Yang Disayangi Selalu !!!

Sunday, March 20, 2011

Bila Hati Dah sayang - Bab 6

“Eh Fiqa, awalnya kau datang hari ini. Naik keretapi ekspress ke?” soal Nina hairan.
Tak pernah-pernah Syafiqah tu nak datang ofis awal-awal pagi macam ni. Kalau belum pukul 8.30 pagi memang tak akan nampak batang hidungnya di sini.

Syafiqah cuma tergelak kecil. Memang dia gila awal datangnya hari ini. Pukul 5.30 pagi tadi dia sudah bangun. Begitu bersemangat sekali dia nak pergi kerja hari ini. Dan yang pasti, semangatnya itu datang disebabkan seseorang. Terasa rindu sangat dia pada lelaki yang bernama Ikram itu. Sehari tak melihat muka Ikram dia terasa seperti orang gila bayang.

Syafiqah sendiri berasa hairan kenapa dia berperasaan sebegitu. Padahal dia memang menolak keras perasaan yang bermain-main di ruangan hatinya ini. Agaknya dia sudah tergila-gilakan si Ikram tu kot. Jejaka tampan yang ada iras-iras aktor kegemarannya Aaron Aziz. Tak kisahlah kalau orang lain kata tak ada iras langsung, tapi pada pandangan matanya memang seiras. Tengok dua tiga kali pun masih tetap sama.

“Fiqa, semalam kau tak datang kan, singa jantan tu dah macam orang mati bini je. Asyik nak marah-marah saja. Nina ni pun kena marah sekali. Apa kes ntah. Sakit hati Nina semalam. Kalau ada senapang kat tangan nak saja Nina tembak dia tu” rungut Nina. Sambil itu tangannya membuat aksi menembak. Memang kelakar melihat gelagatnya.

“Hihihi. Tembak jangan tak tembak. Ye ke. Tapi kenapa pula dia macam tu. Selalunya kalau dia naik angin mesti ada sebab kan. Ntah-ntah kau yang buat dia naik angin kot” Syafiqah meneka.

“Eh eh kau ni. Sejak bila pula nak bela-bela singa jantan tu haa. Dah memang perangai dia macam tu. Takkan lah kau tak tau. Tak pun dia naik angin sebab kau tak datang semalam” Nina berserkap jarang.

“Nak marah kenapa pula. Fiqa kan demam, mana larat nak pergi kerja. Kalau datang pun bukannya boleh buat kerja” konfius juga Syafiqah di kala ini.

“Ye la, mana tak marahnya. Tak dapat pekena kopi yang kau buat. Semalam dia suruh Nina buat kopi. Nina buat je la macam biasa. Ikut tekak Nina. Nina rasa ok je kopi tu, tapi dia tu naik hantu. Maki-maki Nina cakap kopi Nina tak sedap. Dah tu sampai tertumpah atas meja dia. Huiish, Nina rasa memang dia mengidam nak minum kopi yang kau buatlah”.

Syafiqah memandang Nina dengan begitu teruja sekali. Suka pula dia mendengar cerita Nina ni. Betulkah Ikram rindukan kopi buatannya. Takkan rindukan kopinya saja, tuannya tak rindu ke. Hihi. Amboi, amboi.. dah jauh perasan tu Syafiqah oii.
Kalau betullah Ikram rindukannya memang bertuah badan, sebab dia pun rindu sangat-sangat dengan Ikram tu. Eeee, kenapa pula jadi macam ni, gatal semacam dah Syafiqah ni.

“Yang kau tersenyum sorang-sorang ni kenapa. Terkena sampuk pula ke” soal Nina yang hairan melihat Syafiqah tersengih-sengih seorang. Rasa-rasanya tak adalah pula dia melawak. Pelik betullah.

“Hihihi, tak ada apa-apalah. Ok lah, Fiqa nak buat air lah. Dahaga” Syafiqah berjalan menuju ke pantri meninggalkan Nina terkebil-kebil keseorangan.

Dua tiga langkah dia berjalan dia terjembung dengan Ikram. Ikram benar-benar berdiri di depannya. Tersentak juga dia dibuatnya. Nasib baik dia ni bukan kaki latah, kalau tidak dah melatah-latah dan berjoget-joget dia di kala ini. Saat ini kedua-duanya saling berpandangan. Kedua-duanya terasa seperti ada arus elektrik yang mengalir dalam diri.

Ikram galak merenung gadis ayu di depannya. Saat ini rindunya yang terpendam seakan-akan telah hilang sebaik saja melihat wajah Syafiqah. Gadis kecil molek itu ditenungnya dalam-dalam. Mata Syafiqah yang bundar begitu menarik perhatiannya. Baru hari ini dia perasan anak mata Syafiqah berwarna coklat. Padahal dia tak tahu yang Syafiqah menggunakan konteks lense. Wajah Syafiqah diratahnya lagi. Kulitnya yang putih bersih dan bibir mugil Syafiqah yang kemerah-merahan itu membuatkan naluri lelakinya begitu memberontak sekali. Kalaulah Syafiqah ni isterinya yang sah, mau setiap hari digomoinya. Hmmm, geram, geram.

“Alamak, kenapa pula tenung aku macam nak telan saja ni. Ni mesti kes tak makan lagi ni. Cukup-cukuplah tu, tau lah aku ni gila cun” gumam Syafiqah sendiri.

Malu pula dia rasa bila Ikram menjamah mukanya sebegitu rupa. Memang tak boleh jadi ni, kalau lama-lama dia berdiri di depan Ikram, Syafiqah juga boleh jadi sewel gamaknya. Ishh, ini dah kira zina mata ni. Berdosalah.

“Maaf encik Ikram, saya nak tumpang lalu”.

“Oh, sori” Ikram tersentak. Tidak sedar bagaimana dia boleh hanyut dengan perasaannya sendiri.

Nasib baik staf Global Engineering Holdings masih ramai yang belum sampai lagi, kalau tidak dah jadi bahan gosip pula di syarikatnya nanti. Tapi dia tak sedar memang ada mata yang memerhati.

“Err, tolong buatkan aku kopi. Lepas tu jumpa aku, ada benda aku nak cakap dengan kau” arah Ikram sebelum Syafiqah menuju ke pantri.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan.

“Memang betullah tu dia rindukan kopi yang aku buat ni. Lepas tu suruh aku masuk bilik pula, mesti tak puas lagi nak usha-usha aku. Rindukan aku lah tu. Hahahaha. Perasan betullah kau Syafiqah”, Syafiqah bermonolog.

Selesai membuat kopi dia berjalan perlahan menuju ke bilik Ikram. Pintu bilik Ikram diketuk perlahan. Kedengaran suara macho dari dalam menyuruhnya masuk. Ntah mengapa saat ini Syafiqah terasa sangat berdebar-debar sekali. Naik runsing pula dia dengan perasaannya di kala ini.

Ikram cuma memerhatikan Syafiqah. Gadis ayu yang berkebaya pendek di depannya ini begitu anggun sekali. Tudung hijau pucuk pisang yang dikenakan memang sepadan dengan kebayanya. Memang Syafiqah seorang yang pandai bergaya. Lama Ikram memerhatikannya sambil berpeluk tubuh.

“Ishh dia ni, asyik tengok aku je. Kan aku dah cakap tadi, aku taulah aku ni cun. Cukup-cukuplah tu. Alahai. Memang gila rindu dekat aku ni” gumam Syafiqah sendiri. Saat ini wajahnya kelihatan merona merah. Nak saja disorok wajah ayunya itu.

“Kenapa muka merah tu. Malu dekat aku ke?” Ikram menduga. Dia begitu teringin untuk mengetahui perasaan Syafiqah kepadanya.

“Sebenarnya aku suka dekat kau Syafiqah, tapi aku tak nak pisang berbuah dua kali. Perasaan ini akan aku simpan sampai mati. Biar aku sorang saja yang tahu” Ikram berkata sendiri. Memang dia suka dan telah jatuh cinta pada Syafiqah namun perasaan itu tidak akan dizahirkannya. Yang pasti dia tidak akan bercinta lagi.

“Tau pun yang aku malu. Maunya tak malu, kalau dah tenung sampai macam tu, orang gila pun malu. Tau tak” rungut Syafiqah lagi. Rimas dengan pandangan mata Ikram yang seksi tu.

“Err, tak adalah encik Ikram. Kan panas ni, lagipun kulit saya kan putih, sebab tulah nampak merah-merah sikit”.

Apa punya jawapanlah Syafiqah oii. Janganlah bagi jawapan macam budak-budak sekolah rendah. Nanti karang mesti dia sound balik.

“Duduk dalam bilik airkond pun rasa panas ke. Ni kulit orang ke kulit buaya ni. Pelik betul. Macamlah kau sorang je yang putih. Aku pun putih juga tapi tak ada merah macam kau pun. Orang kata, kalau muka kita tiba-tiba merah bila berdepan dengan seseorang, tu tandanya kita sukakan orang tu. Itu kata oranglah, aku tak kata. Kau suka kat aku ke?” soal Ikram ingin menduga.

“Alamak, apa punya soalanlah ni. Boleh pula dia tanya aku macam tu. Ni memang dah gila bayang dah ni. Kalau aku suka kat kau pun bukannya kau suka dekat aku” rungut hati kecil Syafiqah.
Saat ini pipinya yang sedia merah menjadi bertambah-tambah merah. Mahu saja dia lari dari pandangan liar Ikram kala ini.

“Cepatlah, aku nak dengar jawapan kau ni”.

“Kenapa encik Ikram tanya saya macam tu?”.

“Saja”.

Saja. Pendeknya jawapan. Tapi Syafiqah yang nak kena bagi jawapan ni punyalah payah. Nak kena menyusun ayat pula.

“Jawapan saya. Biarlah rahsia” isshhh apasal pula bagi jawapan macam tu. Cakap saja tak suka kan senang, adoilah. Macam nampak sangatlah pula yang Syafiqah ni sukakan Ikram tu.

“Biarlah rahsia. Dah macam nama lagu Siti Nurhaliza pula. Tapi aku tak suka yang rahsia-rahsia ni. Aku suka jenis yang berterus-terang. Jujur dan ikhlas. Tidak bermain kata-kata sehingga membuatkan hati orang terluka”.

“Kenapa encik Ikram cakap macam tu?” hairan pula Syafiqah ni melihat perangai Ikram. Memang dah lain macam sangat. Ni agaknya memang sempat lagi 3 kali Jumaat je ni.

“Saja”

“Saja lagi. Isshh, tak ada jawapan lain ke. Bila aku bagi jawapan dia tak terima pula” pening sudah kepala Syafiqah ni.

“Encik Ikram pernah kecewa ke?” Syafiqah mencebik. Alamak tiba-tiba pula mulutnya laju menuturkan soalan tersebut.

Tengok tu muka si Ikram pula yang merah. Jaga-jaga Syafiqah, Ikram tu tak betul sikit. Nanti karang kalau dia naik hantu habis kau dikerjakannya.

Ikram mengeluh kecil. Syafiqah yang duduk di depannya ditenung lagi. Diamatinya wajah itu sepuas-puasnya.

“Berani kau tanya soalan begitu pada aku Syafiqah. Selain dari Wadi tidak ada sesiapapun yang tahu yang aku pernah kecewa. Even papa sendiri tak tau. Memang sakit rasanya hati ini bila dikecewakan” gumam Ikram di dalam hati sambil meraup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan.

Suasana tiba-tiba bertukar sunyi. Masing-masing melayani perasaan. Terlintas di ruangan mata Ikram peristiwa yang menyakitkan hatinya tempoh hari. Peristiwa di mana Amalina curang kepadanya. Peristiwa dia bergaduh dengan tunang Amalina di Mid Valley dulu. Tiba-tiba hatinya menjadi marah. Teramat-amat marah.

“Perempuan, semuanya sama!!!” tiba-tiba Ikram meluahkan perasaan marahnya sambil menumbuk meja.

“Opocot!!! mak kau. Dia ni gila ke. Memang dah naik hantu dah ni. Kalau ye pun nak emo.. janganlah tumbuk meja tu. Terkejut badak aku dibuatnya” rungut Syafiqah sendiri sambil mengurut perlahan dadanya.

“Perempuan semuanya tak jujur. Tak ikhlas dalam perhubungan. Cuma memandang kebendaan semata. Memang perempuan semuanya tak guna!!!” marah Ikram lagi. Tiba-tiba dia berdiri dan kaki dipandu menuju ke tepi tingkap yang terdapat di dalam biliknya. Matanya dijamukan dengan pemandangan dari luar.

Syafiqah sekali lagi mengurut perlahan dadanya. Kalau kali ketiga Ikram mengejutkannya lagi, memang nampaknya dia akan kojol.

“Singa jantan ni tak sedar ke yang dia bercakap dengan siapa sekarang ini. Aku ni bukan perempuan ke. Geram pula aku bila dia cakap macam tu. Dia ingat semua perempuan sama kot. Dekat dahi tu dah terpampang not RM je. Tak semua perempuan macam tu lah. Siapalah yang dah lukakan hati kau Ikram. Tu lah kenapa kau tak pilih aku je. Mesti kau akan bahagia” Syafiqah bermonolog.

“Encik Ikram nak dengar tak apa yang saya nak cakap”.

“Cakaplah. Kau kan ada mulut, takkan aku nak sekat kau dari bercakap pula. Lagipun aku teringin juga nak dengar pendapat perempuan macam kau ni” balas Ikram.

Perempuan macam aku. Oiii, apa pula yang dimaksudkannya ni. Dia fikir aku ni perempuan yang macam mana?. Ni dengar ni aku nak cakap. Syafiqah menarik nafas dalam-dalam dan mula menyusun kata-kata.

“Tak semua perempuan macam tu encik Ikram. Tak semuanya hanya memandang pada kebendaan semata. Dan tak semua perempuan itu tak boleh dipercayai. Setiap kita punya sikap yang berbeza. Ada juga perempuan yang jujur dan ikhlas dalam cintanya”.

“Iye ke. Macam mana kau tahu. Kau pernah bercinta ke?”.

Alaa, memanglah Syafiqah tu tak pernah bercinta. Takkan itu pula nak dijadikan ukuran.

“Saya tak pernah bercinta encik Ikram. Tapi sekali saya jatuh cinta selamanya saya akan setia. Dan sekali hati saya telah diserahkan, sampai ke hujung nyawa kasih saya padanya” wah, boleh tahan juga ayat ni. Macam orang berpengalamanlah pula.

Ikram menoleh sekilas ke arah Syafiqah.
“Betul ke kata-kata kau Syafiqah. Kalaulah betul memang bertuahlah sesiapa yang memiliki kau nanti” gumam Ikram sendiri.

“Kau tak pernah bercinta Syafiqah. Kau tak tahu rasa sakitnya hati bila dikecewakan. Pedih, terhiris. Punah semua harapan dan impian. Bukan senang nak melupakan kenangan bersamanya” jelas Ikram lagi. Kala ini nada suaranya agak perlahan.

Dia sendiri hairan kenapa dengan mudah dia meluahkan perasaan kepada Syafiqah. Padahal dia merupakan seorang yang ego. Tapi dia berasa cukup senang dan selesa dengan Syafiqah.

Syafiqah cuma memandang sayu ke arah Ikram yang telah kembali duduk di tempatnya. Memang sungguh dia tak menyangka lelaki di depannya ini pernah dikecewakan. Siapalah perempuan yang tidak tahu diuntung itu. Tapi hati Syafiqah sedikit cemburu dengan perempuan tersebut. Perempuan yang satu masa dulu telah berjaya mencuri hati Ikram. Cemburu sangat-sangat.

“Encik Ikram, setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkin ada sebab kenapa encik Ikram tidak dapat bersamanya. Lebih baik encik Ikram kecewa sekarang daripada kecewa di kemudian hari. Andai kata encik Ikram dengan dia telah berkahwin lepas tu baru nampak perangai dia, kan susah. Lagilah hati tu bertambah-tambah sakit,” dah macam kaunselor tak bertauliah pula Syafiqah ni membebel.

Ikram cuma mengagguk kecil. Memang benar kata-kata Syafiqah. Tapi yang menjadi masalahnya sekarang ialah hati dan perasaannya yang mula suka pada Syafiqah. Sukar untuk dia menepis perasaan suci yang datang itu. Semakin dibuang jauh, semakin kuat pula perasaan itu mempermainkannya. Syafiqah di depannya ditenung lagi.

“Laa, dia tenung balik dah. Ingatkan dah tak nak tengok-tengok lagi. Memang dah parah betullah Ikram ni. Macam mana aku nak mengelak ni. Nanti karang kalau aku lama-lama kat sini, aku pula yang cair” fikir Syafiqah lagi.

“Err, ada apa yang sebenarnya encik Ikram panggil saya ke sini?”

“Oh lupa pula aku. Tujuan aku panggil kau ke sini sebab nak bagitau next week aku nak pergi out station. Bincang fasal projek kerjasama dengan syarikat Saturn Engineering Berhad. Company tu dekat Johor ”.

“Oh ye ke. Lama ke encik Ikram pergi?”.

“Pergi balik hari saja. Pagi Sabtu tu pergi, lepas settle semua petang tu baliklah”.

“Ok, habis tu ada kena-mengena dengan saya ke?” soal Syafiqah hairan.

“Aku rasa nak ajak kau pergi sekali. Bolehlah kau belajar serba-sedikit tentang projek tu. Sepatutnya encik Hisyam attend sekali, tapi dia ada hal lain yang tak dapat dielakkan. So, aku ingat kau boleh ikut sekali. Pagi Sabtu aku ambil kau dekat rumah. Aku harap kau tak menolak. Ok?”.

“Ok. Ok ke k.o ni. Dah macam arahan saja. Macam tak boleh nak menolak saja ni” bebel Syafiqah sendiri.

Tiada jawapan yang keluar dari mulut Syafiqah. Dia mengambil masa sedikit untuk berfikir-fikir.

“Emmm, bolehlah encik Ikram. Lagipun boleh juga saya tambahkan ilmu di dada ni” Syafiqah setuju. Tambahan pula dia belum pernah sampai ke Johor, boleh juga dia melihat-lihat tempat orang.

Ikram cuma tersenyum manis. Kacak sekali, menampakkan kedua-dua lesung pipitnya yang dalam. Aduhh, bagai nak luruh jantung Syafiqah melihatnya.

“Bagus, kalau macam tu nanti aku jemput kau di rumah”.

“Ok, kalau macam tu saya keluar dulu encik Ikram” lantas Syafiqah bangun dan menghala keluar. Tidak betah dia duduk lama-lama dalam bilik Ikram, mau pengsan dia bermain dengan perasaan.

“Baiklah” Ikram menjawab sepatah. Hatinya berbunga riang bila Syafiqah sudi menemankannya pergi ke JB. Tak apalah Syafiqah, walaupun tak bercinta dengan kau tapi diri ini selalu ingin berada di sisi kau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...