Petang ini Anisa
membawa Adam bermain-main di taman permainan kanak-kanak yang
terletak berhampiran rumah mamanya. Kasihan pula melihatkan Adam yang
merayu-rayu untuk ke sana.
“Jomlah ma... Dah
lama adik tak pergi main-main dekat taman. Adik nak main dekat taman.
Jomlah,” teringat rayuan Adam yang menggelarkan dirinya adik. Tidak
mahu menghampakan anak kesayangannya dia hanya menurut kata Adam.
Sementelah pula pagi esok baru dia pulang ke Kuala Lumpur
bersama-sama dengan Adam.
Adam kelihatan
begitu teruja dan seronok sekali. Bukan senang dia hendak mendapat
peluang ke taman bersama-sama dengan mamanya. Bila pulang ke rumah
neneknya di Rawang inilah dia dapat merasa. Selalunya kalau di Kuala
Lumpur mamanya lebih suka membawanya keluar membeli-belah. Membeli
apa saja alat-alat permainan yang diingininya. Di taman permainan itu
Adam bermain sepuas hatinya. Semua permainan yang ada di situ
dicubanya. Selesai bermain buaian dia memanjat tangga untuk bermain
gelongsor. Kemudian bermain pula papan jongkang-jongkit dengan
kanak-kanak di taman permainan tersebut. Walaupun riak wajahnya
kelihatan penat namun itu tidak menjadi hal. Dia sangat gembira hari
ini. Anisa cuma duduk di kerusi berhampiran taman sambil memerhatikan
Adam bermain.
“Adam... Dah tu.
Jom kita balik,” panggil Anisa sambil menggamit ke arah Adam. Adam
yang terlihat mamanya melambai ke arahnya terus berlari laju ke arah
Anisa.
“Jangan lari...
Nanti terjatuh!!!” jerit Anisa. Kebimbangannya memang menjadi nyata
apabila Adam tersadung dan jatuh tertiarap. Wajah dan badannya telah
menyembah laluan simen yang terdapat di situ. Dia menangis kuat,
keperitan jelas dirasai di kedua-dua belah lutut dan kedua-dua tapak
tangannya. Anisa yang semakin risau cepat-cepat berlari ke arah Adam.
“Adik okey ke?
Macam mana boleh jatuh ni?” soal Hisyam yang telah terlebih dahulu
datang ke arah Adam. Adam dicempung dan dibawa ke kerusi berhampiran.
Anisa yang baru sampai ke arah Adam dan lelaki tersebut hanya
mengekori tanpa banyak soal.
Adam didudukkan di
kerusi. Kedua-dua lutut dan tapak tangannya telah luka dan
mengalirkan darah merah yang pekat. Tangisannya masih kedengaran.
“Itulah... kan
mama dah selalu pesan, jangan berlari. Tapi itu yang adik suka buat.
Tengok ni... kan dah jatuh. Kan dah berdarah. Siapa yang sakit? Adik
juga yang sakit kan?” bebel Anisa. Perasaan marah mula menyinggah
di hatinya.
“Sabar puan.
Jangan marah-marah. Benda dah jadi. Lebih baik kita bawa dia ke
klinik,” Hisyam bersuara. Sekilas dia menoleh lama ke arah gadis
yang dianggap ibu kepada kanak-kanak lelaki tersebut. Jantungnya
tiba-tiba berdegup pantas. Ingatannya pada zaman persekolahan mula
mengimbau. 'Nur...' Hanya nama itu yang terlintas di fikirannya.
Tidak sangka dia dipertemukan semula dengan gadis tersebut. Gadis
yang selama ini menjadi igauannya. Gadis yang selama ini menjadi
dambaannya sejak di sekolah menengah lagi. Ah... sudah berkahwin
rupanya dia. Mesti dia tak kenal siapa aku? Masakan dia kenal,
sedangkan dia tak pernah tahu pun yang aku sukakan dia. Hisyam
mengeluh hampa. Ternyata jodohnya dengan gadis itu tiada.
Tangisan Adam
semakin kuat. Sudahlah dia terpaksa menanggung kesakitan, kena marah
pula dengan mama kesayangannya.
“Sakit ke
sayang... Dah la, jangan menangis lagi. Nanti mama bawa ke klinik
ye,” pujuk Anisa. Menyesal pula dia memarahi Adam tadi padahal Adam
sedang kesakitan. Kasihan Adam.
“Kenapa dengan
dia tu papa?” soal Maisya yang tiba-tiba meluru ke arah Hisyam yang
sedang duduk bersebelahan dengan Adam. Kana-kanak perempuan comel
yang sebaya dengan Adam itu kelihatan cukup manja dengan Hisyam.
“Dia terjatuhlah
sayang,” balas Hisyam ringkas. Rambut Maisya yang diikat ekor kuda
itu dibelai lembut.
“Mesti dia main
lari-lari kan? Sebab tu lah jatuh. Papa kan pernah pesan pada Maisya
jangan lari-lari... takut terjatuh macam ni lah kan...” petah
Maisya berkata-kata.
Hisyam sekadar
mengangguk. Bimbang jika kepetahan Maisya sedikit sebanyak
mengguriskan hati anak beranak di hadapannya ini.
“Terima kasih
banyak-banyaklah encik. Biar saya bawa anak saya ni ke klinik dulu,”
Anisa ingin meminta diri. Tidak disangkanya yang menolong Adam tadi
adalah suami orang. Comel anak perempuannya. Mesti isterinya pun
cantik juga.
“Eh tak apalah,
biar saya yang dukung Adam. Lagipun dia tak boleh berjalan tu.
Lututnya luka,” Hisyam sudah mula bangun. Niatnya untuk membawa
Adam ke klinik berhampiran. Namun Anisa menolak keras. Adam telah
didukungnya terlebih dahulu dan dia berjalan menuju ke kereta
meninggalkan Hisyam terkebil-kebil keseorangan. Masakan dia hendak
membiarkan suami orang membantu anaknya. Takut pula akan menimbulkan
cemburu di hati isteri lelaki tersebut walaupun niatnya ikhlas ingin
membantu. Lagipun dia bukannya kenal lelaki itu.
Hisyam cuma
merelakan pemergian Anisa dengan pandangan yang sayu. Anisa dipandang
lama sehinggalah dia hilang dari pandangan. Perasaan rindu yang
disimpan selama ini semakin menjadi-jadi apabila bertemu dengan Anisa
semula. Gadis yang dalam diam telah membuatkan jiwa lelakinya tidak
tentu arah. Anisa muda 4 tahun dari dirinya. Sewaktu Hisyam di
tingkatan 5, Anisa baru saja tingkatan 1. Kelembutan wajahnya
membuatkan Hisyam tertarik, tutur katanya yang lembut membuatkan
Hisyam jatuh hati, kesopanan dan kesantunannya menyebabkan Hisyam
sering mendambakan gadis itu menjadi suri hidupnya. Dalam diam dia
merisik tentang gadis tersebut. Nur Anisa namanya. Hisyam lebih gemar
menggelarkan gadis itu sebagai Nur. Cahaya yang sentiasa menerangi
jiwanya.
“Siapa tu angah,”
sapaan Ika mengejutkan Hisyam dari lamunan yang panjang. Sedikit
tersentak namun dia masih menghadiahkan segaris senyuman manis buat
kakak kesayangannya.
“Kawan lama,”
ringkas Hisyam menjawab. Betulkah kawan lama? Sedangkan dia dan Anisa
tidak pernah berkawan, tidak pernah bersua muka, tidak pernah saling
berbicara. Hanya dirinya menjadi pencinta yang setia.
“Kawan lama? Tak
pernah kenal pun,” Ika hairan. Apabila melihat raut wajah keruh
Hisyam hatinya seakan-akan dapat meneka siapakah gadis yang mempunyai
anak kecil itu di hati adiknya. Mungkin gadis itulah yang menyebabkan
Hisyam masih lagi membujang sehingga sekarang, walaupun telah berbuih
mulut ibu mereka menyuruhnya mendirikan rumah tangga.
“Mama beli ais
krim untuk Maisya je ke? Untuk papa tak ada ke?” soal Maisya
apabila terlihatkan kon Drumstick coklat di tangan mamanya. Lantas
ais krim itu diambil dan dibuka pembalutnya.
“Papa dah besar,
mana boleh nak makan ais krim ni. Nanti papa sakit gigi. Gigi papa
banyak lubang tau,” Hisyam cuma tersenyum mendengar penerangan Ika.
Giginya yang putih dan tersusun cantik itu dikatakan berlubang pula.
“Mari sini papa
tolong bukakan.” Ais krim yang dipegang Maisha mula beralih arah.
Kasihan pula Hisyam melihat anak saudaranya yang terkial-kial ingin
membuka pembalut ais krim tersebut. Bertambah kasihan dengan nasib
yang menimpa kedua beranak itu. Ika diceraikan oleh suaminya ketika 5
bulan mengandungkan Maisha. Oleh sebab itulah Maisha memanggilnya
papa. Supaya Maisha tidak terasa akan ketiadaan papanya.
***
“Ish... lambat
betullah bos baru ni. Kata nak datang sebelum tengah hari, ni dah
pukul 1 dah tapi tak sampai-sampai lagi. Memang tak punctual
betullah. Macam manalah boleh jadi bos kan?” Husna membebel.
Perutnya dari tadi berdondang sayang menahan lapar. Maklumlah dari
pagi tadi dia tidak makan. Kononnya hendak makan besar sempena jamuan
untuk menyambut kedatangan bos baru mereka hari ini.
“Sabarlah, kejap
lagi sampailah tu,” sampuk Anisa. Matanya dijamukan dengan
memerhatikan staf-staf FM Holding yang lain yang turut berada di
dalam dewan tersebut. Bermacam-macam gelagat yang dipertontonkan.
Semua saling berbual dan bersembang sesama sendiri. Gamat sungguh.
Suasana yang riuh tadi tiba-tiba bertukar sunyi bagi menyambut
ketibaan bos baru FM Holding. Arisa menoleh ke arah pintu masuk
dewan. Terpandangkan saja lelaki yang berkot hitam dan bertali leher
berjalur hitam putih itu membuatkan hatinya tiba-tiba saja berkocak
hebat. Debaran di dadanya semakin memuncak bila lelaki itu semakin
menghampirinya. Benarkah apa yang aku nampak sekarang ini ataupun
mata ini sekadar menipu? Ataupun aku sedang berhalunisasi? Husna di
sebelah dipandang sekilas. Ternyata pandangan matanya tidak berbohong
apabila melihat Husna terlopong sama.
Jantungnya
seakan-akan mahu gugur apabila jejaka kacak itu menghulurkan senyuman
manis kepadanya. Walaupun sekejap cuma namun terasa dirinya tidak
berpijak di bumi nyata. Terasa mahu pitam saja lagaknya. Lelaki segak
itu terus mengatur langkah dengan yakin menuju ke pentas. Sepatah dua
kata diucapkan sebelum mereka semua menjamu selera dengan hidangan
yang disediakan.
“Kau nampak tak
apa yang aku nampak?” soal Husna. Anisa di sebelah direnung tajam.
Dari tadi rakannya itu tidak lepas-lepas membuang pandang ke arah bos
baru mereka. Dia dapat menebak apa yang dirasai oleh Anisa. Memang
seiras. Bentuk wajah, ketinggian dan juga ketegapan badan Arif
Iskandar sama seperti arwah suami Anisa. Tidak ada apa yang
berlainan. Seolah-olah di hadapan mereka sekarang ini adalah Danial
yang dihidupkan semula. Pelanduk dua serupa gamaknya.
“Nisa... kau
dengar tak apa yang aku cakapkan ni?”
“Aaa... Kau cakap
dengan aku ke?” Anisa seolah-olah terkejut dari khayalan yang
diciptanya sebentar tadi. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya dari
terus-terusan terpaku pada Aris Iskandar.
“Apa yang kau
fikirkan?” Husna ingin tahu.
Anisa diam. Sepatah
pun tidak menjawab. Nasi berlauk yang terhidang di pinggan tidak
mampu dihabiskan. Fikirannya terarah pada apa yang berlaku kini.
Apakah makna semuanya ini? Adakah ini semua petunjuk dari Allah
supaya dia mencari pengganti Danial? Adakah Aris Iskandar dicipta
untuknya? Ah... mungkin ianya satu kebetulan, tetapi kenapa dadanya
berdebar-debar bila terpandangkan Aris. Jantungnya seolah-olah ingin
meloncat keluar dari dadanya. Semuanya gara-gara Aris Iskandar.
Mungkinkah dia sudah jatuh cinta? Ah... tak mungkin. Takkan semudah
itu dia boleh jatuh cinta, tetapi perasaan ini adalah perasaan sama
seperti yang dirasai ketika bersama-sama arwah suaminya dahulu. Anisa
buntu, jawapan yang dicari tidak ditemui.
***
Bila Hati Dah Sayang Cerpen