Liza merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke pukul 8.30 pagi. Dia semakin gelisah menanti. Hari ini masuk hari ke 3 pelajar tahun 1 Kolej Empat di Universiti Malaya menjalani haluansiswa. Semalam saja ramai yang telah dikenakan denda kerana datang lewat. Mungkinkah hari ini dia turut didenda sama? Oh... tidak. Tak sanggup rasanya dia dimalukan di hadapan khalayak ramai. Pintu bilik tandas diketuk beberapa kali. Mia Sarah perlu diminta supaya cepat menyelesaikan misinya.
“Mia!!! Cepatlah... Kau buat apa lama-lama dekat dalam tu? Dah pukul 8.30 lah. Nanti kita lambat.
“Alah... Perut aku tengah meragam ni. Dari tadi tak lepas-lepas. Tak apalah, kau pergilah dulu. Aku rasa aku lambat lagi ni.”
“Biar betul kau ni. Dah berapa hari kau tak melabur dekat amanah saham ni? Sekali melabur sampai berjam-jam. Eh... aku pergi dululah ye. Aku takut kena marahlah.”
“Okey tak pe. Kau pergilah dulu,” Mia Sarah terpaksa merelakan pemergian Liza. Dia pun tidak mahu disebabkan dirinya, Liza akan dimarahi. Tapi agak-agaklah Liza pun, tak adalah sampai berjam-jam dia bertapa di dalam ruang sempit ini. Ikutkan hati dia pun mahu cepat sampai ke dewan, tetapi entah kenapa perutnya asyik meragam sahaja. Mungkin dia ada tersilap makan rasanya.
***
Mia Sarah mula mengatur langkah menuju ke dewan. Termengah-mengah dia menuruni anak tangga memandangkan biliknya berada di tingkat 3. Sudahlah tangganya kelihatan berpusing seperti bulatan. Naik pening sudah kepalanya kerana menuruni tangga dengan laju. Sampai sahaja di dewan suasana seakan sunyi. Seorang pun tidak berada dalam dewan.
“Eh... Mana semua orang pergi ni?” timbul nada cemas di hatinya. Dia terus berjalan perlahan menuju ke ruang lobi. Masih juga tidak ada orang. Pelik dan hairan dia memikirkannya. Keadaan sunyi sepi seperti Melaka dilanggar todak. Tiba-tiba dia terdengar suara gelak tawa yang tidak berapa kuat. Serta-merta bulu romanya terpacak 90 darjah.
'Manusia ke orang tu?'
Mia Sarah memberanikan diri menuju ke arah suara tersebut. Perasaan ingin tahu menyebabkan kakinya dibawa menuju ke bilik tayangan yang terdapat berdekatan dengan lobi. Semakin dia sampai ke bilik tayangan semakin hilai tawa itu jelas kedengaran. Terlopong mulutnya menyaksikan apa yang terbentang di ruangan matanya. Sepasang kekasih yang sedang hangat memadu kasih. Lelaki itu sedang memeluk erat pasangannya dan begitu juga dengan pasangan tersebut.
Mia Sarah mengucap dalam hati. Biar betul apa yang disaksikannya sekarang ini. Seakan-akan tidak percaya pula. Sudahlah berani melakukan maksiat di tempat terbuka. Memanglah tidak ada orang tetapi ada yang maha melihat. Mia Sarah ingin berlalu. Dia tidak sanggup menonton wayang percuma tersebut. Sementelah pula pasangan yang sedang hangat bercinta itu tidak menyedari kehadirannya.
“Arghh!!!” terkejut Mia Sarah melihat seekor monyet yang tiba-tiba cuba menghampirinya. Memang di kampus Universiti Malaya ini terlalu banyak monyet. Nama sahaja di Kuala Lumpur tapi terasa seperti di zoo pun ada. Jeritannya tadi turut mengejutkan pasangan kekasih tersebut. Ikmal yang panik dan terkejut terus bertindak menghalau monyet yang kelihatan ingin mengganas. Hairan pula Mia Sarah dengan gelagat monyet tersebut. Jika berhadapan dengan kaum perempuan bukan main berani lagi, sampai tak cukup tanah kita dikejarnya, tetapi kalau dengan lelaki, sekali sergah terus cabut.
“Apa kau buat dekat sini?” soal Ikmal dengan nada kasar. Dia tidak menyangka masih ada lagi siswi yang tertinggal di kolej. Sepatutnya gadis ayu yang berada di hadapannya ini sudah bersama-sama dengan rakan-rakannya berjoging mengelilingi satu universiti. Wajah Mia Sarah yang kelihatan pucat dipandang geram. Malu pun ada dengan tingkah lakunya tadi. Harap-harap gadis itu tidak berfikir yang bukan-bukan. Tetapi bolehkah dia tidak berfikir yang bukan-bukan sedangkan keadaannya dan pasangannya tadi memang mencurigakan.
“Err... Saya terlambat turun tadi. Bila saya turun saya tengok semua orang dah tak ada,” Mia Sarah gugup. Seram melihat jelingan maut lelaki itu.
Ikmal masih merenung tajam ke arah gadis tersebut. Ina yang berada di sebelahnya tadi telah disuruh pergi. Ikmal mendekat ke arah Mia Sarah. Wajah Mia Sarah pucat. Semakin Ikmal cuba mendekat, semakin dia terdorong ke belakang sehinggalah lengannya direntap kasar oleh Ikmal.
“Kau nampak tak apa yang aku buat tadi?”
“Nampak.”
“Apa?!!!”
“Err... tak... tak nampak.”
“Bagus... bagus... Kau anggaplah apa yang berlaku tadi tak pernah berlaku. Kau juga tak nampak apa-apa. Faham!!!”
“Err... faham,” Mia Sarah sudah terketar. Terasa jantungnya berdegup bagai nak gila. Tidak pernah dia mengalami perasaan takut seperti ini. Diugut oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Lengannya yang digenggam kasar terasa semakin perit. Kalaulah dia ada kuasa mahu sahaja disumpahnya lelaki ini menjadi katak yang hodoh. Tetapi bolehkah?
“Err... tolong lepaskan tangan saya. Sakitlah."
“Kalau aku tak nak lepaskan, kau nak buat apa?” Ikmal tersenyum nakal. Kedua-dua keningnya diangkat tinggi sambil mata kiri dikenyitkan beberapa kali. Cantik juga budak junior depan aku ni. Bermata bundar, beralis lentik, berhidung mancung dan yang paling dia tidak tahan melihat seulas bibir yang kecil lagi comel.
Mia Sarah semakin cuak. Kenapa pula lelaki ini tidak mahu melepaskannya? Lepas tu asyik kenyit-kenyit mata saja. Sudah macam orang sakit mata pun ada. “Lebih baik awak lepaskan saya. Kalau tidak...”
“Kalau tidak apa?”
“Kalau tidak saya jerit.”
Ikmal tergelak kuat. Sakit hati Mia Sarah melihatnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Ikmal dipandangnya dengan perasaan geram.
“Kau nak jerit... jeritlah. Tapi ada siapa yang nak dengar ke? Sekarang di kolej ini semuanya kosong. Mereka semua pergi berjoging mengelilingi varsiti. Kalau kau nak jerit sampai keluar anak tekak pun tak akan ada siapa yang nak datang tolong. Kalau kau menjerit pun aku takkan lepaskan kau.”
“Kenapa?”
“Sebab... sebab aku nak kau jadi milik aku.”
“Gila...” desis Mia Sarah. Memang lelaki di hadapannya ini sudah gila agaknya. Dia malas tunggu lebih lama. Direntap kuat lengannya walaupun terasa perit. Kemudian dia terus berlari pecut meninggalkan lelaki itu keseorangan. Sempat dia menoleh ke belakang melihat lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Memang sah dah gila. Minta-minta selepas ini dia tidak akan berjumpa dengan lelaki gila itu lagi.
Bila Hati Dah Sayang Novel - Aku Suka Kau Benci.