Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, May 31, 2012

Jangan Tinggalkan Abang, Sayang - Part 2


“Macam mana? Positif ke?” Puan Hikmah menyoal menantunya dengan penuh debaran. Namun melihatkan wajah Zalia yang murung dia telah dapat menduga jawapannya.

Zalia hanya menggelengkan kepala. Alat penguji kehamilan di tangan dipandang sepi. Sudah berkali-kali dia membuat ujian kehamilan namun setiap kali itu jugalah jawapannya negatif. Hairan pula dirinya. Siapa yang mandul sebenarnya. Kalau hendak dikatakan dia mandul adalah mustahil kerana dia pernah membuat ujian kesuburan dan jawapannya positif. Entah-entah Syazwan yang mandul. Sementelah pula Syazwan tidak pernah mahu menjalankan ujian tersebut.

“Tak apalah... Nanti boleh cuba lagi,” Puan Hikmah cuba memujuk Zalia dan juga dirinya. Perasaan kecewa memang amat jelas dirasai. Sudah hampir 2 tahun usia perkahwinan Syazwan dan Zalia namun mereka masih lagi belum dikurniakan cahaya mata.

Zalia termenung panjang. Wajah Puan Hikmah dipandang sepi. Sekarang baru dia dapat merasakan apa yang dirasai oleh Farah selama ini. Sedangkan Farah mampu bertahan hampir 8 tahun usia perkahwinan. Sedangkan dirinya baru 2 tahun berkahwin dia sudah berasa kesunyian yang teramat sangat. Kehadiran cahaya mata terlalu diharapkannya. Naluri keibuannya pula semakin menebal dalam diri. Tambahan pula abang dan kakaknya yang baru berkahwin telahpun menimang cahaya mata.

“Entah-entah abang yang mandul,” terluah juga apa yang terbuku di hati Zalia selama ini.

Puan Hikmah terkejut mendengarnya. Wajah menantu kesayangannya direnung tajam. Sakit hatinya mendengar ulas bicara yang lahir dari mulut Zalia.

“Jangan nak memandai pula Lia. Kamu cakap elok-elok sikit. Keturunan ibu tak ada yang mandul tahu tak. Keturunan ibu semuanya baik-baik belaka.”

“Habis tu keturunan Lia lah yang mandul. Keturunan Lia lah yang tak elok. Ibu tahu tak Lia dah buat ujian kesuburan dan jawapannya positif. Tapi abang... Bila Lia ajak dia buat ujian dia tak nak. Dia cakap dia sihat, tak ada apa-apa masalah. Kalau tak ada apa-apa masalah kenapa sampai sekarang Lia masih tak mengandung? Lagipun perkahwinan abang dengan Farah dulu pun bukannya singkat. 8 tahun tu, lama... Tapi masih juga tak ada cahaya mata.”

“Baiklah Lia, kalau itu yang Lia mahukan ibu akan suruh Wan buat ujian. Dan ibu yakin jawapannya tidak akan menghampakan ibu. Lagipun Syazwan tu memang sihat, tak pernah ada sakit apa-apa pun. Percayalah cakap ibu.” Puan Hikmah bangun mahu meninggalkan menantunya. Tak kuasa dia bertekak lama-lama di situ.

“Okey... kita tengok nanti.”

***

Syazwan terduduk di kerusi. Seakan tidak percaya dengan keputusan ujian yang diperolehi. Dia mengalami masalah ketidaksuburan. Spermanya didapati tidak normal. Sperma yang normal biasanya mempunyai bentuk yang lengkap seperti kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi sperma miliknya datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang pendek, ekor terbelit dan macam-macam bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan. Bilangan spermanya juga rendah iaitu kurang daripada 20 juta.

Syazwan meraup kepalanya yang tiba-tiba sahaja rasa pening. Mustahil dia mengalami masalah ketidaksuburan sedangkan dia sihat tubuh dan badan. Wajah Doktor Arif di hadapan dipandang dalam-dalam.

“Doktor, betul ke sperma saya tak normal? Sedangkan selama hari ini saya sihat. Tak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius. Mustahil saya tak subur,” keluh Syazwan. Hakikat tentang ketidaksuburannya sukar untuk diterima.

“Begini Encik Syazwan, walaupun kita sihat dari segi fizikal tak bermakna dalaman kita pun sihat. Lagipun banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam skrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol, obesiti dan testis yang tidak normal.

“Kalau macam tu memang betullah saya ni mandul?”

“Encik Syazwan mengalami masalah sperma yang tidak normal. Dan masalah ini boleh dirawat. Masalah ketidaksuburan ini bukannya melibatkan orang perempuan sahaja. Orang lelaki pun ada mengalami masalah ketidaksuburan juga. Tapi itulah, di Malaysia lebih ramai orang perempuan yang membuat ujian berbanding dengan orang lelaki. Saya bangga dengan Encik Syazwan sebab berani tampil dan membuat ujian tersebut. Yelah, tak semestinya kalau isteri kita tak boleh mengandung dia yang menjadi punca masalah kan?”


Syazwan hanya tersenyum hambar. Sekilas ingatannya teringat kepada Farah. Selama ini dia menyalahkan isterinya kerana menjadi punca mereka masih lagi belum dikurniakan zuriat. Kerap kali dia mengherdik Farah, memaki hamunnya dan mengeluarkan kata-kata kesat pada isterinya. Tetapi hakikatnya... dialah yang menjadi penyebabnya.

***

Sebaik beredar dari klinik Syazwan terus menuju ke rumah yang pernah didiaminya dahulu. Rumah miliknya dan Farah. Sejak dia meninggalkan isterinya hari itu dia langsung tidak pernah datang menjenguk Farah. Bayangkanlah hampir 2 tahun. Hanya nafkah zahir sahaja yang diberikannya. Setiap bulan dia akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Farah. Sedikitpun tidak terdetik di hatinya untuk bertanyakan khabar Farah. Syazwan berasa amat menyesal dengan segala tindak tanduknya selama ini. Begitu tegar dia memperlakukan Farah sedemikian rupa.

“Maafkan abang... Farah, maafkan abang,” hanya permohonan maaf sahaja yang mampu diucapkannya.

Sebaik sampai di luar rumah Syazwan mendapati pintu pagar tertutup rapat dan berkunci. Syazwan lantas mengeluarkan set kunci rumah miliknya yang sememangnya diletakkan di dalam kereta. Setelah memakirkan kereta dia terus menuju ke pintu dan membukanya. Keadaan di dalam rumah masih sama seperti sewaktu ditinggalkannya dahulu.

“Farah!!! Farah!!!” jerit Syazwan mencari kelibat isterinya. Namun panggilannya tidak berbalas.

“Ke mana pula Farah pergi ni?” Syazwan menjadi gelisah. Rumahnya sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Dia ke dapur mencari kelibat Farah, namun tidak ada.

“Farah ada dekat bilik kot.” Syazwan lantas memanjat anak tangga menuju ke bilik di tingkat atas. Namun hampa. Di bilik tidur pun Farah tidak ada. Apa yang terlintas di fikirannya Farah telah meninggalkan rumah. Lantas almari pakaian dibuka. Pakaian Farah masih ada di dalam almari tersebut. Ini menimbulkan kehairanan pada Syazwan.

Telefon bimbit yang tersimpan di poket seluar dikeluarkan lantas nombor telefon bimbit Farah didail. Sekali lagi dia hampa, talian telefon bimbit Farah telah lama ditamatkan perkhidmatan.

“Farah... Farah dekat mana sayang. Abang rindulah dengan Farah. Farah pergi mana ni?” keluh Syazwan.

Fikirannya buntu. Dia tidak tahu ke mana Farah pergi. Punggungnya dilabuhkan ke birai katil. Matanya tertancap pada sebuah diari yang diletakkan di atas bantal miliknya. Dengan pantas tangannya mencapai diari yang berwarna ungu lembut itu. Syazwan tahu diari itu milik Farah. Setahunya Farah tidak gemar menulis diari. Mungkin isterinya hanya menyematkan perkara yang penting-penting sahaja di dalamnya. Dia berkira-kira untuk membacanya. Helaian pertama dibuka. Kosong, tidak ada sebarang tulisan yang dicoretkan. Helaian seterusnya diselak. Terlekat kemas sekeping gambar perkahwinannya dengan Farah di situ. Sepasang pengantin yang sama cantik dan sama padan bagaikan pinang dibelah dua. Tulisan yang tertera di situ dibaca dengan penuh teruja.

6 Februari 2002
Akhirnya aku telah sah menjadi isteri abang. Seorang lelaki yang teramat aku cintai dan sayangi dengan sepenuh hati. Farah berjanji akan menjadi isteri abang dengan sebaiknya. Farah akan turut setiap kata abang. Farah akan letakkan abang di tempat yang tinggi sebagai seorang suami. Sesungguhnya Farah terlalu menyayangi abang. I love you so much bang. Semoga hubungan yang terjalin ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

 

“Abang pun sayang sangat dekat Farah. I love you too sayang,” ucap Syazwan.

Seterusnya Syazwan menyelak lagi halaman seterusnya. Perasaan ingin tahu tentang isterinya begitu mendalam. Dia ingin tahu apa yang diabadikan oleh Farah di dalam diari tersebut. Melihatkan pada tarikh yang tertera di halaman seterusnya tekaan Syazwan memang tepat. Farah jarang menulis diari. Beza tarikh catatan pertama dan kedua adalah satu tahun.

1 Januari 2003
Aku gembira sangat hari ini. Hari ini hari jadi aku. Abang memberikan aku sebentuk cincin bertatahkan berlian. Sangat cantik sekali. Mesti mahal kan bang. Farah terima dengan seikhlas hati. Tapi bang, Farah bukanlah seorang perempuan yang materialistik. Farah sedar siapa diri Farah. Hanya seorang anak yatim piatu yang abang kutip di Rumah Seri Bahagia. Bukannya harta kekayaan abang yang Farah inginkan. Cukuplah segala kasih sayang dan perhatian yang abang berikan pada Farah selama ini. Semoga abang sentiasa menyayangi Farah. Selama-lamanya.


Ada rasa sebak di hati Syazwan. Teringat perkenalannya dengan Farah semasa di Rumah Seri Bahagia dahulu. Ketika itu dia melawat ke rumah anak yatim tersebut dan memberikan sumbangan. Di situlah pertama kali dia bersua muka dengan Farah. Pandangan pertama telah membuatkannya jatuh cinta.

17 Jun 2004 
Hari ini sekali lagi aku sakit kepala. Berdenyut-denyut, terasa pening semacam. Sakit kepala yang sering terjadi di awal pagi. Kenapa aku sering sakit kepala? Adakah aku menghidap penyakit yang kronik? Ah... mungkin itu tanda awal aku nak datang bulan agaknya. Tak payah beritahu abanglah. Lagipun abang kan sibuk dengan kerjanya. Takkan perkara kecil macam tu pun nak beritahu dia. Makan panadol nanti baiklah tu.
 

Helaian lain dibuka. Begitu khusyuk dan tekun sekali Syazwan membaca diari milik isterinya. Setiap patah perkataan yang tertulis dibacanya.

7 Julai 2010
Kenapa sejak akhir-akhir ini perangai abang seakan-akan dah berubah. Selalu sangat nak marah-marah. Pantang salah sikit mesti naik angin. Dah tu selalu sangat pulang lewat. Boleh dikatakan hari-hari abang balik lambat. Abang tak tahu ke yang Farah rindukan abang. Rindu sangat-sangat bang. Nama saja duduk serumah tapi susah betul nak bermanja dengan abang. Hari-hari Farah kesunyian. Mungkin abang marah sebab sampai sekarang Farah masih belum mengandung lagi. Nak buat macam mana bang. Masih belum ada rezeki kita lagi. Sabar ye bang, Insyaallah tak lama lagi mungkin kita akan dikurniakan cahaya mata. Amin.


Syazwan terkedu. Rasa bersalah menyelubungi dirinya. Betapa selama ini dia sering menyalahkan isterinya. Dia bersalah sangat pada Farah. “Maafkan abang... maafkan abang.” Rasa sebak di dadanya semakin menebal. Helaian diari tersebut diselak lagi.

8 Ogos 2010
Kenapa bang? Kenapa macam ni jadinya. Sampai hati abang malukan Farah di klinik tadi.Dah tu abang tinggalkan Farah di klinik macam tu je. Abang kata Farah mandul. Ya Allah... sampainya hati abang. Sakitnya hati Farah hanya tuhan saja yang tahu. Tak boleh ke bawa berbincang bang. Kenapa abang buat Farah ni. Mana janji abang untuk menjaga Farah selama ini. Nak sehidup semati dengan Farah. Abang tinggalkan Farah keseorangan.Sampainya hati abang.


Air mata jantan sudah mula bergenang di tubir mata Syazwan. Hatinya cukup sebak. Perasaan menyesal dan bersalah yang bersarang di dada semakin menjadi-jadi. Andainya masa dapat diputar kembali, sudah pasti dia tidak akan melakukan perkara sedemikian pada Farah.

22 Ogos 2010
Dah hampir 2 minggu abang tak balik rumah. Abang pergi mana? Farah rindukan abang sangat-sangat. Farah rindukan belaian abang. Farah rindukan ciuman manja abang. Farah rindukan pelukan mesra abang. Hari-hari Farah merindui abang. Abang tak kesiankan Farah ke? Kenapa abang tak balik-balik lagi. Baliklah bang. Isterimu ini terlalu merinduimu. Sekarang ni Farah selalu sangat pening-pening dan muntah-muntah. Kalau abang ada mesti abang akan jaga Farah kan. Abang kan sayang Farah... Betul kan bang? Betul kan? Baliklah bang. Rindu sangat-sangat.

 

Setitis air mata Syazwan mula jatuh dan mengenai diari milik Farah. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya saat ini.

24 Ogos 2010
Farah gembira sangat sebab setelah lama menanti akhirnya abang pulang juga. Betapa rindunya Farah pada abang, hanya tuhan saja yang tahu. Farah cium pipi abang puas-puas, Farah peluk abang kuat-kuat. Farah tak nak abang pergi lagi. Biarlah apa yang abang pernah buat pada Farah dulu, Farah tak kisah. Farah maafkan abang. Farah takkan ambil hati. Asalkan abang tak tinggalkan Farah lagi..

Tapi... kenapa bang?

Pertemuan pertama selepas 2 minggu itu merupakan pertemuan yang terakhir antara kita. Abang tinggalkan Farah lagi. Untuk kali kedua. Dan Farah yakin pemergian abang kali ini adalah untuk selama-lamanya. Ye lah, abang kan dah kahwin lain. Zalia dah lah cantik. Mesti dia dapat bahagiakan abang. Sekaligus memberikan cahaya mata yang amat diidam-idamkan.

Siapalah Farah pada abang kan. Farah menangis lagi bang. Hari-hari Farah menangis, mengenangkan nasib diri Farah. Dah lah sebatang kara, lepas tu ditinggalkan pula oleh suami. Ya Allah, kau berikanlah semangat pada hambamu ini. Agar aku mampu menempuh segala ujian yang Kau berikan.

Keluar saja abang dari rumah ini, Farah bernekad. Farah akan cuba lupakan abang. Farah takkan cari abang. Farah takkan call abang. Farah takkan ganggu hidup abang lagi. Farah tahu abang dah tak sayangkan Farah lagi. Biarlah Farah hidup seorang diri. Dulu pun Farah sebatang kara juga. Pergilah bang... pergilah dengan isteri baru mu itu.

Air mata... cukuplah kau mengalir. Janganlah kau mengalir lagi.


“Ya Allah... Berdosanya aku pada isteriku. Apa yang abang dah lakukan pada kau Farah. Sesungguhnya abang menyesal sangat. Maafkan abang sayang.” Kedua-dua mata Syazwan sudah merah. Air mata jantannya yang tidak pernah mengalir akhirnya keluar juga.

24 Ogos 2011
Hampir setahun dah pemergian abang. Dalam tempoh tu hari-hari Farah rindukan abang. Walaupun Farah nekad untuk lupakan abang tapi... hakikatnya tidak dapat diubah. Mana mungkin Farah mudah untuk lupakan abang. Insan pertama yang telah mencuri hati Farah. Insan pertama yang mengajar Farah tentang cinta, rindu dan kasih. Betapa Farah terlalu merinduimu. Andai masih lagi ada rasa di hatimu... pulanglah. Diri ini setiap saat menunggu kepulanganmu. Setiap saat merindu kehadiranmu. Pulanglah sayang... Pulanglah suamiku.


“Abang pulang sayang. Abang datang ni. Tapi Farah di mana? Di mana Farah sayang?”

1 September 2011
Ya Allah yang maha agong. Hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambamu. DugaanMu terlalu besar untukku. Tetapi aku redha Ya Allah. Kanser otak. Rupanya selama ini aku menghidap kanser otak. Itulah yang diberitahu oleh doktor siang tadi. Patutlah aku selalu sakit kepala dan muntah-muntah. Mungkin hidupku tak panjang. Penyakit kanser ku sudah semakin teruk, sudah tahap kritikal. Maklumlah sudah bertahun aku mengalami simptonnya tapi... tak pernah langsung nak buat pemeriksaan. Kalau tidak mungkin masih ada harapan. Biarlah aku redha... Lagipun untuk apa aku hidup lagi. Biarlah aku mati saja.


Syazwan terkejut. Isterinya menghidap kanser otak. Selama ini isterinya seorang diri menanggung kesakitan. Tetapi dia... sedikitpun tidak mengendahkan Farah.

“Abang berdosa sayang. Abang berdosa pada Farah.”

31 Mei 2012
Aku rasa seperti sudah sampai masanya aku pergi jauh dari duniaMu ini Ya Allah. Aku sudah tidak tertahan sangat menanggung sakitnya. Terlampau sakit Ya Allah. Sebolehnya aku ingin pergi di pangkuan suamiku... tapi apakan daya. Sampai sekarang dia langsung tak menjenguk aku. Abang... abang dah lupakan Farah langsung ke bang? Adakah Farah sudah tidak terpahat di hati abang? Farah dah nak pergi jauh ni bang. Pulanglah bang. Datanglah jenguk Farah. Agar Farah boleh pergi dengan tenang, dengan aman. Pulanglah bang. Walaupun sekejap cuma. Agar hilang rasa rindu yang ditanggung ini bang. Pulanglah...


Catatan terakhir dari Farah. Syazwan sudah tidak dapat menahan rasa. Air mata jantannya mengalir deras. Dia sedih sangat. Selama ini dia berlaku kejam terhadap insan yang menyayanginya. Syazwan bergegas menuruni anak tangga. Diari milik isterinya turut dibawa sama. Dia seakan-akan tahu ke mana Farah pergi membawa diri.

***

Syazwan telah sampai ke Rumah Seri Bahagia. Dia terus menuju ke teratak Puan Mila yang merupakan pengasas Rumah Seri Bahagia. Kelihatan ramai penghuni Rumah Seri Bahagia yang berkerumun di perkarangan teratak tersebut. Semuanya berwajah sugul dan sedih sekali. Dari luar kedengaran bacaan Yassin dibacakan. Syazwan rasa berdebar-debar. Jantungnya bergerak cukup pantas sekali. Sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam, semua mata tertumpu ke arahnya. Syazwan terkejut, dia bagaikan hendak pitam.

“Farah...” Air mata jantannya sudah mahu mengalir lagi. Dia berjalan laju mendapatkan Farah yang sedang berbaring. Beberapa orang penghuni Rumah Seri Bahagia mengelilingi Farah sambil membaca Yassin. Farah kelihatan sudah nazak sangat. Tubuh Farah kurus kering, mukanya cengkung. Kelihatan cukup tidak bermaya.

“Abang datang ni sayang,” Syazwan berjalan pantas menuju ke arah Farah. Dia duduk bersila di sebelah Farah. Tubuh yang tidak bermaya itu dipangkunya. Mata Farah yang sedari tadi terpejam seakan-akan bergerak-gerak.

“Farah... buka mata sayang. Tengok siapa yang datang ni. Ini abang sayang. Farah nak jumpa abang kan. Farah rindu abang kan...” Pipi cengkung Farah dibelai dengan tangan sasanya. Dahi Farah dicium berkali-kali. Sesekali air mata Syazwan menitis mengenai pipi Farah.

Farah gagahkan diri. Matanya cuba dibuka. Telinganya jelas menangkap suara yang memanggil namanya. Suara milik lelaki yang terlalu dirinduinya selama ini. Akhirnya... abang datang juga.

Mata Farah dibuka perlahan. Wajah insan yang dirindui itu benar-benar berada di hadapan matanya. Farah cuba tersenyum. Tangannya cuba diangkat namun dia tidak berdaya. Dengan pantas Syazwan memegang tangan Farah. Tangan yang kurus itu diciuminya berkali-kali.

“Maafkan abang sayang, maafkan abang. Betapa selama ini abang telah mengabaikan Farah. Banyaknya dosa abang pada Farah.” Syazwan menangis lagi. Sedih hatinya melihat keadaan Farah sebegitu.

Farah menggeleng perlahan. Segala dosa suaminya telah lama dimaafkan. Sedikitpun dia tidak menyimpan dendam terhadap insan yang terlalu disayanginya.

Kedengaran tangisan penghuni Rumah Seri Bahagia. Suasana pilu turut mereka rasai. Peristiwa yang berlaku di depan mata benar-benar cukup meruntun hati.

Syazwan mendekatkan telinganya ke mulut Farah apabila dirasakan Farah ingin berkata sesuatu. Begitu susah untuk Farah menuturkan kata.

“Aa.. bang. Maaf kan... Farah. Halal... kan... Ma... kan minum Farah.”

Syazwan mengangguk berkali-kali. Dia tidak mampu untuk berkata-kata saat ini. Hatinya dipagut sedih dan pilu.

“Pe...luk Farah... bang...”

Syazwan menurut. Tubuh Farah yang kurus kering itu dipeluk kemas. Lama dia berkeadaan sedemikian. Sehinggalah dia merasakan tubuh itu kaku tidak bernyawa.

“Farah... Farah,” panggil Syazwan. Namun tubuh kaku itu tidak bergerak. Kaku, keras dan sejuk. Farah telah pergi menghadap Penciptanya. Pergi menghadap Yang Maha Esa dalam dakapan insan tersayang. Akhirnya tercapai juga hajatnya yang satu itu.

“Farah!!!”jerit Syazwan sekuat hati. Tangisnya semakin kuat. Tangisnya tidak berlagu. Akhirnya Farah pergi jua.

“Bangun Farah... Jangan tinggalkan abang. Jangan tinggalkan abang sayang. Bangun,” Syazwan tidak dapat menerima hakikat Farah pergi meninggalkannya. Pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya. Menangis air mata darah sekalipun Farah tidak akan kembali lagi. Syazwan menyesal, namun apa kan daya. Semuanya sudah tertulis. Itulah suratan takdir.


- Hidup tidak semuanya indah -


Sumber rujukan.

http://www.sihatselalu.com.my/2010/06/sperma-tidak-normal.html

Wednesday, May 30, 2012

Jangan Tinggalkan Abang, Sayang - Part 1

Syazwan mencampakkan briefcasenya ke sofa. Cukup untuk mengejutkan Farah yang sedang terlena akibat lama menantikan kepulangannya. Tali leher yang terasa merimaskan dilonggarkan. Dia seterusnya menghenyakkan punggungnya ke sofa sambil kedua-dua belah kakinya dilunjurkan ke meja.

“Abang dah balik?” soal Farah yang masih lagi mamai. Matanya ditenyeh berkali-kali. Wajah Syazwan yang kelihatan serius menambahkan getar di dadanya. Jam di dinding ditoleh sekilas. Sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Lewat benar suaminya pulang ke rumah. Farah terus mendapatkan Syazwan yang duduk di sofa. Kedua-dua sarung kaki suaminya dibuka. Begitulah tugas rutinnya sejak 8 tahun yang lepas. Menjadi suri rumah dan menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri kepada suami yang dicintainya dengan sepenuh hati.

“Kenapa tak tidur dekat dalam bilik?” soal Syazwan dengan nada kasar.

“Farah tunggu abang balik tadi sampai tertidur pula. Abang dah makan?”

Syazwan cuma memandang isterinya tanpa sebarang reaksi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini perasaan sayangnya terhadap Farah kian luntur. Mungkinkah disebabkan sehingga kini, setelah 8 tahun melayari hidup berumahtangga mereka masih lagi belum dikurniakan zuriat. Ditambah pula dengan tekanan daripada ibunya yang mahukan cucu. Apa yang paling merunsingkannya adalah permintaan Puan Hikmah yang menginginkannya mengahwini Zalia iaitu sepupunya.

“Sampai bila Wan nak tunggu lagi. Dah 8 tahun tapi seorang anak pun tak ada lagi. Ibu malu dengan saudara mara kita. Orang sekarang ni bukannya bertanyakan pasal berapa banyak harta yang kita ada, tapi berapa ramai anak cucu yang kita ada. Senang-senang Wan kahwin je la dengan Zalia, anak Mak Su tu. Lagipun dulu kan Wan dengan Zalia tu rapat masa zaman sekolah. Bini kau tu mandul. Tak boleh beranak. Lebih baik kau ceraikan saja dia tu. Buat menanggung biawak hidup saja,” masih terngiang-ngiang suara Puan Hikmah di telefon siang tadi.

“Abang dah makan? Kalau belum nanti Farah panaskan lauk-pauk,” sekali lagi Farah bertanya apabila tidak mendapat respon dari suaminya. Bahu Syazwan dipicit perlahan. Dia tahu suaminya mesti kepenatan. Namun tangan lembut yang memicit bahu tersebut ditepis kasar oleh Syazwan.

“Jangan picit-picitlah. Rimaslah.” Syazwan bingkas bangun meninggalkan Farah terkebil-kebil keseorangan. Sedikitpun dia tidak ada rasa belas dan kasih pada isterinya. Apa yang ada hanyalah perasaan benci dan marah kerana mendapat seorang isteri yang tidak mampu memberikannya zuriat.

Farah cuma mampu melihat dengan hati yang pedih. Bukan sekali dua dia diperlakukan sedemikian. Sudah banyak kali hatinya disakiti oleh suami tersayang. Dia tahu semuanya berpunca daripada kesunyian hidup mereka. Sudah 8 tahun berkahwin tetapi masih gagal memiliki walau seorang pun cahaya mata. Dia tidak tahu siapa yang bersalah, adakah dia ataupun suaminya. Ataupun semuanya sudah ketentuan Yang Maha Esa.

***

“Farah!!! Farah!!! Mana sarapan pagi ni? Aku dah nak pergi kerja dah ni. Kau tak masak ke pagi ni?” Syazwan bungkam sebaik membuka tudung saji di dapur. Tidak ada satu pun hidangan yang tersedia. Sebelum ini tidak pula begitu.

Farah tergesa-gesa menghampiri Syazwan di dapur. Memang pagi tadi dia hendak memasak tetapi tiba-tiba sahaja dia sakit kepala. Sebelum ini pun dia kerap mengalami sakit kepala namun setelah menelan beberapa biji panadol sakit itu beransur hilang. Tetapi pagi ini walau sebanyak mana panadol yang ditelannya sakitnya semakin menjadi-jadi. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya.

“Maafkan Farah bang. Farah tak larat nak masak pagi ni,” luah Farah meminta simpati. Kepalanya dipicit-picit dengan tangan kanannya.

“Kenapa pula tak larat? Penat ke? Bukannya kau ada buat kerja pun. Sekadar buat kerja rumah tu setakat manalah penatnya. Ada banyak masa untuk berehat. Kalau ada anak tu lainlah cerita, mestilah penat sebab menjaga anak kan. Ini anak pun tak ada.”

Farah cuma tunduk merenung lantai. Begitu sayu sekali hatinya mendengar kata-kata Syazwan. Tidakkah Syazwan rasa apa yang dia rasa? Dia juga turut merasa kesunyian. Tambahan pula sentiasa duduk seorang di rumah tanpa ditemani sesiapa. Hatinya sakit, jiwanya terhiris.

Disebabkan sakit kepala yang melampau Farah malas hendak berdebat panjang. Dia cuma mendiamkan diri sahaja. Sakit kepala yang kuat itu menyebabkan dia turut berasa loya seperti hendak muntah. Cepat-cepat Farah melarikan dirinya ke tandas.

Syazwan yang bukan main marahnya tadi turut berubah panik. Risau pula dia melihat keadaan Farah. Diekori isterinya ke tandas. Belakang isterinya diusap beberapa kali. Farah muntah dengan banyaknya. Segala isi perut yang terisi habis dikeluarkan. Syazwan memandang dengan belas kasihan. Dalam hati meneka-neka kenapa keadaan isterinya sedemikian rupa.

“Kenapa muntah ni? Sayang pregnant kot?” ada riak gembira di wajahnya. Mungkinkah benar isterinya sedang hamil. Setahunya kalau sakit kepala dan muntah-muntah seperti ini adalah disebabkan seseorang itu mengandung.

“Jom sayang... Abang bawa ke klinik.”

“Tak payahlah bang. Sakit kepala biasa je ni.”

“Biasa apanya. Kalau dah sakit kepala dan muntah-muntah macam tu mesti sebab pregnant. Abang tahu mesti sayang pregnant ni,” Syazwan kelihatan teruja. Membayangkan dirinya akan bergelar ayah tidak lama lagi. Dipimpin perlahan isterinya ke sofa. Dia kemudian mengambil cuti kecemasan. Farah akan dibawa ke klinik..

***
“Okey dah sampai pun. Tunggu sekejap ye, nanti abang bukakan pintu,” Syazwan bergegas menuju ke tempat duduk di sebelah pemandu. Wajah Farah yang kelihatan pucat dipandang sayu.

“Teruk juga orang pregnant ni ye?” soalnya sambil memapah Farah menuju ke Klinik Aisyah.

Farah hanya mampu tersenyum. Dia sendiri tidak pasti adakah dirinya mengandung? Apa yang dia tahu sakit kepala yang dialaminya bukan hari ini terjadi, telah kerap kali. Cuma baru hari ini dia merasa loya dan muntah. Tetapi mungkin juga dia mengandung kerana periodnya telah lewat hampir 2 minggu.

“Okey... sayang duduk dulu, biar abang pergi buat pendaftaran.”

Farah hanya mengangguk. Sesekali dia memejamkan mata. Walaupun kepalanya yang berdenyut tadi semakin berkurangan sakitnya namun matanya kelihatan berpinar-pinar. Tulisan poster tentang penyakit kanser yang terdapat beberapa meter di hadapannya juga tidak dapat dibaca dengan jelas. Tulisannya seakan-akan kabur dan berlapis-lapis.

'Kenapa dengan aku ni? Aku dah nak buta ke? Tulisan sedekat itu pun aku tak nampak.' Farah semakin gelisah.

“Okey dah selesai. Sekejap lagi kita tunggu doktor. Sayang sakit lagi ke?” soal Syazwan yang telah selesai membuat pendaftaran. Dia melabuhkan punggung di sebelah Farah. Dahi isterinya dipicit perlahan.

“Tak payahlah bang, Farah rasa dah okey sikit ni.”

“Kalau macam tu baguslah. Lega sikit abang mendengarnya,” Syazwan tersenyum bahagia. Pintu bilik doktor dipandang. Tidak sabar-sabar dia hendak membawa Farah masuk ke dalam dan seterusnya mendengarkan berita gembira tersebut dari doktor sendiri.

“Sayang... Abang dah ada nama untuk anak kita nanti. Kalau perempuan abang nak letak Nur Fatin Umairah, kalau lelaki pula Nur Iqbal Hakimi. Macam mana, Farah suka tak?” Syazwan berwajah ceria. Jari jemari Farah diramas mesra.

Farah cuma tersenyum riang. “Cepat betul abang pilih nama tu. Macam dah sedia ada saja.”

“Memang pun. Nama-nama tu abang pilih sejak kita di awal perkahwinan lagi. Manalah tau kot-kot time tu sayang bunting pelamin ke. Rupa-rupanya sekarang baru merasa nak gunakan nama-nama tu,” Syazwan tersengih. Dia kelihatan cukup gembira dan riang sekali.

Farah hanya memandang dengan senyuman hambar. Sebenarnya dia bimbang jika sebentar nanti jawapan yang diterimanya negatif. Sudah pasti reaksi Syazwan berbeza seperti sekarang. Namun dalam hatinya dia memanjatkan doa agar dirinya benar-benar hamil.

“Puan Farah,” kedengaran nama Farah dipanggil.

Syazwan bingkas memapah isterinya memasuki bilik doktor. Kelihatan seorang doktor muda tersenyum manis ke arah mereka.

“Ye... kenapa ye?” soal Doktor Aisyah kepada mereka berdua.

“Saya syak isteri saya ni pregnant doktor. Tadi dia pening kepala dan muntah dengan teruk. Selalunya itu tanda-tanda orang mengandung kan?” Syazwan pula menyoal Doktor Aisyah. Farah di sebelah dipandang dengan senyuman manis.

“Ye... memang betul. Antara tanda-tanda orang mengandung adalah seperti pening-pening, loya dan muntah-muntah. Kita panggil morning sickness. Sebelum tu saya nak tanya Puan Farah, bila kali terakhir puan datang bulan ye?” Doktor Aisyah memandang Farah.

“Saya last period bulan lepas doktor. Tarikh tu tak berapa nak ingat. Tapi kalau ikut perkiraan saya, bulan ni dah lewat 2 minggu saya tak datang period.”

“Dah sah lah tu, mesti pregnant kan doktor,” wajah Syazwan bercahaya. Tangan Farah diramas mesra. Dia amat yakin yang Farah sedang mengandungkan benihnya.

“Macam nilah. Apa kata Puan Farah pergi buat ujian air kencing dulu. Lepas tu kita akan sahkan sama ada pregnant atau tak.”

Farah cuma mengangguk. Dia kemudiannya bergerak menuju ke tandas setelah diberikan bekas kecil. Setelah selesai semuanya dia menuju ke bilik doktor dan memberikan sampel air kencingnya kepada doktor.

“Okey, tunggu sekejap ye.” Doktor Aisyah terus menguji sampel air kencing Farah.

Farah dan Syazwan menanti dengan penuh debaran. Syazwan yang kelihatan begitu teruja kelihatan tidak sabar-sabar menanti jawapan dari Doktor Aisyah. Setelah selesai menjalankan ujian Doktor Aisyah duduk semula di tempatnya.

“Macam mana doktor? Isteri saya mengandung kan?” soal Syazwan tanpa sempat Doktor Aisyah memberitahu perkara yang sebenarnya. Farah di sebelah pula kelihatan semakin gelisah.

Doktor Aisyah hanya mampu tersenyum. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba memberitahu perkara yang sebenarnya. “Minta maaf ya encik, ujian yang kita jalankan tadi menunjukkan yang Puan Farah tak mengandung. Mungkin simpton lain yang menyebabkan dia sakit kepala dan muntah-muntah.”

Serta merta wajah Syazwan dan Farah berubah.
“Betul ke ni doktor? Cuba check sekali lagi. Mustahil isteri saya tak mengandung. Tadi dia muntah teruk tu.” Syazwan seakan-akan tidak dapat menerima hakikat.

“Betul encik. Ujian yang kami jalankan tu memang tepat. Puan Farah memang belum mengandung lagi,” Doktor Aisyah cuba meyakinkan.

“Tipulah... ini semua tipu,” Syazwan meraup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan. Baru sahaja dia hendak bergembira dengan berita yang telah lama ditunggunya namun hampa. Perasaan kecewa sangat-sangat dirasai.

“Abang... janganlah macam ni. Mungkin belum ada rezeki kita lagi. Sabarlah,” pujuk Farah. Tangan Syazwan cuba digenggam namun Syazwan menepis kasar.

“Sabar!!! Sabar!!! Sampai bila aku nak sabar hah. Dah 8 tahun aku tunggu tapi kau tak mengandung juga. Memang betullah ibu aku cakap yang kau ni mandul. Memang keturunan mandul agaknya,” Syazwan sudah tidak dapat membendung perasaan marahnya. Tanpa rasa malu dia menengking dan memaki hamun isterinya di hadapan Doktor Aisyah.

Doktor Aisyah yang terkejut dengan tindakan Syazwan hanya mampu menenangkannya. “Sabar encik. Bawa bertenang. Masalah ni boleh dibawa berunding. Tak patut encik salahkan isteri encik. Kita sama-sama cari jalan penyelesaian,” pujuk Doktor Aisyah. Kasihan dia melihatkan Farah yang cuba menahan air mata daripada keluar.

“Nak bincang apa lagi doktor. Isteri saya ni memang mandul.”

“Abang!!!” jerit Farah. Dia sudah tidak tahan dicaci sebegitu oleh suaminya. Di hadapan seorang doktor muda pula tu. Tidakkah suaminya tahu malu, merendah dan memperlekehkan dirinya di hadapan orang lain. Hatinya semakin diruntun sayu. Air mata yang ditahan sedari tadi semakin laju mengalir. “Sampai hati abang cakap Farah macam tu.”

“Kita cuba cari punca masalahnya dulu encik. Sebelum ni encik dan puan pernah tak buat ujian kesuburan? “ soal Doktor Aisyah. Dia cuba mencari punca dan jalan penyelesaian bagi masalah suami isteri di hadapannya ini.

“Nak buat ujian apa nya doktor. Setahu saya kalau tak boleh mengandung ni, orang perempuan tulah yang mandul. Orang lelaki mana ada mandul. Mengarutlah dengan ujian-ujian tu semua. Memang saya ni bernasib malang sebab dapat isteri yang mandul.” Syazwan bingkas bangun dan berlalu meninggalkan Farah dan Doktor Aisyah.

Doktor Aisyah mendapatkan Farah yang sedang menangis teresak-esak. Tubuh kecil yang terhenjut-henjut itu dibawa ke dakapannya. “Sabar banyak-banyak puan. Saya doakan yang terbaik untuk rumah tangga puan.” Belakang Farah ditepuk perlahan.

Farah pula sudah hilang rasa malu. Dia menangis semahunya dalam dakapan Doktor Aisyah. Biarlah apa doktor itu hendak kata. Hatinya sayu sangat-sangat. Sedih bila mengenangkan nasib dirinya. Hanya kerana tidak mempunyai zuriat Syazwan melayannya sedemikian rupa. Padahal mereka berkahwin atas dasar suka sama suka, saling cinta mencintai.

'Sampai hati abang buat Farah macam ni. Sampai hati abang.'

***

“Ke mana abang pergi? Kenapa sampai sekarang abang masih belum balik lagi. Farah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Abang tak rindukan Farah ke?”

Farah termenung di ruang tamu. Menunggu kepulangan suami yang entah bila akan pulang. Sejak peristiwa dimalukan di hospital dahulu sudah hampir 2 minggu Syazwan menghilangkan diri. Tinggallah Farah keseorangan di rumah menantinya ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sakit peningnya pun dia sendiri yang menanggung. Sejak akhir-akhir ni sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Hampir setiap pagi dia akan mengalami sakit kepala yang amat teruk, diiringi dengan muntah-muntah. Badannya cukup lemah dan tidak bermaya. Tubuh yang dulunya berisi sudah bertukar menjadi kurus. Mukanya yang dulu gebu telah berubah menjadi cengkung.

“Assalamualaikum” sapaan di muka pintu mengejutkan lamunan Farah. Dia lantas menuju ke pintu untuk melihat tetamu yang hadir. Terkejut bukan kepalang apabila dia melihat gerangan tetamu yang tidak diundang itu.

“Ibu.” Farah menghulurkan tangan untuk bersalam namun tidak disambut oleh Puan Hikmah. Hanya jelingan tajam yang dihadiahkan kepada menantunya itu. Farah berasa serba salah. Apakah tujuan kedatangan ibu mertuanya ke sini bersama-sama dengan seorang gadis yang cukup dikenalinya. Zalia, sepupu Syazwan.

“Duduklah dulu bu, nanti Farah buatkan air,” pelawa Farah. Dalam hatinya penuh debaran dan tanda tanya. Dia dapat menangkap kedatangan ibu mertuanya bukanlah berniat baik. Sebelum ini tidak pernah Puan Hikmah menjejakkan kaki ke rumah yang didiaminya dengan Syazwan. Dia tahu, dia bukanlah menantu pilihan keluarga Syazwan dan dia tahu dirinya amat dibenci oleh ibu mertuanya.

“Tak payah. Aku datang sini bukannya hendak duduk ataupun hendak minum air yang kau buat. Aku datang sini sebab nak beritahu kau satu perkara penting. Kau tahu ke mana Syazwan pergi?”

Farah menggeleng. “Minta maaf bu, Farah tak tahu ke mana abang pergi. Dah puas Farah telefon dia tapi dia tak jawab pun. Farah call ofis, dia orang cakap abang bercuti. Farah bimbang kalau-kalau ada sesuatu yang buruk berlaku pada abang.”

Zalia tersenyum mengejek. Puan Hikmah tersengih panjang.

“Tak payahlah kau nak susah-susah risaukan dia. Untuk pengetahuan kau, suami kau dah selamat dinikahkan dengan Zalia di Thailand. Kalau kau nak tahu ini madu kau. Tapi jangan bimbanglah, status kau sebagai madu tu akan berakhir tak lama lagi. Aku akan suruh Syazwan ceraikan kau. Tak ada gunanya dia hidup bersama dengan kau. Tak mendatangkan hasil pun. Buat menghabiskan duit gaji dia saja menyara kau. Dah lah mandul, tak boleh beranak.”

Kata-kata Puan Hikmah cukup membuatkan Farah terkejut besar. Umpama jatuh ditimpa tangga dirinya saat ini. Dia terduduk di lantai. Fikirannya kosong, akalnya mati. Kepalanya berserabut dengan pelbagai masalah. Air mata yang sentiasa menjadi peneman setianya laju saja mengalir. Seolah-olah sama-sama menangisi nasib dirinya. Kelibat Puan Hikmah dan Zalia yang tersenyum mengejeknya tidak dihiraukan. Pemergian mereka juga tidak disedarinya.

“Abang... sampainya hati abang buat Farah macam ni. Mana janji abang untuk sehidup semati dengan Farah. Kenapa abang biarkan Farah terkapai-kapai keseorangan. Sedangkan abang... abang sedang berbahagia dengan orang lain. Sia-sia Farah risaukan abang selama ini. Abang... baliklah bang. Farah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Baliklah bang...” Farah menangis teresak-esak umpama anak kecil yang kematian ibunya. Menangisi nasib dirinya. Dia menangis sepuas-puasnya, semahu-mahunya.

***

“Farah... Farah...” kedengaran sayup-sayup suara memanggilnya. Suara yang amat dikenalinya. Suara milik insan yang terlalu dirinduinya.

Farah membuka mata perlahan-lahan. Kelihatan kabur pandangannya. Berkali-kali dia mengerdipkan matanya sehingga jelas gerangan insan yang berada di hadapannya.

“Abang...” Farah tidak mampu meneruskan kata-kata. Lelaki yang berada di hadapannya dipeluk sekuat hati. Rindu pada suaminya tidak dapat dibendung lagi. Bertubi-tubi pipi Syazwan diciuminya. Dia terlalu merindui lelaki itu, terlalu merindui suaminya. Pelukannya dikemaskan, seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu lelaki itu pergi meninggalkannya lagi. Cukuplah sekali, jangan berulang lagi.

“Farah rindukan abang... rindu sangat-sangat.”

Syazwan cuma membiarkan dirinya diperlakukan sebegitu oleh Farah. Dia tidak menolak namun dia juga tidak membalas setiap perilaku tersebut. Tubuhnya keras umpama kayu. Langsung tidak mempunyai reaksi.

“Abang...” Farah menatap wajah Syazwan. Tidakkah suaminya ini merindui dirinya, sebagaimana dirinya. Perlahan-lahan Farah melepaskan pelukannya yang kemas tadi. Perasaan malu mula terbit dalam diri apabila Syazwan tidak memberikan sebarang tindak balas. Wajah Syazwan dipandang sayu.

“Kenapa tidur dekat sini?” soal Syazwan. Wajah Farah yang murung dipandang sepi.

Farah terdiam. Baru tersedar yang sepanjang malam dia tertidur di lantai di tepi sofa rupanya. Semalaman dia menangis mendengar khabar buruk yang disampaikan oleh ibu mertuanya. Tangisan yang panjang sehingga akhirnya dia tertidur di situ.

“Farah menangis ke?” Syazwan menyoal apabila melihat sepasang mata isterinya yang sembab. Dia tahu Farah menangis, dan dia juga tahu penyebabnya. Namun dia tidak berdaya. Dia berada dalam keterpaksaan. Dia sayangkan Farah tetapi perasaannya sukar hendak diduga. Syazwan dapat merasakan yang dirinya sudah tidak seperti dahulu. Seolah-olah ada satu kuasa aneh yang membuat keputusan bagi pihaknya.

Farah cuma diam membisu tanpa sebarang jawapan. “Abang nak makan, nanti Farah boleh masakkan.” Farah sudah mahu bangun. Hari yang menginjak ke tengah hari menyebabkan dia tersedar yang dia belum menjamah apa-apa lagi. Patutlah perutnya terasa pedih semacam.

“Tak apalah. Abang dah kenyang. Abang datang ni pun untuk ambil barang-barang abang saja.”

“Ambil barang-barang abang. Apa maksud abang?” laju Farah menyoal. Dadanya yang sesak menjadi semakin berdebar-debar. Adakah Syazwan akan menceraikannya. Maklumlah Syazwan sudah pun berkahwin lain. Debaran di dadanya semakin memuncak. Perasaan bimbang dan risau semakin mencengkam kalbu.

“Abang rasa Farah dah tahu dengan keadaan kita sekarang kan. Mulai hari ini abang akan tinggal bersama-sama dengan Zalia. Tapi Farah jangan risau, Farah boleh tinggal di rumah ni. Abang hadiahkan rumah ni untuk Farah. Tiap-tiap bulan abang akan bagi nafkah. Abang takkan ceraikan Farah walaupun itu merupakan kehendak ibu.” Syazwan terus bergegas menuju ke bilik. Dia tidak sanggup berhadapan dengan Farah. Perasaan bersalah amat kuat dirasakan.

“Abang... kenapa? Kenapa sampai jadi macam ni? Abang tak kesiankan Farah ke?” jerit Farah yang sudah hilang pertimbangan. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Dia mengekori Syazwan menuju ke bilik. Syazwan dengan pantas memasukkan kesemua pakaiannya ke dalam bagasi. Farah yang sudahpun berada di birai katil tidak diendahkan.

“Abang... jawablah bang. Kenapa buat Farah macam ni. Apa makna semua ni bang,” semakin kuat Farah mengongoi, semakin laju pula Syazwan mengemaskan barang-barangnya. Dia tidak sanggup melihat tangisan sayu isterinya.

“Maafkan abang Farah,” hanya itu yang termampu diucapkan oleh Syazwan.

“Abang... sampainya hati abang. Sanggup abang biarkan Farah keseorangan. Farah tak ada siapa-siapa di dunia ni melainkan abang. Tolonglah abang, jangan buang Farah dari hidup abang. Tolonglah...” Farah memeluk kemas betis Syazwan. Tangisannya semakin berlagu, semakin rancak. Dia tidak mahu ditinggalkan untuk kali kedua.

“Abang terpaksa pergi dulu Farah. Jaga diri baik-baik.” Syazwan sedaya upaya cuba memboloskan diri dari pelukan Farah. Dia keluar dengan pantas sambil membawa bagasi. Panggilan dan tangisan Farah hanya dibiarkan sepi.

“Abang... abang... baliklah bang. Jangan buat Farah macam ni. Abang... sampainya hati abang,” Farah menangis kuat di muka pintu bilik.

Pemergian Syazwan hanya dipandang kosong. Dia sebak. Malam-malam sepinya terpaksa dilalui sendiri. Dirinya yang sunyi tidak akan ditemani oleh suaminya lagi. Lama Farah menangis, lama Farah termenung. Sehingga air matanya dirasakan sudah kering. Dia sedar Syazwan sudah tidak menyayanginya lagi. Hanya dirinya sahaja yang masih berperasaan seperti itu. Dia perlu kuatkan semangat. Sudah tidak ada gunanya dia merayu pada lelaki yang sudah tidak menginginkannya. Cukuplah... cukuplah apa yang dia tanggung selama ini. Segala caci maki dan penghinaan daripada insan yang terlalu disayanginya. Mungkin jodohnya dengan Syazwan hanya setakat ini sahaja. Andai itu adalah benar dia redha dalam pasrah.

“Terima kasih abang... terima kasih atas segalanya. Terima kasih atas setiap kasih sayang yang abang curahkan. Terima kasih juga atas setiap penghinaan yang abang berikan. Dan... selamat pengantin baru suamiku...”

***

Tuesday, May 29, 2012

Lagi Sedutan Aku Suka Kau Benci


Sekali lagi bilik 214 menjadi kunjungan Ikmal. Sebaik memasuki bilik dia meletakkan beg pakaiannya di dalam almari. Kelihatan baju-baju Mia Sarah yang telah tersusun kemas di dalamnya. Mia Sarah pula mengambil panaroma indah di balkoni. Ikmal membuka beg pakaiannya dan terus mengeluarkan 'sweater'. Badannya yang terasa seram sejuk perlu segera dipanaskan. Kepalanya sedikit pening dan berpinar, namun digagahkan juga. Dia kemudiannya terus menuju ke arah isterinya dan berdiri di sebelahnya.

Mia Sarah sedikit tersentak dengan kehadiran Ikmal di sisinya. Namun dia cuma membiarkan sahaja. Pemandangan yang indah dan cuaca yang cukup mendamaikan lebih menarik perhatiannya saat ini. Saat ini kedua-duanya begitu asyik menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Ikmal berkalih menghadap ke arah Mia Sarah. Wajah isterinya yang jernih dipandang dalam-dalam. Tanpa sedar Ikmal meraih jari-jemari isterinya dan meramasnya perlahan. Mia Sarah yang sedikit terkejut cuma membiarkan sahaja. Terasa jari-jemari Ikmal yang kepanasan bersatu dengan jari-jemarinya. Pelik juga dia, sepatutnya tangan Ikmal turut sejuk seperti dirinya, tetapi kenapa panas pula? Memang dia ingin marah pada mulanya, tetapi terasa tidak adil pula dia melayan Ikmal sebegitu. Mia Sarah telah bernekad akan memberikan Ikmal peluang di samping meletakkan satu syarat.

Melihatkan Mia Sarah tidak marah dengan tindakan Ikmal memegang tangannya, Ikmal terus memberanikan diri melabuhkan pula tangannya di wajah Mia Sarah. Wajah itu diusap perlahan dengan kedua-dua tangannya. Kemudian Ikmal melepaskan keluhan berat di dada.

“Mia... Abang nak cakap sikit dengan Mia,” Ikmal memulakan bicara sambil memegang lembut jari-jemari isterinya.

“Cakaplah,” balas Mia Sarah sepatah. Dia juga ada perkara yang ingin dibincangkan bersama dengan Ikmal nanti. Perkara yang akan menetapkan sejauh mana hubungan mereka sebagai suami isteri akan bertahan.

“Abang tahu... Abang dah menyakitkan hati Mia. Tak patut abang buat Mia macam tu dulu. Tapi abang terlalu ikutkan kata hati. Abang biar perasaan marah menguasai diri. Abang biarkan nafsu syaitan merajai diri abang. Abang... Abang kesal sangat dengan segala yang telah terjadi Mia. Kalaulah masa dapat diundur semula, abang takkan melakukan perkara sebegitu kepada Mia. Abang minta maaf Mia. Minta maaf sangat-sangat,” luah Ikmal ikhlas sambil merenung dalam anak mata Mia Sarah.

“Kenapa awak sanggup buat saya macam tu dulu?” Mia Sarah ingin tahu. Hatinya pedih dan terhiris apabila soalan itu keluar dari mulutnya. Seperti peristiwa tersebut menari-nari di ruangan matanya.

“Huh!!! Abang marah, kecewa dengan penolakan Mia terhadap diri abang. Abang marah sebab Mia tampar abang di khalayak ramai sewaktu di kampus dulu. Abang kecewa sebab Mia tidak terima cinta abang.”

“Jadi... Awak berdendam dengan saya. Sebab itu awak begitu tegar melakukan perbuatan tersebut. Tanpa sedikitpun perasaan simpati awak melakukan kesakitan ke atas orang yang kononnya awak cintai. Macam tu? Entah betul atau tidak awak cintakan saya masa tu?” soal Mia Sarah sedikit kasar. Hatinya cukup pedih bila membicarakan isu tersebut.

“Mia... Abang tahu abang salah Mia. Memang abang melakukannya kerana dendam. Niat untuk membalas dendam pada masa itu cukup kuat dalam diri abang. Dalam hati abang yang dalam ini, abang menyesal Mia. Menyesal sangat-sangat. Abang malu dengan Mia.”

“Hmmm... Sudahlah. Saya malas nak ungkit lagi perkara yang lepas. Benda pun dah jadi. Cuma satu saja yang saya nak tahu. Betul ke awak cinta dan sayangkan saya?”

Ikmal memandang wajah Mia Sarah. Ditatapnya wajah itu sepuas-puasnya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tangannya semakin kuat menggenggami jari-jemari isterinya.

“Dengan nama Allah, abang terlalu mencintai dan menyayangi Mia. Seluruh jiwa dan raga abang. Terlalu dalam kasih sayang abang untuk Mia. Tidak ada orang lain yang dapat menggantikan tempat Mia. Izinkan abang menebus kesilapan yang telah abang lakukan terhadap Mia. Berikan abang satu peluang untuk menjadi seorang suami dan menjalankan tanggungjawab abang sebagai suami sepenuhnya. Abang sayang sangat pada Mia. Sayang sangat-sangat,” luah Ikmal dari lubuk hatinya yang paling dalam. Tangan Mia Sarah dikucup dengan penuh kasih sayang.

Mia Sarah cuma mendengar dengan teliti setiap kata-kata yang keluar dari mulut Ikmal, kata-kata yang penuh dengan keikhlasan namun hatinya sedikitpun tidak tersentuh. Cukuplah sekadar dia mengetahuinya untuk memudahkannya memberikan Ikmal peluang bagi membuktikan setiap kata-kata tersebut.

“Baiklah, saya akan berikan awak satu peluang...”

“Betul ni sayang... Mia akan bagi abang peluang itu. Mia... dah maafkan abang,” Ikmal gembira mendengar kata-kata Mia Sarah. Wajahnya kelihatan bercahaya dan matanya turut berkaca.

Ada harapan untuk dirinya merebut cinta Mia Sarah, ada peluang untuk dirinya bertakhta di hati Mia Sarah. Ikmal sangat gembira, berkali-kali dikucupnya jari-jemari isteri tersayang. Pipi Mia Sarah yang putih bersih itu turut hangat disinggahi kucupannya.

“Ya... Memang saya akan berikan awak peluang tapi itu tak bermakna saya maafkan awak. Sampai bila-bila pun saya takkan maafkan awak,” jelas Mia Sarah tegas.

Riak wajah Ikmal serta merta berubah. Mia Sarah memberikannya peluang tetapi tidak memaafkannya. Ikmal tidak faham dengan tindakan Mia Sarah.

“Kenapa Mia tak nak maafkan abang?”

“Awak tak boleh paksa saya untuk maafkan awak. Hati saya belum terbuka untuk maafkan awak.”

“Hmmm... Kalau Mia dah kata macam tu tak apalah. Sekurang-kurangnya abang masih lagi berpeluang untuk menyayangi Mia,” Ikmal beralah walaupun hatinya sedikit sedih dengan tindakan Mia Sarah.

“Sekarang saya nak awak dengar pengakuan saya pula. Dulu saya pernah berjanji pada diri saya sendiri, saya tidak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki selain daripada lelaki yang bergelar suami saya sendiri. Saya inginkan percintaan selepas kahwin, bercinta dengan suami yang mencintai dan menyayangi diri saya setulus hati.” Ikmal tersenyum gembira mendengar penjelasan Mia Sarah.

“Tapi sekarang... Hmmm entahlah. Terus-terang saya katakan, rasa cinta untuk awak sedikitpun tidak ada. Saya langsung tak cinta dan sayangkan awak. Bagaimana saya nak teruskan hidup bersama-sama dengan awak?” luah Mia Sarah sambil memandang jauh ke arah pemandangan indah yang terbentang luas di hadapannya.

“Takkanlah sedikitpun Mia tak ada rasa sayang pada abang. Abang yakin, perasaan itu ada. Cuma Mia yang menafikannya,” Ikmal menafikan. Perasaannya cukup terkilan dengan penjelasan Mia Sarah tadi. Wajah Mia Sarah direnung sayu.

Mia Sarah menggeleng perlahan.
“Memang perasaan itu tidak ada. Tapi saya bagi awak satu peluang untuk mewujudkan rasa cinta dan sayang dalam diri saya. Saya nak awak buat sehingga saya merasa apa itu sebenarnya cinta dan sayang.”

Ikmal tersenyum.
“Mia jangan risau. Abang akan ajar Mia tentang cinta dan sayang. Apabila Mia telah merasainya, setiap saat Mia tak nak berpisah dari abang. Setiap kali berjauhan Mia akan rindukan abang. Mia akan cemburu kalau ada orang lain menganggu abang. Setiap masa Mia ingin dibelai dan bermanja dengan abang. Abang akan buat Mia rasa itu semua. Itu janji abang,” sekali lagi jari-jemari Mia Sarah dikucup mesra.

“Baguslah... Teringin saya nak merasa itu semua. Tapi dalam tempoh setahun dari sekarang, kalau perasaan itu masih tidak saya miliki, saya nak kita berpisah...”

Ikmal terpempam mendengarkan kata-kata Mia Sarah. Perpisahan. Mia Sarah mahukan perpisahan sekiranya tidak ada perasaan cinta dan sayang dalam tempoh setahun dari sekarang. Ikmal mengeluh di dalam hati.

P/s : Sekadar untuk mengimbas kembali cerita ini... :)


Monday, May 28, 2012

Sedutan Aku Suka Kau Benci


“Dah ke? Sikit saja makan. Malu ke?” soal Ikmal apabila melihat Mia Sarah telah meletakkan sudu dan garfu dan mencapai milo ais.

“Erk, dah kenyang.”

“Betul ke ni? Banyak lagi nasi kat pinggan tu. Ke awak ni diet. Nak jaga badan.”

“A'aaa, nak jaga badan. Takut nanti gemuk pula,” satu lagi jawapan entah apa-apa yang keluar dari mulut Mia Sarah. Hish, banyak tanya betullah dia ni. Bosan sudah Mia Sarah rasakan.

“Kenapa pula takut gemuk? Awak jangan risaulah. Kalau awak gemuk pun, saya masih sukakan awak,” luah Ikmal bersungguh-sungguh sambil merenung ke dalam anak mata Mia Sarah.

“Kalau awak suka dekat saya pun, belum tentu saya akan sukakan awak.”

“Hish, takkan tak suka kot. Abang Ikmal yang hensem dan kaya ni, yang menjadi idaman mana-mana gadis dekat UM ni, kau tak suka ke?” sampuk Hafiz.

Mia Sarah cuma menggeleng perlahan.
'Hish, lagi lama aku dekat sini, boleh jadi sewel gamaknya. Nak melayan kerenah dua ekor monyet sesat ni. Liza ni pun terhegeh-hegeh sangat makannya kenapa? Selalu bukan main laju lagi makannya, hari ini pula dia tertinggal kereta api.'

“Kalau macam tu berikan sepuluh sebab kenapa awak tak suka saya?” soal Ikmal. Apa agaknya jawapan yang akan diberikan oleh Mia Sarah. Aku punyalah hensem gila, dia boleh tak syok pula. Ikmal tidak berpuas hati. Selama ini mana-mana gadis yang cuba dipikatnya sudah pasti akan melutut padanya, tetapi dengan Mia Sarah cukup berbeza sekali.

“Perlu ke saya jawab? Rasanya benda-benda macam tu biar saya saja yang tau.”

“Memang perlu, sebab kalau saya dah tahu jawapannya, senanglah saya nak tackle awak,” desak Ikmal. Sudah macam orang terdesak sahaja.

Macam tu pula. Tak acilah kalau begitu. Tapi kalau kau dah nak tahu sangat jawapannya, ni ha, kau dengar apa aku nak cakap ni. Mia Sarah menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan kata-katanya. Sambil itu otaknya ligat memikirkan jawapan yang akan diberikannya nanti.

“Pertama, sebab awak ni playboy, kedua sebab awak ni berlagak, ketiga sebab awak ni merokok, keempat sebab awak ni kerek, kelima sebab awak ni buaya darat, keenam sebab saya memang tak suka awak, ketujuh sebab saya benci awak, kelapan sebab saya suka pada orang lain, kesembilan sebab saya dah bertunang dan yang terakhir sekali sebab saya bakal jadi isteri orang. Okey, full stop. Puas hati!!!” merah padam Ikmal mendengar jawapan yang diberikan Mia Sarah. Antara percaya dengan tidak kata-kata yang terluah dari bibir kecil itu.

Mia Sarah tidak tunggu lama. Dia bangun dan ingin segera meninggalkan Ikmal dan Hafiz. Liza cepat-cepat mengekorinya dari belakang. Sirap limau yang dipesannya tadi pun belum sempat dihabiskannya.

P/s : Dah lama sangat2 tak update cerita ni.. Sekarang tengah cari mood untuk sambung semula cerita ni.. Jadi untuk ambil mood kena baca keseluruhan cerita dari bab 1 sampailah bab 20. Sambil tu edit2 apa yang patut. Lepas tu baru nak kena buat draf.. Ada ke macam tu ye.. Sepatutnya draf dulu, bila dah siap draf baru buat novel. Tapi yang ni kes lain pula. Maklumlah dulu menulis time ada idea..  Tajuk asalnya pun mungkin akan ditukar. Apa Kes? tu mungkin akan dibuang. Jadi Aku Suka Kau Benci.. Bila baca semula.. terasa rindu pula dengan watak Mia dan Ikmal.. hihi..<3


Monday, May 14, 2012

Selamat Hari Ibu

Ibu… tanpamu aku tiada, tanpa didikanmu aku melata, tanpa kasihmu aku merana, tanpa pujukanmu aku sesat merata, Selamat Hari Ibu

 Sedar tak sedar saya dah memegang gelaran sebagai ibu ataupun emak selama hampir 8 tahun. Begitu pantas masa berlalu, anak yang sulung pun dah besar. Dah masuk darjah satu. Bersempana Hari Ibu yang lepas, anak sulung buatkan kad untuk saya. Cukup terharu sangat. Walaupun pada pendapat orang lain mungkin tidak secantik mana, tapi itulah hadiah yang cukup bermakna buat saya. 


Terima kasih kakak.. Mak sayang kakak sangat2... <3

Wednesday, May 9, 2012

Welcome Back

As salam.. selamat pagi semua..

Welcome back to work. 7 Mei 2012 yang lepas merupakan hari pertama saya bekerja setelah bercuti panjang selama 3 bulan. Lama tu, maklumlah cuti bersalin. Sepanjang 3 bulan tu, saya duduk di rumah menjaga anak.. Di samping itu adalah juga membuat promosi novel di CM dan juga di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang lepas. 

Alhamdulillah. setakat yang diketahui hari itu ABHDS telah masuk cetakan kedua. Terima kasih pada pembaca yang membeli dan memberikan sokongan. Terima kasih banyak-banyak. Banyak juga komen2 yang positif dan negatif.. Semuanya saya terima dengan hati terbuka.

Dalam perancangan mungkin akan ada novel yang ke dua. E-novel yang telah lama tergendala.. ASKBAK. Setakat ni baru sampai bab 20 je. Masih lagi mencari mood untuk menyambungnya kembali. Maklumlah lama juga saya tidak menulis. Sudah berbulan-bulan. Tapi Insyaallah.. saya akan buat sampai habis. Lagipun ramai juga yang bertanyakan tentang ASKBAK.. 

Semoga saya kembali bekerja dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh.. Okey.. back to work.. Babaii..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...