Setelah mengambil hidangan yang berkenan di hati Ikram dan Syafiqah menuju ke arah sebuah meja kosong yang terdapat di situ.

“Sikitnya sayang makan. Nak diet ke?” soal Ikram apabila melihat Syafiqah cuma mengambil mee kari. Tidak seperti dirinya, nasi berlauknya sahaja sudah penuh sepinggan. Tidak cukup dengan itu dia turut mengambil beberapa cucuk sate dan ayam panggang.

“Fiqa kenyanglah,” balas Syafiqah ringkas. Mee kari di mangkuk dimain-mainkan dengan garfu.

“Aii, takkan kenyang kot. Rugilah makan sikit-sikit. Banyak makanan tu.”

“Tak apa. Ik makanlah. Nanti kalau Fiqa nak, Fiqa ambillah.” Mee kari sudah mula disuapkan ke mulut.

Ikram pula kelihatan begitu berselera sekali menikmati hidangannya. Macamlah sudah beberapa hari tidak makan.

“Sayang takut gemuk ke? Sebab tu makan sikit ni. Don't worrylah, kalau sayang gemuk pun, Ik tetap sayang.”

“Ke situ pula Ik ni. Ye lah tu. Sayang sangatlah konon. Entah-entah kalau Fiqa gemuk sebelah mata pun Ik tak pandang ye. Maklumlah kebanyakan orang lelaki ni selalunya pandang yang cantik-cantik saja,” bidas Syafiqah. Kejadian sewaktu di alam persekolahan mula mengimbau di ingatannya.

“Itu kebanyakan orang lelaki. Tapi Ik tak tergolong di kalangan mereka tau,” jelas Ikram dengan yakin.

“Hmmm boleh percaya ke ni?”

“Mestilah boleh. Muka Ik ni ada macam muka orang yang tak boleh dipercayai ke?” soal Ikram sambil menuding jari telunjuk ke arah wajahnya. Matanya tepat memandang ke arah Syafiqah.

“Emmm... Kalau tengok pada muka tu, adalah sikit-sikit macam orang yang tak boleh dipercayai,” gurau Syafiqah. Riak wajahnya dibuat-buat serius, tetapi dalam hati terasa seperti hendak gelak terbahak-bahak sahaja.

“Sayang... Suka buat Ik macam ni ye. Nasib baiklah dekat sini ramai orang. Kalau tidak...”

“Kalau tidak apa?” soal Syafiqah pantas.

“Kalau tidak dah lama kena cium ni,” Ikram tersengih macam kerang busuk. Maklumlah suka sangat dia melihat warna kulit muka Syafiqah yang telah berubah.

“Gatal...” Syafiqah mencebik.

“Alah... Gatal-gatal pun tunang sayang juga kan. Tak lama lagi nak jadi suami orang tu juga. Ingat sikit tu.”

“Ye lah Encik Ikram. Saya selalu ingat.”

“Bagus... bagus,” Ikram tersengih lagi. Dia kembali menyambung menikmati hidangannya. Sedang asyik menikmati hidangan tiba-tiba perutnya terasa tidak enak. Memulas-mulas pula dia rasa.

“Kenapa ni?” soal Syafiqah apabila melihat wajah Ikram yang berkerut. Garfu dan sudu juga telah diletakkan elok di atas pinggan. Tangan kirinya pula sedang memicit-micit perut yang tidak selesa.

“Aduh... Ik sakit perutlah,” balas Ikram ringkas.

“Macam mana tak sakit perut. Makan macam-macam. Nak ke mana pula tu?” soal Syafiqah bila dilihatnya Ikram sudah bangun.

“Ik nak pergi toilet dululah. Kenapa? Sayang nak tolong temankan ke?” sempat lagi Ikram buat lawak walaupun isi perutnya seolah-olah hendak keluar saat ini.

“Eee... Tak kuasalah. Dah lah, pergi cepat. Nanti karang tak pasal-pasal terkeluar dekat sini pula.”

“Tunggu sini tau. Jangan pergi mana-mana. Kalau ada orang tegur-tegur tu jangan layan ye,” sempat Ikram berpesan kepada Syafiqah sebelum dia bergerak pantas mencari tandas.

Syafiqah cuma tersenyum halus. Nak tergelak pun ada bila mendengarkan pesanan Ikram tadi. Macam-macam betullah. Saki baki mee kari di dalam mangkuk disuap perlahan. Dia makan dengan khusyuk sekali. Gelagat manusia yang ramai di sekelilingnya sedikitpun tidak diendahkannya. Syafiqah tersentak apabila terdengar seseorang memberi salam ke arahnya. Dia mengangkat muka dan menoleh ke arah tuan punya suara. Syafiqah terkejut, seakan-akan tidak percaya dengan tetamu yang hadir di sisinya saat ini.

“Assalamualaikum,” sapa Khairil lagi.

“ Err waalaikummussalam,” balas Syafiqah gugup.

“Boleh Ril duduk sini. Lagipun tempat dah penuhlah,” Khairil telahpun meletakkan pinggan dan gelas di atas meja. Tanpa menunggu persetujuan Syafiqah dia terus menarik kerusi dan duduk di hadapannya.

Syafiqah rasa serba salah. Hendak disuruhnya Khairil duduk di tempat lain memang kebanyakan tempat telahpun penuh. Tambahan pula Khairil telahpun sedia duduk di kerusi tersebut. Sudahnya Syafiqah cuma membiarkan sahaja.

“Makan mee kari je ke?” soal Khairil.

Syafiqah cuma mengangguk. Seperti hilang suara pula bila dia berhadapan dengan Khairil. Sejak peristiwa Khairil bergaduh dengan Ikram dahulu, dia tidak pernah menelefon Syafiqah.

“Datang dengan siapa tadi?” soal Khairil ingin tahu. Padahal sejak dia sampai lagi dia telah melihat Ikram turut bersama-sama dengan Syafiqah. Hatinya bagai disiat-siat dengan sembilu menyaksikan kemesraan mereka. Sebab itulah bila dia ternampak Ikram pergi, Khairil cepat-cepat datang ke arah Syafiqah. Terlalu rindu dengan gadis di hadapannya ini.

“Err dengan Ikram,” balas Syafiqah ringkas.

“Dear... You nampak cantik sangat hari ini. I miss you so much. Ril terlalu rindukan dear. Setiap hari asyik terbayang-bayangkan wajah dear je,” luah Ikram. Tangan kasarnya cuba menggenggam tangan Syafiqah namun ditarik lembut oleh gadis itu.

“Dear tak rindukan Ril ke?” soalnya lagi. Entah kenapa bila berhadapan dengan Syafiqah hati lelakinya menjadi rapuh. Cinta pertama yang dirasainya ini begitu membuatkan jiwanya terseksa.

“Ril tolonglah. Antara kita tidak ada apa-apa hubungan. Tolonglah jangan ganggu Fiqa lagi,” rayu Syafiqah. Naik rimas dengan gelagat Khairil yang menagih cintanya.

“Kenapa? Sebab dear sukakan Ikram. Ikram yang menjadi penghalang cinta kita kan,” duga Khairil. Dia begitu yakin bahawa Syafiqah turut memiliki rasa yang sama seperti dirinya.

“Tolong jangan panggil Fiqa dengan panggilan dear tu boleh tak. Lagi satu, Fiqa tak cintakan Ril. I hope you understand,” jelas Syafiqah. Geli bulu tengkuknya mendengar Khairil memanggilnya dear.

“Kenapa pula tak boleh. Dulu Fiqa tak kisahpun. Cuba bagitahu Ril, macam mana caranya untuk Ril mendapatkan cinta Fiqa. Ril sanggup lakukan apa sahaja asalkan kita bersama. I love you so much. I really do. Takkan Fiqa tak faham dengan perasaan suci ini,” Khairil tidak berputus asa cuba menagih cinta Syafiqah.

“Pleaselah Ril. Tolong jangan buat Fiqa berada dalam keadaan yang serba salah,” pinta Syafiqah lagi. Berharap sangat agar Khairil mengerti bahawa dia tidak mencintainya. Wajah Syafiqah berubah pucat apabila melihat kelibat Ikram menuju ke arah mereka. Riak wajah Ikram jelas menunjukkan perasaan marah dan cemburu. Syafiqah berdoa di dalam hati agar tidak berlakunya pergaduhan seperti dahulu.

4 comments:

Nurul Husna (HK) said...

BEST ! cepat sambung ya penulis..i'm waiting for the next entry..

TinTa Biru said...

tenkiu husna.. InsyaAllah.. akn cuba smbung cepat.. :)

Anonymous said...

best la novel nie..
da de kt pasaran kn..
spe penerbit ek..
nk order la..

TinTa Biru said...

tenkiu anonymous..
novel ni tak ada di pasaran..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...