Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, May 5, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 12

“Eh, kita nak ke mana ni encik Ikram?” soal Syafiqah apabila melihat Ikram terus memandu melintasi bangunan pejabat Global Engineering Holding.

Sepatutnya mereka pulang ke ofis sekarang. Lagipun waktu rehat sudah lama habis. Sekarang pun sudah hampir menunjukkan pukul 2.30 petang. Bimbang pula Syafiqah dengan tanggapan rakan-rakan sepejabatnya nanti. Sudahlah keluar berdua-duaan dengan Ikram, ditambah pula dengan keadaan kakinya yang terseliuh tadi. Macam mana dia hendak pulang ke pejabat dengan keadaan yang sedemikian.

“Nak pergi mana lagi. Nak bawa kau pergi kliniklah. Kaki tu tak boleh dibiarkan. Takut melarat pula nanti,” terang Ikram sambil meneruskan pemanduannya. Matanya melirik sekilas ke arah Syafiqah yang kelihatan agak resah disebelahnya.

Suka hati mak bapak dia saja nak bawa Syafiqah ni pergi ke klinik. Padahal Syafiqah ni bukan main fobia lagi dengan klinik dan hospital. Tambahan pula dengan doktor-doktor muda yang kurang berpengalaman. Teringat dahulu semasa Syafiqah demam kuat dan disyaki menghidapi demam denggi, doktor muda yang merawatnya membuat lengannya seperti bahan ujikaji sahaja semasa mengambil darah. Entah berapa kali cucuk baru kena di tempat yang betul. Ngeri dia bila mengingatkannya.

“Tak payahlah encik Ikram. Kita terus balik ofis jelah.”

“Kenapa sayang... Takut ke?” soal Ikram sambil menoleh sekilas ke arah Syafiqah. Bibirnya menguntum senyum ke arah insan yang telah berjaya mencuri hatinya.

“Jangan risau, aku kan ada,” jawabnya lagi sambil mengenyit mata perlahan.

Tersentak Syafiqah melihat gelagat Ikram.
'Siap kenyit-kenyit mata pula dah. Ini yang buat aku jadi macam ais krim ni. Asyik nak cair saja. Lagipun, kalau dia ada pun apa yang dia boleh buat,' fikir Syafiqah.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian Ikram meletakkan keretanya betul-betul di hadapan Klinik Medivron. Dari jauh kelihatan keadaan di dalam klinik yang agak lengang. Kemudian Ikram membuka pintu kereta dan berjalan ke arah Syafiqah.

Syafiqah cuma membatu diri di dalam kereta. Sudahlah dia susah hendak berjalan, Ikram pula suka-suka hati sahaja membawanya ke klinik. Hendak kena papah lagi ke. Tiba-tiba mukanya merona merah, perasaan malu itu datang lagi.

“Cepatlah,” sapa Ikram yang telahpun membuka pintu di sebelah pemandu sambil menghulurkan tangannya ke arah Syafiqah.

Syafiqah cuma merenung dengan pandangan yang kosong.

“Tak payahlah encik Ikram,” Syafiqah menjadi seperti orang yang serba-salah.

“Kenapa pula tak payah. Takkan tak nak pergi ke klinik. Dah sampai dah pun, jomlah. Jangan buang masa lagi. Sayang takut ye... Nanti abang temankan masuk dalam bilik ye. Hihihi,” pujuk Ikram lagi sambil tergelak kecil.

“Nak masuk bilik mana pula!!!” Syafiqah tiba-tiba menjadi panik.

“Bilik mana lagi, bilik tuan doktorlah. Kalau bilik tidur tu, tunggu dah kahwin nanti baru kita boleh masuk sama-sama ye,” ujar Ikram lagi sambil tersenyum manis.

“Encik Ikram ni, buat lawak pula ye. Saya dahlah tengah sakit ni,” jawab Syafiqah bagi menutup malu. Malu dengan ayat-ayat yang dilontarkan Ikram tadi. Sampai ke bilik tidur pula yang difikirkannya.

“Buat lawak apanya pula. Muka aku ni ada macam muka orang tengah buat lawak ke. Betullah kan apa yang aku cakap tadi? Kalau kau takut, nanti aku temankanlah kau masuk dekat dalam bilik doktor tu nanti. Dan kalau kau nak masuk ke bilik tidur sekali dengan aku, tunggulah bila kita dah sah nanti ye... Jomlah cepat. Lagipun aku kan dah janji dengan mak nak jaga kau elok-elok,” Ikram buat wajah serius. Seolah-olah apa yang diperkatakan olehnya benar belaka.

“Dengan mak!!! Mak mana pula ni?” soal Syafiqah. Pening Syafiqah memikirkan kata-kata Ikram. Lagi bertambah malu dirinya bila Ikram tidak habis-habis menyebut tentang bilik tidur. Seolah-olah mereka akan berkahwin pula suatu hari nanti.

“Mak siapa lagi. Dengan mak kaulah. Dahlah, jangan banyak cakap lagi. Hari tengah panas terik ni. Nanti kalau lama-lama berjemur ni, hitam pula kulit aku. Cepat!!! aku kira sampai tiga ni. Kalau kau tak nak juga, aku terus je dukung masuk bilik. Satu...”

Dengan pantas Syafiqah terus berusaha untuk keluar dari dalam kereta. Nampaknya sekali lagi dia terpaksa merelakan Ikram memapahnya. Lebih baik Ikram cuma memapahnya, daripada kena dukung, tak ke naya. Seingat Syafiqah cuma sekali sahaja Ikram berjanji dengan emaknya untuk menjaga dia baik-baik, iaitu semasa pergi ke JB dahulu. Takkan sampai sekarang Ikram masih berpegang pada janji tersebut. Kalau benar begitu, itu sudah kira bagus.

Ikram cuma tersenyum melihat gelagat Syafiqah. Tau pun takut. Belum sempat kira sampai tiga Syafiqah sudah menyerah kalah. Tapi andai kata Syafiqah nanti menjadi miliknya yang sah, memang setiap hari akan didukungnya Syafiqah ni. Akan dilayannya Syafiqah ni seperti seorang puteri raja.

Ikram memapah Syafiqah dengan perlahan. Sebaik sahaja masuk ke dalam klinik dia terus mendudukkan Syafiqah perlahan-lahan di atas sofa.

“Bagi sini Mykad kau, biar aku pergi daftarkan.”

Syafiqah dengan muka yang agak kelat cuma menurut arahan Ikram. Beg duitnya dibuka perlahan. Mykadnya dikeluarkan dan diberikan kepada Ikram. Ikram terus menuju ke bahagian kaunter untuk membuat pendaftaran. Namun sebelum itu dia sempat membelek-belek Mykad Syafiqah. Kemudian dia tersengih sendiri.

Syafiqah yang dari tadi memerhatikan Ikram cuma mencebik. Sudah pasti Ikram gelakkan gambar Syafiqah yang terdapat di Mykad tersebut. Wajah Ikram direnungnya lagi. Kelihatan masih lagi tersenyum-senyum kambing. Sebaik sahaja Ikram mendapatkan Syafiqah wajahnya semakin melebar.

“Cantik gambar,” kata Ikram sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Syafiqah.

“Encik Ikram perli saya ye?” soal Syafiqah dengan nada yang agak sinis.

“Tak adalah. Nak perli apanya pula. Memang cantik, comel. Tapi sekarang dah jauh beza ye. Ingatkan tadi kau tersilap bagi Mykad orang lain pula. Bila dah tengok nama tu, memang betullah kau punya.”

Syafiqah cuma tersenyum kelat. Gambar di Mykadnya adalah gambar semasa dia masih di bangku sekolah lagi. Gambar zaman budak-budak, memanglah berbeza dengan waktu sekarang.

“Cik Syafiqah,” tiba-tiba namanya dipanggil oleh doktor.

“Jom,” Ikram mula memainkan peranannya. Syafiqah dipapahnya perlahan memasuki bilik rawatan.

“Ye, kenapa dengan isteri encik ye?” soal doktor Ravi yang tersenyum manis ke arah mereka berdua.

Muka Syafiqah dan Ikram sudah bertukar warna. Dah macam warna pelangi pun ada. Merah, hijau, kuning... semuanya cukup.

“Tak ada apa-apa sangat doktor. Kaki isteri saya ni terseliuh sikit,” balas Ikram. Mukanya dibuat-buat serius.

Syafiqah cuma memandang Ikram sambil menjegilkan biji matanya. Isteri... amboi-amboi, sesedap mulut Ikram sahaja menganggap Syafiqah ni isteri dia. Alangkah bahagianya Syafiqah kalau ianya benar-benar menjadi kenyataan. Ikram buat-buat tak tahu sahaja dengan renungan tajam Syafiqah.

“Oh ye ke. Macam mana boleh terseliuh ni?” tanya doktor Ravi lagi.

“Errr tadi...”

“Terjatuh dekat tepi jalan tadi doktor,” balas Ikram lagi.

Syafiqah cuma mencebik. Belum sempat dia nak menjawab, dah ada orang yang baik hati tolong jawabkan. Nampaknya dia tak perlu susah-susah hendak mengatur ayat.

Doktor Ravi membelek-belek kaki Syafiqah.

“Tak serius sangat ni. Nanti kita akan bagi ubat dan mc satu hari ye.”

'Dapat mc pula ke. Ni yang tak best ni, kalau dapat mc mesti esok kau tak datang kerja. Maknanya terpaksalah aku rindukan kau. Nasib baik sehari, kalau berhari-hari... memang parahlah aku ni,' rungut Ikram.

“Encik kena jaga isteri encik ni baik-baik. Jangan bagi dia terlalu banyak bergerak,” ujar doktor Ravi lagi sambil memandang Ikram.

“Itu sudah semestinya doktor. Saya akan jaga isteri saya ni bagaikan minyak yang penuh,” balas Ikram sambil tersenyum.

Syafiqah pula jenuh menahan rasa malu. Semakin pelik dengan tingkah-laku Ikram. Bukan main suka pula menganggap Syafiqah ni isteri dia. Suka sangat dia membuatkan perasaan Syafiqah ni terusik.

“Ok puan, kalau ada nak apa-apa suruh saja suami puan tolong ambilkan. Ingat... jangan banyak bergerak ye,” doktor Ravi tersenyum ke arah Syafiqah yang hanya mengangguk perlahan.

Setelah selesai segala urusan di klinik Ikram menghantar Syafiqah pulang ke rumah. Sempat dia berpesan kepada Syafiqah supaya menjaga dirinya baik-baik. Bukannya apa, sebab kalau terjadi apa-apa pada Syafiqah dialah orang pertama yang akan bimbang.

********

“Eh, Fiqa mana ye? Aku nak suruh dia tolong fotostatkan drawing ni 10 salinan,” tanya Hakim kepada Nina sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat Syafiqah.

Nina yang sedang khusyuk membuat kerja memandangnya sekilas.
“Kau tak payah nak cari-cari dialah. Dia mc hari ini. Kaki dia terseliuh semalam,” terang Nina.

“Terseliuh... Macam mana pula boleh terseliuh. Semalam aku tengok dia ok saja datang kerja.”

“Memanglah ok, tapi setakat waktu pagi jelah. Lepas rehat semalam dia terus tak datang kerja. Aku hairan juga, ingatkan dia dah kena culik ke, apa ke, sebab semalam dia tak lunch sekali dengan aku. Alih-alih bila aku call dia dah ada dekat rumah. Tak ke pelik bagai tu,” terang Nina.

Dari semalam dia memikirkan tentang Syafiqah. Tambahan pula Ikram turut masuk lewat ke ofis petang semalam. Dan apabila diberitahu tentang keadaan Syafiqah, Ikram buat selamba sahaja. Seolah-olah telah sedia tahu tentang keadaannya. Kalau tidak mahu kecoh semacam singa jantan tu. Nina tidak berpuas hati selagi dia belum mendapat jawapan yang pasti.

“Apa pula yang peliknya, entah-entah dia keluar makan dengan pakwe dia ke, lepas tu terjatuh. Sebab tulah dia tak dapat datang ofis. Betul tak?”

“Tak betul. Sebab Fiqa tu mana ada pakwe. Kau pernah nampak ke pakwe dia. Tak ada kan. Entah-entah kan dia tu bercinta dengan encik Ikram tak. Sebab aku tengok encik Ikram tu pun lain macam sangat sekarang ni. Tak marah-marah macam dulu, selalu mood happy je.”

“Kau jangan buat gosip Nina. Nanti kalau encik Ikram dengar teruk kau nanti. Eloklah tu kalau dia tak marah-marah. Kau suka ke kalau kena marah hari-hari. Hmmm, dahlah... memandangkan dia tak ada, kaulah yang fotostat,” arah Hakim sambil meletakkan drawing tersebut di atas meja Nina.

“Ish, dia nilah. Macamlah tak boleh buat sendiri,” rungut Nina, namun drwing tersebut diambil juga dan dia terus menuju ke tempat mesin fotostat.

Sedang dia sibuk membuat salinan tersebut tiba-tiba Ikram datang ke arahnya.

“Err Nina, dekat mana fail peribadi pekerja. Aku nak tengoklah,” Ikram ingin mencari sesuatu yang telah lama bermain di mindanya.

“Fail peribadi. Encik Ikram nak buat apa?” soal Nina semula. Lain macam saja permintaan singa jantan ni. Sebelum ini tak pernah pula nak bertanyakan fasal fail peribadi tersebut.

“Adalah hal sikit. Dekat mana fail tu disimpan?”

“Ada dekat dalam almari tu, biar saya ambil,” Nina telahpun berjalan ke arah almari yang menyimpan segala dokumen syarikat.

“Tak payah, biar aku ambil sendiri.”

Nina memberhentikan langkahnya.
'Pelik betul singa jantan ni, dia nak buat apa pula dengan fail tersebut. Dah tu siap nak ambil sendiri pula. Sebelum ni, apa kerja pun sikit-sikit nak suruh orang lain buatkan. Tak apalah, aku akan siasat juga nanti.'

Nina terus menyambung kembali membuat salinan drawing yang diminta oleh Hakim. Sambil itu kepala otaknya ligat memikirkan tentang Ikram dan Syafiqah.

********

Ikram tersenyum sendiri bila melihat fail tersebut. Dengan pantas tangannya ligat menyelak helaian demi helaian. Sebaik sampai pada nama yang dicari dia terus berhenti.

“Yes!!! akhirnya. Dapat juga aku nombor telefon kau ni ye. Hihihi.”
Tangannya lantas memasukkan nombor telefon Syafiqah ke dalam telefon bimbitnya.
Biodata Syafiqah dilihat dengan begitu teruja sekali.

“Ayunya kau ni Syafiqah. Macam manalah aku tak terpikat,” ujar Ikram sebaik melihat gambar Syafiqah yang bersaiz IC di situ.

“Tak dapat tengok tuannya, dapat tengok gambarnya pun tak apalah. Sekurang-kurangnya dapat juga menghilangkan rindu aku pada kau.”

Tanpa membuang masa Ikram merakam gambar tersebut menggunakan telefon bimbitnya. Memang kelakar bila melihatkan gelagatnya. Tapi nak kata apa bila orang dah gila bayang, macam itulah gayanya.

Tanpa berfikir panjang nombor telefon Syafiqah akhirnya didail. Terasa rindu untuk mendengar suara Syafiqah. Lama dia menunggu tapi tiada jawapan.

“Ishh ke mana pula perginya minah ni. Rindu sangat nak dengar suara dia ni,” nombor tersebut didail lagi. Kali ini dia tidak menunggu lama, terdengar suara yang begitu lunak merdu di talian.

“Hello, Assalamualaikum,” jawab Syafiqah. Mula-mula tadi dia malas hendak menerima panggilan tersebut kerana nombor pemanggilnya tidak dikenali, namun disebabkan dua kali menerima panggilan dari nombor yang sama, maka dia pun tidak teragak-agak untuk mengangkatnya.

Cair rasa diri Ikram sebaik mendengar suara Syafiqah. Terbayang-bayang saat ini Syafiqah ada di ruangan matanya.

“Hello, Assalamualaikum. Ada orang ke tak ni,” teguran Syafiqah mengejutkan Ikram dari lamunan.

“Hello, boleh bercakap dengan Adam?” ayat spontan yang keluar dari mulut Ikram.

Entah kenapa tiba-tiba pula soalan itu yang terkeluar. Tapi takkan dia nak berterus-terang dengan Syafiqah bahawa orang yang berada di hujung talian adalah dirinya. Jatuhlah saham dia nanti.

“Adam!!! Siapa Adam tu. Tak ada orang nama Adamlah dekat sini,” Syafiqah buat muka pelik.
'Mamat ni apa hal, ni dah tersesat jalanlah ni. Tapi suara dia macam pernah aku dengar je. Tapi di mana ya,' fikir syafiqah.

Ikram tersenyum mendengar jawapan Syafiqah.
“Adam Ahmad. Ni nombor telefon dia kan. Saya kawan dia ni,” kelentong Ikram lagi. Kalau beginilah caranya dia dapat mendengar suara merdu Syafiqah dia sanggup berbuat demikian.

“Adam Ahmad. Eh bukanlah. Encik salah nombor ni.”
'Adam Ahmad mana pulalah ni. Adam Ahmad yang penyanyi tu ke. Kalau nak kata nama arwah ayah aku, jauh sangat bezanya,' omel Syafiqah.

“Eh, mana boleh salah nombor. Nombor nilah yang dia beri pada saya. Hari itu saya call nombor ni dapat je bercakap dengan dia,” Ikram buat nada serius.

“Taklah, encik memang dah salah nombor ni. Ini nombor telefon saya. Tak pernah-pernah pula ada orang lain yang call dan tanya pasal Adam Ahmad ni. Enciklah orang yang pertama.”

Mood Syafiqah agak baik hari ini, sebab itulah dia rajin melayan pemanggil yang tak dikenali tersebut. Tambahan pula dia merasa kebosanan kerana duduk di rumah hari ini. Dan apa yang menjadikan dia begitu asyik melayani panggilan tersebut adalah kerana suaranya memang sebiji macam Ikram. Bukan setakat sebiji, tapi dah berbiji-biji.

“Eh betul ke. Tak tipu ye?” soal Ikram lagi.

“Betullah, mana ada tipunya. Ini memang nombor telefon sayalah. Cuba encik tengok betul-betul nombor tu. Etah-entah tersilap dail ke,” terang Syafiqah.

“Oh, kalau macam tu tak apalah. Nanti saya cuba try call nombor yang diberikan tu lagi ye. Err, maaf ye mengganggu cik.”

“Ish tak apa. Saya memang suka diganggu pun. Hihi. Oklah baiii.”

“Ok baiii. Assalamualaikum,” balas Ikram lagi.

“Ok. Waalaikummussalam,” talian telefon diputuskan.

Ikram tersenyum gembira. Seronok sangat kerana dapat mendengar suara Syafiqah. Rindu membara yang dialaminya terasa hilang sebentar. Nampak gayanya dia sudah ada cara untuk menghilangkan rindu yang mendalam terhadap Syafiqah. Kalau rindu untuk mendengar suara Syafiqah, telefon sahajalah. Kalau rindu untuk menatap wajah Syafiqah, gambar Syafiqah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya akan ditatap. Ikram tersenyum sendiri. Memang sah dia ni sudah angau tahap dewa.

********

Khairil memandu RX7nya dengan begitu laju sekali. Hari ini dia ingin membuat kejutan kepada Syafiqah. Oleh kerana rindu yang mendalam terhadap gadis ayu itu dia sanggup memandu dari JB ke KL semata-mata untuk berjumpa dengan Syafiqah. Siap sanggup ambil cuti pula tu. Memang sudah tidak tertahan sangat dia menanggung rindu. Kalau boleh, hari ini juga dia hendak melamar Syafiqah menjadi isterinya. Memang dia akan pastikan Syafiqah menjadi miliknya suatu hari nanti.

“I'm coming dear. Wait for me,” ujar Khairil sambil tersengih sendiri.

Sejambak mawar merah yang dibelinya tadi dipandang sekilas. Dia pasti Syafiqah akan terkejut dengan kehadirannya, tambahan pula Khairil tidak menelefon Syafiqah terlebih dahulu untuk memberitahu tentang kedatangannya.

“Hmmm, dah lama rasanya aku tak menjejakkan kaki ke KL ni. Kalau bukan disebabkan kau Syafiqah sayang, sudah pasti aku tak akan datang ke sini.”

RX7nya diletakkan di tempat meletak kereta. Setelah itu jambangan mawar merah tersebut diambil dan dia melangkah dengan begitu yakin ke Global Engineering Holding. Sebaik sampai ke dalam pejabat Global Engineering Holding matanya melilau-lilau mencari-cari kelibat Syafiqah.

“Ye encik, boleh saya bantu?” soal Nina sebaik melihatkan kelibat lelaki yang agak asing pada pandangan matanya.

“Err, saya nak berjumpa dengan cik Syafiqah. Tempat dia di mana ya?”

“Oh Fiqa. Dia mclah hari ini encik. Dia tak datang kerja hari ini,” terang Nina sambil melihat-lihat jambangan bunga yang dipegang oleh Khairil.

'Siapa pula dia ni. Tak pernah tengok pun, siap bawa bunga lagi. Pakwe Syafiqah ke ni, hmmm boleh tahan. Tapi Syafiqah tak cerita apa-apa pun dekat aku. Kurang asam punya kawan,' omel Nina.

“Ye ke, dia sakit ke?” tanya Khairil lagi. Sedikit kecewa dirasakan kerana tidak dapat berjumpa dengan Syafiqah.

“Kaki dia terseliuh, so dia mclah hari ini. Err, encik ni siapa ya?”

“Saya Khairil. Engineer di Saturn Engineering Berhad. Saya ingatkan nak jumpa dengan Syafiqah, tapi dia mc pula. Tau tak rumah dia dekat mana?” soal Khairil lagi.

Dia bernekad untuk berjumpa juga dengan Syafiqah. Sudah datang jauh-jauh, rugilah kalau tidak berjumpa dengan orang yang amat dirinduinya.

“Oh!!! engineer di Saturn ke. Selamat datang ke sini ye. Emm, saya tak tahu pula rumah dia di mana. Encik Khairil ni ada hubungan apa dengan cik Syafiqah,” Nina cuba mengorek rahsia. Dia ni memang suka mencari bahan-bahan untuk digosipkan.

Khairil tersenyum manis. Hubungan... apa yang hendak dijawabnya. Sedangkan buat masa sekarang dia sedang mencuba sedaya-upaya untuk memikat Syafiqah.

“Err, encik Ikram ada?” soal Khairil tanda mengelak untuk menjawab soalan tersebut.

“Encik Ikram ada dibiliknya. Jalan straight di sebelah kanan tu tempat dia,” terang Nina.

“Kalau macam tu oklah. Terima kasih banyak ye.”

Khairil tidak tunggu lama. Dia terus mendapatkan Ikram. Niat dihatinya ingin mendapatkan alamat rumah Syafiqah. Ikram mesti tahu alamat rumah Syafiqah.

********

“Masuk,” arah Ikram sebaik saja mendengar ketukan di pintu.

Fail peribadi yang dibeleknya tadi cepat-cepat ditutup. Matanya terarah kepada pintu biliknya, menunggu siapakah yang akan muncul. Sebaik terpandangkan wajah Khairil tiba-tiba muka Ikram berubah kelat. Hairan dengan kehadiran Khairil di sini. Tambahan pula bila melihat sejambak mawar merah di tangannya. Sudah pasti mawar merah tersebut ingin diberikan kepada Syafiqah. Perasaan cemburu butanya tiba-tiba menjengah kini.

“What's up bro. Tak percaya ye aku datang sini,” Khairil tergelak kecil sambil meluru ke arah Ikram. Tangannya dihulurkan kepada Ikram tanda ingin bersalam.

Ikram cuma memandang sinis. Huluran tangan Khairil juga disambut ala kadar.

“Kau tak kerja ke hari ini? Buat apa datang sini? Rasa-rasanya projek Sumi Stitcher tu tak ada masalah kan?” soal Ikram bertubi-tubi.

“Kau ni kenapa bro? Lain macam saja soalannya. Macam tak suka aku datang je,” Khairil tersengih-sengih sambil melabuhkan punggungnya di bangku berhadapan dengan Ikram.

“Tak adalah, cuma aku hairan je. Ada apa hal kau datang sini. Sekarang kan time kerja. Siap bawa mawar merah lagi,” jambangan mawar tersebut dipandang sinis.

“Itulah pasal. Emmm, kau ada alamat Fiqa tak. Aku ingat nak pergi jumpa dialah,” wajah Ikram berubah sebaik mendengar kata-kata Khairil.

“Nak buat apa kau jumpa dia. Kau jangan... Syafiqah tu baik orangnya. Aku tak suka kau nak main-mainkan dia. Bukan aku tak tau perangai kau tu. Jumpa yang cun saja, mulalah nak menggatal. Tak cukup-cukup lagi ke. Bertaubatlah Ril. Hentikan kerja bodoh kau tu. Jangan nak mainkan perasaan orang,” nasihat Ikram panjang lebar. Apa yang pasti dia tidak suka Khairil cuba memikat Syafiqah. Syafiqah cuma miliknya seorang.

“Sebab aku dah bertaubatlah aku nak pergi jumpa dia. Kau tau tak, sejak aku berjumpa dengan dia hari itu, perasaan aku ni rasa lain macam saja. Asyik teringatkan dia saja. Bak kata orang, makan tak kenyang tidur tak lenalah.”

“So... kau budget kau dah jatuh cintalah ni. Pleaselah my friend. Orang macam kau ni mana pernah nak jatuh cinta ni. Jatuh tangga adalah. Takkan jumpa tak sampai seminggu dah jatuh cinta kot. Kenal pun tak seberapa, tup-tup nak bercinta pula. Apa kes?” soal Ikram. Semakin geram bila memikirkan ada orang lain yang turut merindui Syafiqah selain dirinya. Nak muntah pula bila dia mendengar ayat jiwang yang keluar dari mulut Khairil.

“Inilah kesnya. Kesnya, aku ni memang dah jatuh cinta dengan Syafiqah. I really love her. Aku dah angau tahap orang gila ni. Tak pernah aku rasa macam ni. Indahnya aku rasa bila dilamun cinta ni,” ujar Khairil sambil tersenyum sendiri. Naik meluat pula Ikram melihatnya.

“Dahlah, kau jangan nak merepek pula dekat sini. Aku banyak kerja ni. Nak siapkan quotation ni cepat. Klient tengah tunggu. Maaflah aku tak dapat nak layan kau lebih-lebih,” kelentong Ikram. Kalau boleh dia mahu Khairil cepat-cepat berambus dari biliknya.

“Wah bro. Kau ni, macam nak halau aku je. Oklah, aku boleh pergi. Tapi sebelum tu bagilah aku alamat Syafiqah. Aku ingat nak buat surprise dekat dia. Sebab tu aku tak call dia dulu sebelum datang ke sini. Alih-alih dia mc pula hari ini. Cepatlah kasi bro, aku dah tak sabar-sabar nak jumpa dengan dia ni.”

“Aku tak tahulah alamat dia. Lagipun aku tak ambil tahu sangat pasal background staf-staf aku ni,” kelentong Ikram lagi.

Sampai mati pun dia tak akan beritahu Khairil alamat Syafiqah. Tak kuasa dia hendak melayan Khairil yang tengah angau ni, tambahan pula bila dirinya juga turut angaukan Syafiqah. Parah, parah.

“Ishh, apa punya boslah kau ni. Resume dia takkan tak ada kot?” Khairil tetap tidak berputus asa.

“Ada tu memanglah ada, tapi itu semua papa aku yang simpan. Ada dekat dalam bilik dia. Dan untuk pengetahuan kau, papa aku sekarang sedang bercuti sebab mengerjakan Haji. Bilik dia pun berkunci. So kau jangan mimpilah nakkan alamat Syafiqah tu,” bohong Ikram lagi.

Entah berapa kali dia membohongi Khairil dia pun tidak pasti, apa yang pasti alamat Syafiqah tidak akan diberikan kepada Khairil.

“Ye ke bro. Alamak!!! Nampaknya tak dapatlah aku nak buat surprise dekat Syafiqah. Nampak gayanya terpaksalah aku bagitau dia yang aku dah ada dekat KL ni. Tak bestlah macam tu. Spoil betul. Apa yang aku plankan tak menjadi pula. Oklah bro, memandangkan kau pun sibuk, so aku out dululah. Ada masa kita jumpa lagi ye. Ok bai!!!,” Khairil melangkah perlahan menuju ke pintu.

“Sebelum kau keluar, aku nak warning kau. Tolong jangan rapatkan diri dengan Syafiqah. Aku tak suka staf aku main cinta-cinta ni. Profesional sikitlah Ril, kita bekerja atas urusan bisnes,” nasihat yang tak berapa nak betul yang keluar dari mulut Ikram. Profesional konon, Ikram sendiri pun tidak pasti sama ada dirinya profesional atau tidak.

“Kau jangan risaulah. Aku always profesional. Aku takut kau tu saja yang tak profesional. Hahaha. Oklah bro. Adios,” balas Khairil sambil membuka pintu dan melambai tangan ke arah Ikram.

Ikram membalas dengan perlahan. Hatinya sedikit resah dan bimbang. Adakah Khairil akan berjumpa juga dengan Syafiqah. Harap-harap Syafiqah menolak pelawaan Khairil. Tambahan pula kaki Syafiqah tengah sakit, mana boleh berjalan sangat. Takkan dia hendak keluar dengan Khairil pula. Jangan-jangan Khairil juga akan memapah Syafiqah sebagaimana yang dilakukannya semalam. Oh tidak!!! Ikram meraup mukanya yang kusut. Tiba-tiba kepalanya menjadi pening, pening memikirkan tentang Syafiqah dengan Khairil. Cemburu yang menggila tiba-tiba merasuk dirinya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...