Jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengahari. Kelihatan semakin ramai yang mengunjungi Restoran Delima yang terdapat di Bangsar. Idayu kelihatan begitu penat melayan pelanggan yang ingin menjamu selera. Kepenatan yang jelas tergambar di riak wajah manisnya itu tidak mematahkan semangatnya demi mencari sesuap nasi. Ketekunan dan kesungguhannya bekerja menyebabkan dia amat disenangi oleh pemilik restoran tersebut dan juga teman-teman sekerjanya. Kesempitan hidup yang dilalui menyebabkan Idayu tidak banyak mengeluh.
Di luar pintu masuk restoran kelihatan Hakimi berlari-lari anak menuju ke Restoran Delima. Sejak peristiwa yang berlaku sebulan lepas, hampir setiap hari Hakimi akan meluangkan masa di restoran tersebut. Wajah manis yang bersopan santun itu telah membuat jiwa lelakinya memberontak ingin memiliki sekeping hatinya yang suci. Tutur katanya yang lemah lembut membuatkan Hakimi terpikat dengannya. Wangian yang digunakan membuatkan nafsu lelakinya begitu bergelora sekali.
Sejak peristiwa itu juga, Hakimi seakan-akan menjadi seperti orang gila bayang. Wajah gadis genit itu seringkali bermain-main di kotak fikirannya. Perasaan rindu yang dialaminya sukar untuk ditepis lagi. Inilah yang dinamakan panahan cinta pandang pertama. Kalau nak diikutkan, sebelum ini Hakimi telah berjumpa dengan ramai perempuan yang lebih cantik dari Idayu, namun hatinya sedikit pun tidak terusik. Entah mengapa dengan Idayu, Hakimi seperti merasakan ada sesuatu. Tidak sedar dirinya sudah pun berada di dalam Restoran Delima.
“Ayu, tu haa pelanggan tetap kau dah sampai. Cepatlah pergi ambil order dia” ujar Siti yang sedang meletakkan makanan yang dipesan pelanggan ke dalam dulang.
Idayu yang sedang membawa pinggan kotor memandang sekilas ke arah pelanggan yang dimaksudkan oleh Siti.
“Ohh, dia lagi” bisik Idayu di dalam hati. Sejak peristiwa Idayu tertumpahkan kopi panas ke badan pemuda itu, hampir setiap hari pemuda itu akan datang menjamu selera di restoran tersebut. Apa yang membuatkan Idayu semakin hairan apabila pemuda itu cuma mahu Idayu yang mengambil pesanannya.
Sejenak peristiwa yang mencipta pertemuan pertama mereka berlegar di ingatannya.
Hari itu suasana di dalam restoran agak kelam kabut. Pelanggan yang mengunjungi lebih ramai dari biasa. Idayu pula pada waktu itu baru dua hari bekerja di Restoran Delima. Idayu dan rakan-rakannya kelihatan terkejar-kejar cuba memenuhi kehendak pelanggan. Dalam keadaan yang tergopah-gapah itulah Idayu yang sedang membawa beberapa gelas kopi panas terlanggar dengan pemuda tersebut.
“Ya Allah maafkan saya encik. Saya tak sengaja” ujar Idayu yang kelihatan agak pucat pada waktu itu. Bimbang jika pemuda di hadapannya memarahinya akibat kesilapan yang dilakukannya.
Sepantas kilat juga Idayu mengeluarkan sapu tangannya yang sentiasa disimpan di dalam poket seluarnya dan mengelap kemeja Hakimi yang sudah kotor.
Hakimi yang menggelupur kepanasan pada mulanya ingin memaki hamun orang yang menumpahkan kopi panas ke badannya, namun sebaik saja terpandangkan wajah Idayu hasratnya itu dibatalkan.
“Emm tak pe lah, lagipun awak bukannya sengaja” ujar Hakimi lembut.
“Saya minta maaf banyak-banyak. Saya memang tak sengaja. Tengok, baju encik dah kotor teruk ni” Idayu berasa amat-amat bersalah dengan kecuaiannya sendiri.
“Tak pe, jangan risau. Saya maafkan awak. Tak pelah, biar saya lap sendiri” Hakimi lantas mengambil sapu tangan dari Idayu yang sedari tadi mengelap sisa air kopi di dada bidangnya.
“Ohhh, maaf” lantas Idayu memberikan sapu tangan tersebut. Terasa malu pula dia dengan tindakannya sebentar tadi.
“Emm, saya Hakimi. Nama cik siapa?” Hakimi tidak melepaskan peluang untuk mengenali Idayu dengan lebih dekat lagi.
“Saya Idayu. Emm saya minta maaf sekali lagi ye encik. Saya nak kena buat kerja saya sekarang ni” Idayu lantas mengutip gelas-gelas yang berterabur di lantai.
“Ehh Ayu!!! Ayu!!! cepatlah. Dia tengah tunggu kau ambil order dia tu” kejutan Siti melenyapkan segala kenangan yang bermain di ingatan Idayu sebentar tadi.
Idayu melangkah perlahan menuju ke arah Hakimi. Hakimi kelihatan cukup segak mengenakan kemeja hitam di samping tali leher berjalur hitam dan putih. Kot kelabunya diletakkan di kerusi bersebelahannya. Melihat kepada penampilannya Idayu dapat merasakan Hakimi bukanlah calang-calang orang. Mesti orang berada ataupun orang kenamaan.
“Ye Encik Hakimi. Nak order apa?” soal Idayu sambil mengukirkan senyuman semanis mungkin.
Ahh senyumannya bisa buat aku tak tidur lena. Hakimi turut membalas senyuman Idayu.
“Berapa kali saya cakap, jangan berencik encik dengan saya. Panggil saya Kimi je. Kalau nak lebih hormat panggil saya abang” Hakimi amat berharap Idayu memanggilnya abang. Panggilan yang begitu diharap-harapkan yang dituturkan oleh orang yang disayanginya.
Idayu menjadi serba salah. Sudah banyak kali Hakimi menyuruhnya memanggil abang ataupun Kimi tetapi lidah Idayu seperti kelu untuk melafazkannya. Mana mungkin Idayu boleh memanggilnya dengan gelaran tersebut. Idayu sedar siapa dirinya. Masakan pipit hendak berdamping dengan enggang.
Tetapi melihatkan Hakimi yang begitu mendesak membuatkan Idayu terpaksa memilih untuk memanggilnya abang ataupun Kimi. Memandangkan Hakimi lebih tua darinya Idayu membuat keputusan untuk memanggil Hakimi abang saja.
“Emm aaa.. aabang nak order apa?” tergagap-gagap Idayu menutur kata.
Hakimi tersenyum gembira. Bahagia dirasakan apabila mendengar kata-kata Idayu.
“Macam biasa je lah, bagi abang nescafe ais dengan nasi goreng cendawan” Hakimi turut tidak melepaskan peluang membahasakan dirinya abang.
Idayu ligat menulis pesanan yang diminta oleh Hakimi “Ada apa-apa lagi”
“Tak de apa, cuma abang ada satu permintaan” Hakimi begitu berharap agar permintaannya tidak ditolak oleh Idayu setelah banyak kali mencuba.
Idayu mengeluh kecil. Dia seakan-akan dapat meneka permintaan yang dimaksudkan oleh Hakimi.
“Abang berharap sangat yang Ayu sudi meluangkan masa untuk keluar makan bersama abang malam ini. Please Ayu..” Hakimi memujuk.
Idayu termenung panjang. Hendak ditolak, terasa kesian pula. Bukan sekali dua Hakimi mengajaknya, tetapi sudah banyak kali. Terima sajalah, lagipun setakat keluar makan saja.
“Macam nilah. Malam nanti abang jemput Ayu, kita keluar makan sama-sama ye” Hakimi mencelah tanpa menunggu jawapan dari Idayu.
Idayu lantas mencoret sesuatu di atas kertas dan memberikannya kepada Hakimi. Hakimi tersenyum riang setelah melihat isi kandungan coretan tersebut.
“Emmm macam mana abang nak bagitau Ayu yang abang dah sampai nanti. Ayu tak de no phone ke?”
Idayu menggeleng perlahan. Masakan gadis semiskin dia hendak memiliki telefon bimbit. Duit gaji
yang dibayar setiap bulan pun sekadar cukup untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air dan perbelanjaan sampingan di samping makan dan minumnya. Itupun nasib baiklah dia bekerja di kedai makan, dapatlah selalu makan percuma.
“Tak pelah, macam ni je. Nanti abang tunggu dekat bawah dalam pukul 8.30 malam. Nanti Ayu turunlah cari abang dekat bawah ye”
Idayu mengangguk perlahan, tidak tahu tindakannya sebentar tadi betul atau tidak.
Hakimi menyanyi-nyanyi riang sambil menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Malam ini dia akan meluahkan segala perasaannya yang terpendam kepada Idayu. Ingin disuntingnya Idayu menjadi suri di taman hatinya yang telah lama kesepian.
“Kimi...mari sini sekejap” panggil Datin Mariam sambil melipat akhbar yang dibacanya tadi.
“Ada apa bu. Kimi nak cepat ni” Hakimi seakan-akan malas ingin berbicara dengan ibunya. Moodnya lebih tertumpu ke arah agendanya pada malam ini.
“Sinilah kejap, ibu ada hal penting nak cakap ni”
Malas nak bertekak dengan ibunya Hakimi terus mendapatkan ibunya di ruang tamu.
Hakimi duduk sopan di depan Datin Mariam yang kelihatan semakin dimamah usia. Umur Datin Mariam sudah hampir mencecah 60 tahun. Suaminya Datuk Kamarul telah 10 tahun meninggalkannya. Hasil perkahwinannya dengan Datuk Kamarul, mereka dikurniakan seorang zuriat yang bakal menjadi pewaris hartanya nanti iaitu Hakimi.
“Malam ni kita pergi rumah Datuk Kahar. Anaknya yang belajar kat UK tu dah balik, dah tamat pengajian. Kimi kenalkan dengan Syirin” Datin Mariam memulakan bicara.
Niat dihatinya adalah untuk menjodohkan Hakimi dengan Syirin. Sudah lama Datin Mariam memasang angan-angan ingin bermenantukan Syirin yang bukan saja cantik, berpelajaran tinggi malah dari golongan berada pula tu. Keinginannya untuk menimang cucu juga menguatkan lagi hasratnya untuk menyatukan mereka.
“Syirin... Kenal bu. Alah biarlah dia dah balik pun” Hakimi menunjukkan yang dia tidak bersetuju dengan cadangan ibunya. Sejenak wajah Syirin berlegar-legar di kotak fikirannya. Syirin memang seorang yang cantik dan bergaya, namun dia juga merupakan seorang perempuan yang mengada-ngada, terlalu ego dan sombong. Hakimi tidak begitu menyukai Syirin dan tidak serasi ketika bersamanya.
“Ishh mana boleh macam tu. Ibu ingat ibu nak berbincang dengan Datuk Kahar tentang pertunangan kamu dengan Syirin. Datuk Kahar pernah cakap yang dia teringin nak berbesan dengan ibu. Syirin tu pun dah lama sukakan kamu” Datin Mariam cuba memujuk Hakimi.
“Tapi Kimi tak suka dengan Syirin bu. Soal jodoh, biarlah Kimi yang pilih sendiri”
“Kenapa pula tak suka. Budak tu bukan main cantik lagi, dah mengalahkan model. Pandai pula tu, anak orang berada. Barulah sepadan dan setaraf dengan kita. Lagipun ibu ni bukannya muda lagi. Dah tua-tua macam ni mestilah teringin nak bermain-main dengan cucu” Datin Mariam tidak berputus asa memujuk Hakimi.
“Tapi Kimi memang tak ada hati dengan Syirin bu. Ibu tak bolehlah nak paksa-paksa Kimi” Hakimi tetap berkeras dengan permintaan ibunya. Baginya hanya Idayu seorang yang telah terpahat di dalam hatinya.
“Ibu tak kira Kimi. Dalam masa seminggu ni, kalau kamu tak bawa calon menantu untuk ibu, ibu akan tunangkan kamu dengan Syirin. Kamu tu dah nak masuk 32 tahun tau tak. Bukannya muda lagi. Kawan-kawan kamu semuanya dah beranak-pinak. Ada dua tiga orang anak, kamu tu je yang belum ada anak lagi” Datin Mariam mengugut Hakimi.
Dia yakin yang rancangannya untuk menjodohkan Hakimi dengan Syirin berjaya. Mana Hakimi tu nak mencari calon isteri dalam tempoh seminggu, sedangkan selama ini Datin Mariam tidak pernah mendengar Hakimi rapat dengan mana-mana gadis.
“Ok, kalau macam tu tak pe lah” Hakimi terus berlalu meninggalkan ibunya keseorangan. Niatnya untuk melamar Idayu pada malam ini memang perlu dilaksanakan.
Idayu membelek-belek pakaiannya yang terdapat di dalam almari kain. Tidak ada satupun pakaian yang sesuai untuk pertemuan dia dengan Hakimi pada malam ini. Di dalam almari kain tersebut penuh dengan baju kurung dan uniform kerjanya. Idayu tidak pernah mengenakan skirt labuh, blaus mahupun seluar. Bukan tidak mahu memakai semua itu tetapi dia tidak mampu untuk membelinya.
“Hmmm, takkan aku nak pakai baju kurung pula tengah-tengah malam ni”
Siti yang baru lepas mandi kelihatan hairan melihat keadaan Idayu yang agak tidak tentu arah.
“Eii kau tak siap lagi ke. Dah dekat pukul 8.30 tau. Ntah-ntah dia dah tunggu dekat bawah” Siti mengingatkan Idayu tentang pertemuannya dengan Hakimi.
Siang tadi Idayu telah menceritakan kepadanya bahawa Hakimi ingin mengajaknya keluar makan malam. Siti sememangnya tidak membangkang jika Hakimi dan Idayu menjalinkan hubungan yang serius. Melihat kepada kesungguhan Hakimi membuatkan Siti yakin bahawa Hakimi sememangnya menyukai Idayu. Tambahan pula sejak Idayu diganggu oleh beberapa kumpulan lelaki di kawasan perumahannya, Siti amat-amat berharap agar terdapat seorang lelaki yang dapat membela Idayu.
Hakimi memandu BMW 5 Seriesnya perlahan-lahan menghala ke flat perumahan di kawasan Kerinchi. Sesekali dia melihat alamat rumah Idayu yang ditulisnya di kertas kecil tersebut. Setelah meletakkan kenderaan di hadapan blok rumah Idayu, Hakimi terus menuggu di luar untuk memudahkan Idayu melihatnya. Hampir 10 minit dia menunggu tapi kelibat Idayu masih belum kelihatan. Perasaan Hakimi terasa begitu berdebar-debar sekali takkala menunggu Idayu. Dirasakan penantiannya yang hanya beberapa minit itu seperti berjam-jam lamanya.
“Assalamualaikum. Maaf ye, Ayu terlambat sikit” sapa Idayu dari arah belakang.
Hakimi yang agak terperanjat terus menoleh ke belakang. Apabila terpandangkan wajah Idayu hatinya menjadi tidak keruan. Perasaan rindu yang dialaminya semakin bertambah-tambah pula.
“Cantik Ayu malam ni” puji Hakimi ikhlas. Idayu yang mengenakan baju kurung pink berbunga kecil dan bertudung bawal pink kelihatan sungguh anggun di matanya. Lipstik yang dicalit nipis di bibir merahnya menyerlahkan lagi keayuan wajahnya. Pada Hakimi, Idayu semamangnya memiliki kecantikan yang semulajadi. Tanpa menggunakan peralatan mekap pun masih terserlah kecantikannya.
“Tak payah lah nak perli-perli Ayu pula”.
“Abang tak perlilah. Ayu memang cantik malam ni” ujar Hakimi lagi.
“Dah lah, jom masuk dulu” pintu kereta di sebelah pemandu dibuka oleh Hakimi.
“Tak pe lah, Ayu boleh buka sendiri” segan pula Idayu apabila dilayan sedemikian oleh Hakimi.
Hakimi cuma tersenyum nakal. BMWnya dipecut menuju ke Restoran Nelayan di Tasik Titiwangsa.
Setelah menikmati hidangan makan malam, Hakimi dan Idayu bersiar-siar mengelilingi Tasik Titiwangsa. Idayu terasa agak kekok apabila berjalan berdua-duaan dengan Hakimi. Dia tidak pernah mengalami pengalaman yang sedemikian dan tidak pernah terfikir akan mengalaminya sekarang.
“Ayu, kita berhenti kat sini dulu” Hakimi terus membawa kakinya menuju ke tempat duduk yang menghadap air pancut di tasik tersebut.
Idayu cuma mengikutnya dari belakang.
“Kalau abang nak tanya Ayu sikit boleh?” soal Hakimi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kalau kena pada tempatnya, apa salahnya” Idayu terfikir-fikir apakah bentuk soalan yang akan diajukan oleh Hakimi.
“Ibu dan ayah Ayu ada lagi?”
Idayu terdiam mendengarkan soalan Hakimi. Apakah yang harus dijawabnya. Dalam kamus hidupnya dia tidak pernah mengenali ibu dan ayahnya apatah lagi melihat wajah mereka. Dia tidak pernah merasa kasih sayang ibu dan ayah. Dia cuma sebatang kara. Yang dia tahu ibu dan ayahnya telah lama meninggal dunia. Itulah yang diberitahu oleh Puan Huda yang merupakan pemilik Rumah Tunas Bakti yang didiaminya sejak kecil lagi.
“Ibu dan ayah Ayu dah lama meninggal” Idayu menjawab dengan nada yang sedikit sebak.
“Ohh maaf, abang tak tau” Hakimi seakan-akan kesal dengan soalan yang diajukannya tadi.
“Tak pe. Ayu tak kisah” Idayu tersenyum lembut ke arah Hakimi.
Ahhh, manisnya senyuman. Rasa nak dipicit-picitnya pipi Idayu yang putih gebu itu.
“Ayu...Ayu.. pernah bercinta tak?” walaupun agak gusar dengan soalannya tadi tapi hati Hakimi begitu memberontak ingin mengetahuinya.
“Tak.. tak pernah” jawab Idayu sejujurnya.
Yess, kalau macam ini akulah lelaki yang akan mengajarnya erti cinta dan rindu. Hakimi bersorak riang.
“Ayu, abang ada sesuatu nak beri kat Ayu” Hakimi menyeluk poket seluarnya dan memberikan kotak baldu merah yang berbentuk hati kepada Idayu.
Idayu kelihatan agak hairan. “Apa benda ni bang”.
“Ayu bukalah dulu, lepas tu barulah Ayu tahu apa jawapannya” Hakimi seakan-akan tidak sabar melihat reaksi Idayu selepas membuka kotak tersebut.
Idayu yang berdebar-debar membuka kotak tersebut perlahan-lahan. Kelihatan sebentuk cincin berlian yang amat cantik di dalamnya.
“Sudi tak Ayu menjadi suri hidup abang, menjadi ibu kepada anak-anak abang nanti?” Hakimi bertanya dengan nada seakan-akan mengharapkan persetujuan Idayu.
“Apa makna semua ni bang” Idayu kelihatan agak bingung dengan situasi yang berlaku saat ini.
“Abang ingin menjadikan Ayu isteri abang yang sah” Hakimi menjawab dengan nada yang sedikit tegas.
“Tapi kenapa... kita tak pernah bercinta pun. Ayu pun tak begitu kenal lagi dengan abang” Idayu agak gusar dengan permintaan Hakimi yang agak mendadak.
“Cinta tu boleh dipupuk selepas kahwin Ayu. Lagipun apa yang ada pada cinta. Sedangkan pasangan yang bercinta bertahun-tahun lamanya pun boleh bercerai. Lebih baiklah kita bercinta selepas kahwin saja”
“Kalau pasangan yang dah lama bercinta pun boleh bercerai, inikan pula pasangan yang langsung tak pernah bercinta” Idayu membidas kata-kata Hakimi.
Mustahil dia mahu memperjudikan dirinya yang masih muda ini dalam kancah perkahwinan. Mana mungkin dia tinggal sebumbung dengan lelaki yang dia sendiri tidak jelas tentang latarbelakangnya. Keluarga Hakimi, pekerjaannya, tempat tinggalnya semuanya tidak diketahui oleh Idayu. Idayu menjadi bungkam. Apa yang perlu dilakukannya. Hakimi dipandang sekilas. Dilihat dari cara Hakimi dan wajahnya, dia seperti orang yang baik-baik. Tapi.. ahhh wajah boleh menipu. Kadang-kadang Pak Ustaz yang alim pun boleh bertukar perwatakkannya. Idayu menjadi semakin buntu.
“Macam ni lah, abang bagi Ayu masa sampai hujung minggu ni. Abang takkan paksa Ayu. Ayu buatlah keputusan dengan sebaiknya. Abang tunggu jawapan dari Ayu” ujar Hakimi dengan nada yang agak sayu.
Apa boleh buat, kalau orang tak suka takkan nak dipaksa pula. Lagipun ini soal hidup berumahtangga, soal perkongsian dua jiwa. Hakimi cuma mampu berserah pada yang Maha Esa. Jika jawapan Idayu tidak memihak padanya maka terpaksalah dia menerima pilihan ibunya. Ahhh tidak. Harap-harap jawapan Idayu tidak mengecewakannya.
Bila Hati Dah Sayang Novel - Madu Itu Racun