Hani, seorang gadis
berpakej lengkap. Pengurus Pemasaran di syarikat periklanan terkemuka
di ibu kota. Mempunyai rupa paras yang menarik, ketinggian 5 kaki 6
inci, bentuk tubuh 34, 26, 36, berkulit cerah, bermata bundar, sangat
cerewet dan selalu menganggap dirinya sahaja yang betul. Orang
lain... jangan haraplah. Semuanya salah di matanya. Ada saja yang
tidak kena. Pendek kata hanya dia seorang sajalah yang betul dan
benar segalanya.
“Harap-harap
pemilihan kali ini dapat bertahan lama,” perli Rizal yang menoleh
sekilas pada Hani yang kelihatan sibuk meneliti resume calon terakhir
yang akan ditemuduga nanti.
Hani yang duduk di
sebelahnya hanya tersenyum hambar. Dia turut berharap setiausahanya
kali ini dapat kekal lama. Mana tidaknya, kebanyakan setiausaha yang
bekerja dengannya paling lama pun 2 bulan. Lepas itu semuanya cabut
sebab tak tahan dengan sikap Hani ni. Dah lah cerewet mengalahkan mak
datin, mulut laser pula tu. Cakap main tibai je. Hati orang sikitpun
tak reti nak jaga. Nak orang jaga hati dia je.
“Masuk,”
arahnya.
Seminit kemudian
masuklah seorang gadis jelita, cantik berbaju kebaya. Hani melihat
penampilannya atas dan bawah. Pandang tidak lepas, seperti memilih
calon menantu pula lagaknya. Boleh tahan, rupa pun ada. Hidung
mancung, macam anak mami je. Setelah menyerahkan folder, gadis
tersebut terus melabuhkan punggung ke kerusi.
Hani dan Rizal mula
bertanyakan beberapa soalan pada gadis itu. Kesemuanya dapat dijawab
dengan baik. Gadis itu juga kelihatan begitu yakin sekali.
Berkali-kali Rizal mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan. Rizal yakin sudah pasti gadis di hadapannya ini dapat
memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Hani.
“Macam mana? Okey
tak girl tadi tu?” soal Rizal setelah gadis tersebut hilang dari
pandangan. Hani dipandang dengan senyuman di bibir. Hani gadis yang
cantik dan ayu. Dulu teringin juga dia menjadikan Hani teman
wanitanya namun sikap Hani yang terlalu cerewet dan panas baran amat
menyesakkan hidupnya. Tak jadi dia mengambil Hani sebagai menantu
emaknya.
“Hmmm...
bolehlah. Tapi I rasa dia pun mesti takkan kekal lama tu. Nampak
macam manja sangat. Kalau kena marah sikit tu sure menangis.”
“Habis tu you nak
yang macam mana? Calon semua dah habis ditemuduga. Takkan tak ada
seorang pun yang menarik hati kot.”
“Entahlah. Memang
tak ada yang menarik hati I langsung. Every time yang datang
interview semuanya girls. Tak ada ke yang lelaki. Teringin pula I nak
merasa ada setiausaha lelaki ni.”
Rizal menggeleng
perlahan. “Macam-macamlah you ni. Habis macam mana sekarang ni?”
Hani mengjungkit
bahu tanda tidak tahu. Keluhan kecil dilepaskan. Dia seakan-akan
sudah berputus ada. Senarai resume kesemua calon yang telah
ditemuduga dibelek lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada calon yang
melekat di hatinya. Tiba-tiba ketukan di pintu berbunyi. Wafa yang
merupakan kerani di situ berlenggang sambil membawa sesuatu di
tangan.
“Maaf Cik Hani,
Encik Rizal. Ada seorang calon lagi yang ingin ditemuduga,” jelas
Wafa sambil menghulurkan resume milik lelaki yang baru saja sampai
tadi kepada Rizal. Rizal meneliti sambil tersenyum. Kali ini confirm
jadi punya.
“Bukan dah habis
ke semua calon?” Hani sedikit hairan. Wafa dipandang meminta
penjelasan.
“Sepatutnya
memang begitu Cik Hani, tapi calon ni baru saja sampai. Saya pun
serba salah sebenarnya, tapi dia merayu-rayu minta ditemuduga.”
“Baru sampai?
Hmmm tak punctual langsung. Macam mana nak jadi I punya secretary ni.
Never mind lah, I pun dah penat dah. Tak larat dah. Suruh dia balik
je lah.” Hani sudah mahu bangun namun ditahan oleh Rizal.
“Eh... nanti
dulu. I think calon yang ni mesti you berkenan,” lantas Rizal
menghulurkan resume tersebut kepada Hani.
Hani tidak jadi
untuk bangun sebaliknya resume yang telah berada di tangan diteliti.
Mohd Rayyan Haikal, 25 tahun, asal Perak, mempunyai Diploma dalam
bidang Kesetiausahaan dari UITM. Hmmm... nampak menarik. Apa yang
penting lelaki pula tu. Jarang lelaki berminat untuk jadi setiausaha
ni. Muka memang boleh tahan, hensem bergaya. Dia mengangguk perlahan.
Harapan cerah untuk lelaki tersebut menjadi setiausahanya.
***
“So macam mana?
First time kerja ni. Ada rasa nervous tak? Rizal menepuk perlahan
bahu Rayyan yang sedang mengemas meja. Dia baru saja sampai ke
pejabat dan belum lagi sampai ke tempatnya. Sengaja dia melencong ke
tempat Rayyan dahulu. Setiausaha baru Hani.
“Eh... Encik
Rizal. Nervous juga ni, tapi saya akan lakukan yang terbaik.”
Rayyan tersengih menampakkan barisan putih giginya. Kemeja putih dan
seluar slack hitam yang dipakainya menonjolkan ketampanan lelaki
tersebut. Ditambah pula dengan tali leher berjalur yang terselit
kemas di tengkuk. Cukup yakin dia akan mampu menggalas tanggungjawab
sebagai seorang setiausaha. Walaupun bosnya merupakan seorang
perempuan. Orang kata dapat bos perempuan ni susah sikit. Kalau bab
kerja memang teliti habis. Nak pula dapat jenis yang cerewet. Mahu
makan hati saja kerjanya nanti. Ah... tapi dia tak kisah itu semua.
Yang penting dia bekerja dengan niat yang ikhlas. Di samping ingin
mencari wang untuk perbelanjaan adiknya yang sakit di kampung.
“Morning guys,”
sapa Hani sambil tersenyum ke arah kedua-dua lelaki yang sedang
berborak tadi.
“Morning Hani.”
Rizal tersenyum.
“Selamat pagi Cik
Hani,” balas Rayyan. Segaris senyuman terukir di bibir. Manis
sangat. Cair sekejap Hani dibuatnya. Ada getaran di dadanya. Ah...
dia tidak mahu merenung lama, terus dia berlalu masuk ke bilik.
“Tu ha... bos dah
sampai. Hati-hati ye. Anyway good luck,” Rizal tersengih dan
berlalu.
Rayyan hanya
mengangguk. Hati-hati. Apa yang dimaksudkan oleh Encik Rizal tadi?
Sedikit gusar dia rasa. Dia malas mahu memikirkan yang bukan-bukan.
Bunyi extension di meja mengejutkannya. Pantas dia menjawab. “Baik
Cik Hani.” Arahan pertama diterima. Bermulalah tugasnya sebagai
encik setiausaha.
***
Cawan kopi yang
dilapik piring itu diletakkan betul-betul di atas meja di hadapan
Hani. Ingatkan Hani menyuruhnya menaip surat ke, mengatur temu janji
ke, alih-alih dia disuruh membancuh kopi. Tak tahulah apa rasanya.
Tawar, manis, payau atau pahit. Seumur hidup Rayyan belum pernah dia
membancuh kopi. Biarlah... belasah je lah labu. “Kopinya Cik Hani.”
Hani mengangguk.
Dia tidak tunggu lama. Tekaknya sedari tadi lagi kering minta
dibasahkan. Kopi yang terhidang diambil dan dihirup. Mukanya
tiba-tiba berubah kelat. Diiringi batuk-batuk kecil. Serta merta
mukanya merah. Tekaknya terasa perit. Rayyan yang berdiri di
hadapannya dipandang tajam. Memang ada juga yang nak kena makan
dengan kasut tumit tinggi dia ni.
“Kopi apa ni?”
soalnya sedikit kasar.
“Kopi kapal api
Cik Hani,” selamba Rayyan menjawab.
Hani geram. Nak
main loyar buruk pula budak mentah di hadapannya ini.
“Yes... I know
kopi kapal api. Tapi you tak rasa dulu ke masa buat kopi ni tadi.
Cuba you rasa...” arahnya lagi. Biar Rayyan tahu sedikit rasa kopi
yang dibuatnya. Pahit dah mengalahkan hempedu. Entah berapa sudu
kopilah yang diletakkannya tadi.
“Maaf Cik Hani,
saya tak minum lebihan perempuan.”
Merah padam dah
Hani rasa. Tiba-tiba dia rasa macam hendak marah. Pandai pula encik
setiausahanya itu menjawab.
“You tak pandai
buat kopi ke?”
“Maaf Cik Hani,
memang saya tak pandai. Lagipun masa saya belajar dulu tak ada pula
diajar cara-cara hendak membancuh kopi ni,” bidas Rayyan. Dia juga
tidak mahu kalah.
“Okey fine... You
keluar dulu. Ada apa-apa nanti I panggil. Kopi ni jangan lupa bawa
sekali.” Malas Hani hendak berbicara lebih lanjut dengan Rayyan.
Ada-ada saja jawapannya. Cukuplah kali ini kali yang terakhir, lepas
ini dia tak ingin hendak menyuruh Rayyan membuat kopi lagi. Lebih
baik dia yang bancuh sendiri.
***
Hani
menendang-nendang perlahan bumper Gen 2 miliknya. Dalam keadaan
cuaca yang semakin menggelap inilah dia buat perangai pula. Enjin
kereta yang berselirat diperhatikan tanpa perasaan.
“Kenapa pulalah
kau nak meragam time macam ni. Kalau aku hilang sabar, hujung bulan
ni juga aku jual kau,” bebelnya lagi.
Peluh renik sudah
mula tumbuh di dahi. Hati terasa panas walaupun cuaca semakin
menggelap. Rambut lurus separas bahu yang terlepas dikuak ke telinga
berkali-kali. Guruh yang berbunyi membuatkan hatinya semakin risau.
Dia melangkah perlahan masuk ke kereta. Beg tangan yang diletakkan di
tempat duduk sebelah pemandu diambil. Dia ingin meminta tolong dari
Rizal. Untung-untung Rizal masih lagi belum sampai ke rumah.
“Alamak!!! Mana
pula ni,” Hani semakin cuak. Sudah puas dia mencari Blueberry yang
tersimpan di dalam beg tangannya namun tidak dijumpai.
“Tertinggal ke...
Alah... susahlah macam ni. Hari dah lah nak hujan.” Dia semakin
cemas. Sudahlah kawasan jalan raya yang dilaluinya agak lengang.
Bimbang pula kalau-kalau ada sesuatu yang buruk terjadi.
Sedang dia tidak
berputus asa mencari-cari Blueberry nya itu kelihatan kelibat sebuah
superbike berhenti betul-betul di hadapan keretanya. Hani menoleh,
dalam hati tertanya-tanya siapakah pemilik Kawasaki Ninja ZX-10R
hijau yang kelihatan gagah itu. Kagum sungguh dia melihatnya.
Lelaki yang
kelihatan tegap berjaket kulit dan memakai full face helmet itu
datang menghampiri Hani yang masih lagi duduk di tempat pemandu.
Langkahnya cukup teratur dan tenang. Dia tersenyum memandang Hani
yang kelihatan agak takut.
'Eh... siapa pula
ni? Aku kenal ke? Nak tolong aku ke? Jangan orang jahat sudah.'
Debaran di dada Hani semakin memuncak apabila lelaki tersebut semakin
menghampirinya. Disebabkan perasaan takut yang melampau dia
cepat-cepat menarik pintu kereta namun sempat dihalang oleh lelaki
tersebut.
Hani semakin
berdebar. Perasaan takutnya semakin menjadi-jadi. Lambakan kes
perogol bersiri yang mengisi dada akhbar membuatnya terasa sakit
jantung. Wajah lelaki yang terlindung di sebalik full face helmet itu
tidak dapat dikenal pasti. Dalam keadaan takut-takut itu matanya
masih lagi melekat ke arah lelaki itu. Sebaik saja lelaki itu membuka
full face helmetnya Hani terlopong. Seakan-akan tidak percaya dengan
gerangan jejaka tampan yang berada di hadapannya sekarang ini. Dia
sudah mampu menarik nafas lega. Senyuman manis kian terukir di bibir
comelnya.
“Maaf sebab
takutkan Cik Hani tadi. Terlupa pula saya nak buka helmet ni,”
Rayyan mengukir senyum. Helmet yang dibuka tadi dipegang kemas di
tangan kanannya. Wajah Hani dipandang lama. Cantik juga bos aku ni.
Pujinya dalam hati. Tambahan pula Hani kelihatan cukup anggun dengan
berbaju kurung cotton warna pucuk pisang.
“Tak apalah
Rayyan. Terkejut juga tadi. Ingatkan siapa?” Hani sudah bangun dan
berdiri hampir dengan Rayyan. Lega hatinya kerana Rayyan datang di
saat dia memerlukan pertolongan.
Rayyan berjalan
perlahan menuju ke Kawasaki Ninja ZX-10R untuk meletakkan helmet.
Sekali sekala guruh berbunyi menandakan hujan akan mencurahi bumi
Allah yang indah ini. Rayyan kemudiannya menuju ke hadapan kereta
Gen 2 milik Hani. Bahagian enjin diteliti rapi.
“Kenapa dengan
kereta ni Cik Hani?” soalnya tanpa menoleh ke arah Hani yang
berdiri hampir di sebelahnya.
“Entahlah, I pun
tak tahu.” Hani mengeluh perlahan. Kalau dia tahu masalah apa yang
menyebabkan keretanya terhenti senanglah, ini dia pun tak tahu.
Setakat bawa saja bolehlah.
“Oh patutlah,
timing belt dah putus ni. Memang kena bawa ke bengkel ni Cik Hani.
Kena towing.”
“Aaa kena towing.
Ish... You tak reti baik ke. Susahlah kalau nak kena towing. Nanti
macam mana pula I nak balik. Hari dah lah nak runtuh ni,” Hani
berwajah cemas. Perasaan cuak semakin dirasai.
“Mana boleh Cik
Hani. Dah putus terus ni, memang tak boleh bawa,” terang Rayyan.
Dia menoleh ke langit apabila dirasakan ada manik-manik kecil
mengenai pipinya. Oh, hujan sudah turun rupanya. Hani dilihat semakin
gelisah.
“Biar saya hantar
Cik Hani pulang je lah,” pelawa Rayyan.
“What!!! You nak
hantar I pulang. Nak naik apa?” Soal Hani sambil mengerling ke arah
superbike milik Rayyan. “Takkan nak naik tu kot?” ujarnya lagi
dengan menuding jari telunjuk ke arah kenderaan motor berwarna hijau
itu.
“Yup... Of
Courselah. Habis tu Cik Hani nak naik apa pula. Jomlah Cik Hani saya
hantarkan, hujan dah semakin lebat ni.” Rayyan sudah mula menutup
bonet kereta Hani. Seterusnya dia menuju ke Kawasaki Ninjanya dan
mengenakan helmet.
Hani serba salah.
Sudah hilang akal apa dia nak naik motor dengan encik setiausahanya
ini. Sudahlah dia cukup ayu berbaju kurung hari ini. Wah... mahu
jatuh sahamnya hari ini. Hani terkaku, tidak bergerak langsung. Dia
cuma memandang Rayyan dengan debaran kuat yang tiba-tiba saja
menjengah diri. Perasaan apakah ini? Sukar untuk digambarkannya.
“Tunggu apa lagi
Cik Hani. Cepatlah...” Rayyan sudah menghidupkan enjin
superbikenya. Jaket kulit yang dipakainya sudah dibuka.
Hujan yang semakin
lebat itu membuatkan Hani tidak dapat berfikir panjang. Cepat-cepat
dia mengambil beg tangan dan mengunci keretanya. Dia kemudiannya
berlari-lari anak menuju ke arah Rayyan. Macam manalah dia nak naik
motor besar tu dengan berbaju kurung ni. Mesti dia akan kelihatan
seksi nanti. Aduhai.
“Pakailah.”
Rayyan menghulurkan jaket hitam tersebut kepada Hani. Maklumlah hari
kan hujan. Bimbang pula hatinya takut Hani terkena selsema nanti.
Dalam keadaan serba
salah itu dia mengambil juga jaket kulit milik Rayyan dan disarungkan
ke badan. Agak besar sedikit, tapi bolehlah untuk melindungi tubuhnya
dari hujan yang semakin mengganas.
“Cepatlah naik
Cik Hani,” arah Rayyan yang sedari tadi menunggu. Kemeja putihnya
sudah basah menampakkan otot badannya yang sasa. Hani telah liur
melihat. Jantungnya yang sedari tadi berdebar semakin bergerak
pantas.
“Tak ada helmet
ke?” jerit Hani dalam jatuhan hujan yang semakin ganas.
“Tak ada.”
“Nanti kalau kena
saman macam mana?”
“Alah... tak
adanya kena saman. Darurat ni. Lagipun hari hujan. Tak adanya polis
nak buat road block. Cepatlah Cik Hani, nanti demam pula.”
Hani sudah
berkira-kira untuk menaiki motor yang kelihatan cukup besar padanya.
Macam mana nak naik ni. Tangan kirinya memegang tempat duduk belakang
sementara kaki kanannya memijak pemijak kaki. Tinggi gila motor itu,
terkial-kial dia melabuhkan bontot di tempat duduk.
“Okey... Dah!!!”
jeritnya apabila dia rasa sudah selesa duduk di belakang. Duduk dah
mengalahkan makcik-makcik naik motor. Rasa-rasanya makcik-makcik
sekarang pun dah tak naik motor macam tu.
Rayyan nak tergelak
melihat gelagat Hani namun ditahannya. Ada ke Hani duduk di motor
macam duduk di basikal tua saja. Mau terpelanting dirinya nanti.
“Cik Hani, takkan
duduk macam tu. Terbang melayang nanti. Duduklah betul-betul.”
“Eiii... I pakai
baju kurung ni. Nanti terangkat pula. Duduk macam ni pun tak apa
kan, mana ada salah,” bidas Hani. Memanglah nampak pelik tapi dia
tak mahu beralah.
Rayyan terus
menghamburkan gelak yang ditahan. Merah padam mukanya. Geli hatinya
melihat gelagat bosnya yang cerewet ini. “Cik Hani, saya takut Cik
Hani terbang melayang kalau duduk macam tu. Nanti terjatuh. Duduklah
elok-elok.”
Hani akhirnya
mengalah. Perlahan-lahan dia turun dari motor. Teragak-agak dia
memegang bahu Rayyan. Maklumlah motor tersebut terlalu tinggi, jadi
begitu sukar untuknya menaiki kalau tidak disokong dengan bahu
Rayyan. Rayyan tersentak, serasa macam ada aliran elektrik mengalir
dalam diri namun dia bersikap selamba.
“Peluk saya Cik
Hani. Nanti terjatuh,” arah Rayyan. Kelihatan pelik pula bila Hani
hanya duduk tegak dan kedua-dua tangannya diletakkan di sisi.
“Tak apalah...
Tak ada jatuhnya,” jawab Hani malu. Takkan dia nak peluk Rayyan
pula. Oh... minta simpang. Nanti sudah pasti Rayyan terdengar getaran
jantungnya saat ini.
“Betul ni... Tak
menyesal?”
“Never...”
“Okey, here we
go,” Rayyan memecut laju.
“Oh mak kau!!!”
Hani di belakang tersentak. Nasib baik dia tak terpelanting jatuh.
Sekejap itu juga tangannya mula memeluk Rayyan. 'Kurang asam punya
Rayyan. Siaplah kau dekat ofis nanti.'
Rayyan tergelak
dalam hati. Itulah... degil lagi. Tak nak dengar cakap orang. Dalam
gelakkan Hani, dadanya turut bergetar laju. Seolah-olah jantungnya
hendak meloncat keluar dari dada. Kenapakah perasaan seperti itu yang
hadir?
***
Rayyan kelihatan
sibuk memfail beberapa dokumen penting. Hampir dua minggu dia
bertugas sebagai setiausaha Hani. Kesemua tugas yang diarahkan
dijalankan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Sukar untuk
Hani mencari sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Rayyan. Semua
hasil kerjanya kelihatan teratur dan tersusun sekali. Amat berbeza
dengan setiausahanya sebelum ini.
“Sibuk nampak...”
sapa Wafa yang telahpun berada di hadapan meja Rayyan. Wajah Rayyan
yang bersih dipandang penuh minat. Ketampanannya cukup terserlah
dengan bentuk fizikal yang menarik. Tidak hairanlah kalau Rayyan
sering menjadi bualan rakan-rakan perempuannya yang lain. Semuanya
seakan-akan terpukau dengan ketampanan Rayyan.
“Eh Wafa.
Ingatkan siapa tadi...” Rayyan menghadiahkan senyuman manis. Wafa
terpukau, mahu saja dia pengsan saat ini.
“Kenapa? Ingatkan
makwe yang datang ye?”
“Eh tak adalah.
Orang macam saya ni manalah ada makwe. Lainlah kalau orang cantik
macam Wafa ni.”
Wafa tersengih
menahan malu, kembang setaman dia rasa. Rayyan memujinya cantik.
Wah... Suka hati benar dia rasa.
“Tengah hari ni
kita lunch sama nak tak?” pancing Wafa. Dapat keluar berdua-duaan
dengan Rayyan sudah pasti menimbulkan kebanggaan di hatinya. Bolehlah
dia menunjuk kepada rakan sekerjanya yang lain. Tambahan pula mereka
turut menyimpan hati terhadap Rayyan.
Rayyan menolak
dengan lembut. Makan tengah hari berdua-duaan dengan Wafa. Wah... tak
pasal-pasal dia menjadi bahan gosip di ofis nanti. Tak sanggup dia
menempah populariti. Lagipun dia bukan tidak tahu kebanyakan gadis di
ofis itu selalu melepas pandang ke arahnya. Semuanya dengan pelbagai
ragam dan aksi yang tersendiri. Biarlah... lebih baik dia keluar
makan tengah hari sendiri. Bukannya dia sombong tapi itu adalah lebih
baik.
***
Hani panas hati.
Wajah putihnya sudah kelihatan merah. Sakit mata pula dia melihat
Rayyan dan Wafa di sebalik cermin kaca biliknya. Bukan main lagi
bergelak sakan dari tadi. Entah apalah yang dibualkan di waktu kerja
begini. Sudah tidak ada kerja gamaknya sampai hendak makan gaji buta.
Hani melihat jam tangannya sekilas. Dia mendengus lagi. Sudah hampir
15 minit lamanya kedua-dua makhluk tersebut bergelak sakan. Hatinya
menjadi bertambah-tambah sakit. Memang tak boleh jadi, tak boleh
dibiarkan. Dia bergegas menuju ke arah mereka berdua.
“Ada mesyuarat
tergempar ke dekat sini? Masing-masing dah tak ada kerja ke?”
Teguran kasar Hani
mengejutkan Rayyan dan Wafa. Terhenti terus gelak tawa mereka berdua
tadi. Wafa kecut perut. Renungan tajam Hani benar-benar menusuk
matanya dan terus memanah ke hatinya. Seram sejuk dia melihat Hani
yang seakan-akan menahan marah dengan muka yang merah. Kenapa pula
Hani hendak marahnya sebegitu rupa? Sebelum ini bukannya dia tidak
pernah bersembang sedemikian rupa.
“Err... Maaf Cik
Hani. Kami sekadar berbual kosong saja tadi. Lagipun kerja semua
sudah selesai,” Rayyan cuba menenangkan keadaan. Kemarahan Hani
sukar untuk dimengertikan. Takkanlah setakat berbual-bual kosong
macam tu pun nak kena jerkah bagai nak rak.
“Kalau dah tak
ada kerja, pandai-pandailah cari kerja. Company ni bayar gaji untuk
bekerja bukannya untuk berborak kosong. Wafa!!! kau pergi balik dekat
tempat kau. Lain kali jangan nak menempel dekat sini,” arah Hani
lagi. Sakit betul matanya apabila ada orang lain nak menggatal dengan
encik setiausahanya ni.
Wafa terkulat-kulat
menahan malu. Dia mengangguk perlahan dan terus berlalu. Malu memang
tak ingatlah bila semua staff yang ada dari tadi memandang. Kenapa
pula Hani nak marah-marah ni. Hish... sakit hatinya.
“Rayyan... nanti
aturkan temujanji dengan Syarikat Harmoni, hari ini pukul 3 petang,”
mendatar kata-kata Hani.
“Baik Cik Hani.”
Hani terus bergegas
menuju ke biliknya. Perasaan marahkan kedua-dua insan tadi semakin
mengendur. Apa pula yang tak kena dengan dirinya ini. Kenapa perlu
marah sangat? Cemburukah dia... Oh tak mungkin.
0 comments
Bila Hati Dah Sayang Celoteh