Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, July 21, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 22

Ikram menggenggam kemas jari-jemarinya. Langkahnya diatur laju menuju ke arah Syafiqah dan Khairil. Kerancakkan mereka berbual membuatkan hatinya dipagut cemburu. Tidak habis-habis Khairil mengganggu Syafiqah. Yang Syafiqah pula kenapa mesti melayan lelaki tersebut. Padahal dia telah berpesan kepada Syafiqah sebelum pergi ke tandas tadi. Hatinya semakin membuak dengan perasaan marah dan cemburu.

“Hai. Boleh saya duduk sini sekali. Full tablelah,” kebetulan pula Encik Mustapha datang ke meja tersebut serentak dengan Ikram.

Ikram cuma mengangguk dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Encik Mustapha.
“Silakanlah Encik Mus. Yelah, ramai sungguh orang di majlis ni,” pelawa Ikram sambil tersenyum.

Ikram lantas mengambil tempat di sebelah Syafiqah. Khairil yang duduk berhadapan dengan Syafiqah dijeling tajam. Paling menyakitkan hatinya apabila Khairil menghulurkan tangan ke arahnya. Seolah-olah tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukannya saat ini.

“Apa khabar bro,” sapa Khairil. Tangan yang dihulurkan olehnya disambut lambat oleh Ikram.

“Tak berapa baik,” jawab Ikram dengan sedikit cuak.

“Oh ye ke? Tengok badan nampak sihat je. Ataupun hati yang sakit ni?” perli Khairil sambil mengangkat kening. Dia merenung tajam ke arah Ikram. Mesti Ikram cemburu gila bila ternampak dia berbual dengan Syafiqah tadi. Dan sememangnya itulah yang Khairil inginkan.

Muka Ikram merah mendengar sindiran Khairil. Kalau tidak memikirkan dia berada di majlis jamuan makan malam klient terbesarnya, memang akan dikerjakannya Khairil ini secukup-cukupnya. Syafiqah di sebelah dijeling sinis. Ternyata wajah gadis itu berubah pucat.

“Datang berdua saja ke? Tak nampak staf-staf yang lain pun,” tanya Encik Mustapha yang sedang menyuap nasi berlauk ke mulutnya.

“A'aa datang berdua saja. Yang lain pun akan datang juga. Maybe masih belum sampai lagi. Tak sangka pula Encik Mus datang juga. Maklumlah jauh juga JB tu?” soal Ikram ramah.

“Saya sebenarnya malas nak datang, tapi Khairil ni ha yang beria-ia sangat mengajak saya pergi sekali,” terang Encik Mustapha.

Ikram dapat mengagak kedatangan Khairil mesti bersangkut-paut dengan Syafiqah. Ini yang membuatkan hatinya semakin bertambah-tambah sakit.

“Oh macam tu ke. Tapi semasa majlis perkahwinan saya nanti Encik Mus mesti datang tau. Jangan rasa terpaksa pula,” Ikram tersenyum sinis. Mungkin dengan berita yang diberitahunya nanti akan membuatkan Khairil berfikir dua kali sebelum mengganggu Syafiqah.

“Eh... Dah nak kahwin ke? Bila tu? Dengan siapa?” soal Encik Mustapha ingin tahu.

“Dengan siapa lagi. Dengan tunang kesayangan saya nilah,” jelas Ikram sambil menepuk lembut bahu Syafiqah. Wajah Syafiqah merona merah. Malu bila Ikram menyentuhnya di khalayak ramai.

Khairil yang sedang meneguk air terbatuk kecil. Memang cukup terkejut dengan penjelasan yang keluar dari mulut Ikram. Riak mukanya turut berubah. Syafiqah di hadapannya direnung galak. Ingin melihat kebenaran di sebalik mata bundar gadis itu, namun Syafiqah cuma menunduk menikmati hidangan.

“Kau kenapa pula ni Ril. Tersedak macam budak-budak. Terkejut ke?” perli Ikram.

“Eh taklah. Aku memang dah agak dah,” Khairil cuba menutup malu. Merah mukanya menahan geram.

“Wah... Tak sangka betul. Tahniah ye. So bila majlis akan berlangsung?” soal Encik Mustapha lagi.

“Bertunang selama 6 bulan. Dalam bulan 5 ni InsyaAllah lah akan buat majlis perkahwinan,” terang Ikram dengan nada bangga. Bangga dan puas hati kerana dapat menyakitkan hati Khairil.

“Tahniah. So sekarang ni tengah darah manislah ni. Selalunya masa bertunang ni banyak dugaan dan cabarannya. Tak takut ke kalau tunang kau kena kacau bro?” soal Khairil sinis. Dia akan pastikan perkahwinan Ikram dan Syafiqah tidak akan berlangsung. Syafiqah cuma boleh menjadi pengantin di majlis perkahwinannya. Itu janjinya di dalam hati.

“Buat apa nak takut. Aku percaya pada Syafiqah. Dia takkan lukakan hati aku. Cuma yang aku takut pada orang yang tak reti-reti bahasa dan menganggu hak milik orang lain. Kan sayang,” Ikram meraih lembut jemari Syafiqah. Ingin dibawa ke bibir dan dikucup manja. Tanda meminta sokongan daripadanya, namun Syafiqah menarik perlahan tangannya dari genggaman Ikram. Tidak suka perlakuan tersebut dipertontonkan di hadapan orang lain. Riak wajah Ikram berubah. Malu dan sedikit geram dengan tindakan tunang tersayang.

“Boleh percaya ke bro. Fiqa ni dahlah cantik. Ramai orang yang akan masuk line. Kau tengoklah nanti,” Khairil menakut-nakutkan Ikram.

“Ishh apa lah kau ni Khairil. Cuba cakap elok-elok sikit, sepatutnya kita berdoa untuk kebaikan. Jangan difikirkan sangat kata-kata Khairil ni. Dia bukannya tahu apa,” Encik Mustapha cuba meredakan keadaan. Yang pasti keadaan pada malam itu memang cukup tegang dan panas sekali.

********

Di dalam kereta Ikram cuma membatukan diri. Honda Accordnya dipandu laju di atas jalan raya yang kelihatan sedikit lengang. Fikirannya cukup berkecamuk saat ini. Perasaan marahnya terhadap Khairil masih lagi belum padam. Ditambah pula dengan perasaan marah terhadap Syafiqah. Tidak faham dengan Syafiqah yang menarik tangannya dari genggaman Ikram tadi. Memang Ikram malu dengan tindakan Syafiqah. Seolah-olah dirinya hanya bertepuk sebelah tangan pula.

“Ik dah lah, janganlah macam ni. Dari tadi asyik diam je,” pujuk Syafiqah sambil mengelus lembut lengan Ikram. Ternyata Ikram masih marah. Tangan Syafiqah yang melekat di lengan kirinya ditolak perlahan. Syafiqah bungkam.

“Ik... Tadi tu tempat penuh. Sebab tu Khairil duduk sekali dengan Fiqa. Kalau nak diikutkan Fiqa pun tak suka dia duduk sekali. Tolonglah faham, janganlah nak merajuk macam budak-budak pula,” terang Syafiqah. Ikram di sebelah direnung tajam. Namun tidak tergambar walaupun sedikit senyuman di wajah Ikram. Kelihatan semakin berapi adalah.

Ikram menekan pedal minyak dan menyebabkan kenderaan meluncur lebih laju. Sakit telinganya mendengar nama Khairil yang keluar dari mulut insan tersayang. Sebelum ini Syafiqah pernah berjanji padanya tidak akan menyebut nama Khairil namun nampak gayanya janji hanya tinggal janji.

“Ik!!! Tolong jangan bawa laju-laju boleh tak!!!” jerit Syafiqah. Dia cukup gerun bila berada di dalam kenderaan yang dipandu terlalu laju. Dahulupun Ikram pernah membawa kenderaan dengan laju seperti sekarang. Dan ini menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa arwah ayah tersayang seperti berlegar-legar di ruangan matanya.

Namun Ikram tidak peduli. Emosi telah mengatasi akal dan fikirannya saat ini. Perasaan marah, geram dan cemburu telah merajai hatinya di kala ini. Suara Syafiqah kedengaran seperti angin lalu sahaja di telinganya. Kereta dipecut semakin laju dan laju. Seperti tidak sedar, mereka telahpun sampai di hadapan rumah Syafiqah.

Syafiqah tidak tunggu lama. Dia ingin segera keluar dari kereta. Terasa jantungnya yang bergerak cukup pantas saat ini. Tangannya sejuk akibat ketakutan yang menggamit diri. Beberapa titis air mata yang mengalir di pipi dibiarkan jatuh tanpa diseka. Dengan pantas Syafiqah melucutkan tali pinggan keselamatan dan membuka pintu kereta.

Ikram menoleh sekilas ke arah Syafiqah yang sedang menutup pintu kereta. Dari lampu jalan yang samar-samar dia dapat melihat air mata yang deras mengalir di pipi tunang tersayang. Ahh, Ikram bungkam. Syafiqah menangis. Tiba-tiba perasaan serba salah menghantui dirinya. Cepat-cepat Ikram keluar dari kereta dan cuba mengekori Syafiqah.

“Sayang...” panggil Ikram.

Namun Syafiqah tidak menoleh dan bergerak laju masuk ke dalam rumah. Air mata yang merembes di pipi akhirnya diseka juga. Dia tidak mahu emaknya melihat dia dalam keadaan yang seperti sekarang. Sebaik masuk ke dalam rumah, Syafiqah berlari laju menuju ke biliknya. Nasib baik kelibat Puan Mona tidak kelihatan. Kalau tidak mesti Puan Mona risau melihat keadaan dirinya.

Syafiqah lantas melontarkan tubuhnya di katil. Mukanya disembamkan di bantal tidurnya. Dia menangis semahunya. Meluahkan perasaan sedih yang ditanggungnya saat ini. Sampai hati Ikram membuatnya begini. Kadang-kadang Syafiqah tidak faham dengan sikap Ikram. Ada masanya terlalu baik, tetapi bila tiba angin puting beliungnya memang huru-hara jadinya.

Tiba-tiba telefon bimbit Syafiqah yang diletakkan di dalam beg tangannya berbunyi. Syafiqah mengambil beg tangan tersebut dan mencari telefon bimbitnya. Sebaik telefon tersebut berada di tangan, jelas kelihatan nama Ikram di skrin telefon tersebut. Syafiqah cuma membiarkan sahaja. Buat masa ini dia mahu menenangkan fikirannya. Biarlah berpuluh kali Ikram menelefon, satu pun tidak akan dilayannya.

********

Ikram berjalan laju melintasi meja Syafiqah. Tidak kelihatan pula kelibat tunang tersayang. Mungkin sedang makan agaknya. Ikram tahu Syafiqah masih marah dengan sikapnya. Kalau tidak masakan Syafiqah datang sendiri ke pejabat. Selalunya Ikram yang akan menjemput. Ikram memasuki biliknya. Dia melabuhkan punggung di kerusi, berpeluk tubuh dan termenung sendiri. Memikirkan cara yang sesuai untuk memujuk tunang yang sedang merajuk. Sejambak bunga mawar yang dibeli untuk Syafiqah diletakkan di atas meja.

Extension Syafiqah didail. Tiada jawapan. Ikram mendail lagi. Kali ini kedengaran suara lunak merdu di hujung talian.

“Hello. Global Engineering Holding.”

“Sayang,” sapa Ikram sepatah.

Senyap, tiada jawapan.

“Sayang,” sapa Ikram lagi.

Masih lagi senyap. Memang merajuk tahap dewa insan kesayangannya ini.

“Sayang... Tolong buatkan Ik kopi secawan ye. Sehari tak kena kopi sayang buat Ik serba tak kenalah,” luah Ikram.

Ikram melopong. Sudahlah tidak mendengar suara Syafiqah, sebaliknya Syafiqah terus meletakkan gagang. Susah juga hendak memujuknya ini. Ikram termenung lagi. Dia perlu bersabar, lagipun dia turut bersalah dalam hal tersebut. Terlalu mengikutkan perasaan cemburu dan panas barannya itu.

Ketukan di pintu membuatkan Ikram tersenyum lebar. Mungkin insan kesayangannya yang datang bersama-sama dengan secawan kopi.

“Masuk.”

Kelihatan Syafiqah di muka pintu sambil membawa secawan kopi. Dia berjalan perlahan menuju ke arah Ikram. Cawan kopi tersebut diletakkan di atas meja. Terusik sedikit hatinya bila melihat jambangan mawar merah yang turut berada di atas meja.

“Kopinya Encik Ikram,” Syafiqah cuba berlagak formal.

Ikram dari tadi tidak melepaskan pandangannya dari memandang wajah Syafiqah. Ada riak sedih di wajah tersebut. Riak sedih itu membuatkan wajah Syafiqah kelihatan tidak seceria biasa.

“Kenapa tiba-tiba formal pula ni,” luah Ikram.

Syafiqah membisu. Tidak mampu untuk berkata-kata.

Ikram bangun dan mendapatkan Syafiqah. Jambangan bunga mawar yang berada di atas meja diambil dan dihulurkan kepada Syafiqah.

“Ik minta maaf pasal semalam. Tolong maafkan Ik ye.”

Syafiqah diam. Tiada kata-kata yang keluar dari bibir comelnya. Jambangan mawar merah yang dihulurkan oleh Ikram diambil dan direnung dengan pandangan yang kosong.

Perasaan Ikram menjadi semakin serba salah apabila melihat bahagian bawah mata Syafiqah yang membengkak. Sudah pasti Syafiqah banyak menangis malam tadi. Ini semua gara-gara dirinya yang tidak mampu mengawal perasaan. Terlalu mengikutkan kata hati sehingga menyakitkan insan tersayang. Jari-jemari Syafiqah diraih dan didorongnya perlahan menuju ke arah sofa. Syafiqah cuma mengikut rentak Ikram, walaupun hatinya masih bernanah.

Mereka berdua duduk di sofa. Ikram meletakkan jari telunjuknya di dagu Syafiqah. Dipaksanya wajah tersebut supaya bertentang mata dengannya. Sesaat mata mereka saling bertaut.

“Ik minta maaf ye. I'am really sorry,” ujarnya seikhlas hati.

Syafiqah diam lagi. Sebagai membalas perbuatan Ikram yang tidak berlawan cakap dengannya malam tadi.

“Sayang... Janganlah macam ni. Janganlah diam saja. Say something,” pujuk Ikram lagi.

“Saja... Nak jadi orang bisu hari ini. Nak Fiqa gunakan bahasa isyarat tak?” perli Syafiqah. Wajah Ikram dijeling tajam.

Ikram tergelak kecil. Pandai pula Syafiqah buat lawak, padahal tengah merajuk ni.
“Janganlah macam tu sayang. Tak naklah guna bahasa isyarat ni. Nanti rindu nak dengar suara sayang yang macam buluh perindu tu,” pujuk Ikram.

“Eleh... Macam buluh perindu konon. Malam tadi bukan main marahnya, sampai tak nak cakap dengan orang,” luah Syafiqah dengan wajah cemberutnya.

“Ooo Ni kira nak balas dendamlah ni ye. Sebab tu senyap je dari tadi. Ik call malam tadi pun tak angkat langsung,” teka Ikram. Hatinya sedikit lega apabila Syafiqah sudah mula bersuara. Sekurang-kurangnya ada peluang untuk dia memujuk Syafiqah.

“Memang nak balas dendampun. Sakit hati Fiqa tahu tak. Ingat Fiqa ni tunggul kayu ke. Orang tanya buat tak tahu je. Lepas tu bawa kereta laju-laju pula. Kalau kemalangan macam mana. Fiqa tak nak mati lagi tahu tak. Fiqa belum kahwin lagi,” luah Syafiqah panjang lebar. Geram dengan sikap Ikram malam tadi.

“I'am really sorry sayang. Please forgive me,” pinta Ikram sambil meraih tangan Syafiqah dan dikucup lembut. Syafiqah cuma membiarkan sahaja. Tidak menarik tangannya seperti yang dilakukannya malam tadi.
“Ik pun tak nak mati lagi. Nak merasa kahwin dengan sayang dulu. Nak merasa hidup bersama, punya anak sama-sama.”

“Habis tu, kenapa malam tadi bawa kereta macam nak masuk Formula 1 je. Kecut perut Fiqa dibuatnya. Fiqa tak sukalah Ik buat perangai macam tu.”

“Okey, okey. Ik tahu Ik yang salah. Ik minta maaf sangat-sangat. Malam tadi tu fikiran Ik bercelaru. Yang sayang pun kenapa layan lagi buaya darat tu. Sakit betul hati Ik tengok sayang dengan dia bersembang tahu tak. Kalau dekat tempat lain, rasanya penumbuk Ik dah singgah dekat muka buaya tu,” luah Ikram bersungguh-sungguh.

“Ik ingat Fiqa nak sangat ke layan dia. Kan Fiqa dah beritahu semalam. Tempat banyak yang penuh. Ik ni pun janganlah cemburu membuta tuli je. Belum kahwin lagi dah buat perangai macam ni. Kalau dah kahwin nanti tak tahulah Fiqa macam mana pula perangai Ik,” Syafiqah meluahkan rasa yang terpendam di hatinya.

“Ik promise. Ik takkan ulang lagi perkara macam tu. Percayalah,” Ikram mengangkat tangan kanannya tanda bersumpah.

“Huh,” keluh Syafiqah perlahan.

“Kenapa sayang tarik tangan dari genggaman Ik semalam?”

“Kenapa pula Ik tanya macam tu?” soal Syafiqah semula.

“Saja nak tahu.”

“Takkanlah Ik nak cium tangan Fiqa dekat depan dia orang. Malulah.”

“Tapi Ik tak malu pun. Biar buaya tu tengok. Baru puas hati Ik.”

“Kalau IK tak malu, tapi Fiqa malu. Please don't do that again. Fiqa tak suka.”

“Okeylah sayang. I will do anything for you. Sayang maafkan Ik ke tak ni. Dari tadi muka tu dah macam ayam berak kapur je. Cuba senyum sikit. Sekurang-kurangnya terubat juga rindu Ik ni,” rayu Ikram sambil tersenyum manis. Kelihatan kedua-dua lesung pipitnya yang dalam.

“Hmmm, tak taulah. Patut dimaafkan atau tak ye,” Syafiqah berteka-teki.

“Alah sayang. Janganlah macam tu. Ik janji takkan buat lagi.”

Syafiqah termenung sejenak. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Okey, kali ini Fiqa maafkan Ik. Tapi kalau sekali lagi Ik buat macam tu, tiada maaf bagimu.”

“Fuhhh... Seram pula dengar. But don't worry lah. Tidak akan ada kali keduanya,” janji Ikram.

Syafiqah cuba mempamerkan senyuman. Berharap agar Ikram akan mengotakan kata-katanya. Sesungguhnya dia teramat menyayangi lelaki itu dan berharap agar hubungan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...