Sekali lagi bilik 214 menjadi kunjungan Ikmal. Sebaik memasuki bilik
dia meletakkan beg pakaiannya di dalam almari. Kelihatan baju-baju
Mia Sarah yang telah tersusun kemas di dalamnya. Mia Sarah pula
mengambil panaroma indah di balkoni. Ikmal membuka beg pakaiannya dan
terus mengeluarkan 'sweater'. Badannya yang terasa seram sejuk perlu
segera dipanaskan. Kepalanya sedikit pening dan berpinar, namun
digagahkan juga. Dia kemudiannya terus menuju ke arah isterinya dan
berdiri di sebelahnya.
Mia Sarah sedikit tersentak dengan kehadiran Ikmal di sisinya. Namun
dia cuma membiarkan sahaja. Pemandangan yang indah dan cuaca yang
cukup mendamaikan lebih menarik perhatiannya saat ini. Saat ini
kedua-duanya begitu asyik menikmati keindahan alam ciptaan Allah.
Ikmal berkalih menghadap ke arah Mia Sarah. Wajah isterinya yang
jernih dipandang dalam-dalam. Tanpa sedar Ikmal meraih jari-jemari
isterinya dan meramasnya perlahan. Mia Sarah yang sedikit terkejut
cuma membiarkan sahaja. Terasa jari-jemari Ikmal yang kepanasan
bersatu dengan jari-jemarinya. Pelik juga dia, sepatutnya tangan
Ikmal turut sejuk seperti dirinya, tetapi kenapa panas pula? Memang
dia ingin marah pada mulanya, tetapi terasa tidak adil pula dia
melayan Ikmal sebegitu. Mia Sarah telah bernekad akan memberikan
Ikmal peluang di samping meletakkan satu syarat.
Melihatkan Mia Sarah tidak marah dengan tindakan Ikmal memegang
tangannya, Ikmal terus memberanikan diri melabuhkan pula tangannya di
wajah Mia Sarah. Wajah itu diusap perlahan dengan kedua-dua
tangannya. Kemudian Ikmal melepaskan keluhan berat di dada.
“Mia... Abang nak cakap sikit dengan Mia,” Ikmal memulakan
bicara sambil memegang lembut jari-jemari isterinya.
“Cakaplah,” balas Mia Sarah sepatah. Dia juga ada perkara yang
ingin dibincangkan bersama dengan Ikmal nanti. Perkara yang akan
menetapkan sejauh mana hubungan mereka sebagai suami isteri akan
bertahan.
“Abang tahu... Abang dah menyakitkan hati Mia. Tak patut abang
buat Mia macam tu dulu. Tapi abang terlalu ikutkan kata hati. Abang
biar perasaan marah menguasai diri. Abang biarkan nafsu syaitan
merajai diri abang. Abang... Abang kesal sangat dengan segala yang
telah terjadi Mia. Kalaulah masa dapat diundur semula, abang takkan
melakukan perkara sebegitu kepada Mia. Abang minta maaf Mia. Minta
maaf sangat-sangat,” luah Ikmal ikhlas sambil merenung dalam anak
mata Mia Sarah.
“Kenapa awak sanggup buat saya macam tu dulu?” Mia Sarah ingin
tahu. Hatinya pedih dan terhiris apabila soalan itu keluar dari
mulutnya. Seperti peristiwa tersebut menari-nari di ruangan matanya.
“Huh!!! Abang marah, kecewa dengan penolakan Mia terhadap diri
abang. Abang marah sebab Mia tampar abang di khalayak ramai sewaktu
di kampus dulu. Abang kecewa sebab Mia tidak terima cinta abang.”
“Jadi... Awak berdendam dengan saya. Sebab itu awak begitu tegar
melakukan perbuatan tersebut. Tanpa sedikitpun perasaan simpati awak
melakukan kesakitan ke atas orang yang kononnya awak cintai. Macam
tu? Entah betul atau tidak awak cintakan saya masa tu?” soal Mia
Sarah sedikit kasar. Hatinya cukup pedih bila membicarakan isu
tersebut.
“Mia... Abang tahu abang salah Mia. Memang abang melakukannya
kerana dendam. Niat untuk membalas dendam pada masa itu cukup kuat
dalam diri abang. Dalam hati abang yang dalam ini, abang menyesal
Mia. Menyesal sangat-sangat. Abang malu dengan Mia.”
“Hmmm... Sudahlah. Saya malas nak ungkit lagi perkara yang lepas.
Benda pun dah jadi. Cuma satu saja yang saya nak tahu. Betul ke awak
cinta dan sayangkan saya?”
Ikmal memandang wajah Mia Sarah. Ditatapnya wajah itu
sepuas-puasnya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tangannya semakin kuat
menggenggami jari-jemari isterinya.
“Dengan nama Allah, abang terlalu mencintai dan menyayangi Mia.
Seluruh jiwa dan raga abang. Terlalu dalam kasih sayang abang untuk
Mia. Tidak ada orang lain yang dapat menggantikan tempat Mia. Izinkan
abang menebus kesilapan yang telah abang lakukan terhadap Mia.
Berikan abang satu peluang untuk menjadi seorang suami dan
menjalankan tanggungjawab abang sebagai suami sepenuhnya. Abang
sayang sangat pada Mia. Sayang sangat-sangat,” luah Ikmal dari
lubuk hatinya yang paling dalam. Tangan Mia Sarah dikucup dengan
penuh kasih sayang.
Mia Sarah cuma mendengar dengan teliti setiap kata-kata yang keluar
dari mulut Ikmal, kata-kata yang penuh dengan keikhlasan namun
hatinya sedikitpun tidak tersentuh. Cukuplah sekadar dia
mengetahuinya untuk memudahkannya memberikan Ikmal peluang bagi
membuktikan setiap kata-kata tersebut.
“Baiklah, saya akan berikan awak satu peluang...”
“Betul ni sayang... Mia akan bagi abang peluang itu. Mia... dah
maafkan abang,” Ikmal gembira mendengar kata-kata Mia Sarah.
Wajahnya kelihatan bercahaya dan matanya turut berkaca.
Ada harapan untuk dirinya merebut cinta Mia Sarah, ada peluang untuk
dirinya bertakhta di hati Mia Sarah. Ikmal sangat gembira,
berkali-kali dikucupnya jari-jemari isteri tersayang. Pipi Mia Sarah
yang putih bersih itu turut hangat disinggahi kucupannya.
“Ya... Memang saya akan berikan awak peluang tapi itu tak bermakna
saya maafkan awak. Sampai bila-bila pun saya takkan maafkan awak,”
jelas Mia Sarah tegas.
Riak wajah Ikmal serta merta berubah. Mia Sarah memberikannya
peluang tetapi tidak memaafkannya. Ikmal tidak faham dengan tindakan
Mia Sarah.
“Kenapa Mia tak nak maafkan abang?”
“Awak tak boleh paksa saya untuk maafkan awak. Hati saya belum
terbuka untuk maafkan awak.”
“Hmmm... Kalau Mia dah kata macam tu tak apalah.
Sekurang-kurangnya abang masih lagi berpeluang untuk menyayangi Mia,”
Ikmal beralah walaupun hatinya sedikit sedih dengan tindakan Mia
Sarah.
“Sekarang saya nak awak dengar pengakuan saya pula. Dulu saya
pernah berjanji pada diri saya sendiri, saya tidak akan jatuh cinta
dengan mana-mana lelaki selain daripada lelaki yang bergelar suami
saya sendiri. Saya inginkan percintaan selepas kahwin, bercinta
dengan suami yang mencintai dan menyayangi diri saya setulus hati.”
Ikmal tersenyum gembira mendengar penjelasan Mia Sarah.
“Tapi sekarang... Hmmm entahlah. Terus-terang saya katakan, rasa
cinta untuk awak sedikitpun tidak ada. Saya langsung tak cinta dan
sayangkan awak. Bagaimana saya nak teruskan hidup bersama-sama dengan
awak?” luah Mia Sarah sambil memandang jauh ke arah pemandangan
indah yang terbentang luas di hadapannya.
“Takkanlah sedikitpun Mia tak ada rasa sayang pada abang. Abang
yakin, perasaan itu ada. Cuma Mia yang menafikannya,” Ikmal
menafikan. Perasaannya cukup terkilan dengan penjelasan Mia Sarah
tadi. Wajah Mia Sarah direnung sayu.
Mia Sarah menggeleng perlahan.
“Memang perasaan itu tidak ada. Tapi saya bagi awak satu peluang
untuk mewujudkan rasa cinta dan sayang dalam diri saya. Saya nak awak
buat sehingga saya merasa apa itu sebenarnya cinta dan sayang.”
Ikmal tersenyum.
“Mia jangan risau. Abang
akan ajar Mia tentang cinta dan sayang. Apabila Mia telah merasainya,
setiap saat Mia tak nak berpisah dari abang. Setiap kali berjauhan
Mia akan rindukan abang. Mia akan cemburu kalau ada orang lain
menganggu abang. Setiap masa Mia ingin dibelai dan bermanja dengan
abang. Abang akan buat Mia rasa itu semua. Itu janji abang,” sekali
lagi jari-jemari Mia Sarah dikucup mesra.
“Baguslah... Teringin saya
nak merasa itu semua. Tapi dalam tempoh setahun dari sekarang, kalau
perasaan itu masih tidak saya miliki, saya nak kita berpisah...”
Ikmal terpempam mendengarkan kata-kata Mia Sarah. Perpisahan. Mia
Sarah mahukan perpisahan sekiranya tidak ada perasaan cinta dan
sayang dalam tempoh setahun dari sekarang. Ikmal mengeluh di dalam
hati.
P/s : Sekadar untuk mengimbas kembali cerita ini... :)
Bila Hati Dah Sayang Novel - Aku Suka Kau Benci.