Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, March 14, 2013

Aku Suka Kau Benci Bab 5 - Part 2

Mia Sarah, Liza, Linda dan Hani sedang duduk santai di pondok rehat di Fakulti Sastera. Sementara menunggu kelas yang akan bermula sepuluh minit lagi mereka berbual-bual kosong. Kadang-kadang mereka tergelak bila ada cerita yang mencuit hati diutarakan. Kelihatan seronok benar empat sekawan itu berbual-bual, seolah-olah tidak ada masalah yang membelenggu diri.

Dari kejauhan ada sepasang mata yang sedang memerhatikan Mia Sarah. Melihat Mia Sarah tersenyum, dia turut tersenyum sama. Melihat Mia Sarah ketawa, dia pun terasa ingin ketawa sama. Apa saja yang dirasai oleh Mia Sarah, turut ingin dirasai olehnya. Saban malam dia merindui gadis itu, perasaan yang hadir tanpa dipinta. Perasaan inilah yang membuatkan dirinya terasa seperti orang sasau sahaja. Langkah kaki dihayun perlahan menuju ke arah kumpulan tersebut. Walaupun debaran begitu kuat memuncak di dada namun dia gagahkan jua demi mencari jawapan.

“Eh... itu bukan lelaki yang usha group kita masa makan hari tu ke? Aku tengok dia macam nak menghala ke sinilah. Nak buat apa ye?” soal Hani apabila melihat seorang lelaki semakin hampir ke pondok tempat mereka duduk. Kawan-kawannya yang lain turut menoleh ke arah yang diperkatakan. Memang betullah, nampak gayanya lelaki itu sedang menghala ke arah mereka. Mia Sarah mula tarik muka kelat. Entah apalah yang orang gila ni nak lagi? Ingin sahaja dia mengangkat punggung dan berlalu pergi, tapi apa pula kata kawan-kawannya nanti.

“Oh... si buaya tu ke? Nak buat apa lagi... nak menggatal agaknya...” Linda serkap jarang. Faham sangat dengan perangai Ikmal yang suka bertukar pasangan. Tetapi di pondok tersebut hanya ada mereka berempat sahaja, dengan siapa pula Ikmal ni hendak mengayat?

Ikmal tersenyum ke arah mereka semua. Salam diberi sebagai pembuka bicara. Dia senyum manis apabila salamnya dijawab. Namun apa yang membuatkan dia terasa hati apabila salamnya tidak disambut oleh Mia Sarah. Ikmal senyum lagi dan mula melabuhkan punggung di sebelah Mia Sarah yang sudah tarik muncung panjang. Agak-agaknya, kalau diikat dengan reben pun boleh tu.

“Assalamualaikum sweetie...” salam yang diberi khusus untuk Mia Sarah. Tetapi masih lagi tidak ada jawapan yang kedengaran dari bibir comel itu.

“Kalau tak jawab berdosa tau,” jelas Ikmal sambil memandang Mia Sarah.

Mia Sarah mencebik geram, bukannya dia tidak tahu menjawab salam tu berdosa. Maka sebab itulah salam Ikmal itu dijawabnya dalam hati. Telinganya naik bernanah pula mendengar gelaran sweetie itu lagi. Tak habis-habis panggilan tersebut digunakan. Ikmal ni pun mengada-ngada sangat kenapa? Mia Sarah mula cuak apabila Linda dan Hani memandangnya semacam. Apalah yang sedang mereka fikirkan tentang dirinya. Kalau Liza tu memang dia tak hairan sangat sebab Liza sudah tahu tentang Ikmal yang ingin memikatnya.

“Assalamualaikum... Ha... ni dah kali yang ketiga ni,” usik Ikmal lagi. Wajah Mia Sarah yang bertukar merah begitu menarik perhatiannya. Bukan merah disebabkan malu, tetapi merah dengan perasaan marah. Cuma Ikmal sahaja yang tidak tahu, ataupun buat-buat tak tahu.

“Eeee... Waalaikumussalam. Ha... puas hati!!!”

“Alhamdulilah. Puas hati sangat-sangat sweetie. Bila awak jawab salam saya maknanya awak sayangkan saya. Tapi kalau salam tu dijawab dengan lemah lembut kan nampak manis lagi. Barulah sepadan dengan Cik Mia yang ayu berbaju kurung ni,” Ikmal senyum menggoda.

Sudah... ke situ pula Ikmal ni melalut. Bila masa Mia Sarah sayangkan dia. Mia Sarah tarik muka masam semasamnya. Rasa-rasanya mempelam muda pun tidak dapat melawan tahap kemasaman Mia Sarah sekarang ini. Dia diam sambil menghayunkan kedua-dua kaki yang tergantung ke hadapan dan belakang. Pandangannya dihala melihat kelibat manusia yang lalu lalang di medan Fakulti Sastera. Melihat gelagat manusia yang pelbagai ragam itu adalah lebih menarik daripada melihat wajah Ikmal yang menyakitkan hati di sebelahnya. Menyampah.

“Sebenarnya saya nak tanya awak something ni. Apa jawapan awak pada soalan saya semalam?” soal Ikmal menjurus pada persoalan yang bermain-main di mindanya. Berharap sangat agar jawapan positif yang akan diterima olehnya.

“Jawapan? Jawapan apa pula?” Mia Sarah berpura-pura tidak tahu. Malas hendak melayan kerenah Ikmal. Dia berpura-pura pula membelek kuku yang tidak panjang.

Berkerut dahi Ikmal bila Mia Sarah menyoalnya semula. Biar betul Mia Sarah ni, takkanlah tak tahu apa yang dia maksudkan? Ataupun Mia Sarah tidak dapat jambangan bunga yang diberikannya semalam. Sekilas dia mengalihkan pandangan pada Liza. Gadis itu cuma tersenyum membalas.

“Jawapan pada kad dekat bunga yang saya beri pada awaklah. Takkan awak tak baca pula?”

“Oh... ada kad ye. Tak perasan pula saya,” Mia Sarah menjawab acuh tak acuh.

“Kalau tak perasan tak apalah, balik nanti awak baca kad tu ye. Ada soalan dekat situ. Esok saya nak tau jawapannya,” Ikmal berharap. Terpaksa bersabar dengan sikap Mia Sarah demi mengambil hatinya, walaupun dia ni bukan spesis penyabar.

“Rasanya, balik nanti pun saya tak dapat baca.”

“Kenapa pula?” soal Ikmal dengan penuh tanda tanya. Dahinya berkerut-kerut menandakan dia berada dalam keadaan yang hairan.

“Sebabnya... kad dan juga bunga awak tu dah selamat dibakulsampahkan. Inalillah.”

Terkejut Ikmal mendengar jawapan selamba dari Mia Sarah. Seakan tidak percaya pula pemberiannya dengan penuh kasih sayang diperlakukan sedemikian rupa. “Sampainya hati awak, takkan awak buang dekat dalam bakul sampah kot? Awak bergurau je kan?” soalnya yang masih lagi tidak mahu percaya.

“Tak ada masa saya nak bergurau dengan awaklah Encik Ikmal. Kalau awak tak nak percaya sudah, suka hatilah. Saya tak kisah,” kali ini Mia Sarah benar-benar angkat punggung. Malas dia nak tunggu lebih lama di situ. Dia mula bergerak menuju ke kelas. Kawan-kawan Mia Sarah turut bangun apabila Mia Sarah berlalu pergi.

“Awak!!!” panggil Ikmal tetapi panggilannya tidak bersahut. Tinggallah dia di situ keseorangan dengan perasaan kecewa yang mula menyapa. Apalah nasib badannya? Teruk sangatkah dirinya sehingga Mia Sarah tidak langsung mahu menerimanya. Sekurang-kurangnya berikanlah dia peluang untuk membuktikan rasa cinta dan sayangnya pada Mia Sarah. Ikmal bangun dan melangkah malas menuju ke kereta. 

***
“Wah Mia... aku tak sangka pula kau ada affair dengan mamat playboy tu? Bukan main ye, senyap-senyap je kau bercinta ye?” soal Linda tiba-tiba. Semasa di pondok tadi dia merasa curiga menyaksikan drama swasta yang sedang berlangsung antara Ikmal dan Mia Sarah. Bercerita pasal bungalah, pasal kadlah, yang dia sendiri tidak faham maksudnya. Sebelum pensyarah mereka datang lebih baik dia bersoal jawab dengan Mia Sarah.

“Kau ni merepek apa pula Lin? Macam mana pula kau kata aku ada affair dengan dia? Kau tengok aku layan dia macam mana? Macam pasangan kekasih ke?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh Mia Sarah. Sakit pula hatinya bila Linda menuduhnya begitu. Bila masa pula dia ada affair dengan Ikmal? Memandai je Linda ni.

“Habis tu yang dia cari kau tadi kenapa? Bukan ada apa-apa ke?” sampuk Hani pula.

Nak tak nak terpaksalah Mia Sarah menerangkan perkara yang sebenarnya. Dia tidak mahu sahabatnya terus-terusan bersalah sangka padanya. Kalau dia betul-betul ada hubungan dengan Ikmal, itu lain cerita. Dalam masa yang ringkas Mia Sarah menceritakan pada Linda dan Hani kedudukannya dan Ikmal. Mereka berdua mengangguk faham. Lelaki seperti Ikmal tu, biasalah... Kerjanya memang memancing gadis-gadis sebagai hiburan.

“Nasib baiklah kau tak layan dia kan Mia. Lelaki macam tu, aku pun tak ingin,” ujar Linda yang faham dengan keadaan Mia Sarah.

“Kalau kau tak ingin, aku ni lagilah tak ingin.” Tergelak mereka mendengar hujah dari Mia Sarah. Namun ketawa terpaksa dihentikan apabila Puan Murni telah memasuki dewan kuliah.

P/S : Tinta mengharapkan ada yang sudi komen ye. Sebabnya semangat menulis tinta ni dah merudum gara2 mss ASKB yg corrupted aritu.. Kalau tak ada komen, mmg lambatlah nk menaip. Sebab tak ada semangat. Huhu... Mengada-ngada pula tinta ni ye.. 
 

8 comments:

Anonymous said...

teruskan.....saya dah baca setengah drpd jln cite mmg best......

Unknown said...

la kenapa best sangat nak lg boleh.

Anonymous said...

cik tinta,bila nk pasarkn novel ni..dh lama saya tnggu..best sgt

Anonymous said...

As salam cik tinta,pasarkan novel ni cepat ea...:-)

Anonymous said...

mana sambungan citer nie..

Anonymous said...

bestlah citer ni..

Unknown said...

alo... xde smbgn ke?ni y sdih ni..uwaaa😭😭😭

TinTa Biru said...

Salam semua.. untuk mengetahui kesudahan cerita Mia dan Ikmal.. bolehlah beli buku Aku Suka Kau Benci... sudahpun berada di pasaran sejak April 2014.. :)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...