Yang Disayangi Selalu !!!

Friday, May 13, 2011

Bila Hati Dah sayang - Bab 13

“Mak nak masak apa tu. Nak Fiqa tolong,” pelawa Syafiqah sambil mendapatkan Puan Mona yang sedang sibuk menyiang ikan di dapur.

Puan Mona kelihatan begitu sibuk sekali menyiang ikan temenung. Sayur bayam yang terletak di tepi sinki juga masih belum terusik. Begitu juga dengan ayam yang baru dibelinya tadi.

“Tak apalah Fiqa. Fiqa kan tak berapa sihat. Pergilah berehat dekat depan tu. Mak boleh buat seorang. Lagipun, bukannya banyak sangat.”

“Alah, tak apalah Fiqa tolong mak. Lagipun kaki Fiqa ni dah baik dah pun. Dah ok sikit, sebab dah makan ubat yang doktor bagi semalam.”

Memang kakinya telah beransur pulih. Telah boleh bergerak dengan sendiri, tak perlu lagi hendak kena papah seperti semalam. Tiba-tiba dia tersenyum malu bila teringatkan detik-detik Ikram memapahnya. Antara kenangan manis yang tidak akan dilupakannya.

“Tak apalah, biar mak yang buat,” ujar Puan Mona lagi. Kalau boleh dia mahu anak gadisnya itu berehat sepuas-puasnya di rumah. Lagipun dia memang sudah biasa memasak seorang diri.

Syafiqah tidak banyak membantah. Dia berdiri berhampiran Puan Mona sambil memerhatikannya membuat kerja. Perasaan bosan begitu mengganggu dirinya. Kalau tidak sudah pasti waktu ini dia berada di pejabat. Membuat tugas-tugas pejabat di samping melayan kerenah Ikram yang ada kalanya cukup menghiburkan. Tiba-tiba perasaan rindu itu datang. Perasaan rindu terhadap Ikram yang tidak dapat diluahkan oleh kata-kata.

“Hmmm baik betul Ikram tu ye, sanggup hantarkan Fiqa ke klinik. Dah tu tolong hantarkan Fiqa balik ke rumah pula tu. Bertuah betul siapa yang jadi isteri dia nanti. Dahlah baik hati, bersopan-santun, hormatkan orang tua, hensem pula tu. Kalau maklah Fiqa, memang mak sanggup ambil dia sebagai menantu,” Puan Mona berbicara panjang lebar.

Memang sejak pertama kali dia berjumpa dengan Ikram dahulu hatinya telah jatuh suka dengan jejaka tersebut. Berkenan sungguh dia dengan perwatakan Ikram yang bersopan-santun.

“Ishh mak ni. Puji lebih-lebih nampak. Siap nak buat menantu pula tu. Dia tu dah ada makwelah mak,” jelas Syafiqah. Terdapat sedikit kekesalan di sebalik kata-katanya.

“Eh betul ke dah ada makwe? Mana Fiqa tahu? Cantik ke makwe dia tu? Dah lama dah dia orang berkawan? Kalau macam tu kempunanlah mak nak buat dia jadi menantu ni.”

“Mak nilah. Kalau bercakap tu cukup lama betul nak tunggu titiknya. Cakaplah satu-satu. Ini tidak, meleret-leret. Penat Fiqa nak menjawabnya.”

“Alah, tak penat mananya pun. Bukannya suruh berlari ke apa, suruh jawab je,” bebel Puan Mona lagi. Ikan temenung sebanyak 6 ekor itu telahpun siap disiang dan dibasuh. Sekarang ayam itu pula yang akan dikerjakannya.

“Encik Ikram tu memang dah ada makwe. Dia sendiri yang beritahu Fiqa. Cantik ataupun tidak tu Fiqa sendiri pun tak tahu, sebab belum pernah berjumpa dengan makwe dia. Tempoh masa dia orang berkawan pun Fiqa tak tahu.”

“Oh ye ke. Itulah Fiqa, lambat sangat bertindak. Kan dah melepas tu. Kalau dia belum ada makwe lagi, agaknya memang dapatlah dia jadi menantu mak ye.”

“Ishh mak ni. Encik Ikram tu bukannya suka dekat Fiqa pun. Kalau dia suka agaknya dah lama kita orang ni couple. Tepuk sebelah tangan tak kan berbunyilah mak,” luah Syafiqah perlahan. Oppss tiba-tiba pula dia terlepas cakap.

“Tapi Fiqa sukakan dia kan?” Puan Mona meneka. Seolah-olah mengetahui perasaan Syafiqah terhadap Ikram. Tambahan pula bila mendengar kata-kata pelik yang diungkapkan Syafiqah tadi. Wajah anak gadisnya itu dipandang dalam-dalam.

Syafiqah cuma membisu tanpa sebarang kata. Apa gunanya kalau cuma dia seorang sahaja yang mempunyai rasa, sedangkan Ikram tidak. Lagipun Ikram sekarang sudah pasti sedang berbahagia dengan kekasih hatinya. Lagipun siapalah dia ini di mata Ikram. Cuma seorang kerani yang makan gaji sahaja di syarikatnya. Cuma kadang-kadang Syafiqah seringkali keliru dengan gurauan Ikram. Gurauan yang kadang-kadang boleh dianggap di luar batasannya. Gurauan yang sedikit sebanyak sering mengusik naluri kewanitaannya.

“Huh,” kedengaran keluhan kecil dari bibir comel Syafiqah. Pertanyaan Puan Mona dibiarkan sepi.

Tiba-tiba telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja di ruang tamu berbunyi. Dengan pantas Syafiqah berlari-lari anak mendapatkannya.

“Ha!!! jangan nak berlari-lari pula. Kaki tu kan baru baik. Nanti kalau bentan pula lagi susah,” nasihat Puan Mona.

Dia kemudian terus menyambung menyiang ayam yang tergendala tadi. Namun fikirannya masih memikirkan Syafiqah. Persoalannya yang tidak dijawab oleh Syafiqah tadi menguatkan lagi hatinya bahawa Syafiqah sememangnya menyukai Ikram. Syafiqah sememangnya ada menyimpan perasaan yang suci terhadap Ikram. Puan Mona amat-amat berharap agar suatu hari nanti Syafiqah dan Ikram dapat disatukan di alam perkahwinan.

********

Syafiqah mencapai dengan pantas telefon bimbitnya yang teletak di atas meja di ruang tamu. Nama pemanggil dipandang sekilas.

“Laa, buaya tembaga ni pula. Ingatkan encik yang tersalah nombor tadi tu ke. Kalau orang yang tersalah nombor tu tadi best juga aku nak melayan.”

Dengan malas panggilan Khairil diangkat juga.

“Hello, Assalamualaikum dear,” kedengaran suara ceria Khairil di hujung talian. Nasib baik kali ini dia bagi salam, kalau tidak mesti sudah kena perli dengan Syafiqah.

“Waalaikummussalam,” balas Syafiqah perlahan.
Malas betul rasanya dia hendak melayan Khairil, tetapi nak buat macam mana dia yang memulakan dahulu permainan tersebut.

“Dear, you sakit ke. Mc hari ini.”

“Macam mana Ril tahu?” soal Syafiqah agak hairan.

“Biasalah, Ril ni mata-mata gelap. Hihihi. Dear sakit apa ni?”

Hmmm, banyaklah dia punya mata-mata gelap. Naik lemas dan rimas Syafiqah mendengar Khairil membahasakan dirinya dear. Rasa nak tercabut telinga mendengarnya.

“Tak ada apalah. Terseliuh sikit je.”

“Ohh. Macam mana pula boleh terseliuh ni. Ini mesti sebab selalu ingatkan Ril ni. Tulah, lain kali jaga diri tu elok-elok. Emmm Ril ada surprise ni. Cuba dear teka apa surprisenya.”

Perasan betullah Khairil ni. Daripada Syafiqah tu mengingatinya, lebih baiklah dia teringatkan Ikram. Sekarang nak bermain teka-teki pula dah. Bagi tahu sajalah apa dia. Tak ada masa nak bermain teka-teki ni.

“Entah.” Syafiqah menjawab sepatah. Entah kenapa hari ini dia memang tidak ada mood hendak melayan kerenah Khairil. Kalau Ikram tu lainlah cerita.

“Sebenarnya Ril dah ada dekat KL. Ril nak jumpa dear ni. Memandangkan dear tak berapa sihat so Ril ingat nak datang rumah dear.”

“What!!!” nak datang rumah pula. Biar betul mamat ni.

“Errr tak payahlah. Lagipun tak ada sesiapa dekat rumah. Mak Fiqa dah pergi ke rumah orang kenduri. Nanti tak manis pula kalau Ril datang sini. Apa pula kata orang-orang dekat sini nanti kalau nampak kita berdua,” bohong Syafiqah. Tak kuasa dia hendak mempelawa Khairil datang ke rumah. Buat menghabiskan beras sahaja. Lagipun nanti apa pula yang akan emaknya fikirkan.

“Tapi Ril dah datang sinilah dear. Ril rindu sangat-sangat nak jumpa dengan dear ni. Please,” rayu Khairil lagi.

“Fiqa minta maaf sangat-sangat. Kenapa Ril tak bagi tahu awal-awal yang Ril nak datang sini. Lain kali telefonlah dulu, janganlah datang mengejut macam ni.”

“Ril ingat nak buat surprise tadi. Mana tahu dear mc pula hari ini. Kalau tahu, Ril dah call awal-awal tadi.” Keluh Khairil dengan nada yang agak kesal.

Haa, itulah. Nak buat kejutan sangat. Sekarang padan dengan muka.
“Itulah, lain kali tak payah nak buat-buat surprise. Call dulu, sekarang siapa yang kena surprise pula,” tempelak Syafiqah.

“Hmmm, tulah pasal. Tapi Ril rindu sangat-sangat ni. Dear tak rindu dekat Ril ke?”

“Rindu juga,” bohong Syafiqah lagi, padahal sekelumit perasaan rindu pun tidak pernah ada untuk Khairil. Kalau dahulu dia memang ada menyimpan perasaan rindu terhadap Khairil. Tapi sekarang tidak lagi. Perasaan rindu yang membara hanya untuk Ikram seorang sahaja.

“Kalau macam tu, bolehlah kita jumpa. Ril datang rumah dear. Sekejap pun tak apa. Kalau takut jiran-jiran mengata, kita jumpa dekat luar pagar pun tak apa. Please...”

Mamat nilah, dah terdesak sangat ke. Dah Syafiqah tu kata tak boleh, tak bolehlah. Memang tak faham bahasa Melayu betullah.

“Sorry banyak-banyak. Memang tak boleh. Lagipun Fiqa tak boleh nak bergerak sangat. Nanti takut sakit ni melarat. Semalam doktor tu dah pesan. Sekarang ni pun tengah baring-baring kat atas katil.”
Bukan main sedap Syafiqah membohongi Khairil.

“Laa... teruk sangat ke. Hmmm, nampak gayanya terpaksalah Ril pulang dengan perasaan yang hampa. Tak apalah, kalau dah macam tu. Hope dalam masa terdekat ni kita akan berjumpa. Boleh.”

“Boleh... Tapi next time call dulu ye. Kalau tidak, jadi macam sekarang ni.”

“Ok dear, next time Ril akan call dulu. Hmmm, jaga diri elok-elok ye. I really miss u. I really do. Take care ye,” luah Khairil dengan perasaan yang kecewa.

Kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan insan yang teramat-amat dirinduinya. Tambahan pula dia telah bersusah-payah datang dari jauh semata-mata hendak berjumpa dengan Syafiqah. Siap ambil cuti lagi tu. Namun semuanya sia-sia belaka. Jambangan mawar merah yang ingin dihadiahkan kepada Syafiqah dipandang sepi. Tapi dia tetap tidak akan berputus asa. Hati Syafiqah akan ditawannya juga nanti.

“Ok. I miss u too. Daaa.”

Syafiqah meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja. Sedikitpun dia tidak rasa bersalah dengan segala perbuatannya terhadap Khairil. Baginya walau apa pun yang dilakukannya kepada Khairil, namun Khairil pasti akan cuba memikatnya. Maklumlah, orang tengah gila bayang. Apa benda pun dia akan sanggup buat.

********

Ikram berjalan mundar mandir di dalam biliknya. Setelah kedatangan Khairil tadi apa yang dibuatnya semua tidak kena. Sekejap dia duduk, kemudian berdiri semula, selepas itu dia berjalan ke tingkap dan kemudian duduk semula. Pendek kata kalaulah ada orang lain di situ, pasti akan ada yang pening kepala melihat gelagatnya.

“Agak-agaknya Khairil dapat tak alamat rumah Syafiqah. Entah-entah dia dah pun sampai ke rumah Syafiqah. Lepas tu mereka berdua keluar bersama-sama. Hisshh, tak boleh jadi ni.”

Ikram memandang jam tangannya sekilas. Sudah hampir ke pukul 1 petang. Tanpa berfikir panjang dia terus mengambil kunci keretanya yang diletakkan di atas meja. Kemudian dia berjalan tergesa-gesa untuk keluar.

“Err, encik Ikram. Pukul 2 petang nanti encik Ikram ada mesyuarat,” beritahu Nina yang terlihatkan kelibat Ikram.

“Tolong cancelkan meeting tersebut. Beritahu mereka aku ada hal penting ni.”

“Tapi encik Ikram...”

“Tapi apanya pula. Dah aku suruh cancel, cancel sajalah.”

“Masalahnya meeting tu pukul 2 petang. Sekarang dah nak pukul 1 petang. Cuma ada lebih kurang satu jam sebelum meeting. Entah-entah dah ada yang on da way ke sini pun,” rungut Nina lagi.

Hairan pula dia dengan perangai Ikram. Sebelum ini tidak pernah dia membatalkan mesyuarat. Selalunya Ikram seorang yang berdedikasi dalam kerja, tapi apa sudah jadi sekarang.

“Sekarang ni siapa yang bos, aku ke atau kau?,” soal Ikram dengan nada yang agak keras. Biji matanya dibulatkan sambil merenung Nina.

“Err encik Ikramlah bos.” Lagi mau tanya ke.

“Haa, tau pun. Habis tu buat sajalah apa yang aku suruh,” balasnya lagi sambil berjalan laju meninggalkan Nina terkebil-kebil keseorangan.

“Baik encik Ikram,” balas Nina perlahan.

Tetapi dalam hatinya bukan main merungut-rungut marahkan Ikram. Sudah pasti lepas ini Nina kena bebel dengan ahli mesyuarat. Hmmm sabar sahajalah. Nak buat macam mana, fikiran Ikram tengah tak berapa nak stabil sekarang. Angin puting beliungnya sudah datang.

********

“Assalamualaikum,” panggilan salam tersebut mengejutkan Puan Mona yang sedang menyiapkan hidangan tengahari di dapur.

Tergesa-gesa dia menuju ke ruang tamu untuk melihat tetamu yang datang. Kebetulan pula Syafiqah sedang berada di bilik air waktu itu.

“Waalaikummussalam. Oh Ikram. Makcik ingatkan siapa tadi. Panjang umur Ikram, baru saja bercerita pasal Ikram tadi,” Puan Mona tersenyum sebaik melihat wajah Ikram di muka pintu. Terkejut juga dia bila Ikram tiba-tiba datang ke rumah.

'Bercerita pasal aku... Tentang apa pula yang diceritakan ni.'
Ikram tertanya-tanya. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Khairil. Tidak ada pula kelihatan buaya darat itu di sini. Hatinya sedikit tertanya-tanya ke mana pula perginya Khairil, entah-entah sudah keluar bersama-sama dengan Syafiqah. Habislah kalau macam ini.

“Ini ada sedikit buah tangan untuk makcik,” Ikram menghulurkan beberapa jenis buah-buahan yang sempat dibelinya di pasaraya tadi. Sempat lagi tu dia singgah ke pasaraya untuk membelikan buah tangan, maklumlah untuk mengambil hati bakal mak mertua.

“Buat susah-susah jelah Ikram ni. Tak payah bawa apa-apa pun tak apa. Eh, jemputlah masuk. Takkan nak berbual di depan pintu ni saja,” pelawa Puan Mona sambil membawa buah-buahan yang diberikan oleh Ikram tadi. Hairan juga dia dengan kedatangan Ikram ke rumahnya. Mungkin hendak melawat Syafiqah gamaknya.

“Terima kasih makcik,” balas Ikram perlahan.

Dia sendiri tidak menyangka bahawa sekarang ini dia sudah berada di rumah Syafiqah. Seakan-akan sedang bermimpi pula dia rasa. Disebabkan perasaan cemburu yang kuat dan ingin memastikan Khairil tidak akan keluar bersama-sama dengan Syafiqah maka dia berada di rumah Syafiqah sekarang. Mesyuarat yang akan berlangsung tidak lama lagi pun sanggup dibatalkannya. Syafiqah punya pasal, apa-apa pun dia sanggup lakukan.

“Duduklah dulu. Rumah makcik ni kecil saja. Tak macam rumah Ikram. Rumah Ikram mesti besar kan, maklumlah orang kaya.”

“Ish janganlah cakap macam tu makcik, kaya atau miskin tu tak ada bezanya. Kita semua sama sahaja di mataNya,” Ikram melabuhkan punggungnya di sofa.

Keadaan rumah yang agak sunyi mengundang pelbagai persoalan di mindanya. Kelibat Syafiqah yang tidak kelihatan semakin menambahkan kerisauannya. Bimbang jika saat ini Syafiqah sedang bergembira dengan Khairil. Sedang keluar berdua-duaan dengan Khairil.

“Mak!!! Dah boleh makan ke? Fiqa dah lapar ni,” sergah Syafiqah yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.

Riak mukanya berubah sebaik sahaja terpandangkan Ikram.

'Alamak!!! macam mana pula dia ada dekat sini,' Syafiqah dengan pantas melarikan dirinya ke dalam bilik.

Malu apabila Ikram melihat penampilannya saat ini. Sudahlah dia cuma memakai skirt mini paras lutut dan baju tanpa lengan. Maklumlah cuaca sekarang agak panas, sebab itu dia suka berpakaian seksi semasa berada di rumah. Lagipun cuma dia dengan emaknya sahaja yang tinggal di rumah itu. Tapi tadi dia memang tidak menyangka bila Ikram turut berada di rumahnya. Malunya tak tahu nak cakaplah, macam manalah dia hendak berhadapan dengan Ikram nanti. Selama ini dia cukup menjaga auratnya daripada pandangan yang bukan muhrim, tapi sebentar tadi Ikram telah melihatnya.

Ikram terpegun sejenak apabila terpandangkan Syafiqah tadi. Hati lelakinya cukup terusik melihat Syafiqah. Sebelum ini dia tidak pernah melihat seurat pun rambut Syafiqah, tapi tadi dia dapat melihatnya. Rambut Syafiqah yang panjang mengurai separas pinggang itu begitu menaikkan naluri lelakinya. Betis Syafiqah yang putih gebu itu membuatkan jiwanya begitu memberontak untuk memiliki dirinya. Memang Syafiqah cukup seksi betul tadi. Kalaulah Syafiqah itu isterinya memang dia tidak akan tunggu lama. Akan didukungnya Syafiqah masuk ke bilik terus. Geram, geram. Tapi hatinya sedikit lega bila terpandangkan Syafiqah. Maknanya dia tidak keluar bersama-sama dengan Khairil. Hatinya berbunga riang. Apa yang dibimbangkannya tadi tidak menjadi kenyataan.

“Err, sebenarnya saya datang ni nak melawat Syafiqah. Nak melihat keadaan dia. Dah ok ke?” soal Ikram bagi memecahkan kesunyian.

“Oh yelah. Kaki dia terseliuh semalam. Tadi dia kata dah ok. Sebelum itu, makcik nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Ikram sebab sudi bawa Syafiqah ke klinik. Lepas tu hantar dia balik pula. Buat menyusahkan Ikram saja. Terima kasih ye Ikram.” Sewaktu Ikram menghantar Syafiqah pulang semalam Puan Mona tidak berada di rumah, jadi dia tidak berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada Ikram.

“Hal kecil sahaja tu makcik. Lagipun Syafiqah tu staf saya. Semua staf, saya akan jaga keselamatan mereka termasuklah Syafiqah,” ujar Ikram. Betul sangatlah tu, padahal cuma Syafiqah seorang sahaja yang dia ambil berat. Staf-staf lain sendiri mau ingatlah.

Puan Mona cuma tersenyum
“Err, Ikram duduk dulu ye, nanti makcik panggilkan Fiqa,” Puan Mona terus berlalu menuju ke bilik Syafiqah.

Ikram cuma mengangguk perlahan sambil tersenyum manis. Dia terasa dirinya amat serasi dan selesa dengan Puan Mona. Sama juga seperti dia berasa selesa ketika bersama-sama Syafiqah. Ikram memerhatikan keadaan di dalam rumah Syafiqah. Rumah yang sederhana besar tapi mempunyai hiasan yang begitu menarik pandangan matanya. Hampir 10 minit juga dia menunggu akhirnya kelibat insan yang teramat dirindui itu muncul juga. Tapi kali ini dengan pakaian yang lebih sopan. Rambutnya juga disimpan elok di sebalik tudung bawalnya.

“Terima kasihlah sebab sudi datang menjenguk saya encik Ikram,” ujar Syafiqah sambil menatap wajah Ikram yang sedang duduk di hadapannya. Wajah yang teramat-amat dirinduinya itu.

Kalau hendak diikutkan, dia segan hendak berjumpa dengan Ikram. Masih malu dengan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi. Tapi Puan Mona begitu mendesak, maka terpaksalah dia menebalkan muka berjumpa dengan Ikram. Sekurang-kurangnya terubat jugalah rindu yang dipendam terhadap insan di hadapannya sekarang ini.

“Kasihmu diterima seadanya sayang,” balas Ikram sambil tersenyum manis ke arah Syafiqah.

Merah semerbak wajah Syafiqah mendengar kata-kata Ikram. Sudah mulalah tu, nak memainkan perasaannya lagi. Tak serik-serik. Dekat rumah Syafiqah pun Ikram masih lagi bergurau seperti itu. Buatnya Puan Mona terdengar, memang hujung minggu itu juga dia kena jadi menantu Puan Mona.

“Nanti encik Ikram makan tengahari dekat sini ye. Emak saya pelawa.”

“Emak kau saja ke yang pelawa. Kau? Tak pelawa aku makan sama ke?”

“Saya pun sekalilah. Dah kebetulan waktu tengahari ni, jadi bolehlah makan sekali. Kebetulan pula tadi emak masak banyak. Kalau boleh encik Ikram tak menolaklah.”

“Buat kata orang tua-tua rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Teringin juga nak rasa masakan mak mertua ni.” Perkataan mak mertua itu disebut dengan perlahan.

“A'aaa, apa dia?” soal Syafiqah yang kurang jelas.

“Laa, tak dengar ke. Tulah, lain kali korek telinga hari-hari. Dah sebu agaknya tu. Sebab tulah tak dengar.”

“Eleh encik Ikram ni. Memang tiap-tiap hari saya korek tau. Telinga saya ni bukannya sebu, dah encik Ikram tu yang cakap macam dekat dalam kelambu saja. Manalah nak dengar. Apa dia perkataan last yang encik Ikram cakap tadi tu,” desak Syafiqah lagi.

“Aku cakap perlahan ke tadi. Baru perasan. Tapi aku tak buat siaran ulangan, so no repeat ok.”

“Hmmm, yelah.”

Syafiqah akhirnya mengalah juga. Faham sangat dengan Ikram ni yang tak mahu mengalah, kalau nak tunjuk hebat juga mahunya sampai ke pagi esok pun tidak sudah. Lebih baiklah Syafiqah ni mengalah awal-awal.

“So macam mana, kaki dah ok ke. Dah boleh jalan sendiri ataupun masih nak kena papah lagi. Kalau rasa nak kena papah lagi tu, aku sedia menawarkan khidmat. Free of charge je,” kata Ikram selamba.

Syafiqah tergelak kecil mendengarnya. Perasaan malu pun ada juga.

“Dah ok dah. Dah boleh berjalan pun. Tak payah lagi nak kena papah.”

“Baguslah kalau macam tu. Esok bolehlah datang kerja ye. Emmm, buaya tu ada datang sini tak tadi?” Ikram meluahkan persoalan yang bermain di mindanya.

Syafiqah yang mendengarkan soalan Ikram buat muka pelik. Buaya? Kalau buaya tu mesti Ikram menujukan kepada Khairil. Tapi macam mana pula dia boleh tahu yang Khairil ada nak datang ke sini tadi. Dia nipun mata-mata juga ke. Hairan, hairan.

“Err, macam mana encik Ikram tahu?”

“Ishh aku tanya kau, kau tanya aku balik. Sepatutnya jawablah soalan aku dulu. Ini ada yang nak kena cium karang ni,” Ikram buat muka serius.

“Encik Ikram!!! ” marah Syafiqah.
“Janganlah cakap macam tu, nanti kalau emak saya dengar dia cakap apa pula nanti,” Syafiqah mencebik.

“Biarlah kalau dia dengar pun. Kenapa? Kau takut ke?” soal Ikram sambil tersengih-sengih.

“Tak adalah, nanti karang kalau emak saya dengar, tak pasal-pasal pula dia suruh encik Ikram datang meminang saya nanti,” Syafiqah pula cuba-cuba melawak.

“Wow!!! kalau macam itu sudah bagus. Hari ini juga aku masuk meminang kau.” Memang satu hari nanti Ikram akan hantar rombongan ke rumah Syafiqah. Tengok sahajalah nanti.

“Encik Ikram ni, main-main pula. Kalau encik Ikram meminang saya, buah hati encik Ikram tu nanti nak campak ke mana?”

“Buah hati? Itu tak ada hal punya. Selepas aku pinang kau, ada 3 lagi tempat kosong kan. So letaklah dekat mana-mana pun. Hihihi.”

“Eee gatal betullah encik Ikram ni.” Syafiqah tarik muka kelat.

“Gatal... ye ke gatal. Kalau macam itu, sayang tolonglah garukan. Hihihi.”

“Nak saya tolong garukan. Boleh... boleh sangat sangat. Saya garu dengan berus sabut. Nak tak.”

“Uiisshh, janganlah garu dengan berus sabut sayang. Nanti berparut pula kulit abang ni. Sayang tak kesian dekat abang ke?” gurau Ikram lagi.

“Eii dahlah encik Ikram ni. Merapu saja lebih. Cukup-cukuplah tu.”

“Aii marah ke, tak baik marah-marah ni. Nanti cepat tua tau. Hihihi,” Ikram gelak lagi. Hari ini cukup suka betul dia mengenakan Syafiqah. Suka sebab Syafiqah masih ada di sini, tidak keluar bersama-sama dengan Khairil. Hatinya berasa teramat-amat tenang dan lega sekali.

“Cepatlah jawab soalan aku tadi. Kalau kau tak jawab aku betul-betul cium kau nanti,” ugut Ikram lagi apabila dilihatnya Syafiqah cuma membisu seribu bahasa.

“Encik Khairil tu memang nak datang sini tadi...”

“Habis tu. Kenapa pula dia tak datang,” sampuk Ikram. Tak sabar-sabar betul dia hendak mendengar cerita Syafiqah.

Syafiqah termenung sejenak. Tengah memikir ayat-ayat yang sesuai untuk dilafazkan. Tapi hairan juga dia bila melihatkan Ikram begitu teruja untuk mengetahui cerita yang sebenarnya.

“Sebabnya saya malas hendak menerima tetamu. Maklumlah kaki saya kan sakit.”

Wajah Ikram sedikit berubah.

“Habis tu, kau tak sukalah aku datang ke sini. Aku ni pun dikira tetamu juga kan. Tadi kau kata kaki kau dah baik. Pelik betul aku dengar jawapan kau ni. Berbelit-belit. Kalau kau tak suka, tak apalah. Lebih baik aku balik je,” Ikram sudah mula hendak bangun. Berpura-pura merajuk.

“Eh bukan macam tulah encik Ikram. Saya suka encik Ikram datang sini, suka sangat-sangat,” Syafiqah cuba memujuk. Tapi memang dia teramat suka bila Ikram sudi menjejakkan kaki ke rumahnya.

Ikram mula melabuhkan semula punggungnya. Suka sangat-sangat. Lain macam sahaja ayat yang Syafiqah pakai ni. Boleh percaya ke.

“Betul kau suka aku datang ni?” Ikram memandang ke dalam anak mata Syafiqah. Mencari jawapan yang jujur dan ikhlas darinya.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Anak matanya dilarikan daripada terus-terusan memandang Ikram. Ikram memang tak reti-reti nak pandang ke lain, asyik memandang Syafiqah sahaja. Malu, lebih baik Syafiqah mengalah. Dan dia sememangnya sentiasa kalah dengan renungan menggoda Ikram.

“Kalau kau suka aku datang, kenapa kau tak suka Khairil datang pula?” soal Ikram lagi. Dia masih belum berpuas hati selagi tidak mendengar jawapan dari Syafiqah. Apa beza antara dirinya dan Khairil di mata Syafiqah.

“Encik Ikram lain.”

“Apa yang lainnya?” tanya Ikram lagi. Seolah-olah tidak sabar mendengar luahan perasaan Syafiqah. Teringin dia mengetahui pandangan Syafiqah terhadap dirinya. Adakah tersimpan sedikit perasaan sayang untuk dirinya.

Syafiqah masih membisu. Kehilangan kata-kata untuk diucapkan. Takkan dia hendak berterus-terang dengan Ikram menyatakan yang dia sukakan Ikram, sayangkan Ikram dan terlalu merindui dirinya. Dia cumalah seorang perempuan yang mempunyai rasa malu. Tambahan pula Ikram sudah berpunya.

“Jomlah Ikram, Fiqa. Hidangan tengahari dah siap dah. Jomlah kita ke dapur,” Puan Mona tiba-tiba muncul di ruang tamu.

Ikram dan Syafiqah mengangguk perlahan dan bangun menuju ke dapur. Syafiqah berasa sedikit lega dengan kehadiran emaknya. Sekurang-kurangnya dia telah terselamat daripada terpaksa menjawab soalan yang diajukan Ikram tadi. Namun Syafiqah tidak tahu yang Ikram masih belum berpuas-hati. Selagi dia tidak mendengar jawapan dari Syafiqah, selagi itu dia akan mencari jawapan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...