“Eh, tak kan dah nak balik bro. Jom lah kita pergi lunch dulu” Khairil mempelawa apabila dilihatnya Ikram berjalan laju keluar selepas mesyuarat yang berlangsung lebih kurang 2 jam itu berakhir.
Tujuan utama Khairil adalah untuk meluangkan sedikit masa bersama dengan Syafiqah. Belum puas dia melihat wajah ayu Syafiqah, dan kalau boleh dia ingin pertemuan tersebut tidak berakhir di sini saja. Dia menginginkan wujudnya pertemuan kedua dan seterusnya bersama Syafiqah.
Syafiqah cuma membontoti Ikram dari belakang. Mesyuarat yang membosankan tadi menyebabkan perutnya begitu rancak memainkan irama dondang sayang. Tambahan pula dia cuma makan sedikit saja pagi tadi. Memang teramat lapar dirasakannya.
“Tak pe lah Ril, aku rasa lebih baik kita orang balik dulu. Lagipun hari dah mendung ni. Mesti hujan turun lebat nanti ni. Encik Mustapha pun dah balik kan, tak best pula kalau kita makan bertiga saja” Ikram cuba mengelak.
Mana boleh nak makan sekali, itu namanya memberi peluang kepada Khairil untuk meratah wajah Syafiqah lebih lama. Ikram tidak mahu membiarkan hatinya semakin membengkak dengan situasi yang menyakitkan hatinya.
“Alaa, jom lah bro. Kesian dekat cik Syafiqah ni. Mesti dia dah lapar. Kan cik Syafiqah kan?” Khairil dan Ikram memandang Syafiqah. Menunggu jawapan yang terbit dari bibir kecil itu.
“Please Syafiqah, say no, no. Kalau kau cakap yes, nanti kau balik jalan kaki” Ikram berharap.
“A'aa boleh juga. Memang perut ni dah lapar pun. Dah macam-macam lagu yang keluar” hampa perasaan Ikram sebaik mendengar jawapan Syafiqah.
“Alaa, lapar sangat ke. Kita singgah makan dekat R&R nantilah. Lagipun hari kan dah gelap nak hujan tu” cadang Ikram. Kalau boleh dia ingin cepat-cepat membawa Syafiqah pergi dari sini. Bimbang perasaannya akan menjadi semakin parah. Melihatkan mata keranjang Khairil yang tidak henti-henti memandang Syafiqah membuatkan jiwanya semakin tidak keruan.
“Encik Ikram, mendung tak bererti hujan. Lagipun kita datang naik kereta, bukannya naik motor ke, basikal ke, kereta lembu ke. Biarlah hujan pun. Bukannya basah. Lagipun perut saya dah pedih ni. Lapar. Saya ada gastrik encik Ikram, kalau makan lambat-lambat nanti saya pitam” kelentong Syafiqah. Simpang malaikat 44 lah kalau terkena gastrik, tapi perut Syafiqah memang dah lapar sangat. Kalau nak diikutkan, dia pun tak ingin nak makan bersama-sama dengan Khairil.
Banyaklah kau punya gastrik, sebelum ni ok je. Ke kau pun nak menggatal dengan si Khairil ni. Marah sungguh Ikram di kala ini.
“Haaa, kan aku dah cakap. Cik adik manis ni mesti dah lapar. Ye la, agak-agaklah bro. Dah tengahari ni. Orang gila kat Tanjung Rambutan tu pun tau lapar. Jom kita pekena kat Restoran Malay Village. Makanan kat situ.. perrgghhh!!!, terangkat beb. Restoran tu pernah masuk Jalan-jalan Cari Makan tau”.
“Ye ke encik Khairil. Wahh, mesti makanannya sedap-sedap kan. Bolehlah encik Ikram, saya pun teringin nak merasa masakan orang JB ni” pujuk Syafiqah lagi.
“Ye la, ye la. Jom cepat” Ikram mengalah walaupun dalam hatinya menolak keras cadangan Khairil. Tapi apakan daya bila insan tersayang turut mendesak sama.
“Ok set. Kita pergi naik kereta aku lah bro. Senang sikit”.
“Tak payahlah, naik kereta sendiri lagi senang. Nanti tak payah nak balik sini semula” Ikram menolak cadangan Khairil. Pandailah kau nak suruh naik kereta kau pula, ingat aku tak tau apa yang bermain di kepala otak kau tu. Kalau dah satu kereta, lagi senanglah kau nak usha Syafiqah. Hmmm, bijak bijak.
Ikram terus mengatur langkah kakinya menuju ke Honda Accordnya. Syafiqah di belakang cuma mengekori tanpa sepatah kata. Hairan pula dia melihat wajah Ikram yang tiba-tiba kelat.
Alunan lagu rancak yang ke udara di corong radio tidak dapat menenangkan hati Ikram. Tidak tahu apa pula yang akan dilakukan oleh Khairil nanti.
“Memang nak kena dengan aku lah si Khairil ni. Memang dasar buaya darat. Pantang nampak yang berdahi licin saja semua dia nak kebas. Tapi kalau Syafiqah ni kau cuba kacau, itu maknanya kau memang nak merasa penumbuk sulung aku ni. Kalau betul-betul nak merasa, kau cuba try la” Ikram melayani perasaannya sendiri. Semakin jauh dia membawa fikirannya memikirkan hubungannya dengan Syafiqah. Salah Ikram juga sebab tidak berterus-terang dengan Syafiqah tentang hati dan perasaannya. Kalau dari awal lagi dia memberitahu perkara yang sebenarnya tidaklah dia makan hati sebegini rupa.
“Encik Ikram, encik Ikram!!!” laungan Syafiqah mengejutkan lamunan Ikram sebentar tadi.
“Kenapa kau ni. Nasib baik jantung aku ni berfungsi dengan elok” terkejut Ikram dengan panggilan Syafiqah.
“Ye la, dah lampu hijau tu. Takkan tak nak jalan, kereta dekat belakang tu dah banyak kali hon”.
“Oh ye ke, sori. Tak perasan pula aku” Ikram meneruskan pemanduannya. Kereta Khairil yang diekori tadi telah jauh berada di depan.
“Encik Ikram ni kenapa. Takkan teringatkan dekat buah hati sampai macam tu sekali. Bertuah betul buah hati encik Ikram tu ye” duga Syafiqah. Cemburu juga dia kalau Ikram memang benar-benar teringatkan buah hatinya. Orang tengah dilamun cinta. Macam inilah perangainya. Sentiasa gila bayang, fikirnya lagi.
“Dah lah, kau jangan nak mengarut pula. Kau ni lapar sangat-sangat ke, sampai nak makan sekali dengan si Khairil tu. Aku tak sukalah” luah Ikram.
“Memang saya tengah lapar ni encik Ikram. Pagi tadi makan nasi lemak pun sikit je, tak habis. Kenapa pula encik Ikram tak suka dengan encik Khairil tu. Kalau tak suka, tak apalah. Kita terus balik sajalah” kedengaran nada rajuk Syafiqah. Semakin hairan dia melihat tingkah laku Ikram saat ini.
“Memang tak boleh nak duga langsung mood dia ni. Sekejap ok, sekejap tak. Peninglah kepala aku macam ni. Dia belum tengok lagi mood aku pula, nanti karang kalau aku buat perangai, teruk kau” rungut Syafiqah.
“Kau tau tak, Khairil tu buaya darat. Bukan setakat buaya darat, dah jadi buaya tembaga lagi. Pantang nampak awek cun, mulalah nak jadi ulat bulu. Kalau boleh semua yang cun-cun dia nak kebas. Masa zaman belajar dulu, berapa ramai makwe dia dulu. Bersilih-ganti. Tak pernahnya kekal lama. Maklumlah orang macam tu setakat nak main-main saja. Jadi aku dah bagitau ni, aku harap kau hati-hatilah” terang Ikram panjang lebar. Puas dia rasa setelah menceritakan perilaku Khairil kepada Syafiqah. Dia berharap Syafiqah tidak akan terpedaya dengan lembut manis bicara yang keluar dari mulut Khairil.
“Kenapa pula saya nak hati-hati. Saya ni termasuk dalam kategori cun ke?.”
Ikram tergelak mendengar soalan Syafiqah. Pandai pula dia buat lawak dalam keadaan Ikram yang agak tegang sekarang.
“Kenapa, kau rasa kau ni tak cantik ke?” soal Ikram pula.
“Saya tanya encik Ikram, encik Ikram tanya saya pula. Selalu macam ni. Ye la, cantik tu kan ke subjektif. Kalau cantik pada kita, belum tentu cantik pada orang lain. Betul tak”.
Ikram cuma mengangguk dan tersenyum manis mendengar kata-kata Syafiqah.
“Pada aku kau memang cantik Syafiqah. Cukup sempurna di mata aku. Kalau tidak hati ini takkan jatuh cinta dengan diri kau” bisiknya.
“Senyum-senyum pula dia ni. Tau lah aku tak cantik, nak perli lah tu. Kalau aku ni cantik pada pandangan mata Ikram, tentu dia dah pilih aku jadi kekasih hatinya. Hmmm, nak buat macam mana, tak ada jodoh. Tak sangka aku Khairil tu rupa-rupanya buaya darat. Muka hensem macam tu, memang layak pun dipanggil buaya. Agaknya dah berapa ramailah perasaan kaum sejenis aku yang kau dah mainkan. Tak pe lah Khairil, kalau kau rasa nak menggatal dengan aku, silakan. Kau tengoklah macam mana aku pula mainkan perasaan kau” Syafiqah memasang angan-angan. Memang dia akan mengenakan Khairil sehabis mungkin.
Kalau boleh dia ingin membalas dendam setiap perbuatan Khairil padanya sewaktu di bangku sekolah dulu. Dia mahu Khairil membayar setiap air matanya yang tumpah kerana Khairil. Dia ingin Khairil menderita hati dan perasaan, dan terluka kerana cinta. Begitu besar sekali impian Syafiqah. Perbuatan Khairil pada dirinya dulu telah menjadikan dia seorang yang pendendam.
“Aaa dah sampai pun. Kau ingat ye, berhati-hati sikit dengan buaya tu. Jangan sampai kau sendiri yang tersangkut dengan dia pula, sudah” nasihat Ikram lagi. Honda Accordnya di letakkan bersebelahan dengan RX7 Khairil.
“Cik Syafiqah, silakan duduk” Khairil menarik kerusi yang terdapat di restoran tersebut. Sengaja dia berbuat sedemikian supaya boleh duduk bersebelahan dengan Syafiqah. Ikram cuma memerhatikan dengan jelingan tajam. Geram dengan perbuatan Khairil.
“Terima kasih encik Khairil” Syafiqah sengaja melemparkan senyuman yang cukup manis yang sememangnya dapat menggugat kejantanan Khairil. Memang Khairil rasa cukup terpikat pada Syafiqah.
“Eh tak payahlah panggil encik encik ni. Panggil saya Ril saja. Dari tadi asyik panggil encik saja. Saya bukannya bos cik Syafiqah pun”.
“Ok, kalau macam tu, Ril pun janganlah panggil saya cik cik ni. Panggil saya Fiqa je, ok” Syafiqah tersenyum manis lagi. Memang dia akan cuba sedaya upayanya untuk menggoda Khairil dan mempermainkan perasaan Khairil dan dia akan memastikan yang rancangannya ini berjaya.
Ikram tak senang duduk melihat situasi yang berlaku di depannya sekarang. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang.
“Kenapa kau ni Fiqa, dah hilang akal ke. Dah lah kau boleh duduk sebelah dia, lepas tu siap cakap macam manja-manja pula. Bukan main lembut lagi. Dengan aku tak pernah pula kau cakap macam tu. Aku dah cakap yang Khairil tu buaya darat tapi kau still nak layan dia juga. Gatal betul lah kau ni. Memang kau ni menguji kesabaran aku ni” omel Ikram sendiri.
“Nak makan apa bro. Makanan kat sini semuanya sedap-sedap. Atau kita nak order set hidangan tengahari saja” usul Khairil.
Sambil itu matanya melirik ke arah Syafiqah yang duduk bersebelahannya sambil tersenyum manis.
Ikram yang duduk berdepan dengannya cuma memandang dengan perasaan yang sungguh meluat.
“Apa-apa je lah Ril. Aku ikut saja”.
“Fiqa pula nak makan apa. Kat sini banyak makanan yang special tau” soal Khairil sambil merenung ke dalam anak mata Syafiqah.
“Fiqa pun ikut je. Apa yang Ril order, Fiqa makan je”.
“Kalau macam tu oklah. Kita order set makanan tengahari ye. Waiter” Khairil melambai tangan kepada seorang pelayan yang berada tidak jauh dari mereka.
Sambil Khairil memesan makanan, Ikram merenung tajam ke arah Syafiqah. Ikutkan hatinya memang dia nak bawa Syafiqah pergi saja dari sini. Perasaan cemburunya semakin membuak-buak bila mana Syafiqah turut melayan Khairil dengan baik. Terasa seperti dirinya akan kehilangan Syafiqah. Wajah Syafiqah ditatapnya sepuas hati. Bermacam-macam perasaan yang bermain di mindanya sekarang ini.
“Ishh, kenapa pula dengan encik Ikram ni. Tenung aku semacam je ni. Dah tu mukanya, Ya Allah dah macam opera Cina je. Merah semerbak. Kenapa ye, macam orang tengah marah je ni. Marah sebab aku cakap lembut-lembut dengan Khairil ke, ataupun sebab aku layan Khairil ni. Tapi nak buat apa nak marah-marah, cemburu ke. Isshh, tak mungkin. Dia kan dah ada buah hati” persoalan yang berlegar-legar di fikiran Syafiqah saat ini.
Sepanjang menjamu selera Ikram lebih banyak berdiam diri daripada berkata-kata. Cuma sekali sekala kedengaran gelak ketawa Syafiqah dan Khairil yang rancak bersembang. Dari satu topik ke satu topik yang lain. Ikram merasakan seolah-olah dirinya seperti tunggul saja di depan mereka berdua. Hatinya bagaikan dirobek-robek melihat kemesraan mereka.
“Oklah bro, Fiqa. Next time kita jumpa lagi ye. Ataupun mungkin kita akan jumpa di KL” ujar Khairil sewaktu mereka bertiga telah sampai ke kereta. Sambil itu dia bersalaman dengan Ikram.
“Hmmm tak pe lah. Tak payah jumpa pun tak apa. Tak ingin aku nak jumpa kau lagi” fikir Ikram.
“InsyaAllah, kalau diizinkannya. Kalau ada kelapangan datanglah KL” pelawa Syafiqah. Dia perlu bermanis mulut supaya Khairil tersangkut dengannya.
Ikram cuma tersenyum sinis mendengar pelawaan Syafiqah. Ada hati pula tu dia nak berjumpa dengan Khairil lagi. Habislah kalau macam ni.
“Itu dah semestinya Fiqa. Kalau Ril datang KL, Ril pasti akan cari Fiqa. Lupa pula, bagi Fiqa punya phone number. Tak naklah lose contact pula lepas ni” Khairil sudah mengeluarkan Blueberrynya untuk menyimpan nombor telefon bimbit Syafiqah.
“Makin parah ni, siap bertukar-tukar nombor telefon pula. Aku pun tak ada nombor telefon Syafiqah, dia pula yang dapat. Sakit betul hati aku ni. Nak saja aku campakkan si Khairil ni ke dalam lombong. Syafiqah, Syafiqah. Yang kau bagi nombor phone dekat buaya darat ni kenapa. Kau nak kena baham ke. Haiii, geram aku” omel Ikram.
Perasaan cemburu dan marahnya semakin memuncak. Ikram dengan pantas memasuki ke dalam Honda Accordnya. Tak kuasa dia berlama-lama di luar melihat kemesraan mereka. Hatinya menjadi bertambah-tambah sakit.
Syafiqah yang melihat Ikram telah memasuki kereta turut melakukan tindakan sedemikian. Sebelum kereta meluncur laju dia sempat melambaikan tangan ke arah Khairil dan memberikan senyuman yang paling manis dirasakannya. Memang tak lama lagi Khairil pasti akan memburu cintanya. Itu Syafiqah yakin dan pasti.
Jika sewaktu pergi ke Johor Bahru, Ikram memandu dengan perlahan namun berbeza pula sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Dah macam ERL dia memandu, laju gila. Syafiqah yang berada di dalam kereta turut kecut perut melihat gaya pemanduannya.
“Encik Ikram, janganlah bawa laju sangat. Saya takutlah. Saya ni belum kahwin lagi tau” jerit Syafiqah bila Ikram turut memandu laju di kawasan selekoh.
Ikram tergelak kuat.
“Tak pe lah, kau nak takut apa. Takut mati. Jangan risaulah, tak kan matinya. Kalau mati pun apa salahnya. Kita mati bersama. Kau dan aku, kita mati bersama”.
“Encik Ikram ni kenapa. Dah gila ke. Saya tak nak mati lagi lah. Tak cukup lagi amalan hidup saya di dunia ni. Tolonglah encik Ikram, jangan bawa laju macam ni. Bahaya”.
“Memang aku dah gila Syafiqah. Aku gilakan kau. Teramat-amat gilakan kau. Kau tau tak, aku gilakan kau” jerit hati Ikram.
“Encik Ikram, encik Ikram”jerit Syafiqah lagi apabila Ikram tidak membalas kata-katanya.
Apa yang dilihatnya Ikram memandu semakin laju. Bertambah laju. Syafiqah menjadi semakin takut. Takut dengan tindakan Ikram yang di luar jangkaan. Syafiqah juga takut jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Teringat kemalangan yang telah meragut nyawa ayah tercinta. Terasa jantungnya bergerak teramat pantas. Tiba-tiba dia teringatkan emaknya di rumah.
“Emakkk” jerit Syafiqah perlahan. Air matanya tiba-tiba mengalir deras.
Ikram yang memandu laju tadi terus menoleh ke arah Syafiqah. Dilihatnya air mata yang mengalir di pipi gebu Syafiqah. Tiba-tiba perasaan bersalah menyerang dirinya. Ikram terus memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
“Fiqa, I'm sorry. I'm sorry” pujuk Ikram sambil menyeka air mata Syafiqah.
Disebabkan terlalu mengikutkan perasaan marahnya tadi, dia telah bertindak di luar kawalan. Tindakan teramat bodoh yang telah dilakukannya tadi.
“Fiqa, please.. Jangan menangis lagi. I'm sorry ok” pujuk Ikram lagi.
“Please jangan buat macam ni lagi. Fiqa takut, Fiqa takut sangat. Fiqa tak nak mati lagi. Fiqa tak nak mati” ujar Syafiqah sambil teresak-esak. Ntah kenapa hatinya menjadi begitu rapuh sekali.
“Ok sayang, I'll promise. Ik takkan bawa laju lagi. Jangan menangis lagi ye sayang”.
Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Memang tadi dia berasa teramat-amat takut dengan tindakan Ikram. Namun pujukan Ikram sedikit sebanyak telah melegakannya. Dalam keadaan yang agak panik tadi, Syafiqah tidak sedar yang dia telah membahasakan dirinya Fiqa. Perkataan spontan yang keluar dari mulutnya. Begitu juga dengan Ikram. Biasalah, dalam keadaan yang kelam kabut apa-apa pun boleh terjadi.
Setelah Syafiqah kelihatan agak reda, Ikram terus menyambung kembali pemanduannya. Kali ini dengan lebih berhati-hati. Lagipun pagi tadi dia telah berjanji dengan emak Syafiqah supaya menjaganya dengan baik. Memang dia akan pastikan Syafiqah sentiasa berada dalam keadaan baik ketika bersamanya.
Bila Hati Dah Sayang Novel - Bila Hati Dah Sayang