Mia Sarah, Liza, Linda dan Hani sedang duduk
santai di pondok rehat di Fakulti Sastera. Sementara menunggu kelas
yang akan bermula sepuluh minit lagi mereka berbual-bual kosong.
Kadang-kadang mereka tergelak bila ada cerita yang mencuit hati
diutarakan. Kelihatan seronok benar empat sekawan itu berbual-bual,
seolah-olah tidak ada masalah yang membelenggu diri.
Dari
kejauhan ada sepasang mata yang sedang memerhatikan Mia Sarah.
Melihat Mia Sarah tersenyum, dia turut tersenyum sama. Melihat Mia
Sarah ketawa, dia pun terasa ingin ketawa sama. Apa saja yang dirasai
oleh Mia Sarah, turut ingin dirasai olehnya. Saban malam dia merindui
gadis itu, perasaan yang hadir tanpa dipinta. Perasaan inilah yang
membuatkan dirinya terasa seperti orang sasau sahaja. Langkah kaki
dihayun perlahan menuju ke arah kumpulan tersebut. Walaupun debaran
begitu kuat memuncak di dada namun dia gagahkan jua demi mencari
jawapan.
“Eh...
itu bukan lelaki yang usha group kita masa makan hari tu ke? Aku
tengok dia macam nak menghala ke sinilah. Nak buat apa ye?” soal
Hani apabila melihat seorang lelaki semakin hampir ke pondok tempat
mereka duduk. Kawan-kawannya yang lain turut menoleh ke arah yang
diperkatakan. Memang betullah, nampak gayanya lelaki itu sedang
menghala ke arah mereka. Mia Sarah mula tarik muka kelat. Entah
apalah yang orang gila ni nak lagi? Ingin sahaja dia mengangkat
punggung dan berlalu pergi, tapi apa pula kata kawan-kawannya nanti.
“Oh...
si buaya tu ke? Nak buat apa lagi... nak menggatal agaknya...”
Linda serkap jarang. Faham sangat dengan perangai Ikmal yang suka
bertukar pasangan. Tetapi di pondok tersebut hanya ada mereka
berempat sahaja, dengan siapa pula Ikmal ni hendak mengayat?
Ikmal
tersenyum ke arah mereka semua. Salam diberi sebagai pembuka bicara.
Dia senyum manis apabila salamnya dijawab. Namun apa yang membuatkan
dia terasa hati apabila salamnya tidak disambut oleh Mia Sarah. Ikmal
senyum lagi dan mula melabuhkan punggung di sebelah Mia Sarah yang
sudah tarik muncung panjang. Agak-agaknya, kalau diikat dengan reben
pun boleh tu.
“Assalamualaikum
sweetie...” salam yang diberi khusus untuk Mia Sarah. Tetapi masih
lagi tidak ada jawapan yang kedengaran dari bibir comel itu.
“Kalau
tak jawab berdosa tau,” jelas Ikmal sambil memandang Mia Sarah.
Mia
Sarah mencebik geram, bukannya dia tidak tahu menjawab salam tu
berdosa. Maka sebab itulah salam Ikmal itu dijawabnya dalam hati.
Telinganya naik bernanah pula mendengar gelaran sweetie itu lagi. Tak
habis-habis panggilan tersebut digunakan. Ikmal ni pun mengada-ngada
sangat kenapa? Mia Sarah mula cuak apabila Linda dan Hani
memandangnya semacam. Apalah yang sedang mereka fikirkan tentang
dirinya. Kalau Liza tu memang dia tak hairan sangat sebab Liza sudah
tahu tentang Ikmal yang ingin memikatnya.
“Assalamualaikum...
Ha... ni dah kali yang ketiga ni,” usik Ikmal lagi. Wajah Mia Sarah
yang bertukar merah begitu menarik perhatiannya. Bukan merah
disebabkan malu, tetapi merah dengan perasaan marah. Cuma Ikmal
sahaja yang tidak tahu, ataupun buat-buat tak tahu.
“Eeee...
Waalaikumussalam. Ha... puas hati!!!”
“Alhamdulilah.
Puas hati sangat-sangat sweetie. Bila awak jawab salam saya maknanya
awak sayangkan saya. Tapi kalau salam tu dijawab dengan lemah lembut
kan nampak manis lagi. Barulah sepadan dengan Cik Mia yang ayu
berbaju kurung ni,” Ikmal senyum menggoda.
Sudah...
ke situ pula Ikmal ni melalut. Bila masa Mia Sarah sayangkan dia. Mia
Sarah tarik muka masam semasamnya. Rasa-rasanya mempelam muda pun
tidak dapat melawan tahap kemasaman Mia Sarah sekarang ini. Dia diam
sambil menghayunkan kedua-dua kaki yang tergantung ke hadapan dan
belakang. Pandangannya dihala melihat kelibat manusia yang lalu
lalang di medan Fakulti Sastera. Melihat gelagat manusia yang
pelbagai ragam itu adalah lebih menarik daripada melihat wajah Ikmal
yang menyakitkan hati di sebelahnya. Menyampah.
“Sebenarnya
saya nak tanya awak something ni. Apa jawapan awak pada soalan saya
semalam?” soal Ikmal menjurus pada persoalan yang bermain-main di
mindanya. Berharap sangat agar jawapan positif yang akan diterima
olehnya.
“Jawapan?
Jawapan apa pula?” Mia Sarah berpura-pura tidak tahu. Malas hendak
melayan kerenah Ikmal. Dia berpura-pura pula membelek kuku yang tidak
panjang.
Berkerut
dahi Ikmal bila Mia Sarah menyoalnya semula. Biar betul Mia Sarah ni,
takkanlah tak tahu apa yang dia maksudkan? Ataupun Mia Sarah tidak
dapat jambangan bunga yang diberikannya semalam. Sekilas dia
mengalihkan pandangan pada Liza. Gadis itu cuma tersenyum membalas.
“Jawapan
pada kad dekat bunga yang saya beri pada awaklah. Takkan awak tak
baca pula?”
“Oh...
ada kad ye. Tak perasan pula saya,” Mia Sarah menjawab acuh tak
acuh.
“Kalau
tak perasan tak apalah, balik nanti awak baca kad tu ye. Ada soalan
dekat situ. Esok saya nak tau jawapannya,” Ikmal berharap. Terpaksa
bersabar dengan sikap Mia Sarah demi mengambil hatinya, walaupun dia
ni bukan spesis penyabar.
“Rasanya,
balik nanti pun saya tak dapat baca.”
“Kenapa
pula?” soal Ikmal dengan penuh tanda tanya. Dahinya berkerut-kerut
menandakan dia berada dalam keadaan yang hairan.
“Sebabnya...
kad dan juga bunga awak tu dah selamat dibakulsampahkan. Inalillah.”
Terkejut
Ikmal mendengar jawapan selamba dari Mia Sarah. Seakan tidak percaya
pula pemberiannya dengan penuh kasih sayang diperlakukan sedemikian
rupa. “Sampainya hati awak, takkan awak buang dekat dalam bakul
sampah kot? Awak bergurau je kan?” soalnya yang masih lagi tidak
mahu percaya.
“Tak
ada masa saya nak bergurau dengan awaklah Encik Ikmal. Kalau awak tak
nak percaya sudah, suka hatilah. Saya tak kisah,” kali ini Mia
Sarah benar-benar angkat punggung. Malas dia nak tunggu lebih lama di
situ. Dia mula bergerak menuju ke kelas. Kawan-kawan Mia Sarah turut
bangun apabila Mia Sarah berlalu pergi.
“Awak!!!”
panggil Ikmal tetapi panggilannya tidak bersahut. Tinggallah dia di
situ keseorangan dengan perasaan kecewa yang mula menyapa. Apalah
nasib badannya? Teruk sangatkah dirinya sehingga Mia Sarah tidak
langsung mahu menerimanya. Sekurang-kurangnya berikanlah dia peluang
untuk membuktikan rasa cinta dan sayangnya pada Mia Sarah. Ikmal
bangun dan melangkah malas menuju ke kereta.
***
“Wah
Mia... aku tak sangka pula kau ada affair dengan mamat playboy tu?
Bukan main ye, senyap-senyap je kau bercinta ye?” soal Linda
tiba-tiba. Semasa di pondok tadi dia merasa curiga menyaksikan drama
swasta yang sedang berlangsung antara Ikmal dan Mia Sarah. Bercerita
pasal bungalah, pasal kadlah, yang dia sendiri tidak faham maksudnya.
Sebelum pensyarah mereka datang lebih baik dia bersoal jawab dengan
Mia Sarah.
“Kau
ni merepek apa pula Lin? Macam mana pula kau kata aku ada affair
dengan dia? Kau tengok aku layan dia macam mana? Macam pasangan
kekasih ke?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh Mia Sarah. Sakit
pula hatinya bila Linda menuduhnya begitu. Bila masa pula dia ada
affair dengan Ikmal? Memandai je Linda ni.
“Habis
tu yang dia cari kau tadi kenapa? Bukan ada apa-apa ke?” sampuk
Hani pula.
Nak
tak nak terpaksalah Mia Sarah menerangkan perkara yang sebenarnya.
Dia tidak mahu sahabatnya terus-terusan bersalah sangka padanya.
Kalau dia betul-betul ada hubungan dengan Ikmal, itu lain cerita.
Dalam masa yang ringkas Mia Sarah menceritakan pada Linda dan Hani
kedudukannya dan Ikmal. Mereka berdua mengangguk faham. Lelaki
seperti Ikmal tu, biasalah... Kerjanya memang memancing gadis-gadis
sebagai hiburan.
“Nasib
baiklah kau tak layan dia kan Mia. Lelaki macam tu, aku pun tak
ingin,” ujar Linda yang faham dengan keadaan Mia Sarah.
“Kalau
kau tak ingin, aku ni lagilah tak ingin.” Tergelak mereka mendengar
hujah dari Mia Sarah. Namun ketawa terpaksa dihentikan apabila Puan
Murni telah memasuki dewan kuliah.
P/S : Tinta mengharapkan ada yang sudi komen ye. Sebabnya semangat menulis tinta ni dah merudum gara2 mss ASKB yg corrupted aritu.. Kalau tak ada komen, mmg lambatlah nk menaip. Sebab tak ada semangat. Huhu... Mengada-ngada pula tinta ni ye..
Bila Hati Dah Sayang Novel - Aku Suka Kau Benci.